Chapter 179 - Bab 179

Suasana di luar sejuk luar biasa dengan angin utara yang sedang bertiup membawa salji bersama sambil menghembus obor api yang menyala dengan minyak pinus. Ah Jing sedang berdiri di depan pintu khemah bersama para hamba yang berada di sebelah kiri dan kanannya dengan penuh senyap ketika melihatnya, memilih untuk memberi salam hormat yang mudah. Hati Ah Jing berasa tidak selesa. Kini, dia tidak lagi mengenali semua pengawal Yan Xun, jawatan mereka, ketua pengawal mereka, semuanya tidak diketahuinya. Selepas beberapa ketika, Ah Jing tidak dapat menahan kesejukan lagi lalu pemuda itu melompat-lompat, cuba untuk mengurangkan rasa sejuknya itu dan berterusan untuk menggosok tangannya. Tiba-tiba, dia ternampak tirai sedang bergerak, serta-merta seorang Jeneral muda berpakaian biru keluar dari khemah perlahan-lahan.

"Batuk… puih!" Ah Jing melepaskan sebuah batukan dengan sengaja dan meludahkan kahaknya keluar, yang kemudiannya terkena pada kasut jeneral itu.

Jeneral tersebut berhenti melangkah dan berpusing perlahan-lahan dan bertembung dengan sepasang mata garang milik Ah Jing, namun Jeneral itu langsung tidak memberi sebarang reaksi, matanya bersinar, lantas bertindak seolah-olah tiada apa yang berlaku, dia berjalan pergi dan hilang dalam kegelapan.

"Penakut! Makhluk tak guna!" Maki Ah Jing. "Patutlah kamu nak jadi pembelot!" Malam itu gelap-gelita dan apabila bayangan lelaki itu hilang, Ah Jing mengejeknya buat kali kedua sebelum berjalan masuk ke dalam khemah.

Yan Xun sedang memeriksa petanya di bawah cahaya, langsung tidak meraih pandangannya apabila dia mendengar Ah Jing masuk ke dalam, berkata dengan suara yang rendah, "Kenapa?"

Ah Jing bersiap sedia sebelum menjawab, "Tuanku, Cik Puan masih mengikut kita dari belakang. Dalam cuaca yang sejuk ini, tanpa khemah untuk bermalam, ini…"

"Apa?" Yan Xun perlahan-lahan mengangkat keningnya dan memandang ke hadapan. Suaranya perlahan dan sengaja dileretkan, menunjukkan kekecewaannya. "Bukan ke kamu kata dia sudah berpatah balik?"

Ah Jing menggaru kepalanya dan berbisik, "Ya, saya ternampak Cik Puan berpatah balik ke Beishuo, tapi rupanya dia bersama dengan kita sepanjang malam lagi."

"Tak guna!" Yan Xun menghempuk peta di atas mejanya dan berkata. "Kamu semua tak boleh nak kawal seorang wanita pun."

Ah Jing menundukkan kepalanya dan berdiam diri, berasa terkilan. Lantas, dia berkata kepada dirinya sendiri, 'Cik Puan itu orang yang awak sayang. Kami manalah berani nak sentuh dia, berlaku kasar dengan dia, atau mengikat dia sekalipun untuk menghantarnya pulang! Cik Puan dah berjanji untuk berpatah balik selepas itu. Siapa tahu yang dia akan mengikuti kita semula!'

Yan Xun berpusing dan mengambil jubahnya di penyangkut baju sebelum meletakkannya di atas bahu dan berjalan menuju ke luar. Ah Jing yang melihat hal ini terus berasa gembira, segera dia berlari ke sisi Yan Xun dan berkata, "Tuanku, saya dah sediakan kuda untuk Tuanku. Marilah kita bertolak cepat. Kalau kita terlambat, Cik Puan akan mati beku. Macam yang saya cakap, bagaimana Tuanku sanggup tinggalkan Cik Puan dalam bahaya? Selain dari Tuanku, Cik Puan itu orang kedua terpenting di Yan Bei. Dia telah bersusah payah dengan Tuanku sejak dari Zhen Huang lagi. Bagaimana Tuanku boleh samakan dia dengan pengkhianat-pengkhianat itu? Saya tahu…" Walau bagaimanapun, sebelum sempat Ah Jing menghabiskan kata-katanya, dia tersedar yang Yan Xun tidak mengikutinya, segera pemuda itu berpusing ke belakang dan melihat rajanya sedang berdiri di tengah-tengah khemah itu sambil diiringi dengan cahaya lilin yang menyinari mukanya, bayang-bayang samar bersinar di wajahnya seperti lapisan kabus.

"Tu…Tuanku?" Ah Jing berbisik, cuba untuk meninjau pendapat tuannya.

Yan Xun hanya berdiam diri dan akhirnya, dia menurunkan tangannya yang sedang mengikat jubahnya dan berkata dengan tenang, "Bawa 20 orang pengawal bersama kamu dan bawa dia ke sini."

"Hah?" Rahang Ah Jing terjatuh kerana terlalu terkejut. "Tuanku, Tuanku tidak nak pergi lagi?"

Yan Xun tidak berkata apa-apa, hanya berpusing dan menanggalkan jubahnya. Kemudian, dia menuju ke mejanya sebelum menggosok jarinya ke peta besar Yan Bei, mendiamkan diri untuk masa yang lama.

Bayang-bayang Yan Xun dapat dilihat di sebalik lilin yang terang itu. Tiba-tiba, penglihatan AhJing tiba-tiba terasa kabur, mengimbau kembali tentang sebuah pagi yang cerah di Istana Sheng Jin bertahun-tahun yang lalu di mana Maharaja Xia telah menyembah duli dengan berjalan perlahan-lahan keluar dari istananya, lalu dia melutut di tengah-tengah orang ramai. Dia memandang ke atas dengan senyap tetapi pandangannya telah dikaburi oleh jubah emas yang berkilat itu.

"Baiklah, Tuanku." Ah Jing hanya menurut perintah. Sebaik sahaja dia berpaling untuk keluar, suara Yan Xun kedengaran, "Kamu tak dibenarkan masuk ke dalam khemah tanpa keizinan saya mulai sekarang." Pahlawan muda dari Yan Bei itu mengangguk, keceriaannya serta-merta hilang. "Baik, Tuanku."

Yan Xun telah pun tidur apabila Chu Qiao mengikuti Ah Jing ke dalam khemah. Wanita itu memandang khemah Yan Xun yang telah terpadam lampu dan berasa sedikit terkejut. Feng Zhi bergegas ke arahnya dan memberitahu, "Tuanku mengembara sepanjang hari. Saya rasa Tuanku pasti letih."

"Baiklah." Chu Qiao mengangguk tanpa sebarang emosi dan menjawab perlahan, "Saya akan balik ke khemah dulu."

Apabila dia kembali ke khemahnya, anggota badannya telah menjadi kebasdisebabkn kesejukan melampau. Ah Jing dan beberapa orang pelayan telah memberikannya sambutan yang mesra dengan menyediakan air panas kepadanya. Walaupun kebanyakan pahlawan tidak mengenali dirinya, mereka pernah mendengar namanya dan juga sumbangannya pada masa lalu. Mereka berkumpul di luar khemahnya untuk melihat apa yang sedang berlaku dan kembali bersurai apabila ditegur oleh Ah Jing. Selepas beberapa ketika, tirai khemah lantas terbuka dan sebuah kepala yang kecil tiba-tiba muncul dari luar dan menjerit dengan gembira, "Jeneral Chu!"

"Pingan?" Chu Qiao terkejut. Pingan berpakaian seragam tentera bersaiz kecil. Mereka tidak pernah berjumpa selama beberapa hari, tetapi dia sudah nampak lebih besar. Pada hari di mana selepas pertempuran di Beishuo tamat, wanita itu telah jatuh sakit dan tak mampu untuk memberi sebarang perhatian kepada Pingan. Dia tidak sangka akan berjumpa dengannya di sini. Dia bertanya, "Kenapa kamu di sini?"

"Saya seorang tentera."

"Kamu? Tentera?" Chu Qiao terkejut. "Berapa umur kamu?"

"Jeneral, jangan pandang rendah terhadap orang lain. Jeneral Ah Jing baru saja berikan arahan sebentar tadi. Bermula dari hari ini, Pingan akan menjadi pengawal peribadi Cik Puan. Kalau Cik Puan ada apa-apa tugasan, serahkan kepada saya."

'Pengawal peribadi? Ini bagus jugak. Sekurang-kurangnya aku tak perlu ke medan perang lagi.' Chu Qiao tersenyum dan menggosok kepala kanak-kanak itu sebelum berkata, "Sampaikan terima kasih saya pada Ah Jing."

"Jeneral tak bertugas malam ini. Jeneral Cheng yang sedang bertugas."

Kening Chu Qiao lantas terangkat. Ah Jing merupakan pengawal peribadi Yan Xun yang paling setia. Bagaimana pula dia tidak bertugas pada waktu malam? Dia bertanya lembut, "Jeneral Cheng? Jeneral Cheng yang mana satu?"

"Saya pun tak tahu." Pingan masih kanak-kanak kecil, dengan kebudak-budakan dia menjawab, "Saya hanya tahu nama keluarga dia Cheng saja."

"Oh," Chu Qiao mengangguk dan menyambung, "Dah lewat ini. Kamu baliklah dulu dan berehat."

Pingan hanya menurut dengan gembira dan melompat meninggalkan khemah tersebut. Chu Qiao yang melihat bayangan anak kecil itu terus berasa sedih di dalam hatinya. Pada zaman moden, kanak-kanak yang seusia dengannya akan bersiap untuk pergi ke sekolah setiap hari. Apabila dia ditimpa masalah, dia akan mengadu kepada ibu bapanya sambil berada di dalam pelukan mereka! Walau bagaimanapun, di sini, anak kecil itu terpaksa bertanggungawab untuk menjaga adiknya dan melibatkan dirinya dalam kehidupan yang penuh dengan pertumpahan darah.

Air telah berubah suam-suam kuku selepas dia mencuci mukanya, menanggalkan kasutnya dan memasukkannya ke dalam air. Kakinya sudah bengkak kerana cuaca yang sejuk; lebam di kakinya kelihatan ungu-kemerahan. Kakinya terasa gatal semasa dia merendamnya ke dalam air, lalu menarik nafas yang panjang. Selepas dia mencuci kakinya, dia makan semulut makanan kering yang diberi kepadanya sebentar tadi. Dia berbaring di atas selimut yang hangat dengan rasa tidak selesa. Perkara yang berlaku hari itu akhirnya membawa baji antara mereka. Walaupun dia menyembunyikannya dan Yan Xun berusaha untuk menyelamatkan keadaan itu, beberapa perkara seperti porselin – apabila ia pecah, ia tidak dapat diselamatkan lagi walaupun banyak usaha telah dilakukan.

Disebabkan penyakit yang dialami Chu Qiao itu, Yan Xun menangguhkan perjalanannya selama dua hari. Dalam masa itu, pemuda itu berada di sisinya untuk menyuapnya makan, menyediakan ubatnya sendiri. Ketekunannya telah menakutkan orang-orang sekelilingnya. Walau bagaimanapun, apabila Chu Qiao mengutarakan pandangannya untuk mengikuti ketenteraan, Yan Xu menolak dengan alasan yang cukup komprehensif. Walaupun kata-katanya munasabah, atau mendakwa yang dia berhemah untuknya, kepala Chu Qiao lantas terkenangkan semula apa yang telah dikatakan Yan Xun pada hari itu, "Kalau mereka langgar undang-undang tentera lagi, saya tak akan maafkan mereka lagi."

Ia ternyata satu amaran, tetapi bagaimanakah caranya wanita ini ingin memastikan ini bukanlah satu isyarat? Chu Qiao lantas berasa tidak manis kerana telah berfikiran sebegitu. Sejak bilakah dia mula berasa was-was akan Yan Xun? Sebelum ini, Yan Xun melayannya dengan sangat baik, sehinggakan wanita ini berasa seperti semuanya mimpi. Walau bagaimanapun, pada hari tentera berlepas, ketika dia berdiri di depan pintu gerbang kota dan merayu untuk mengikut mereka bertempur, Yan Xun telah memarahinya.

Ini merupakan kali pertama Yan Xun memarahinya. Pemuda itu tidak menengking, namun dia hanya memerhatikan wanita itu buat masa yang agak lama. Pemuda itu kelihatan seperti dia dapat melihat banyak perkara yang tersirat di sebalik wajahnya. Akhirnya, dia bertanya, "Ah Chu, apa yang awak risaukan?" Selepas itu, sebelum sempat dia menjawab, Yan Xun berlalu pergi tanpa menoleh ke belakang.

Para askar mengelilinginya dan menyuruhnya pulang ke rumah, memandang sepi ketika Yan Xun berlalu pergi, berasa sangat kecewa.

Pemuda itu mengetahuinya semuanya, semuanya. Tetapi pemuda itu sedang berkomplot. Dia lantas bertanya kepada wanita itu, 'Apa yang awak risaukan?''Tapi, Yan Xun, bagaimana dengan awak pula? Apa yang awak risaukan?'

Akhirnya, dia memutuskan untuk mengikuti rombongan itu juga. Yan Xun benar – Chu Qiao berasa bimbang tentangnya, takut jika Yan Xun akan membunuh seluruh tentera Garison Utusan Barat Daya. Di medan perang, terlalu mudah bagi seseorang itu untuk menghapuskan seluruh tentera tanpa meninggalkan sebarang bukti kerana terdapat terlalu banyak cara untuk melakukannya. Para tentera Garison Utusan Barat Daya telah meletakkan nyawa mereka di tangan wanita itu.

Chu Qiao tidak akan membenarkan mereka mati dengan sia-sia.

Mungkin dia terlebih berfikir. 'Tetapi, Yan Xun, semenjak awak dah tahu apa yang saya takutkan, kenapa awak tidak berjanji dengan saya? Atau awak yang tidak berani? Apa yang saya takutkan itu telah menjadi sebahagian daripada rancangan awak ke?'

Api di atas tanah menyala dengan senyap daripada selonggokan arang putih yang bermutu tinggi, hanya mengeluarkan lapisan asap yang nipis. Chu Qiao memandang unggun api itu dan lantas merasakan matanya kering dalam kesakitan. Wanita muda ini belum sembuh sepenuhnya dan ditambah pula dengan dia yang mengembara sepanjang hari dalam cuaca yang sejuk, keletihannya mula terasa. Dia memakai pakaian berwarna putih yang nipis sebelum berbaring di atas katil dan memadamkan cahaya lilin, membenarkan dirinya hanyut dibawa tidur.

Cahaya bulan di luar kelihatan terang apabila menyinari tanah yang bersalji, menjadikan landskap kelihatan putih. Walau bagaimanapun, di dalam khemah itu memang gelap-gelita sahaja. Angin bertiup kencang. Tiada sebatang pun pokok di sekelilingnya, hanya tangisan helang yang kedengaran menusuk memecah kesunyian langit malam. Selepas beberapa ketika, di dalam khemah yang gelap itu, kaki Chu Qiao terasa sejuk lalu dia mengerutkan dahinya dengan matanya yang masih terpejam. Dia terduduk dengan pantas dan mendesah, "Siapa itu?"

Dalam kegelapan, sebuah kelibat panjang terduduk di atas katilnya. Lelaki itu sedang memakai pakaian yang diperbuat daripada kain lembut. Dengan bantuan cahaya yang samar-samar, Chu Qiao seakan-akan boleh melihat wajah kelibat tersebut yang sedang terduduk sambil tangannya meraih kaki wanita muda ini. Kelibat itu lantas meletakkan sebiji mangkuk di tepi katil wanita ini, bau ubat meresap keluar dari mangkuk tersebut.

"Awak dah bangun?" Yan Xun bertanya lembut, lantas bangun dan menyalakan lilin. Cahaya kuning menyinari wajahnya, memberikan sebuah perasaan damai dan tenang sebelum kembali ke sisi katil dan menghulurkan jarinya yang panjang untuk mengambil sedikit ubat. Pemuda itu lantas meletakkannya di luka Chu Qiao, sentuhan jarinya terasa hangat seperti angin yang bertiup ketika dia menyentuh jari kaki dan tapak kaki wanita itu. Yan Xun tidak memandangnya semasa dia berkata, "Awak perlu letak ubat ini di kaki awak setiap hari. Di dalam tentera, tiada pelayan wanita yang akan melayan awak seperti di rumah. Di sini sangat sibuk. Jangan abaikan kesihatan awak walaupun awak dah sibuk."