Chapter 170 - Bab 170

Selepas lima hari dan lima malam mengembara tanpa henti, pemuda itu berasa sangat letih dan mungkin kini dia boleh berehat akhirnya .

Tiba-tiba, segala kekecewaan yang dirasai Chu Qiao lesap. Bagaimanakah sebuah ayat sahaja dapat menjelaskan sesuatu hal itu betul atau salah? Darah merah yang mengalir di platform Jiu You masih lagi terpahat dalam hati mereka, dan Chu Qiao pernah menemani pemuda itu untuk mengharungi segala jenis bahaya yang terdapat di dalam istana suatu ketika dahulu. Segala jenis kebencian dan permusuhan... "Teruskan hidup! Bunuh semua mereka! " Ikrarnya masih bergema di telinga Chu Qiao. Cemuhan gelak tawa, rancangan jahat untuk menjatuhkan mereka serta penghinaan yang tidak terhitung banyaknya yang telah lama tertanam dalam hati mereka seperti biji benih. Bagi Yan Xun, hasratnya untuk memusnahkan pintu gerbang istana Sheng Jin dan meruntuhkan tembok bandar Zhen Huang ternyata lebih kuat daripada sesiapa. Namun pemuda itu berpaling setelah mendengar kata-kata Chu Qiao sahaja. Bagaimana mungkin gadis itu tidak mengetahui perasaannya?

Kepercayaan yang selama ini membuatkan diri wanita itu bertahan kini telah menyeksa hatinya. Dalam sudut hatinya terdapat kebencian, penyesalan, keriangan dan kesedihan. Kedua-duanya merupakan kesakitan dan kegembiraan yang membuatkan dirinya kini berbelah bagi antara dua perasaan yang berlawanan dan ketika itu barulah Chu Qiao tersedar akan konflik yang timbul dalam hatinya itu apabila lelaki itu menyuarakan kebimbangannya .

Peperangan telah menenggelamkan segalanya termasuklah waktu senja, kuda pertempuran, senjata, pekikan pahlawan dan rakyat serta segala kepercayaan dan semangat mereka, namun ia masih tidak mampu menenggelamkan perasaan mereka terhadap masing-masing.

Pemuda itu tidak mempercayai wanita yang telah bersumpah setia kepadanya dan juga telah mempertahankan bandar walaupun ramai tentera yang telah terkorban disebabkan usaha itu bersama darah mereka yang mengalir ke sungai dan tulang mereka bergelimpangan di sekeliling bandar. Sebagai komander mereka, Chu Qiao sepatutnya berasa benci dan marah, tetapi sebagai seorang wanita, dia telah menerima perasaan lelaki yang mencurah-curah itu. Antara wilayah dan Chu Qiao, antara cita-cita dan hatinya, Yan Xun telah memberikan jawapan tanpa sebarang perasaan ragu-ragu. Apakah hak Chu Qiao untuk berasa marah?

Apabila pemuda itu tersedar dari tidur, dia melihat Chu Qiao yang sedang tertidur di sampingnya, tubuhnya yang kecil bergulung seperti bola sambil tangannya menggenggam erat tangan Yan Xun. Langit masih kelihatan gelap di luar jendela. Yan Xun lantas berdiri di hadapan jendela dengan memakai baju longgar sambil menatap pergunungan bersalji di luar. Begitulah keadaan di tanah Yan Bei sekarang ini di mana mereka kekurangan sumber dan cuacanya tersangat sejuk. Ia terasaseolah-olah seperti tanah air ini selalu menghadapi masalah seperti itu. Walaupun sewaktu pemerintahan ayahandanya yang bijaksana itu, tanah air ini memang sudah tersedia maklum sebeginilah cuacanya, namun mengapa pemuda ini masih mempunyai tanggapan salah yang tegar Yan Bei merupakan sebuah tempat yang indah dengan bunga yang sentiasa mekar?

Mungkin benar kata-kata Cik Puan Yu. Dia sememangnya telah berubah setelah membesar dan melihat lebih banyak perkara di dalam dunia ini. Seiring dengan hal ini, cita-citanya juga turut berkembang selain dari niatnya untuk membalas dendam, terdapat sebuah keyakinan yang mendalam dalam sudut hatinya tetapi dia tidak menyedari masalah itu sehingga kini. Pengalamannya selama ini telah membuatkan dia betul-betul sedar akan kepentingan pengaruh kuasa dan kuasa ketenteraan kerana tanpa perkara-perkara tersebut, pemuda ini pasti tidak akan mengecapi apa-apa, samalah seperti seekor burung yang telah dipotong sayapnya dan mendapati dirinya mustahil untuk terbang kembali. Tetapi kini, dia tiba-tiba berasa takut dengan kepercayaan itu setelah tindakannya itu hampir menyebabkan Chu Qiao terkorban. Setiap kali dia memikirkan hal itu, bulu roma Yan Xun terus meremang.

Dia sekali lagi teringat akan padang rumput menghijau di timur Chi Shui sewaktu dia merenung ke arah jendela yang gelap gelita itu, masih jelas teringat bagaimana dia telah mengetuai pasukan tenteranya ke Sempadan Yanming bersama hati dan semangat yang berkobar-kobar namun sayang sekali kerana dia tidak dapat menawan ibu negara di pengakhirannya. Bagaimanapun, Empayar Xia akan sentiasa berada di sana untuk ditakluki, tetapi andai kata dia kembali sehari lewat, apa yang akan terjadi kepada AhChu? Dia menghela nafas lega. Nasib baik, semuanya baik sahaja.

Chu Qiao terjaga sebaik sahaja wanita ini terasa tangannya mula berasa sejuk. Apabila melihat Yan Xun berdiri di hadapan tingkap, dia terasa bayang-bayang Yan Xun kelihatan begitu jauh.

"Yan Xun?" Panggil Chu Qiao dengan suara yang kedengaran seolah-olah dia masih lagi mengantuk.

Lelaki itu berpaling dan bertanya, "Awak dah bangun?"

"Ya. Apa yang awak sedang fikirkan itu?"

Yan Xun berjalan ke arahnya lalu memeluk wanita itu, sebelum mengujar dengan tenang, "Tak ada apa-apa pun."

Chu Qiao bersandar pada dadanya, dapat mendengar degupan jantung pemuda itu yang kencang di sebalik baju tidurnya yang nipis itu. Sepertinya pada saat ini, barulah dia dapat mengesahkan Yan Xun telah kembali.

"Yan Xun, awak menyesal ke?"

Yan Xun melihatnya dengan yakin sambil memeluk erat gadis itu. "Tak."

"Tapi awak akan menyesal tak pada masa akan datang?"

Yan Xun terus senyap. Chu Qiao berasa kecewa apabila melihat reaksi pemuda itu dan dia pun hanya terpaku. Selepas sekian lama barulah Yan Xun menjawab pertanyaannya itu, "Saya menyesal sebab saya terlambat."

Penglihatan Chu Qiao tiba-tiba terasa kabur sebelum dia menanamkan wajahnya pada dada Yan Xun sambil memejam mata dan mengetap bibirnya. Apa lagi yang dia harapkan? Wanita muda ini sedar dia tidak boleh menjadi seseorang yang terlalu mementingkan diri sendiri. Walaupun gadis ini sering menemani pemuda itu pada setiap masa, namun berapa kali sahajalah Chu Qiao dapat membantu Yan Xun dengan masalahnya? Sebanyak manalah kesedihan yang dapat dirasai dan difahami oleh Chu Qiao apabila melihat Yan Xun kehilangan seluruh keluarganya? Selagi Yan Xun masih ingat akan dirinya, memikirkan tentang dirinya, dan mempedulikannya, itu sudah cukup memadai.

"Yan Xun, jangan sembunyi apa-apa lagi daripada saya."

"Yalah, sudah tentu," jawab Yan Xun.

Chu Qiao kembali memejamkan matanya dan lantas terlena. Mimpinya terasa begitu hangat dan manis apabila seseorang memegang erat tangannya seolah-olah dia tidak akan melepaskan genggaman itu buat selama-lamanya. Dia yang mengantuk teringat di mana dia menyaksikan mimpi ini sebelumnya. Betul itu. Ia seperti di Empayar Tang, iaitu sebuah tempat yang indah yang penuh dengan cahaya matahari dan kehangatan. Namun, Chu Qiao merasakan tempat itu tidak sehangat seperti Yan Bei. Apabila berdiri di tanah air ini, kehangatan dan kelembutan terasa seperti meluap-luap di dalam hatinya walaupun dengan gunung-ganang dan salji yang tidak berkesudahan.

Tatkala cahaya matahari menyinari di sebalik ranting pokok yang tandus, salji mula mencair. Cuaca bagaikan semakin bertambah baik selepas Yan Xun kembal dengan langit biru yang cerah serta matahari yang hangat, dataran salji yang terbentang luas kini kelihatan berwarna-warni.

Pertempuran yang berlaku sebelum ini bukan sahaja telah meninggalkan Yan Bei dalam keadaan yang teruk, malah ia juga mendorong Chu Qiao untuk melepasi had fizikalnya kerana wanita itu segera jatuh sakit sejurus selepas dia berehat. Setelah mengalami selesema yang teruk, dia demam panas dan batuk tanpa henti pada waktu malam. Walaupun dia sudah makan sejumlah ubat yang banyak, namun dia masih tidak membaik pulih dengan seorang demi seorang doktor yang datang untuk merawatnya. Walaupun pintu biliknya sentiasa ditutup, namun dia masih boleh mendengar Yan Xun memarahi doktor-doktor tersebut dengan kasar tetapi pemuda itu pasti akan kelihatan tenang sahaja setiap kali mereka bertemu seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Pemuda itu kadangkala akan menenangkan hati Chu Qiao, "Jangan risau, awak demam selesema saja. Selepas rehat nanti awak pulihlah."

Chu Qiao sepertinya tidak pernah jatuh sakit seperti ini selama ini kerana seiingat wanita itu, satu-satunya masa dia jatuh sakit ialah ketika mereka berdua masih lagi kanak-kanak. Pada waktu itu, Yan Xun telah jatuh sakit dan Chu Qiao terpaksa mencuri ubat untuk diberikan kepada lelaki itu namun dia telah ditangkap dan dipukul dengan teruk. Malangnya, ubat yang telah dicuri anak gadis itu langsung tidak berkesan untuk menyembuhkan Yan Xun yang telah terdedah kepada cuaca dingin demi menyelamatkan Chu Qiao dari dipukul yang lantas membuatkan lelaki itu demam semula pada waktu malam sehingga menyebabkan dia mula meracau dalam tidurnya. Tidak mungkinlah Chu Qiao akan mencurahkan air sejuk pada Yan Xun secara terus kerana ia mungkin akan lebih memudaratkan Yan Xun jadi Chu Qiao telah menggunakan badannya sendiri apabila dia keluar untuk membekukan dirinya sebelum memeluk Yan Xun dengan tubuhnya yang beku itu. Selepas semalaman melakukannya berulang kali, Yan Xun akhirnya pulih. Sebaliknya, Chu Qiao pula yang jatuh sakit. Sejak dari hari itu, gadis itu tidak dapat bertahan dengan kesejukan dengan cekal lagi. Walaupun berada di hadapan kebakaran, tubuh badannya akan masih terasa sejuk sahaja namun tekanan untuk kelangsungan hidup serta pertempuran dan peperangan telah mendorong wanita itu untuk meneruskan kehidupan. Dia telah memaksa dirinya untuk menahan segala kesakitan itu dan selalu menafikan ketidakselesaannya dengan kekuatan semata-mata, jadi memang tidak hairanlah jika wanita ini jatuh sakit dan masalah itu meletus pada masa yang sama.

Setelah mengimbas kembali kenangan lama yang menyakitkan hati itu, mereka kini kelihatan sangat jauh. Kesakitan dan kebencian pada waktu itu begitu jelas sehingga mereka bersumpah suatu hari nanti mereka akan keluar dari keadaan terdesak itu dan memastikan yang orang-orang yang telah menyeksa mereka akan menerima balasannya kelak. Namun, dia akan merindukan hari-hari itu, di mana dia merasakan yang dunia itu milik mereka berdua, merindui hari-hari apabila mereka tiada sesiapa pun di dunia ini melainkan satu sama lain untuk bergantung harap.

Cik Puan Yu tiba tatkala menjelangnya waktu petang dengan cahaya yang menyinari di sebalik jendela itu dan menghasilkan bayang-bayang di darat. Cik Puan Yu kelihatan seperti biasa dengan keningnya yang nipis dan mata gelap miliknya serta leher dan dagu yang tajam. Wajahnya kelihatan agak pucat seperti biasa. Wanita yang sedang memakai blaus putih,itu masuk dengan senyap dan hanya bersandar pada pintu, hanya merenung tanpa berbuat bising.

Chu Qiao agak terkejut setelah melihat Cik Puan Yu lantas dia mencapai pinggir katil untuk dijadikan sokongan supaya dia boleh terduduk. Dengan suara yang serak dia bertanya, "Cik Puan Yu, bila awak sampai? Kenapa tak beritahu saya?"

Cik Puan Yu berjalan ke arahnya sambil tersenyum. "Saya baru saja sampai. Saya hanya nak melawat awak saja."

"Jemputlah duduk."

Cik Puan Yu lantas melabuhkan punggungnya bertentangan dengan Chu Qiao dan memerhatikan wanita itu dengan berhati-hati seketika sebelum mengerutkan kening dan bertanya, "Kenapa tiba-tiba saja awak jatuh sakit?" Cik Puan Yu terus mengambil jubah dan meletakkannya di atas bahu Chu Qiao.

Chu Qiao bersandar pada kusyen sebelum tersenyum dengan kulitnya yang kelihatan pucat. "Saya rasa saya terdedah pada cuaca sejuk untuk terlalu lama."

Cik Puan Yu memandangnya sebelum menghela nafas, kemudian berkata dengan lembut, "Awak ini memang degil. Pada usia yang muda pun awak dah menghidap penyakit kronik ke? "

Cik Puan Yu hanya berusia 26 atau 27 tahun dan tidaklah dianggap begitu tua. Walau bagaimanapun, sikapnya telah membuatkan orang ramai menganggapnya sebagai matang dan Chu Qiao kelihatan seperti seorang kanak-kanak baginya.

"Tak ada apa-apalah. Saya hanya perlu berehat saja."

"Betullah itu. Penyakit ini datang bagaikan tsunami, tetapi pergi seperti air sungai yang mengalir. Awak rehatlah dan jangan fikirkan apa-apa. Fikir terlalu banyak pun akan menjejaskan kesihatan awak saja."

Chu Qiao mengangguk. Tiba-tiba, dia teringat akan sesuatu. "Cik Puan ada nampak pegawai-pegawai dari Garison Utusan Barat Daya tak?"

Cik Puan Yu memandang wanita itu sebelum berkata dengan tenang, "Bukan ke saya dah cakap jangan fikir banyak? Awak dah lupa ke?"

Chu Qiao menggeleng kepalanya dan menjawab, "Saya hanya risau."

"Jika Tuanku sanggup berundur dari Sempadan Yanming untuk awak, awak fikir beliau tak akan maafkan pasukan macam itu?"

Setelah buah fikirannya terdedah seperti itu, Chu Qiao mula berasa kekok. Setelah berada dalam kesenyapan yang panjang, dia secara diam-diam kemudiannya menyangkal, "Saya hanya khuatir mereka bertindak terburu-buru dan biadab. Kalau Yan Xun murka disebabkan sikap biadab mereka..."

Cik Puan Yu tersenyum dan menenangkan gadis itu, "Bertenang saja. Mereka tahu batas mereka."

Chu Qiao berasa lega sebelum mendongakkan kepalanya dan bertanya, "Awak akan tinggal di Beishuo ke?"

Cahaya matahari menyinari mata mereka melalui jendela. Cik Puan Yu menjawab dengan lembut, "Perang akan tercetus di Timur tak lama lagi jadi saya tak akan lama di sini. Mungkin dalam masa beberapa hari, saya akan kembali ke Sempadan Yanming. "

Raut wajah Chu Qiao bertukar serius apabila dia bertanya lagi. "Empayar Xia akan menyerang secepat ini?"

"Tuanku dah menakluk seluruh wilayah barat laut. Empayar Xia pasti tak akan berpeluk tubuh dan menerima saja kekalahan, kan? Saya dengar mereka dah mula mengumpul pasukan tentera."

"Secepat itu? Siapa yang akan memimpin? Zhao Che?"

Cik Puan Yu tersenyum. "Selain daripada dia, mereka bukannya ada calon lain lagi. Meng Tian itu dah tua dan si jantan di Istana Sheng Jin itu pasti tak akan mempercayai orang lain untuk memimpin. Dia malah mungkin berasa ragu-ragu untuk menghantar putera dia itu pergi."

Chu Qiao mengangguk. Kini, bilik itu terasa hangat dengan bau setanggi pula mula membuatkan Chu Qiao mengantuk, lantas wanita muda itu mengingatkan Cik Puan Yu, "Cik Puan kena berhati-hati. Zhao Che itu berbeza daripada Zhao Qi dan bukan senang untuk diuruskan."

"Jangan risau. Daoya akan menemani saya." Cik Puan Yu tersenyum. Matanya kelihatan agak ceria manakala raut wajahnya juga kelihatan seperti wanita ini langsung tidak berasa bimbang.

Dalam hatinya, Chu Qiao dapat meneka bagaimana perasaan Cik Puan Yu, tetapi dia tidak berkata apa-apa. "Lebih baguslah kalau Encik Wu pergi juga."

"Awak patut sambung berehat. Saya ada beberapa hal yang perlu diuruskan. Jadi, saya minta diri dulu."

Chu Qiao mengangguk sebelum mengucapkan terima kasih kepadanya, "Cik Puan, terima kasih banyak tentang perkara itu."

Langkah Cik Puan Yu terhenti sejenak, lantas wanita ini menoleh ke belakang, tatapannya kelihatan tenang walaupun berbaur ceria. "Ah Chu, awak ini betul-betul seorang yang bijak."

Chu Qiao hanya boleh mengangguk lemah disebabkan penyakitnya itu. "Jumpa lagi nanti, Cik Puan Yu."

Selepas Cik Puan Yu beredar, para orang gaji berjalan masuk ke dalam bilik untuk memberikan ubat-ubatan kepada Chu Qiao. Dia mengambil mangkuk itu lalu menelan ubat yang pahit itu sekali gus.

Sebenarnya, perkara tersebut tidaklah begitu sukar untuk diteka. Berdasarkan kecerdikan Yan Xun, mestilah dia mempunyai jalan penyelesaian untuk setiap masalah yang timbul. Satu-satunya sebab mengapa pemuda itu telah meninggalkan Cik Puan Yu di belakang ialah memastikan Chu Qiao tidak berada dalam medan perang utama. Namun, di Beishuo, Cik Puan Yu langsung tidak mencuba sedaya upayanya untuk membawa Chu Qiao ke Bandar Lan, kemudian wanita itu juga telah membiarkan Chu Qiao melakukan apa sahaja yang dia mahu berulang kali. Akhirnya, Cik Puan Yu telah berkelakuan jujur dan memberitahunya tentang rancangan Yan Xun untuk menentang Empayar Xia. Semua ini telah jelas mempamerkan niat wanita itu. Yan Xun telah mempercayainya dan mempertanggungjawabkan tugas ini kepadanya. Tetapi sayangnya, walaupun Zhong Yu benar-benar setia, tetapi apabila Yan Bei dan kedudukan Yan Xun bergolak, kesetiaannya kepada Yan Xun tidak dikira. Inilah satu perkara yang dia dan Yan Xun akan faham. Walaupun Yan Bei menghadapi perang dari dua sisi, di hadapan Timur dan Sempadan Meilin, Yan Xun masih telah menghantar Wu Daoya dengan Cik Puan Yu. Jadi, dia tidak akan mempunyai kuasa untuk dirinya sendiri sahaja. Cik Puan Yu mungkin memahaminya juga namun dia tidak menghebohkannya, ataupun mungkin wanita itu tidak kisah. dengan kuasa dan autoriti, mungkin wanita itu lebih bahagia jika bersama Encik Wu.