Ubat itu yang disapu pada tapak kaki Chu Qiao yang kecil dan comel itu terasa sejuk dan melegakan, sekaligus mendedahkan sebahagian kecil betisnya. Yan Xun memegang pergelangan kaki wanita itu dengan sebelah tangan manakala menyapu ubat dengan tangan yang sebelah lagi. Suaranya kedengaran seperti angin yang sedang berhembus berlalu, menekankan kejanggalan di antara kedua-dua mereka.
"Ya, saya tahu." Chu Qiao mengangguk sebelum mengetap bibirnya namun wanita ini buntu dengan apa yang harus dikatakannya. Lantas dia tiba-tiba terimbau kembali pada memori bertahun-tahun lalu ketika mereka di istana semasa musim sejuk, kakinya pasti akan membengkak dan memerah akibat reputan fros yang teruk sehingga dia tidak dapat bangun dari katil. Pada masa itu, mereka tidak mempunyai sebarang ubatan untuk disapu, jadi Yan Xun akan menyapu alkohol pada luka gadis itu sementara memerhatikan gerak-geri Chu Qiao yang sering mengerang dalam kesakitan dan serta-merta lelaki itu akan bergurau untuk memabukkan Chu Qiao supaya gadis itu tidak lagi berasa sakit. Pada masa itu, anak mata Yan Xun kelihatan amat jelas, malah sehingga ke dalam mimpinya sekarang ini pun wanita muda ini masih lagi boleh mengingati renungan matanya ketika itu yang kelihatan begitu murni sehingga Chu Qiao terlupakan personaliti pemuda itu kini.
"Rehat dengan cukup." Yan Xun berdiri selepas menyapu ubat itu tersebut, membawa mangkuk bersamanya sambil berkata, "Saya pergi dulu, ya."
"Yan Xun..." Ketika pemuda itu berpaling, dia lantas menyedari yang sudut bajunya telah digenggam erat oleh sepasang tangan putih yang kecil milik Chu Qiao. Suara wanita itu sudah pasti telah melembutkan hati Yan Xun, jadi pemuda itu berpaling untuk melihat ke dalam anak mata Chu Qiao. Pemuda itu bertanya dengan tenang, "Apa yang tak kena?"
"Awak masih marahkan saya ke?"
Yan Xun dengan tenangnya bertanya sambil merenung wanita muda itu, "Saya perlu ke?"
Chu Qiao tercungap-cungap sedikit akibat kekurangan peredaran angin di dalam khemah tersebut. Dia lantas menjawab sambil menggigit bibirnya, "Entah."
Seluruh suasana di sana membeku sambil kedua-dua pasangan ini tenggelam ke dalam kesunyian yang semakin menebal, manakala aura kejanggalan pula sekali lagi terapung-apung disaluti dengan udara di dalam khemah itu. Yan Xun yang sedang berdiri tegak dengan rambut hitamnya dan anak matanya yang bagaikan sepasang biji batu galian itu hanya menatap Chu Qiao. Pipi wanita itu telah memucat dan akhirnya dia perlahan-lahan mengangkat kepalanya, membalas pandangan mata Yan Xun itu sebelum menarik lengan bajunya dan berbisik, "Biarlah saya ikut awak, boleh?"
Yan Xun berdiri dengan senyap untuk masa yang panjang sambil merenung wajah Chu Qiao. Pelbagai emosi yang sedang terlintas di fikirannya buat masa ini yang menyebabkan dia tidak dapat menentukan perasaannya sendiri. Kebangkitan Yan Bei telah berlaku dengan terlalu cepat, dan kini ia terasa seperti mereka sedang berlawan bertentangan dengan arus. Setiap langkah yang diambil haruslah dilaksanakan dengan penuh berhati-hati dan mestilah dihitung sepenuhnya. Pemuda itu berkerut dan berfikir tentang rancangan dan strategi masa depannya sebelum akhirnya membuka mulut, "AhChu, awak tahu apa ancaman terbesar yang dihadapi Yan Bei sekarang?"
Chu Qiao mengangkat kepala namun masih lagi tidak menjawab, sedar soalan yang diajukan itu adalah soalan retorik.
Seperti yang disangka-sangka Chu Qiao, Yan Xun meneruskan, "Semua orang ada pemimpin mereka sendiri dengan adanya pelbagai puak dalam tentera kita ini. Pasukan tentera kita dah tak stabil dengan penyusupan pasukan Da Tong ke dalam pasukan tentera, kerana semua orang mempunyai pemimpin mereka sendiri yang dipatuhi. Ini kelemahan utama tentera Yan Bei." Yan Xun mengulurkan tangannya dan mengusap lembut rambut Chu Qiao sebelum meneruskan, "Semua ini perkara-perkara yang kita masih perlu selesaikan. Ini sudah pastinya akan menjadi satu proses ganas, tetapi rancangan ini mesti dilaksanakan kalau kita nak mewujudkan sebuah kerajaan baru. Tiada yang betul atau salah dalam hal ini, dan saya hanya ambil jalan ini sebab keadaan yang saya sedang hadapi sekarang. Saya tak nak awak terlibat dalam kekecohan ini juga. Faham tak?"
Chu Qiao mengangguk. "Saya faham, Yan Xun, saya tak nak memimpin mana-mana pasukan. Saya hanya nak berada di sebelah awak saja."
Yan Xun berasa agak terkejut setelah mendengar kata-kata Chu Qiao itu, menganggap gadis itu sengaja mengejar pasukan tenteranya semata-mata untuk meraih kembali kedudukannya sebagai pemimpin Garison Utusan Barat Daya. Pada masa itu, dia mula meragui pertimbangan awalnya terhadap niat sebenar Chu Qiao namun pemuda itu masih mengangguk dengan penuh kelembutan yang telah tersebar di seluruh hatinya dan berkata dengan lembut, "Baguslah itu."
Yan Xun melepaskan tangannya dan berniat untuk beredar. Raja muda itu sedang memakai jubah birunya yang membuatkan pemuda itu kelihatan seperti telah kehilangan berat badan yang banyak. Chu Qiao tiba-tiba berasa luluh hati apabila melihat kelibat pemuda itu lalu dia mengetap bibirnya dan bertanya, "Yan Xun, awak percaya pada saya tak?"
Langkah kaki Yan Xun tiba-tiba terhenti, namun pemuda itu langsung tidak berpaling. Tetapi, suara tenang pemuda itu yang bergema, terdengar seperti bunyi pukulan ombak lembut ke permukaan pantai.
"Ah Chu, saya tak pernah meragui awak. Saya cuma berharap yang sebelum ribut tiba, saya dapat melindungi awak dari pertempuran itu ."
Kelibat tersebut kian menghilang bersama desiran tirai. Chu Qiao yang terduduk di atas katil tiba-tiba hilang segala perasaan mengantuknya, diselubungi dengan suasana yang tenang bersama bunyi jam pasir yang berdesir di latar belakang. Chu Qiao tiba-tiba terkenangkan janji di antara kedua-dua mereka di mana mereka akan sentiasa berlaku jujur antara satu sama lain, tidak akan menyembunyikan sebarang rahsia, tidak boleh membiarkan salah faham atau apa-apa halangan yang berlaku di antara kedua-dua mereka! Namun, itu hanyalah sebuah fantasi kerana ia ternyata terdapat terlalu banyak perkara yang perlu dirahsiakan dari orang lain, terutama sekali dari seseorang yang dicintai.
Dia harus mempercayai pemuda itu.
Chu Qiao mengetap bibirnya sekali lagi dengan senyap. Jika wanita muda ini tidak mempercayai pemuda itu, siapakah yang boleh dipercayainya? Dia telah mencuba sedaya upayanya untuk meyakinkan dirinya sebelum berbaring namun sebelum sempat wanita muda ini dapat menutup matanya, adegan kepala-kepala manusia yang sedang dipenggal di dataran itu tiba-tiba terlintas di hadapan matanya.
Selepas berjalan selama tujuh hari berturut-turut, pasukan tentera tersebut akhirnya sampai ke Sungai Xuekui di wilayah Yuyao sebelum mereka mendirikan tapak kem utama di gunung itu di mana seramai 200,000 askar akan menetap di sana secara sementara. Seseorang hanya dapat melihat seluruh kawasan itu bagai putih logam dari kejauhan.
Chu Qiao mempunyai alasan yang kukuh untuk melepaskan kepimpinannya terhadap Garison Utusan Barat Daya. Reputasi wanita itu di Beishuo telah melonjak naik sehingga setanding dengan Yan Xun selepas pertarungan di Beishuo tempoh hari, dengan ramai yang telah memujinya dalam pasukan tentera tersebut. Selain itu, kerana dia telah mengikuti Yan Xun sepanjang tahun-tahun yang lepasi, diiringi dengan pencapaian cemerlangnya, wanita muda ini telah menjadi ketua kedua Yan Bei secara tidak rasmi. Namun, para rakyat masih lagi mempunyai perasaan yang bercampur baur terhadap Garison Utusan Barat Daya kerana pasukan inilah yang secara langsungnya telah menyebabkan kekalahan Yan Shicheng lama dahulu. Ramai yang membenci mereka disebabkan pengkhianatan lalu, namun ada juga yang menghargai mereka kerana pengorbanan mereka yang telah mempertahankan Yan Bei, emosi yang saling bercanggah itu boleh digunakan dengan mudah oleh sesiapa yang cuba merancang sesuatu.
Kesetiaan Garison Utusan Barat Daya kepada Chu Qiao sememangnya diketahui semua orang dan Yan Xun pasti akan kehilangan pengaruh kuasa sepenuhnya ke atas tentera ini selagi wanita muda itu mengekalkan kepimpinannya ke atas mereka yang bermakna pasukan ini akan menjadi tentera persendirian Chu Qiao. Perkara sedemikian sudah semestinya tidak boleh diterima mana-mana ketua, jadi Chu Qiao haruslah menyerahkan segala kuasanya dan hanya menyokong Yan Xun di samping pemuda itu. Oleh itu, wanita muda ini akan berada dalam kedudukan berkecuali tidak kira walau apa pun yang berlaku, dan ia pasti akan membantu Garison Utusan Barat Daya dan juga Chu Qiao.
Idea ini pada mulanya merupakan sebuah idea yang sangat bernas. Namun, Chu Qiao terus berasa tergamam yang teramat sangat apabila melihat komander baru yang telah dilantik untuk memimpin Garison Utusan Barat Daya, lantas mukanya bertukar masam dan menusuk dengan penentangan. Komander muda yang sedang memakai seragam biru secara senyap memberikan ucapan salam sebelum menyapa Chu Qiao tanpa beremosi, "Sudah lama kita tak berjumpa, Cik Puan Chu."
"Jeneral Cheng." Pandangan Chu Qiao membeku ketika dia tersenyum sinis, lantas menyatakan secara senyap, "Jeneral Xue Zhiyan mati dengan kematian yang sungguh kejam semasa di Beishuo. Semasa Cik Puan beredar pergi dengan Jeneral Xia An tempoh hati, saya fikir saya tak akan dapat melihat wajah Cik Puan lagi. Saya tak sangka yang kita akan berjumpa lagi. Ini memang sebuah pertemuan yang gembira."
Cheng Yuan ringan tersenyum. "Dunia ini kecil. Saya percaya kita akan bertemu lagi. "
Chu Qiao mendengus sebelum berjalan ke khemah Yan Xun, namun sebelum beredar, wanita muda ini mengarahkan dengan dingin, "He Xiao, tengok semua orang-orang kamu. Tak ada sesiapa yang boleh sentuh Garison Utusan Barat Daya sebelum saya kembali!"
"Ya!" jawab He Xiao dengan ;antang.
Dengan angin sejuk yang sedang bertiup di mukanya, Chu Qiao berfikir sendirian, 'Jeneral Xue, akhirnya saya boleh membalas dendam ke atas kamu!'
Yan Xun telah melalui mimpi yang sama sekali lagi. Anak matanya kosong seperti sebuah gaung yang besar dan dalam manakala dahinya pula dilumuri peluh sejuk, terbaring di atas meja bersama seluruh pakaian dalamnya yang telah dibasahi peluh. Pemuda itu lantas meregangkan jari-jemari tangannya untuk mencapai secawan teh, sekaligus boleh dilihat kukunya yang kemas bersama dengan selapisan kulit yang tebal yang dihasilkan dari bertahun-tahun berlatih seni mempertahankan diri, namun jari-jemarinya masih bergegar walaupun dia sedang memegang cawan tersebut dengan segala kekuatannya. Ingatan pemuda itu tidak lagi jelas selepas bertahun-tahun lamanya dan semuanya berubah menjadi kabur, pemuda itu selalu berfikir toleransinya selama bertahun-tahun di ibu negara maharaja itu telah membenarkan pemuda ini lupa. Namun, mimpinya yang datang sekali-sekala ini sudah cukup untuk menggagalkan segala usaha Yan Xun dalam melupakan masa lalu. Emosi dan kenangan yang cuba dilupainya terus mengatasi dia lagi dan lagi, melitupinya seperti selimut bilah, menggali ke dalam dagingnya, mencalar ke tulangnya.
Darah mengalir tanpa henti di dalam mimpinya yang dihiasi oleh pasangan mata milik bonda dan ayahandanya yang terbuka luas semasa darah mula meleleh dari mata mereka, kelihatan seperti wain merah berkualiti tinggi. Selepas bertahun-tahun lamanya, pemuda ini telah menganggap yang dia sudah terbiasa dengan segala emosi yang telah menyelubungi dirinya itu namun ketika Yan Xun melangkah ke dalam Yan Bei, emosi-emosi tersembunyinya itu bagaikan seekor ular yang sedang berhibernasi sehingga ia terganggu. Walaupun dengan matanya yang sedang tertutup, ular itu masih mengetahui sasaran gigitannya. Pada masa ini, pemuda ini akhirnya menyedari Yan Bei bukanlah penyelamatnya tetapi hanya merupakan ubat untuk menundukkan emosinya.
Matanya yang sedang merenung di kejauhan itu menjadi semakin tidak fokus dan pernafasannya semakin tenang. Namun, sebuah kebencian yang sungguh dahsyat tiba-tiba meluap-luap di dalam hatinya bersama keinginan untuk membunuh yang mula berkembang di dalam hatinya. Pemuda ini sememangnya tidak pernah berasa puas dengan keinginannya untuk menghunus pedang, lalu menghayunkannya dan merasakan kegembiraan yang tidak terhingga apabila membelah daging dan tulang manusia.
Pada masa ini, kekecohan sedang berlaku di hadapan pintu dan suara seorang wanita yang sedang mengamuk kedengaran sangat tajam dan lantang, lantas fikirannya terhenti di situ. Tanpa berfikir panjang, pemuda ini mengetahui siapakah pelawatnya. Dengan teriakan yang kuat Yan Xun memerintahkan pengawalnya dan serta-merta wanita itu dibenarkan masuk.
Chu Qiao masih lagi sedang memakai jubah salji putih. Wanita ini bagaikan telah membesar lebih tinggi dalam tempoh ini. Dia tidak lagi kelihatan seperti seorang kanak-kanak apabila berdiri di hadapan pintu pemuda itu.
Yan Xun menenangkan dirinya sementara menyembunyikan segala emosi yang terlayar di dalam harinya. Dia lantas menjelaskan dengan perlahan, "Mereka itu pengawal baru, jadi mereka belum kenal lagi siapa awak."
"Kenapa Cheng Yuan dimasukkan dalam tentera?" Chu Qiao langsung tidak membazir sebarang masa, benar-benar tidak mempedulikan yang dia telah dihentikan di luar khemah sebentar tadi.
Yan Xun yang melihat Chu Qiao kelihatan begitu serius terus terduduk tegak dan menjawab dengan wajah yang serius, "Dia dah banyak menyumbang kepada negara kita. Dia dah membunuh Jeneral Xia An yang melarikan diri, dan juga pulang dengan Garison Beishuo. Dia layak mendapat ganjaran. "
Mata Chu Qiao berkilau semasa gadis ini menatap Yan Xun seolah-olah dia mahu mencari kelemahan dalam air muka pemuda itu namun lelaki itu hanya terduduk di bahagian tepi bilik, sama sekali tidak beremosi, langsung tidak kisah.
"Saya nak bunuh dia," Kata Chu Qiao perlahan. Suaranya kedengaran sangat tenang, namun keinginan membunuh wanita itu kelihatan sungguh dahsyat terlayar di anak matanya.
Kening Yan Xun diraih sedikit sebelum dia memerhatikan Chu Qiao dengan sangat senyap tanpa sekali pun menjawab sementara suasana bertukar menjadi lebih tegang dan berat, bunyi angin yang bertiup melintasi khemah-khemah pula kedengaran sayup-sayup.
"Saya dah laporkan hal itu kepada awak, jadi saya minta diri dulu," Kata Chu Qiao dengan nada yang sunggu perlahan sebelum berpaling.
"Tunggu sekejap." Yan Xun cuba memfokuskan matanya, dan seolah-olah pemuda itu berasa tidak berpuas hati, dia memandang wajah Chu Qiao dengan muka yang masam, lantas memberi peringatan dengan senyap, "Sekarang ini, Cheng Yuan merupakan Jeneral untuk Garison Utusan Barat Daya. Sekiranya ada apa-apa yang berlaku kepada dia, Garison Utusan Barat Daya tak akan dilepaskan dari jenayah tidak melindungi komander mereka dengan baik."
Chu Qiao berpaling dan mengangkat alisnya. "Awak mengugut saya ke?"
"Saya cuma harap yang awak tak buat sesuatu yang salah saja."
"Dia dah bunuh Xue Zhiyuan dan ahli tentara Garison Utusan Barat Daya. Dia hampir membunuh saya. Kalau bukan kerana dia, perang Yan Bei ini pasti tak akan mengalami kerugian besar seperti itu. Dia itu hina, kejam, dan pengecut yang hanya tahu mengampu kepada mereka-mereka yang berkuasa. Awak nak lindungi orang macamitu?"
Ekspresi Yan Xun masih tidak berubah semasa pemuda itu merenung wajah Chu Qiao yang sedang meradang, lantas pemuda itu engan tenangnya menyatakan, "Ada ramai sangat orang di Yan Bei ini yang tak takutkan kematian, atau tunduk kepada kuasa. Saya tidak rasa kualiti itu patut dipuji. "
Chu Qiao membalas, "Jadi sikap tidak bersyukur dan pengecut itu sesuatu yang patut dipuji?"
"Seseorang itu mesti kena ada keinginan dan ketakutan mereka sendiri supaya mereka lebih mudah dikawal. Ah Chu, saya harap awak dapat bertenang dan berfikir dengan lebih mendalam."
Chu Qiao merenung Yan Xun sementara adegan di mana para tentera telah mati di bawah tembok bandar Beishuo bersama dengan kematian Xue Zhiyuan tiba-tiba dimainkan semua di dalam fikirannya, lantas wanita muda ini berasa darahnya mendidih sementara pandangannya pula berubah tajam seperti sebilah pedang. Dengan tegasnya dia bertanya, "Kalau saya berkeras untuk membunuh dia, apa yang awak akan lakukan kepada saya? "