Akhirnya, sebuah keluhan ringan terlepas dari mulut lelaki itu yang menyebabkan tubuh gadis itu menggeletar pada waktu itu kerana dia mengganggap dia sudah berjaya memenangi hati raja tersebut. Namun di saat seterusnya, pemuda itu menyambung kata-katanya dalam suara dingin membeku, "Teruskan dengan hukuman bunuh!" Para pegawai kerajaan terus menghunus pedang mereka dengan selibasan yang diikuti dengan bunyi dentuman samar-samar yang dapat didengari oleh khalayak ramai. Seluruh proses hukuman bunuh itu berlaku dengan sangat pantas sehingga tiada sesiapa yang sempat merintih kesakitan sebelum mereka menghembus nafas terakhir mereka sementara darah memercik ke udara dan lantas mengejikan tanah bersalji yang putih suci dengan warna merah gelap.
Kesunyian terus melanda seluruh kawasan tersebut manakala darah Chu Qiao yang sedang berdiri menyaksikan babak tersebut bagaikan membeku sementara seluruh sendi-sendinya diisi dengan ais batu. Wanita itu seterusnya mengambil segenggaman salji di tangannya dan mendapati yang emping-emping salji tersebut sesejuk hatinya, langsung tidak berhaba.
"Komander He Xiao tidak cekap dalam mendisiplinkan orang-orang bawahannya dan telah memimpin rakan-rakan seperjuangannya untuk mengabaikan undang-undang ketenteraan. Bawa mereka ke sini dan beri setiap seorang daripada mereka lapan puluh sebatan. Selepas itu, mereka akan berada di dalam perintah berkurung di bawah pimpinan Pasukan Tentera Pertama." Suara tenang Yan Xun bergema di seluruh kawasan terbuka tersebut dan tiada seorang pun daripada rakyat jelata yang berbuat sebarang bunyi, hanya menuruti sahaja perintah pemuda tersebut sambil kasut but mereka berciut-ciut ketika mereka bergerak dalam salji itu.
"Ketua Jeneral." Suara He Xiao yang kedengaran sungguh tenang bergema dari belakang Chu Qiao sementara pemuda itu hampir melutut, namun suaranya itu amat jelas berbaur dengan perasaan sedih yang membuak-buak. Pemuda itu memberitahu Chu Qiao, "Kami dah jatuhkan air muka Cik Puan. Tolonglah, Cik Puan, tolonglah jaga diri."
Khalayak ramai mula beredar daripada kawasan tersebut, manakala Chu Qiao yang sedang berlutut di atas tanah itu mula berasa lenguh di dalam angin yang kencang ini namun, gadis ini masih mengekalkan posisinya, melutut sementara emping-emping salji mendarat di sekelilingnya sekaligus membentuk sebuah lapisan yang tebal. Sepasang kasut but berbulu putih itu semakin mendekatinya sebelum Yan Xun menghulurkan tangannya untuk menampung bahu gadis ini, membuatkan Chu Qiao yang terperanjat untuk tersandung ke belakang seolah-olah dia baru sahaja dilecurkan dek api yang membara kepanasan.
Para pengawal peribadi milik kedua-dua pasangannya ini berdiri dalam jarak yang jauh sementara membelakangi mereka. Yan Xun berdiri di hadapan Chu Qiao tanpa mengujarkan sepatah kata, hanya tercegat sahaja dalam posisinya yang ingin menampung wanita ini sementara tangannya dihulurkan janggal. "Ah Chu." Yan Xun memanggil namanya dengan ringan tetapi Chu Qiao bagaikan telah menjadi pekak kerana dia langsung tidak menghiraukan Yan Xun, beredar sebaik sahaja melonjak ke atas kudanya.
Hari ini merupakan hari yang sangat sejuk dan Chu Qiao tiba-tiba terkenangkan bagaimana dia boleh beranggapan yang Yan Bei ini lebih hangat daripada Empayar Tang, namun kini barulah dia tersedar yang Yan Bei ini merupakan sebuah negara yang sungguh sejuk sehingga darahnya mampu terbeku seakan-akan wanita ini telah terjatuh ke dalam jurang yang penuh berais. Pada malam itu, kesihatan Chu Qiao telah menjadi lebih teruk, dia terjatuh daripada kudanya sebelum meninggalkan tapak perkhemahan para tentera itu dan setelah dia dihantar balik ke kediaman yang didudukinya, Lü Liu berasa sungguh khuatir sehingga dia menangis tanpa henti sambil memanggil-manggil nama Chu Qiao sementara mengawal kamar tidur wanita itu dengan setia. Chu Qiao yang berasa pening-pening lalat membuka matanya untuk menenangkan hati Lü Liu, ingin mengatakan yang tahap kesihatannya bakal memulih dan juga dia mempunyai terlalu banyak perkara untuk diselesaikan, walau bagaimanapun, tiada suara yang terkeluar daripada mulut Chu Qia ketika dia membukanya. Pembantu kediaman tersebut masih lagi berada di sisinya ketika wanita muda ini terjaga daripada tidurnya dan Lü Liu diselubungi dengan penuh kegembiraan di saat dia melihat kelopak mata Chu Qiao terbuka sehingga dia mengeluarkan tangisan kegembiraan. Setelah Chu Qiao menelan segala ubatnya, Lü Liu telah melaporkan Yan Xun telah menziarahinya lama dulu dan telah berdiri di hadapan pintu Chu Qiao selama hampir 14 jam.
"Di luar itu masih bersalji," Lü Liu melaporkan kepada Chu Qiao sambil menjeling-jeling ke arah wanita muda itu untuk melihat reaksi Cik Puannya yang sedang terbaring di atas katil, ditemani oleh fikiran yang berkecamuk dengan terlalu banyak hal. Segala cebisan memori mengenai kejadian-kejadian selama lapan tahun yang lalu terlayar di dalam mindanya bagaikan sebuah sungai yang sedang mengalir deras, lantas wanita muda ini memahami segalanya namun dia langsung tidak menyimpan perasaan dendam mahupun kemarahan, hanya perasaan kecewa sahaja yang menebal di dalam dirinya.
Para tentera Garison Utusan Barat Daya telah menunjukkan kesetiaan mereka di Bandar Zhen Huang, di wilayah Barat laut, di tembok bandar Chidu dan juga di medan perang Beishou. Para anggotanya termasuklah si kacak dan muda Feng Ting, si tenang dan matang Mu Rong, si bijak dan pandai Wu Danyu, si wajar dan degil Wen Yang dan juga yang lain-lain. Semua pemuda ini bukanlah malaikat mahupun dewa, namun mereka merupakan para pahlawan yang telah menggunakan tubuh badan mereka sebagai senjata dan juga perisai untuk melindungi rakyat jelata. Benar, mereka telah melakukan kesilapan dengan para anggota pasukan mereka sebelum ini yang telah mengkhianati Yan Bei, melakukan sebuah jenayah yang tidak dapat dimaafkan, namun mereka telah memberikan seluruh jiwa dan raga mereka kepada Chu Qiao di saat mereka memutuskan untuk menjadikan wanita itu sebagai ketua jeneral mereka. Yan Xun sememangnya benar. Mereka tidak berasa setia kepada pemuda itu, namun kepada Chu Qiao sendiri, tetapi wanita ini langsung tidak mempunyai sebarang keupayaan untuk melindungi mereka, malah wanita ini telah mempergunakan harapan garison ini terhadap diri mereka sendiri. Chu Qiao telah berjanji yang dia akan memastikan segala kesilapan lalu garison ini akan diampunkan, dia pernah berlaung di atas tembok bandar Chu Qiao yang selagi mereka bertempur dengan penuh berani untuk menghalang pasukan tentera Xia daripada terus mara, mereka akan menjadi para pahlawan Yan Bei, yang bermakna nama mereka akan terukir di arkib pencapaian ketenteraan Yan Bei! Kerana itulah para tentera dari Garison Utusan Barat Daya ini mengikuti wanita itu untuk melindungi negara Yan Bei yang telah mengusir mereka dengan hina dan berjaya menghalang angkatan tentera yang beberapa kali ganda lebih besar daripada mereka. Namun, tugu wanita inilah yang telah dibina di dewan kemasyhuran sementara mereka dibunuh oleh sekufu mereka sendiri.
Apakah yang telah dilakukan wanita ini? Apakah yang telah diraih wanita ini dengan mengorbankan nyawa-nyawa yang mempercayainya?
Chu Qiao dapat merasakan setitisan darah di kerongkongnya bagaikan dadanya telah ditimpa batu tarbil. Para tentera miliknya sedang dikorbankan di belakangnya, namun wanita ini langsung tidak mempunyai keberanian untuk merenung mereka kembali dan hanya dapat melihat selopak yang berwarna mereka sahaja dia belakangnya di saat wanita itu beredar.
"Cik Puan! Cik Puan!" Lü Liu memaksa Chu Qiao membuka tangannya, hanya untuk melihat tapak tangan gadis ini telahpun berdarah. Barisan kukunya telah menusuk ke dalam tapak tangan akibat wanita ini yang telah menggenggam tangannya dengan sungguh kuat.
"Tolong keluar sekejap. Saya nak berehat berseorangan buat sementara waktu ini," Sebuah suara yang lemah, namun serak berbunyi.
Lü Liu teragak-agak buat beberapa saat sebelum menuruti kata-kata Chu Qiao dan beredar dari bilik tersebut yang lantas membuatkan kesunyian menyelubungi setiap inci bilik sambil ditemani bulan yang sedang tergantung di langit dan juga angin yang semakin kencang. Wanita ini sedar yang pemuda itu masih lagi berada di luar dan selagi wanita ini tidak bergerak keluar, pemuda itu pasti akan berada di situ disebabkan kedegilannya. Semasa mereka masih kecil, dia telah mempelajari cara untuk menggunakan pisau belati dan juga pergerakan-pergerakan rumit daripada Chu Qiao dan ia semuanya dapat dipelajari dalam masa sebulan sahaja kerana pemuda itu telah berlatih pada siang hari dan malam tanpa berhenti walaupun tangan dan kakinya telah melepuh. Wanita ini masih lagi dapat membayangkan bagaimana pemuda itu berdiri di belakang tiang latihan di halaman kediaman untuk berlatih setiap pergerakan yang telah dipelajarinya sementara anak matanya membara-bara bagaikan seekor harimau. Chu Qiao beranggapan yang dia telah memahami pemuda itu setelah bertahun-tahun bersama namun kini gadis ini mula berasa sangsi jika dia akan benar-benar mengenali pemuda tersebut kerana terlalu banyak perkara yang sedang bermain-main di dalam hatinya. Chu Qiao membekukan renungannya dan lantas kesungguhan tiba-tiba terlayar di matanya sebelum wanita ini menuruni katil dan mengambil dua helaan nafas yang panjang. Dia yang hanya sedang memakai pakaian tidurnya itu terus berlari ke arah pintu dan terus terbenam ke dalam dakapan eratnya, membuatkan Yan Xun yang langsung tidak menyangka Chu Qiao akan keluar daripada biliknya itu terpana, hanya membalas pelukan tersebut dengan lebih erat setelah merasakan lengan wanita itu melilit pada pinganggnya.
"Ah Chu! Saya dah buat awak sedih." Dia mengeluh.
Chu Qiao meromok pada dadanya dan hanya memeluk pemuda itu tanpa membalas. Yan Xun menjelaskan dengan nada yang rendah. "Saya bukannya berasa sangsi kepada awak, ataupun membenci Garison Utusan Barat Daya. Tapi, anggota mereka sekarang ini hanyalah seramai 2,000 orang dan dengan kerahan tenaga yang sedikit itu, saya tak ada pilihan lain daripada membubarkan pasukan itu. Tapi, mereka itu tak berdisiplin dan dah menyerang tapak perkhemahan Pasukan Tentera Pertama. Kalau saya tak hukum mereka, saya pasti akan ada masalah lain pada masa depan."
Chu Qiao berkabung. "Saya faham. Saya betul-betul faham. Yan Xun, saya dah susahkan awak."
Yan Xun meraih wajah Chu Qiao dan merenung ke dalam matanya dan berkata lembut, "Tak mengapa. Saya risau yang saya dah buat awak sedih. Selagi awak masih sudi nak berjumpa dengan saya, saya boleh berehat dengan tenang."
Chu Qiao mengetap bibirnya dengan mata yang sudah mula memerah, berkata, "Mereka dah berkali-kali selamatkan nyawa saya, saya benar-benar terhutang budi kepada mereka. Yan Xun, saya tak boleh tengok perkara itu terjadi kepada mereka."
Yan Xun berkerut sebelum berkata, langsung tidak berdaya, "Baiklah, saya akan lepaskan He Xiao. Tapi kalau mereka lakukan apa-apa kesalahan lagi, saya tak boleh nak maafkan."
Chu Qiao mengangguk. "Yan Xun, terima kasih."
Cahaya bulan cerah menerangi langit sementara angin bertiup kencang mendayu-dayu ke arah kedua pasangan ini yang sedang berada di dalam dakapan, namun jarak yang besar yang dapat dirasakan terpancar daripada mereka ini juga.
Chu Qiao juga pulang ke bilik tidurnya selepas Yan Xun beredar, raut wajahnya kosong apabila wanita itu menutup pintu bilik sebelum menghempaskan punggungnya di atas katil sementara memegang rangka kepala katil.
'Kerahan tenaga tak cukup? Bubarkan pasukan? Rampas bendera mereka? Tak berdisiplin? Yan Xun, sanggup awak cakap perkara-perkara itu kepada saya?'
Pembubaran sesebuah pasukan itu dikira sebagai sebuah penghinaan terbesar bagi seseorang tentera. Bendera pasukan itu dikira sebagai sesuatu yang dikawal ketat sehingga ke titisan darah tentera terakhir bagi seseorang tentera kerana selagi bendera tersebut masih megah berkibar, maka pasukan tentera itu masih lagi berjuang dan hidup. Apatah lagi apabila pengambilan tentera baharu itu sesuatu perkara yang sangat mudah untuk dilakukan. Wen Yang dan juga 30 orang bawahannya itu semua pegawai pentadbiran ketenteraan sahaja jadi mungkinkah mereka menyerang tapak perkhemahan Pasukan Tentera Pertama yang mempunyai lebih daripada 300,000 orang tentera, merampas bendera mereka dan melarikan diri daripada bandar tersebut? Mengapakah He Xiao dan yang lain-lain tidak dilarang daripada memasuki tapak hukuman bunuh sewaktu para tentera daripada Garison Utusan Barat Daya itu menjalankan hukuman mereka supaya dapat menghalang pasukan tersebut daripada melakukan sebarang kekecohan? 'Kalau awak kata yang awak membencikan Garison Utusan Barat Daya sebab mereka dah mengkhianati Yan Bei dulu pun lebih baik daripada awak menipu saya sebegini.'
Setitisan air mata Chu Qia mengalir ke pipinya sementara dia bersandar pada kepala katilnya sambil diterangi dek cahaya bulan yang membuatkan seluruh bilik itu kelihatan putih kelabu sahaja. Terlalu banyak perkara yang sedang bermain-main di dalam mindanya, namun dia masih lagi tidak dapat mengenal pasti di mana silapnya yang telah menyebabkan dia kehilangan seluruh pasukannya itu. Pada masa ini, sebuah jed sejuk terjatuh daripada katilnya dan wanita itu yang mengangkatnya kembali menyedari ia merupakan batu bersurat panjang umur jed miliknya yang mungkin telah ditinggalkan sebentar tadi oleh Lü Liu. Lantas minda Chu Qiao mendapat sebuah konklusi setelah mengenangkan kembali bagaimana Feng Zhi dan Lü Liu yang telah memberikannya batu bersurat tersebut dan terus hatinya membeku bagaikan seseorang telah membenamkannya ke dalam tasik berais. Walau apapun, He Xiao dan yang lain-lain telah terselamat buat masa ini dan Chu Qiao tersenyum kelat, tidak pernah menyangka dia akan menggunakan rancangan sebegini sebelum ini, terus air matanya mengalir dengan deras di sebalik kegelapan tersebut.
'Yan Xun… Yan Xun… Apa yang dah terjadi pada awak?' Wanita ini tidak mampu menampung kekecewaannya lagi dan serta-merta wanita muda itu mula menangis teresak-esak. Malam itu sudah lewat benar apabila burung-burung berterbangan melintasi bumbung kediaman, bunyi telapuk kuda yang memijak-mijak lapisan demi lapisan ais yang telah membeku selama entah berapa ribu tahun lamanya sambil angin membeku bertiup lembut daripada kejauhan, sekaligus membuatkan suhu pada malam itu jatuh lagi. Angin utara ini bagaikan seekor serigala sunyi yang melolong tanpa henti pada siang hari mahupun malam. Chu Qiao yang sedang terduduk di atas kudanya itu merendahkan lehernya ke dalam pakaiannya sementara dia menjilat bibirnya yang kekeringan, mengekori cahaya di hadapannya dengan perlahan tanpa mendekati mereka.
Setelah beberapa lama berlalu, kumpulan di hadapannya itu akhirnya berhenti dan Chu Qiao juga menuruni kudanya sebelum menggosok-gosok wajahnya yang telah kaku akibat angin beku yang mencucuk-cucuk, lantas meletakkan segala barangannya ke tanah, kemudian mencari segala kayu-kayu kering di sekelilingnya untuk memulakan unggun api.
Pada masa yang sama, asap juga berterbangan ke udara daripada unggun-unggun api milik pasukan tentera yang besar jauh di hadapan wanita itu. Ah Jing melangkah dengan kepala yang dipenuhi emping-emping salji dan lantas wajahnya bertukar marah apabila melihat seorang jeneral muda sedang berdiri di sisi Yan Xun sambil melaporkan sesuatu kepadanya.
Yan Xun lantas menoleh ke arah Ah Jing dengan bersahaja, langsung tidak boleh untuk meneka emosi pemuda ini namun dia tetap mendengar laporan jeneral muda itu dengan tekun sambil menganggukkan kepalanya kadangkala. Raut wajah Ah Jing yang sedang berdiri di pintu itu telah bertukar kemerahan sedikit. Pemuda ini lantas berdehem setelah seketika dan melaporkan dengan lantang, "Tuanku, hamba Tuanku ini ada perkara untuk dilaporkan."
Yan Xun yang seolah-olah baru sahaja tersedar dengan kehadiran Ah Jing terus meraih kepalanya dan menoleh ke arah pemuda itu dengan bersahaja sebelum berkata perlahan, "Pergi tunggu di luar."
Wajah Ah Jing bertambah kemerahan apabila dia merenung pemuda di sisi Yan Xun itu dengan penuh amarah, hanya untuk melihat yang pemuda itu sedang menunduk hormat, mempamerkan ketaatan yang tidak terhingga. Namun, apabila Ah Jing tiba sebentar tadi, pemuda itu tidak mengangkat bebola matanya pun, lantas membuatkan Ah Jing diselubungi dengan perasaan amarah yang tidak terhingga apabila dia menempik lantang sebelum menghentakkan kakinya beredar dari bilik tersebut.