Qiu Yi lantas naik berang dan menendang Wen Yang di mulut yang menyebabkan darah memercik ke semua arah dan bibirnya juga telah terbelah namun walaupun bibirnya berlumuran darah, dia terus menjerit. Qiu Yi bertambah mengamuk, "Bunuh dia! Cepat!"
"Bangsat! Aku akan bunuh kau!" Salah seorang askar berlumuran darah daripada Garison Utusan Barat Daya terus memecut dari tengah-tengah orang ramai ke arah Qiu Yi yang membuatkan pemuda itu terkejut dan berpaling untuk melihat Yan Xun. Qiu Yi melihat raja tersebut kelihatan tenang saja, mengetuk tangan kanannya di atas meja namun masih senyap. Qiu Yi, melihat dia tidak bertindak balas, berasa gembira di dalam hatinya dan berkata, "Garison Utusan Barat Daya dah memberontak! Bunuh mereka semua!"
Para pengawal, yang hanya bertujuan untuk menyerang dengan sarung pedang mereka, terus menghunus bilah pedang mereka setelah mendengar perintah itu. Mereka meletakkan pedang mereka di leher para tentera pihak musuh dan salah seorang pegawai pertanda melangkah ke atas platform sambil memegang pedangnya sebelum bergerak ke arah Wen Yan dan bersedia untuk memberi sebuah tikaman maut kepadanya tanpa sebarang keraguan..
Para askar dari Pasukan Tentera Kedua yang sedang berdiri di luar perimeter terkejut besar, langsung tidak menjangkakan keadaan itu akan bertambah buruk sampai ke tahap ini. Ketika pedang Tentera Pertama yang kian sedia untuk meragut lebih banyak nyawa, suara wanita yang tajam bergema keluar dari pintu gerbang. "Berhenti!" Suaranya menembusi udara dan ribut, terus ke dalam hati orang ramai. Wanita itu bergegas atas kudanya sambil memakai jubah putihnya. Sebelum dia tiba di tempat kejadian, dia melompat dari belakang kuda dan menumbuk salah seorang askar dari Pasukan Tentera Pertama yang cuba menghalangnya. Dia berlari ke arah orang ramai dan menjerit, "Apa yang kamu lakukan?"
"Jeneral!"
"Itu Ketua Jenerallah!"
Suara para tentera Garison Utusan Barat Daya bergema secara serentak dengan harapan di mata mereka yang kembali berputik. Chu Qiao memisahkan beberapa askar yang terlibat dalam pergaduhan dan mengambil beberapa langkah besar ke arah He Xiao. Namun sebelum pemuda itu dapat membuka mulut, wanita muda itu telah menghunus cambuknya dan lantas menyebat belakang He Xiao sambil berteriak, "Ini ke cara kamu memimpin pasukan tentera kamu?"
Semua mata yang memandang He Xiao yang sudah bertukar kemerahan pada masa itu dengan perasaan terkejut. Para tentera di belakang pemuda itu langsung tidak berani bergerak, malah tentera dari Pasukan Tentera Pertama juga berasa terkejut. Chu Qiao terus marah, "Saya sudah memberitahu kamu semua untuk memelihara integriti tentera kita, penamaan unit kita dan bendera kita, tapi saya ada memberitahu kamu semua untuk menyerang askar dari Pasukan Tentera Pertama ke? Sekarang ini, kamu juga berani nak berperang di depan Tuanku. Apa yang kamu cuba lakukan? Kamu nak memberontak ke?" Akhirnya, Chu Qiao berpaling ke arah Yan Xun dan berkata, "Yang Mulia, semua yang berlaku ini disebabkan kesalahan saya, semua arahan ini datang dari saya, He Xiao dan yang lain hanya mengikut arahan. Saya tak berapa sihat beberapa hari ini dan dah abaikan tanggungjawab saya untuk memimpin mereka dan menyebabkan kesilapan besar ini. Saya bersedia untuk dihukum mengikut undang-undang tentera!"
Kemunculan Chu Qiao telah menyebabkan muka Yan Xun menjadi dingin semasa pemuda itu terduduk di atas kerusi ketua marshal di khemah Pusat Ketenteraaan dengan anak matanya yang mengecil sambil merenung wanita muda itu dengan teliti, namun masih tidak berkata apa-apa.
Qiu Yi mengerutkan kening sebelum melangkah ke hadapan dan berkata, "Kalau tak silap saya, Jeneral Chu, saya tak rasa Cik Puan ini Jeneral Garison Utusan Barat Daya secara langsung? Cik Puan ini salah seorang pakar strategi dari Jabatan Strategi Ketenteraan, bukannya komander untuk pasukan tentera barisan hadapan. Kenapa harus Garison Pengutus Barat Daya mematuhi arahan Cik Puan? "
Chu Qiao berpaling dan merenung Qiu Yi di matanya dengan penuh dingin. "Saya sedang bercakap dengan Tuanku. Kamu siapa untuk mencelah kata-kata saya?"
"Saya..."
"Ah Chu!" Yan Xun berkata dengan nada yang tegas. "Jangan buat masalah di sini. Pergi baliklah."
"Tuanku, Garison Utusan Barat Daya memang sukar untuk dikawal dalam tindakan mereka dan harus dihukum. Sayalah komander keseluruhan yang telah bertugas untuk mempertahankan Bandar Beishuo pada hari itu, sekaligus memimpin Pasukan Tentera Kedua dan Garison Utusan Barat Daya. Kesalahan mereka juga kesalahan saya, Tuanku, sila hukum saya kerana tak memimpin mereka dengan betul. Oleh kerana usaha mereka dalam mempertahankan Chidu dan Beishuo, tolong lepaskan mereka dari hukuman berat. Saya bersedia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kerugian yang disebabkan oleh Garison Utusan Barat Daya. " Chu Qiao berdiri di dataran yang luas dan menunduk hormat dengan formal sementara beribu-ribu pasang mata yang sedang tertumpu pada dirinya, namun wanita muda ini langsung tidak berasa sebarang emosi. Dalam sekelip mata, dia merenung ke arah Yan Xun dan mengerutkan kening, mukanya kelihatan serius.
Qiu Yi membalas dengan marah, "Garison Utusan Barat Daya? Unit kumpulan mereka telah dibatalkan tiga hari lalu. Bagaimana tentera Yan Bei dapat menerima pengkhianat ini?"
Para tentera Garison Pengutus Barat Daya semakin meradang semasa pemuda itu meneruskan kata-katanya. Lapan tahun yang lalu, mereka telah mengkhianati Yan Bei semasa pertempuran di Dataran Huolei dengan menyertai pihak lawan iaitu Empayar Xia dan menyebabkan Yan Shicheng kalah sepenuhnya. Beratus-ratus ribu tentera dari Yan Bei kehilangan nyawa mereka; darah mereka berlumuran di pintu bandar Beishuo. Gunung-gunung mayat masih lagi dijadikan sumber nutrien buat bunga Huoyun di dataran itu, menyebabkan mereka mekar dengan warna merah tahun demi tahun tanpa gagal. Lapan tahun kemudian, di ibu kota Zhen Huang, Garison Utusan Barat Daya telah memberontak lagi dan akhirnya kembali ke Yan Bei dengan membantu Putera Yan Bei, Yan Xun, melarikan diri dari Zhen Huang dan kembali ke tanah airnya. "Pemberontakan Zhen Huang" telah dizahirkan dari tangan mereka sahaja lantas membuatkan Garison Pengutus Barat Daya diiktiraf sebagai pengkhianat dan walaupun mereka merupakan sebuah pasukan yang kuat, namun mereka masih diusir dan ditolak oleh semua tentera di seluruh benua, nama baik mereka juga masih belum dibersihkan walaupun banyak nyawa yang telah berkorban untuk mempertahankan Yan Bei. Jadi, mana mungkin mereka tidak berasa marah dengan tuduhan Qiu Yi itu?
Chu Qiao berpaling dan mengangkat bulu keningnya, lantas menjawab dengan kemarahan dalam suaranya, "Tak masuk akallah! Tuanku dah berjanji secara peribadi yang Garison Utusan Barat Daya boleh kembali ke Yan Bei. Tuanku ini raja Yan Bei, seorang yang amat dipercayai. Dendam dulu sudah dibalas, tapi kamu masih panggil mereka pengkhianat. Kamu sedang cuba meremehkan kredibiliti Tuanku ke? Kamu mempunyai niat jahat di sebalik kata-kata kamu dan kamu kelihatan lebih seperti pengintip dari Xia! "
Qiu Yi sekaligus berasa marah dengan uratnya yang menonjol keluar dari kepalanya. "Cakap ayat itu sekali lagi!"
Chu Qiao terus mencemuh dengan sinis, "Bendera tentera itu satu simbol yang suci. Garison Utusan Barat Daya telah ditubuhkan oleh Raja pertama Yan secara peribadi beratus-ratus tahun yang lalu dan ada sejarah yang panjang. Bagaimana pula pasukan ini dapat dibubarkan macam itu saja? Komander He dah ikut Tuanku sejak dari pemberontakan di Zhen Huang lagi, membantu beliau untuk mengatasi pelbagai bencana yang tak terhitung jumlahnya dan juga semua pertempuran. He ini seorang tentera yang memang banyak berjasa dan patut dipuji. Tentera dia yang berjumlah 7,000 orang tentera itu dapat menewaskan pasukan tentera Xia yang berjumlah 200,000 orang di Bandar Chidu, manakala tenteranya yang seramai 2,000 di Beishuo itu boleh setanding kuatnya dengan 40,000 tentera biasa! Bagaimana pula pasukan tentera yang berkaliber seperti ini boleh dibatalkan dan benderanya boleh dimusnahkan? Tuanku mesti sibuk. Mesti kamu-kamu yang bodoh ini yang telah menyebabkan perselisihan dalam tentera Yan Bei. Kamu ini jahat dan tidak tahu malu! "
Qiu Yi mengamuk dan terus mengeluarkan pedangnya. "Awak dah buat tuduhan yang langsung tak berasas!"
He Xiao dan yang lain segera bergegas ke hadapan Chu Qiao untuk melindunginya. "Kamu berani mengambil satu lagi langkah ke hadapan?"
"Diam, kamu semua!" Yan Xun berdiri dengan perlahan, pemuda itu kelihatan kemas memakai pakaian seragam ketenteraan sambil jubah hitamnya tergantung di bahu semasa dia mengambil beberapa langkah kecil ke hadapan. Di mana dia melangkah, di situlah orang ramai akan memberi laluan kepadanya. Akhirnya, pemuda itu melangkah ke Chu Qiao dan merenung dahi dan wajahnya yang bersih, sebelum berkata, "Siapa yang suruh awak untuk datang ke sini?"
Chu Qiao menggeleng kepalanya dan berkata, "Tiada siapa yang suruh. Saya datang ke sini atas kehendak sendiri."
"Pergi balik ke rumah. Perkara ini tak melibatkan awak."
"Isu-isu Yan Bei juga isu-isu saya. Saya seorang anggota tentera dan saya pernah menjadi jeneral Garison Utusan Barat Daya. Saya harus bertanggungjawab atas kesilapan tentera saya. "
Yan Xun berkerut perlahan, raut mukanya jelas menampakan rasa tidak senangnya, lalu menjawab dengan suara yang rendah, "Ah Chu, awak tahu apa yang awak sedang lakukan?"
Chu Qiao menundukkan kepalanya dan membalas, "Saya sedar sepenuhnya."
"Awak nak menentang saya?"
"Tuanku ini garang sangatlah, saya hanya mengakui kesilapan saya sendiri saja."
Orang ramai berkumpul di sekeliling kawasan tersebut dengan kebanyakan daripada para askar dari Pasukan Tentera Pertama dan Kedua yang telah hadir, mereka semua sedang menahan nafas dengan penuh harapan, merenung ke arah lelaki dan wanita di tengah-tengah dataran itu sambil diiringi oleh salji yang mewarnai landskap dengan warna putih pucat. Yan Xun merenung Chu Qiao dengan dingin, kemarahan dan kekecewaan terdetik di hatinya dan setelah beberapa lama, dia berpaling dan mengambil langkah besar ke arah khemah besar. Ketika dia berjalan, dia telah memerintahkan, "Ketua Jeneral Chu akan dilucutkan dari segala gelarannya disebabkan penyakitnya dan bukan lagi ketua marshal Bandar Beishuo. Kesalahan Garison Utusan Barat Daya langsung tidak ada hubungan dengan Jeneral Chu. Laksanakan hukuman!"
"Tuanku!" Chu Qiao mendongak dan berseru dengan kuat sambil merenung pemuda itu dengan matanya yang terbuka luas.
"Jeneral, Jeneral tak perlu membazirkan usaha Jeneral atas kami. Sila balik ke kediaman Cik Puan!" Wen Yang menjerit dengan degil, mulutnya dilumuri darah.
Para tentera lain mengekalkan posisi badan mereka yang tegak sebelum menjerit dengan tragis, "Jeneral! Tolong balik!"
Chu Qiao mengabaikan permintaan mereka dan mengambil beberapa langkah ke hadapan namun dia telah dihalang oleh para pengawal. Wanita muda ini lantas terpana apabila mendapat reaksi sebegitu dan berkata cemas, "Tuanku, walaupun Garison Utusan Barat Daya dah membuat kesalahan, tapi mereka tak sepatutnya terima hukuman bunuh. Mereka taat pada Tuanku semenjak dari pemberontakan di Zhen Huang lagi. Semua orang boleh menjadi saksi kepada pemberontakan itu!"
Yan Xun sedang membelangkanginya dan setelah mendengar kata-kata Chu Qiao itu, pemuda tersebut terus berpaling perlahan dan berbisik kepadanya dengan rasa tidak puas hati, "Ah Chu boleh menjadi hakim saya. Kesetiaan mereka itu benar-benar terletak pada saya ke?"
Pada masa itu, Chu Qiao berasa sungguh tergamam, berasa bagaikan sebuah batang kayu yang besar telah dihancurkan di atas kepalanya, lantas wanita itu mengerutkan dahinya sebelum merenung Yan Xun dengan ketidakpercayaan. Dia mahu mengatakan sesuatu, namun tekaknya terasa bagaikan telah disekat. Angin yang bertiup itu terasa sungguh dingin sehingga terasa perit apabila ia menghembus ke wajahnya namun, dia langsung tidak mampu berasa apa-apa selain dari jantungnya yang telah bertukar sejuk dan kaku apabila ia terjatuh ke dasar salji.
Suasana senyap telah menguasai seluruh kawasan dengan salji yang terus menyelaputi permukaan bumi. Selepas sekian lama, Chu Qiao berlutut di atas tanah dengan matanya dan muka perit yang telah berubah menjadi merah. Dengan suara yang rendah, dia berkata, "Tuanku, saya bersumpah dengan nyawa saya sendiri yang Garison Utusan Barat Daya sepenuhnya taat kepada Tuanku. Kalau apa yang saya katakan ini tak benar, saya bersedia ditembak mati dengan mata anak panah. "
"Oh?" Yan Xun berkata. "Awak sanggup bersumpah dengan nyawa awak sendiri?"
"Saya sanggup."
"Selain daripada awak, siapa lagi yang mempercayai mereka?"
Chu Qiao berpaling dan mengimbas persekitarannya namun para komander dari Pasukan Tentera Pertama hanya tercegat sahaja di sana tanpa sebarang emosi di wajah mereka, akan tetapi perihal ini langsung tidak mengejutkan kerana mereka sememangnya setia pada Yan Xun dan juga memang dipercayai raja Yan Bei itu. Namun, apabila Chu Qiao memandang ke arah Pasukan Tentera Kedua, iaitu para askar yang bertempur di sisi Garison Utusan Barat Daya, mereka tiba-tiba menjadi ragu-ragu dan malu-malu lantas mereka menurunkan kepala mereka, tidak berani untuk melihat wanita muda itu di matanya. Mereka jelas terlupa siapa yang telah menyelamatkan nyawa mereka ketika mereka sedang terdesak. Pasukan Tentera Kedua, pasukan tentera tempatan, pasukan kerahan, pelbagai pemimpin pasukan dari puak-puak lain, bahkan penolong peribadi Cao Mengtong... 20,000 orang ini telah berjuang bersama Garison Utusan Barat Daya. Mereka telah mengikuti Chu Qiao dan membunuh Zhao Qi, malah telah menangkis serangan yang tak terhitung jumlahnya oleh Zhao Yang. Walau bagaimanapun, pada masa ini, mereka bertindak seolah-olah mereka tidak mengenalinya sepanjang masa ini. Mereka berdiri jauh, tanpa emosi di wajah mereka.
Chu Qiao telah kehilangan segala harapannya pada saat itu sementara angin sejuk meniup menimpa badannya yang lemah dan tanah bersalji kelihatan putih. Wanita muda itu merenung ke arah Yan Xun, pemuda yang telah bersamanya selama lapan tahun ini. Dia pun berkata sepatah demi sepatah, "Saya memilih untuk mempercayai mereka, saya bersumpah di atas kesetiaan saya kepada Tuanku." Menamatkan kata-katanya, badannya membengkok dan lantas dahinya mendarat di atas tanah bersalji, angin mengibarkan jubahnya dan badannya yang kecil dan lemah semakin ketara.
"Jeneral!" Para tentera berteriak dari atas pentas. Mereka tidak takut mati, tetapi pada ketika ini, emosi yang lebih serius melonjak dari dalam hati mereka. Suara mereka bergema dengan kuat secara serentak, "Jeneral, bangun! Kita bertanggungjawab atas kesilapan kita sendiri, kita bersedia menerima kematian!"
Chu Qiao tidak bergerak, masih bersujud di atas tanah. Bunyi di latar belakang menjadi kurang jelas kerana ribut menjadi kuat. Orang ramai berteriakan lantas berbuat banyak bunyi yang bergema dari semua arah. Walau bagaimanapun, Chu Qiao tidak mendengar apa-apa, memilih untuk menunggu suara di atas kepalanya untuk berbunyi.