Chapter 175 - Bab 175

 "Tuan Puteri, tolong jaga diri. Serahkan segalanya kepada saya." Setelah menghabiskan kata-katanya, Xuan Mo berpaling untuk beredar. Kelibatnya kelihatan sepi di bawah cahaya bulan yang samar-samar.

Sebaik sahaja Nalan Hongye kembali ke istana, dia terdengar tangisan bayi yang kuat dan melihat seorang pengasuh yang sedang mengendong Qing'er untuk menenangkannya. Namun anak kecil itu terus menangis sehingga wajahnya berubah kemerahan. Anak kecil itu telah kehilangan kedua orang ayahanda dan bondanya dalam masa selang dua hari sahaja, ditambah pula apabila ibunya telah dibunuh oleh ibu saudaranya sendiri. Adakah anak kecil itu akan membesar dengan membencinya setelah dia mengetahui tentang segala perkara yang telah berlaku?

Nalan Hongye terduduk di bawah tingkap sambil berfikir panjang. Bulan kelihatan terang seperti sebuah kepingan batu jed, memancarkan cahayanya pada tanah lantas meneranginya.

Mak Cik Yun sedang mengendong Qing'er sambil tertawa dan berkata perlahan-lahan, "Tuan Puteri, Tuanku Maharaja tersenyum."

Nalan Hongye lantas mengambil anak itu daripada dukungan Mak Cik Yun. Bayi itu memandangnya dengan anak mata hitam lalu tersenyum riang dan terus segala kekecewaan yang telah terbit di dalam hatinya hilang pada waktu itu juga. Dia menatap sepasang mata yang biasa dilihatnya itu dan sekaligus mengingati adiknya sendiri. Sewaktu adiknya itu masih hidup, perasaan bencinya terhadap adiknya itu sungguh menebal disebabkan nasib yang telah menimpa mereka berdua. Adiknya itu seorang lelaki namun akalnya tidak begitu panjang, sekaligus tidak berupaya untuk menempuhi segala kesusahan dan mengendalikan hal ehwal negara, menjejaskan segala usaha keras Empayar Song selama ratusan tahun itu. Manakala bagi dirinya pula, dia seorang yang berbakat namun dia seorang wanita, jadi segala keberanian yang telah ditonjolkan selama bertahun-tahun ini hanya telah dianggap sebagai seseorang yang tergila-gilakan kuasa sahaja. Walau bagaimanapun hanya selepas adiknya itu mangkat sahaja barulah Nalan Hongye tersedar yang mereka adalah satu dan telah ditakdirkan untuk mengharungi segala suka dan duka bersama. Hanya dengan kehadiran adiknya sahajalah dia dapat menstabilkan Empayar Song sementara memelihara keturunan Keluarga Maharaja Nalan. Nasib baiklah dia masih mempunyai Qing'er.

Wanita muda ini melihat ke arah budak kecil yang sedang dibaluti kain itu dengan mata yang bergelinangan. Nasib baiklah anak kecil ini masih hidup. Merekalah satu-satunya darah daging Keluarga Nalan yang masih tinggal di dunia ini.

"Tuan Puteri, tengoklah Tuanku Maharaja ini. Comelnya dia!" Mak Cik Yun membelai pipi maharaja kecil itu sambil ketawa. Qing'er nampak gembira sambil melambai tangan kecil yang putih dan montel miliknya dan tertawa sebelum memandang Nalan Hongye dengan anak mata hitamnya seolah-olah memahami buah fikiran wanita itu.

Smash! Nalan Hongye dan Mak Cik Yun terkejut lalu berpaling setelah melihat seorang pembantu istana memecahkan sebuah teko.

Mak Cik Yun mula naik berang, "Tak guna betul! Kamu dah takutkan Tuanku Maharaja dan Tuan Puteri! Nahaslah kamu!"

Nalan Hongye berkerut sedikit lalu menepuk bedung Qing'er kerana takut anak kecil itu terkejut tetapi raut wajahnya tidak berubah. Anak kecil itu masih tertawa, seolah-olah dia tidak takut.

Mak Cik Yun tersenyum dan berkata, "Tuan Puteri, tengoklah betapa beraninya Tuanku Maharaja ini. Bila dia besar nanti, dia pasti akan menjadi seorang maharaja yang bijak dan berani."

Nalan Hongye tersenyum kecil. Walau bagaimanapun, pada saat itu, dia membeku dan mukanya mula berubah pucat.

Mak Cik Yun menjadi bingung. "Kenapa, Tuanku?"

Tangan dan kaki Nalan Hongye mula menjadi kaku, lantas dia cuba untuk memujuk dirinya dalam hati setelah menyerahkan bayi itu kepada Mak Cik Yun dan berdiri di sisi sambil menepuk kuat tangannya.

Smack! Sebuah bunyi yang lantas bergema di sebelah telinga bayi itu, namun dia bagaikan langsung tidak mendengar apa-apa, mengulurkan tangan kecilnya yang montel untuk menggenggam butang baju Mak Cik Yun.

Nalan Hongye kini menjadi semakin terdesak dan serta-merta dia menepuk tangannya untuk beberapa kali lagi sebelum matanya bertukar merah. Sewaktu dia menepuk tangan, dia berkata, "Qing'er! Qing'er! Lihat di sini! Mak cik ada di sini!"

Walau bagaimanapun, budak lelaki itu langsung tidak menoleh, hanya menguap dan bersandar pada Mak cik Yun sebelum kembali melelapkan matanya.

"Qing'er, jangan tidur! Qing'er, mak cik ada di sini!"

"Tuanku!" Air mata Mak Cik Yun kini sudah merembes ke pipi, dia berlutut di atas tanah dan merayu, "Jangan panggil dia lagi. Jangan panggil lagi."

Nalan Hongye terus berasa cemas dan lantas dia meraih bahu Mak Cik Yun dan menjerit, "Apa yang berlaku? Apa yang sedang berlaku sekarang ini?"

Mak Cik Yun sudah menangis teresak-esak, kemudian dia menjawab, "Semasa anak kecil ini dibawa balik ke sini, saya baru tersedar. Saya panggil doktor dari istana maharani dan hanya berjaya mendapatkan jawapan daripadanya selepas membelasahnya. Maharani dah mengetahui tentang hal ini tetapi dia merahsiakannya. Dia takut sekiranya dia mendedahkan hal ini, anak kecil ini tiak akan dapat menjadi Putera Mahkota. Selama ini mereka cuba untuk merawat dia, tapi langsung tak berhasil. Penyakit ini memang penyakit keturunan."

Pada masa itu, Nalan Hongye merasakan seluruh dunianya sedang berputar. Qing'er seorang yang pekak. Qing'er pekak! Berita itu sememangnya telah memusnahkannya, kesedihan yang terdapat dalam hatinya setelah sekian lama terus meletus bak banjir kilat besar. Dia terasa sesuatu yang manis dalam kerongkongnya sebaik sahaja dia memuntahkan darah pada pakaiannya!

"Tuanku! Tuan Puteri!" Mak Cik Yun terperanjat lantas meletakkan maharaja di atas tanah dan pergi menampung berat Nalan Hongye.

Qing'er lantas membuka matanya dan melihat keadaan sekeliling dengan penuh curiga setelah diletakkan di bawah secara tiba-tiba, mula menangis dengan kuat. Pembantu istana segera memasuki kediaman tersebut dalam barisan yang kemas, menyebabkan rumah itu bertukar menjadi kecoh. Mak Cik Yun berteriak, "Panggil doktor! Panggil doktor cepat!"

Nalan Hongye berasa terpana, lantas mengulangi ungkapan yang sama dalam fikirannya: Bagaimana tanamannya, begitulah tuaiannya.

Ya, dia telah membunuh Cui Wanru, tetapi maharani ini telah meninggalkan sebuah bencana besar kepadanya. Sekiranya dia tahu, dia pasti tidak menghiraukan bantahan Hongyu dan hakikat tahap kecerdasan adiknya yang sebenar akan didedahkan. Dia akan mengatur supaya adiknya itu mendapatkan lebih banyak gundik dan melahirkan lebih ramai anak. Walau bagaimanapun... semuanya sudah terlambat.

Air matanya mula mengalir di pipi tanpa henti. Dia menangis teresak-esak sambil berkata, "Ayahanda, Ayahanda, saya patut mati saja!"

Nalan Hongye terjaga beberapa kali disebabkan orang-orang yang berada di sisinya, tetapi matanya masih lagi terpejam. Dalam tempoh lima tahun, inilah kali pertama dia berpura-pura dan berharap dia boleh meneruskan tidurnya tanpa mempedulikan segala perkara yang sedang berlaku di sekelilingnya. Persekitarannya mula tenang, namun sebuah kelibat masih berdiri di hadapannya setelah sekian lama.

Apabila dia membuka matanya, cahaya bulan bersinar melalui tingkap yang dihiasi dengan bunga sehingga ke meja belajar yang diiringi dengan alunan lagu dari tokong yang mendayu-dayu ke telinganya bersama angin dingin kencang yang bertiup melalui tembok tinggi istana. Ia merupakan sebentuk peringatan buat wanita ini tentang kegelutannya sekarang.

"Saya telah menyembunyikan kenyataan yang maharaja pekak. Selain daripada orang-orang di dalam istana ini, tiada sesiapa lagi yang mengetahuinya," Xuan Mo berdiri di hadapan katil Nalan Hongye dan berbisik dengan lembut. Suaranya kedengaran begitu menenangkan seperti angin yang bertiup melewati seruling. Cahaya dari lilin bersinar pada wajahnya yang kelihatan tampan itu.

"Sebelum maharaja mencecah usia matangnya dan mengambil alih hal-ehwal empayar ini, kita masih ada lebih dari sepuluh tahun untuk membuat perancangan. Walaupun dia seorang yang pekak, sebaik sahaja dia berkahwin pada usia 15 tahun dan mempunyai anak, Empayar Song masih lagi mempunyai harapan. Tuan Puteri, Tuankulah tunjang Empayar Song ini. Tanpa Tuanku, maharaja tak akan dapat hidup. Kalau keluarga maharaja lesap, orang luar akan ambil kesempatan ini untuk merebut kuasa dan membahagikan empayar. Peperangan akan tercetus dan rakyat jelata tak akan dapat hidup dengan aman lagi. Usaha nenek moyang kita akan menjadi sia-sia sahaja. Tuanku seorang yang pintar dan bijaksana. Saya percaya yang Tuan Puteri tak akan berpeluk tubuh dan tengok Song runtuh begitu saja."

Nalan Hongye memerhatikan pemuda yang sudah membesar dengannya itu. Rasa sedih mula terdetik dalam hatinya semula. Ya, dia sedang berfikir tentang apa yang telah dikatakan oleh lelaki ini. Walau bagaimanapun, perjalanan ini akan menjadi sebuah pengembaraan yang sukar!

"Terima kasih, Xuan Mo." Sudah lama dia tidak memanggil namanya itu. Xuan Mo terpegun dan berasa terharu. Walau bagaimanapun, dia menjawab dengan rasa hormat, "Dah memang tugas saya, Tuanku."

Nalan Hongye terduduk dan lantas terbatuk kecil sebanyak dua kali. Wajahnya mula memucat. Dia tersenyum kecil dan berkata, "Awak dah lebih matang. Awak dah ada aura bapa awak."

Ayah Xuan Mo merupakan Raja Anling yang pernah berkhidmat sebagai jeneral di bawah keluarga Nalan. Dalam peperangan di sempadan selatan, dia telah menyelamatkan nyawa Nalan Lie dan telah dimasukkan ke dalam keluarga maharaja sebagai salah seorang keluarga Nalan disebabkan hal itu.

Xuan Mo tertunduk lalu menjawab, "Terima kasih atas pujian Tuan Puteri itu."

"Saya dengar Yushu hamil. Benar ke?"

Wajah Xuan Mo berubah terperanjat, lantas pemuda itu berkerut ketat. Selepas beberapa ketika barulah dia menjawab dengan suara yang rendah, "Ya."

Nalan tertawa. "Yushu itu seorang yang baik budi pekertinya dan juga cerdik. Awak harus jaga dia dengan baik."

Xuan Mo menjawab tanpa perasaan, "Saya perlu berterima kasih kepada Tuan Puteri atas kebaikan Tuan Puteri itu."

Istana tersebut terasa kosong walaupun alunan lagu yang datang dari tokong itu bertambah kuat disertai dengan bunyi teriakan daripada pegawai-pegawai. Mereka memandang ke arah satu sama lain tanpa mengetahui apa yang ingin dikatakan. Xuan Mo lantas mengeluarkan surat dari koceknya yang masih berada dalam keadaan yang baik sebelum menyerahkannya kepada Nalan Hongye tanpa sekalipun membukanya dan berkata, "Ada surat dari Yan Bei."

Anak mata Nalan Hongye terus bersinar terang dengan serta-merta dan merentap surat itu dengan tergesa-gesa. Xuan Mo mula berkerut dan renungannya kelihatan tegas, namun pemuda itu berundur separuh langkah dan berkata, "Saya minta diri dulu."

"Hm," Jawab Nalan Hongye acuh tak acuh. Walaupun dia tersenyum, nada suaranya kedengaran santai sahaja.

Cahaya yang menerangi bilik tersebut kelihatan samar-samar, hanya bayangan nipis sahaja yang kelihatan.

Apabila Mak Cik Yun memasuki bilik, Nalan Hongye sudah menjadi dirinya semula dan menelan segala ubatan yang telah disediakan selepas para doktor maharaja selesai merawatinya dan sejurus selepas itu, para pembantu istana pun meminta diri untuk beredar. Dia terduduk di hadapan mejanya dan mengusap surat itu berulang kali. Kesedihan di dalam hatinya terdetik kembali jadi dia tidak berani membuka surat itu untuk membacanya sambil suasana disaluti dengan kesenyapan sementara bilik itu diterangi cahaya lilin yang berkelipan bersama bau setanggi yang harum semerbak di udara.

Surat itu tertulis,

'Saudara Xuan Mo, peperangan di Yan Bei telah tamat. Saya baik-baik saja, jadi jangan risau. Terima kasih kepada saudara, isu mengenai rangsum telah pun diselesaikan dan tentera Xia sudah berjaya dihentikan. Walau bagaimanapun, pemenang bagi peperangan ini masih belum diketahui. Saya tidak mempunyai keyakinan penuh untuk menang. Saya nasihatkan awak supaya tidak terlalu berpihak kepada Yan Bei, kerana takut mereka menggunakan alasan ini untuk menyerang awak di dewan persidangan. Politik ini sangat berbahaya. Tolong berhati-hati. Sekiranya awak disakiti disebabkan saya, saya pasti tidak akan dapat memaafkan diri saya sampai mati.

Perkahwinan awak kebetulan berlaku pada hari yang sama di mana Pasukan Tentera Xia berundur. Kalau awak datang ke Yan Bei, saya pasti akan menyambut awak dengan tangan yang terbuka. Sudah sepuluh tahun kita tidak bertemu. Saya merindui awak.'

Air mata mula merembes pada wajah Nalan Hongye kembali dan ia telah menitik pada kertas putih itu, menandakan kesedihan yang telah dirasai di dalam hatinya selama ini. Dia sudah menanggung segala ini untuk jangka masa yang sangat lama, memendam perasaannya selama bertahun-tahun ini dan yang tinggal hanyalah perasaan lesu dan kedukaan yang terkumpul di dalam hatinya. Hal ehwal negara, urusan peribadinya... Pada masa ini, ditambah dengan kata-kata pemuda itu yang tertulis, 'Perkahwinan awak kebetulan berlaku pada hari yang sama di mana Pasukan Tentera Xia berundur…' Pandangannya mula menjadi kabur. Angin bertiup kencang di luar sama seperti perasaan yang dialaminya kini iaitu kesuraman. Dia menyediakan sebuah bekas dakwat bersama berus dan mula menulis pahit manis rasa hatinya. 'Saya dah merancang seluruh hidup saya, tetapi akhirnya saya tak dapat apa yang saya inginkan…'

Tulisannya telah menjadi seperti cakar ayam apabila dia menulis ayat-ayatnya yang terakhir, tiba-tiba menhentakkan kepalanya pada tangan di atas meja dan terus menangis dengan teresak-esak. Dengan itu, dia pun tertidur.

Mak Cik Yun hampir menangis apabila dia melangkah masuk ke dalam bilik. Tuan Puteri itu telah menguruskan empayar ini selama bertahun-tahun, tetapi inilah kali pertama wanita tua ini melihat tuan puteri bersedih pada tahap sebegini. Dia segera membantu wanita muda itu untuk berbaring di atas katil supaya dapat berehat dengan lebih selesa dan kemudian wanita tua itu berjalan kembali ke meja tadi. Setelah melihat surat itu selesai ditulis dan akan dihantar kepada Raja Yan Bei, Mak Cik Yun berasa tidak senang hati. Tanpa membaca kandungan surat itu, Mak Cik Yun terus memasukkannya ke dalam sampul surat lalu merekatnya dengan cecair lilin. Dia menyerahkan surat itu kepada seorang pembantu istana dan memerintahkannya, "Hantar surat ini ke kediaman Xuan dan beritahu dia supaya menghantar surat ini mengikut peraturan lama."

"Baiklah."

Dalam kegelapan malam yang disertai dengan hujan, seekor helang hitam dari kediaman Xuan telah terbang ke arah barat laut dengan kelajuan yang sangat dahsyat.

Feng Zhi sedang berdiri di sisi Yan Xun setelah dia menerima surat Nalan Hongye sehari sebelum mereka bertolak. Yan Xun mengerutkan dahinya untuk seketika sambil menatap surat itu, sebelum dia tertawa kuat dan berkata, "Dia ini tak cekap betul. Saya tak tahulah ayat wanita mana yang dia salin tetapi dia hantar ini kepada saya."