Chapter 176 - Bab 176

Feng Zhi yang turut membaca surat tersebut mengukir sebuah senyuman. "Tuanku, tulisan Tuan Xuan ini nampak macam cakar ayam saja. Saya rasa dia pasti mabuk."

Yan Xun menggeleng kepalanya. Dia benar-benar menghargai rakan seperjuangannya itu. Lagipun, mereka telah bersahabat selama sepuluh tahun lamanya. Dengan gembira dia berkata, "Semangat tinggi yang luar biasa!" Perasaan kebudak-budakannya tiba-tiba muncul di dalam hatinya setelah dia berkata sebegitu, lantas tertanya-tanya sama ada pemuda itu akan memarahinya jika melihat balasan seperti itu? Dengan berhati-hati dia membalas:

'Saya benar-benar tidak tahu yang awak tertarik dengan saya dan itu memang salah saya. Pada hari pengunduran Xia, saya akan menuju ke Song secara peribadi untuk meminta awak berkahwin dengan saya. Awak berani untuk jawab?'

Feng Zhi melepaskan ketawa terbahak-bahak, "Tuanku, bila Tuan Xuan tengok ini, sudah tentu dia akan marah."

"Kalau macam itu, biarlah saya tengok dia marah." Yan Xun memasukkan surat tersebut ke dalam sampul surat sebelum meletakkannya kemas di atas meja. Dengan ketawa gembira, dia membawa Feng Zhi dan Ah Jing keluar.

Chu Qiao masih berasa tidak sihat, jadi dia masih terbaring di atas katil untuk berehat. Setelah berasa lebih baik hari ini, wanita muda ini lantas mengenakan pakaiannya dan melangkah menuju ke bilik belajar Yan Xun dengan buah berangan yang baru saja dikupaskan. Lu Liu sedang mengambil tidur petangnya dan masih belum bangun.

Chu Qiao menolak pintu Yan Xun terbuka namun hanya bilik kosong sahaja yang menyambutnya dan wanita muda itu terus meletakkan buah berangan ke atas meja, sekaligus mendapati lilin di atas meja tersebut hanya tinggal tunggul sahaja, yang bermakna Yan Xun mesti telah berjaga sehingga lewat malam tadi. Chu Qiao tidak dapat menahan dari rasa bimbang. Tiba-tiba lengannya tersentuh surat di atas meja semasa dia baru sahaja hendak bergerak menuju ke dapur untuk memastikan mereka menyediakan makanan yang sedap. Surat tersebut kelihatan sangat cantik dan aromanya yang lembut merebak keluar dari dalam, ia terjatuh dari atas meja sehingga penutup surat tersebut terbuka. Chu Qiao dapat menangkap sekilas pandang dua baris pertama surat itu. Chu Qiao terus membeku apabila melihat ayat-ayat tersebut dan tidak dapat menahan diri daripada terus membaca keseluruhan surat itu.

Sesaat wanita muda ini melihat ayat, "Gunung memelihara pepohon, namun pepohon memelihara cabang mereka; Hati saya mencari kebahagiaan untuk awak, tetapi awak tidak tahu." Yang tertera dalam surat itu, hatinya berasa perit. Itu bukanlah tulisan tangan Chu Qiao dan yang paling utama sekali, dia bukanlah seorang arif dalam menulis puisi. Sekaligus hujung jari-jemari wanita ini terasa sejuk lalu dia cepat-cepat membalikkan surat itu dan melihat ia telah dihantar daripada Kediaman Raja Xuan dari Empayar Song. Pada masa itu, ada sesuatu yang tiba-tiba menjadi jelas di dalam kepalanya, kemudian dia mengambil nafas yang dalam sebelum menghembuskannya perlahan-lahan, seperti mahu mengeluarkan segala emosi yang sedang membara keluar daripada tubuhnya. Namun, dia merasakan emosinya seolah-olah semakin berat.

Wanita muda ini dapat melihat respons peribadi Yan Xun semasa dia menyambung pembacaannya dan kepalanya tiba-tiba berasa berat, keningnya berkerut dan dia hampir terjatuh. Beratus kemungkinan sedang berlegar di kepalanya dan dengan alasan yang sama, dia menolak segala sangkaan tersebut. Namun, semua rasa yang dirasakan dalam hatinya kini tidak dapat menghilangkan kata-kata yang tertulis di dalam surat itu.

Kesejukan lantas meresap masuk ke dalam kulitnya seperti sejumlah sesungut sejuk yang tidak terhitung banyaknya telah mula merangkak keluar dari hatinya, membungkus seluruh tubuh badannya. Hatinya tenggelam seolah-olah ke dalam jurang maut, sambil anak matanya bertukar menjadi kosong langsung tidak bermaya. Dia terfikirkan sesuatu yang muncul dari dalam hatinya dan secara beransur-ansur menjadi sebuah ayat yang lengkap. Jadi pada anggapannya, teman sejati hanyalah begitu sahaja.

"Tidak!" Chu Qiao tiba-tiba berdiri dengan matanya yang kembali bersinar. Dia tidak akan percaya perkara seperti itu melainkan Yan Xun sendiri yang memberitahunya. Dia tidak akan tertipu! Dengan sebuah kesungguhan yang baru, kesakitan dan ketidakselesaan yang dirasai dari penyakitnya tiba-tiba hilang, dia berlari menuju ke biliknya. Dia memakai mantelnya dengan cepat dan berjalan keluar yang kemudiannya terus dikejar oleh Lu Liu dari belakang dengan cemas. "Cik Puan! Cik masih belum sembuh sepenuhnya! Cik Puan nak pergi ke mana?"

Chu Qiao hanya mengabaikan pembantu kediaman tersebut sebelum mendaki kudanya dan bergegas ke kem Pasukan Tentera Pertama. Namun, sesampainya dia ke kem tersebut, Chu Qiao tidak dibenarkan masuk kerana para anggota Tentera Pertama langsung tidak mengenali dirinya dan tidak mempercayai kata-katanya, lantas mereka berdiri tegas di jalan dan menghalang segala akses kepada wanita itu. Pada masa ini, seseorang telah menyebut namanya yang membuatkan Chu Qiao menoleh ke belakang untuk melihat seraut wajah yang dikenalinya dan setelah diteliti dengan lebih dekat, dia mendapati orang itu adalah Du Pingan.

Setelah melihat Chu Qiao, Pingan berasa sangat gembira lalu dia bergegas ke hadapan sambil menjerit, "Ketua Jeneral! Akhirnya saya berjumpa dengan Cik Puan. Saya berkeliaran di sekitar kediaman Cik Puan selama beberapa hari ini, tetapi mereka tak benarkan saya untuk masuk. Akhirnya Cik Puan kembali jugak!"

Chu Qiao sedikit terkejut dan bertanya, "Awak cari saya?"

Pingan berasa terperanjat kerana Chu Qiao tidak mengetahui akan hal tersebut dan dia bertanya, "Cik Puan tak tahu ke?"

"Tahu apa?"

Ekspresi muka Du Pingan berubah terkejut, lalu dia berkata, "Cik Puan, ini satu bencana!"

Di bawah langit mendung di mana angin bertiup sekaligus membawa beberapa kepingan salji dari atas tanah dan di tengah-tengah perkhemahan Pasukan Tentera Kedua, dua buah pasukan sedang berhadapan antara satu sama lain. Perisai kulit lembut yang membaluti badan-badan mereka yang telah melalui pertempuran yang tidak terhitung jumlahnya, sementara mereka mengepalkan penumbuk dengan ketat. Yan Xun memakai baju perang berwarna hitam, terduduk di atas kerusi yang diperbuat daripada kulit harimau putih di dalam khemah utama. Dengan pandangan yang dingin, dia dengan tenang bertanya, "Jadi, awak merancang untuk memberontak lagi?"

Aura tanpa rasa belas kasihan itu terngiang-ngiang di telinga para tentera Garison Utusan Barat Daya yang terus memucat dengan kemarahan, kelihatan seperti mereka bergelut benar untuk mengawal emosi mereka. Xiao He berdiri di hadapan khalayak ramai, namun walaupun dia tidak digambarkan sebagai seorang yang kacak, dia mempunyai ciri-ciri perwatakan yang hampir sempurna dengan auranya sebagai seorang askar jelas terpancar.

Pada masa ini, pemuda itu menghulurkan tangannya untuk menyekat tenteranya yang teruja. Dengan berkerut, dia berkata, "Tuanku, Tuanku pernah berjanji yang Tuanku tak akan teruskan apa yang telah berlaku pada masa lalu kepada kami."

"Saya pegang janji itu." Yan Xun tersenyum ringan sambil menyentuh lembut alisnya, dengan matanya yang bersinar dengan perasaan tidak puas hati apabila dia menyambung, "Mereka yang sedang melutut diluar bukanlah pengkhianat – mereka pembelot!"

"Kami bukan pembelot!" Kedengaran suara yang bernada marah yang menghampiri. Di tengah-tengah perbarisan itu, lebih daripada 30 tentera sedang melutut di dalam barisan dan di belakang mereka terdapat bilah pedang daripada pasukan tentera pertama. Seorang askar muda mengamuk, "Tidak pedulilah siapa pun, mereka tidak dibenarkan membakar bendera kami!" Bendera yang berlatarbelakangkan warna putih dan awan merah itu dilemparkan ke tanah dengan bucunya yang sudah terbakar, keadaannya sangat teruk.

Yan Xun menoleh ke arah pemuda itu tanpa berfikir panjang dan mendengus dengan rasa tidak puas hati, "Garison Utusan Barat Daya dah hilang selama tiga hari dari dunia, untuk apa lagi menjaga bendera itu? Kamu telah menyerang pasukan bersekutu dan terus meninggalkan bandar sebelum pertempuran besar berlaku. Itu satu pembelotan dan kalau saya lepaskan kamu tanpa hukuman, apa gunanya undang-undang Yan Bei?" Nada Yan Xun terus serius secara tiba-tiba, sambil renungan matanya melewati mata mereka. Dia menghayunkan tangannya dan berkata dengan dingin, "Pembelotan itu jenayah yang besar! Saya boleh memaafkan sekali, tetapi tidak untuk kali kedua. Mari! Hukum mereka mengikut undang-undang tentera! Sesiapa yang tak yakin dengan penghakiman ini akan dikenakan hukuman yang sama!"

"Tuanku!" Muka Xiao He berkerut ketika dia melangkah. Namun, dengan pukulan keras dan hayunan bilah pedang, dua orang pengawal telah meletakkan bilah pedang mereka di leher Xiao He. Tiada sesiapa berani yang bersuara. Semua anggota Pasukan Tentera Pertama lantas melangkah ke hadapan dengan para pemanah mere yang telah bersiap sedia menyediakan anak panah mereka. Seluruh pasukan tersebut lengkap bersenjata yang membuatkan situasi tersebut kelihatan amat tegang, mampu mencetuskan pertempuran pada bila-bila masa sahaja.

Pasukan Tentera Kedua berasa sangat terkejut. Beberapa hari yang lalu, mereka telah berperang dengan Garison Utusan Barat Daya yang telah menjadi rakan seperjuangan mereka sewaktu di tembok bandar Beishuo tempoh hari, maka mereka telah hadir pada hari ini untuk menyokong Garison Utusan Barat Daya. Namun, sikap tegas Yan Xun dan Pasukan Tentera Pertama sesuatu yang mereka tidak pernah sangkakan.

Garison Utusan Barat Daya yang hanya tinggal lebih kurang 1500 orang itu berdiri di tengah ribuan tentera tanpa bersenjata, setiap seorang dari mereka mengepal penumbuk masing-masing dengan wajah yang merah apabila menahan kemarahan. Para pahlawan ini berhadapan dengan pihak musuh yang bersenjata, kemarahan mereka jelas terpancar dari anak mata yang membara. Xiao He melihat sekeliling, sambil menarik nafas panjang sebelum bertanya, "Tuanku merancang untuk bunuh kami semua ke?"

Yan Xun tertawa penuh misteri dan pandangannya kelihatan kaku. Seperti lautan yang dalam, dia mendakwa, "Komander Xiao He ini seorang yang hebat. Saya pasti saya boleh melayan kamu sama seperti pembelot-pembelot itu."

"Tuanku!" Dengan mata yang kemerahan, Xiao He melangkah ke hadapan. 20 orang pengawal juga turut melangkah dan kesemuanya meletakkan bilah pedang mereka di leher pemuda tersebut secara serentak. Namun, Xiao He sedikit pun tidak berasa takut. Tanpa berlengah dia menyambung, "Dalam pertempuran Zhen Huang, Garison Utusan Barat Daya kehilangan 6000 nyawa. Dalam pertempuran Chidu, Garison Utusan Barat Daya kehilangan 4000 nyawa. Jeneral Feng Ting telah dipanah dengan lebih daripada sepuluh anak panah, tapi dia masih meneruskan pertempuran dia. Jeneral Mu Rong telah mengetuai pasukannya untuk menyerang musuh di Tebing Bai Zhang. Apabila mereka kehabisan anak panah dan batu besar, dia membakar seluruh hutan untuk menghentikan serangan dari pihak musuh dan mengorbankan nyawanya sendiri. Jeneral Wu Danyu memimpin sejumlah 500 orang dan telah melewatkan pergerakan pihak musuh selama tiga hari dengan peperangan gerila. Dia yang paling banyak membunuh namun akhirnya dia mati dalam pertempuran tersebut. Dalam pertahanan di Beishuo, kami pergi membantu walaupun kami kekurangan anggota pasukan dan kami enggan berundur walaupun satu langkah. Langit dan tanah ini boleh menjadi saksi kepada kesetiaan Garison Utusan Barat Daya. Ratusan ribu tentera dan rakyat di Beishuo menyaksikan kesetiaan kami. Namun, melihat cara Tuanku melayan seorang lelaki yang setia seperti itu, saya, Xiao He, tidak yakin!"

"Beraninya kamu!" Tempik Jeneral Qiu Yi dari Pasukan Tentera Pertama, Pasukan Pengawal Ketiga yang sedang berjalan mendekatinya, kini dia baru sahaja dinaikkan pangkat kepada salah seorang naib komander pengawal Yan Xun. Dia berkata dengan tegas, "Kamu hanyalah seorang komander semata-mata. Beraninya kamu bersikap kurang ajar dengan Tuanku? Kamu tak mendisiplinkan tentera-tentera kamu dan Tuanku tak pernah menyusahkan kamu. Tapi kamu bersikap sebaliknya. Kamu pernah dengar tak tentang undang-undang tentera?"

"Tuanku!" Xiao He berlutut. Dengan pandangan yang tegas, dia menyatakan, "2000 tentera Garison Utusan Barat Daya semuanya dah berikrar setia dengan ikhlas pada Yan Bei. Kalau Tuanku teruskan dengan rancangan ini, Tuanku tak takut yang Tuanku akan membangkitkan kebencian rakyat ke?"

"Kamu semakin melampau!" Naib Komander Pasukan Tentera Pertama, Feng Lu berteriak, "Bawa dia keluar dari sini!"

Keadaan menjadi huru-hara apbila para pengawal peribadi Yan Xun terus mengelilingi Xiao He dan memulas kedua tangan He Xiao, menyebabkan para tentera Garison Utusan Barat Daya yang berada di belakangnya sedar akan situasi tersebut lalu dengas pantas mereka membantu komander mereka itu. Xiao He berteriak lantang, "Tuanku! Sedangkan para tentera yang membelot dari Keluarga Batuha itu pun telah diampnkan, tapi kenapaTuanku nak sangat Garison Utusan Barat Daya dihapuskan sepenuhnya? Xiao He tidak bersalah! Memang tak bersalah!"

"Berhenti!" Suara Yan Xun tidaklah terlalu kuat, tetapi penuh dengan aura berkuasanya yang menebal, memandang Xiao He dingin sebelum berkata, "Komander Xiao, mereka-mereka yang akan dikenakan hukuman hanyalah pembelot yang cuba melepaskan diri dari Beishuo malam tadi dan ia langsung tak ada kaitan dengan kamu semua. Saya harap kamu semua menjauhkan diri dalam hal ini. Jika tidak, saya akan menganggap kamu semua dah mengganggu ketenteraman para tentera."

"Tuanku, mereka bukan pembelot. Mereka cuma hendak menyelamatkan bendera itu saja. Mereka hanya berlari keluar bandar kerana mereka sedang dikejar…"

"Perintah itu tetap perintah! Saya tak mahu dengar penjelasan kamu, Saya hanya mahu melihat hasilnya! Kalau semua orang memberi alasan, bagaimana saya mahu mentadbir ketenteraan?" Yan Xun bertanya garang.

Mata Xiao He kemerahan ketika dia menjerit, "Tuanku!"

"Mulakan pembunuhan!"

"Tuanku!" Xiao He mara ke hadapan dan para tentera Garison Utusan Barat Daya yang seramai 2000 orang askar itu berdiri di belakangnya. Melihat akan itu, para pengawal peribadi Yan Xun menghunus pedang mereka dan mula menyerang, lantas membunuh para-para tentera pihak musuh secara beramai-ramai disebabkan jumlah angka pasukan pengawal peribadi Yan Xun yang melebihi jumlah angka tentera Garison Utusan Barat Daya sambil Pasukan Tentera Pertama berdiri di luar untuk menyekat sebarang campur tangan luar. Manakala, para askar Pasukan Tentera Kedua yang juga sedang berdiri di luar benar-benar terkejut dengan situasi yang tidak disangkakan itu.

Qiu Yi menjerit kepada si pertanda itu, "Apa yang sedang kamu lakukan? Bunuh mereka!"

"Hanya membunuh si serigala ketika semua arnab telah ditangkap dan hanya meletakkan busur silang ke tanah apabila semua burung telah dibunuh. Yan Xun, awak ini memang tidak bersyukur dan tidak boleh dipercayai. Kami dah salah sangka tentang awak selama ini!" Pegawai pentadbir Garison Utusan Barat Daya, Wen Yang, sedang berlutut di atas tanah. Malam tadi, dia orang pertama yang tersedar Pasukan Tentera Pertama telah mencuri lebih dari 20 bendera mereka dan membakarnya di tapak perkhemahan Pasukan Tentera Pertama namun dia langsung tidak sempat untuk melaporkannya kepada Xiao He disebabkan situasi itu berlaku secara tiba-tiba. Wen Yang telah memimpin lebih dari 30 orang askar pentadbiran di bawah arahannya untuk masuk ke dalam kem Pasukan Tentera Pertama dan seterusnya menyelamatkan diri ke luar bandar. Pada masa ini, kepalanya terasa sejuk seperti sedang dihentak-hentakkan pada salji apabila dia berlaung sekuat hatinya.