Zhao Yang sememangnya terkejut dan langsung tidak bersedia dengan serangan rusukan mengejut daripada Yan Xun dan Chu Qiao itu sehingga Pasukan Tentera Barat Daya, Pasukan Tentera Gabungan Utara, dan Pasukan Tentera Batuha semuanya telah dikalahkan dan kini Zhao Yang yang berseorangan terpaksa berundur ke Pergunungan Helan. Yan Xun mengejar pemuda ini dengan ketat sambil membunuh 200,000 orang tentera pihak musuh pada masa yang sama, membunuh semua pasukan tentera utama kecuali Pasukan Tentera Barat Daya. Yan Xun telah memimpin Pasukan Tentera Helang Hitam sehingga ke daerah barat laut tanah besar Xia melepasi Sempadan Yanming dan seterusnya membina tapak perkhemahan di Kem Beian yang terletak berdekatan dengan sempadan tersebut. Zhao Yang merenung ke seberang sungai dan segera melihat yang bahagian barat laut ibu negara maharaja itu telah ditawan oleh tentera Yan Bei, manakala para bangsawan dan pegawai di sana semuanya telah menyerah kalah terhadap serangan tersebut. Pemuda itu lantas meludah air liurnya yang bercampur darah ke atas sungai yang membeku akibat kemarahan yang membuak-buak sedang menyelubungi diri.
Dengan itu, peperangan utara pertama akhirnya berakhir. Tentera Yan Bei telah kehilangan seramai 400,000 orang di dalam dua buah pertempuran di Beishou dan Chidu. Bandar Chidu telah bertukar menjadi tanah tandus dengan ramai pelarian yang terkorban di dalam proses migrasi tersebut. Yan Bei yang sememangnya tidak mempunyai ekonomi yang stabil semakin merudum dalam kegawatan.
Namun, Empayar Xia telah mengalami kehilangan yang tidak ternilai berbanding dengan Yan Bei. Mereka bukan sahaja telah kehilangan sebahagian besar daripada pasukan tentera utara mereka, malah salah seorang putera maharaja telahpun mangkat di dalam pertempuran tersebut, dan ditambah lagi dengan separuh daripada bahagian barat laut empayar telah dijajah oleh pihak musuh. Jika Yan Xun tidak berpatah balik untuk menyelamatkan Beishou, ibu negara maharaja pasti akan hancur.
Perhatian semua rakyat jelata di Benua Meng Barat telah tertumpu pada kejadian-kejadian ini. Keagungan dan juga kemegahan Empayar Xia selama tiga ratus tahun lalu kini bagaikan sedang memudar, tidak berubah seperti cahaya matahari kini yang sedang terbenam di langit barat laut.
Setelah Zhao Yang kembali ke ibu negara maharaja, pemuda itu telah mendapat kemurkaan daripada seluruh keluarga maharaja dan seluruh Majlis Ketua-Ketua Terhormat telah mengundi sebulat suara untuk menghantarnya ke penjara. Tiga hari kemudian, pihak maharaja telah mengerah 300,000 ahli tentera daripada Pasukan Tentera Tenggara, Pasukan Tentera Timur Laut, dan juga beberapa keluarga bangsawan yang lain untuk bergerak kembali ke medan pertempuran di barat laut yang diketuai oleh Putera Maharaja Xia Ketujuh, Zhao Che.
Zhuge Huai, anak lelaki sulung tuan keluarga bangsawan Zhuge yang dahulunya telah dicalonkan sebagai komander untuk mengerah pasukan-pasukan bantuan ke medan pertempuran itu telahpun disingkirkan daripada Majlis Ketua-Ketua Terhormat disebabkan kekalahannya dalam medan pertempuran tidak lama dahulu. Zhuge Muqing yang terdesak tidak mempunyai pilihan lain daripada untuk mencalonkan anak lelaki keempatnya iaitu Zhuge Yue untuk menggantikan tempat Zhuge Huai dan mengikuti Zhao Che ke bahagian barat laut empayar.
Nampaknya sebuah lagi peperangan pasti akan tercetus tidak lama lagi.
Kediaman tersebut kedengaran senyap sepi, hanya kadangkala terdengar bunyi sayap burung-burung gagak yang berterbangan melintasi tingkap kediaman yang diterangi cahaya bulan bersama desiran angin yang masih lagi bertiup dengan kencang apabila menarik salji bersama. Sebuah titik cahaya yang samar-samar kelihatan di kedudukan di mana cahaya bulan yang menyusup melalui tingkap tersebut bersatu dengan cahaya lilin di atas lantai kediaman. Yan Xun melangkah ke dalam kediaman tersebut pada lewat malam, kedengaran seperti bunyi gendang yang mendatar apabila bunyi tapak kakinya melangkah melewati kawasan itu. Para pembantu kediaman yang terdengar tapak kaki tersebut lantas merapatkan lutut mereka bersama sebelum melutut di atas lantai yang bersaji.
"Tuanku, Cik dah terlena," Kata pembantu rumah tersebut dengan suara yang berbaur hormat dan juga tersipu.
Angin sudah mula bertambah kencang sambil mengaburi perasaan janggal dan kesunyian yang menyelubungi udara dengan pohon-pohon di sekeliling kawasan yang mula bergoncang tanpa henti dan cahaya bulan yang bersinar juga mula bertambah samar lalu membentuk sebuah bayang-bayang di tingkap kediaman, namun ia tercegat di situ tanpa berkata sebarang kata mahupun beredar.
"Cik sedang tidur dengan nyenyak ke?" Sebuah suara yang kedengaran lunak dan tenang tiba-tiba kedengaran. Suara tersebut tidak berbaur ceria mahupun kemarahan. "Doktor dah merawati dia?"
"Cik hanya tercedera sikit. Semuanya baik-baik saja," Pembantu rumah tersebut membalas.
"Okey," Yan Xun berkata sebelum mempersoalkan, "Apa jamuan dia untuk makan malam tadi?"
"Hanya setengah mangkuk bubur saja."
Yan Xun mengangguk ringgan. "Dia mungkin akan berasa lapar tengah malam nanti. Sediakan sedikit makanan untuk dia. Sentiasa peka dan jangan tidur terlalu nyenyak."
"Baiklah, saya faham."
Susuk tubuh Yan Xun kelihatan bagaikan sebuah kelibat yang kesepian apabila dia berdiri di luar koridor kediaman tersebut dengan angin yang melayangkan emping-emping salji di udara sementara cahaya bulan yang menyinari tanah membuatkan ia lebih sepi dengan warna memutihnya. Pemuda itu berdiri di tengah-tengah dataran kediaman sebelum menundukkan wajahnya perlahan-lahan lalu berpaling ke arah tingkap bilik wanita muda itu yang tertutup dan berbisik, "Ah Chu, saya pergi dulu."
Sehembusan angin tiba-tiba meniupkan rambut pemuda itu sebelum dia berpaling dan beredar perlahan-lahan, namun kakinya terasa berat untuk melangkah. Tidak lama kemudian, orang ramai di luar kediaman akhirnya beransur pulang sementara Chu Qiao terbaring di atas katilnya dengan udara di luar yang terasa sejuk bagaikan babak di Istana Sheng Jin bertahun-tahun dahulu. Darah mengalir dari tangan ke jarak di antara di antara kuku mereka di dalam Kediaman Yingge yang sunyi, dengan anak mata gadis itu yang bersinar terang seumpama bintang di langit sementara dia berkerut. Mereka masih bersama walaupun bertahun-tahun sudah berlalu namun hanya pemuda itu sahajakah yang sudah berubah?
Wanita muda ini tiba-tiba berasa rungsing, lalu dia memutuskan untuk melemparkan selimutnya ke tepi sebelum bergegas ke luar bilik tanpa sebarang kasut mahupun pakaian musim sejuk, membuka pintu dengan dentuman yang kuat.
"Cik!" Pembantu kediaman tersebut mengejarnya sambil berteriakan lantang yang lantas mencemaskan pemuda yang sedang berjalan di hadapan mereka. Pemuda itu terus berpaling untuk melihat sebuah kelibat kecil yang tiba-tiba membenamkan dirinya ke dalam dakapan pemuda itu dengan sungguh tegas sehingga membuatkan Yan Xun tertolak ke belakang sedikit dengan wajah yang penuh terkejut. Pemuda itu segera dapat merasakan pakaian nipis yang dipakai wanita muda itu dan terus dia berkerut sebelum berleter lembut, "Ah Chu, kenapa awak keluar dengan baju nipis macam ini?"
Chu Qiao masih berdiam dan hanya mendepangkan tangannya untuk memeluk pinggang Yan Xun dengan erat sebelum membenamkan dahinya ke dada pemuda tersebut, lantas merasakan aroma kemesraan daripada pemuda itu yang sering dihidu wanita ini yang sekaligus membuatkan dia hampir terlena di situ juga. Air matanya lantas membasahi pipi dan juga baju pemuda tersebut sebelum Chu Qiao mendongakkan wajahnya dengan mata yang memerah, merenungi wajah Yan Xun. Pemuda tersebut sedang memakai sehelai pakaian yang ringkas dengan mata yang berkening mantap, wajahnya masih serupa dengan yang sering dikasihi wanita muda itu namun dia kelihatan lebih penat dan letih disebabkan pengembaraannya yang panjang sebelum ini. Pemuda itu telah melanggar pantang larang dalam peperangan apabila dia telah berundur semasa bertempur jadi Yan Xun terpaksa mengharungi kepayahan demi kepayahan untuk tiba di Yan Bei tanpa sebarang kecederaan namun Chu Qiao langsung tidak mengetahui hal ini.
"Awak dah balik?"
Yan Xun tersenyum dengan bibirnya yang terukir mesra, menahan segala keletihan yang dirasainya semasa dia mengangguk, "Selagi awak ada di sini, saya pasti akan balik."
Ia terasa bagaikan mereka telah dilayangkan kembali ke malam bersalji lapan tahun yang lalu. Budak lelaki tersebut yang sedang dikejar oleh para pembunuh upahan telah memimpin pasukan tenteranya pulang untuk menyelamatkan seorang budak perempuan hamba. Apabila anak gadis itu bertanyakan hal tersebut pada budak lelaki itu, dia pasti akan menjawab dengan berseloroh, "Apa yang kau akan buat kalau aku tak datang balik?"
Chu Qiao berasa bagaikan dirinya sedang dibuai-buai. Yan Xun berkerut dan menundukkan wajahnya untuk memandang wajah wanita muda yang sedang berada di dalam dakapannya ini. "Ah Chu, kenapa awak dah kurus sangat ini?"
Chu Qiao meraih wajahnya, jari jemarinya menggenggam ringan baju Yan Xun sebelum berbisik, "Sebab saya rindukan awak."
Yan Xun yang terpana itu terdiam seketika. Mereka jarang benar bercakap mengenai perkara-perkara sebegini setelah bertahun-tahun berada di sisi masing-masing, jadi pemuda itu pun terus berasa kehangatan yang membuak-buak di dalam hatinya, selapis demi selapis, bagaikan air yang sedang menggelegak. Yan Xun melitupi Chu Qiao dengan jubahnya lalu melepaskan ketawa, "Saya pun dah kurang berat."
Pembantu-pembantu kediaman yang menyaksikan kejadian tersebut terus melepaskan keluhan lega bersama angin juga yang nampaknya seperti sudah berhenti menghembuskan bayunya. Yan Xun lantas mengendong Chu Qiao kembali ke bilik wanita itu, pemuda ini telah mengembara di atas kudanya tanpa henti melalui siang hari dan juga malam, dan telah menghadiri beberapa perbincangan mengenai hal ketenteraan di saat kepulangan Raja Yan Bei tersebut, langsung tidak dapat bertemu dengan wanita ini selain dari lewat malam ini walaupun pemuda itu telah merinduinya pada setiap saat. Yan Xun membuka mantelnya yang lantas melayangkan selapisan habuk sebelum memerintahkan para pembantu kediaman untuk menyediakan air panas dan terus melabuhkan punggungnya berhadapan Chu Qiao, tidak tahu untuk memulakan perbualan.
"Ah Chu…"
"Awak tak perlu cakap apa-apa!" Chu Qiao terus menyampuk kata-kata pemuda itu, bagaikan tidak mahu mengungkit kisah lama lalu wanita ini berkata dengan nada kelat, "Selagi awak dah balik itu dah cukup baik buat saya."
Cahaya menyinari wajah wanita muda ini yang kelihatan pucat, dan terus Yan Xun berasa dingin di dalam lubuk hatinya. Kesengsaraan apakah yang telah dihadapi wanita muda ini kali ini?
"Lagipun, saya dah tipu awak. Saya minta maaf."
"Saya juga dah mengugut awak." Chu Qiao tersenyum. "Saya memang dah bersiap sedia untuk tinggal di sini tanpa berundur untuk tengok samada awak akan pulang atau tidak."
Yan Xun mengangguk dan tersenyum. "Memang selalu macam ini pun. Saya tak pernah menang sebarang pertengkaran dengan awak."
Empayar Xia telah menyerang Beishou dengan pasukan tentera mereka manakala Yan Xun telah memimpin para tenteranya untuk menyerang bahagian dalaman tanah besar empayar tersebut dan kedua-dua kejadian ini telah menyebabkan banyak nyawa yang terkorban dan ramai pahlawan-pahlawan yang telah terpisah dengan ahli keluarga mereka buat selamanya. Kejadian di mana darah telah menghakis tanah manakala tulang-tulang manusia makin menimbun yang sebegitu banyak semestinya boleh mengubah cara pentadbiran sesebuah benua, namun seperti apa yang diperkatakan mereka, ini semua perkara remeh.
"Ah Chu, saya ada sesuatu untuk awak."
Air panas yang telah disediakan itu dituangkan sebaldi demi sebaldi ke dalam kolam yang besar itu. Chu Qia yang sedang berdiri di sisi kolam untuk memeriksa suhu kolam lantas berpaling setelah mendengar kata-kata Yan Xun dan bertanya, "Apa?"
Hadiah tersebut ialah sebentuk cincin yang berukiran ringkas namun halus dan diperbuat daripada batu jed putih. Setelah ditenung dengan lebih teliti, cincin tersebut berbentuk tidak ubah dari sekuntum bunga crepe.
"Bila awak beli cincin ini?"
"Saya pun sudah tak ingat." Ia mungkin sudah dibeli lama dahulu. Setelah mendengar cerita tradisi dan adat istiadat tanah air wanita ini, pemuda tersebut terus mengukir cincin tersebut secara peribadi dan kini lima tahun sudah berlalu dan cincin tersebut sudah berada di dalam genggamannya namun pemuda itu masih tidak mempunyai sebarang keberanian untuk mengatakannya. Dahulu, Yan Xun hanya sebatang kara yang tidak mempunyai apa-apa selain dari kebenciannya yang membara, lalu pemuda itu menunggu dan menunggu saat dan lokasi yang paling istimewa untuk menguturkan soalannya namun dalam sekelip mata sahaja bertahun-tahun sudah berlalu.
Chu Qiao lantas menyarungkan cincin tersebut pada jari manis tangan kirinya sebelum meraihnya tinggi untuk meneliti cincin tersebut dengan lebih dekat. Wanita itu tersenyum dan berkata, "Cantik."
Tirai bilik ditarik turun. Yan Xun membersihkan dirinya di dalam bilik mandi sementara Chu Qiao menunggu di luar, sama seperti yang telah dilakukan sejak bertahun-tahun dahulu di mana seorang pasti akan memantau keadaan sekeliling semasa seorang lagi membersihkan diri mereka kerana seseorang itu berada di dalam keadaan yang paling lemah semasa sedang berada di dalam bilik air. Mereka telah menjadikan perkara ini sebagai tabiat mereka setelah melakukannya dengan begitu kerap.
Sebuah aroma yang wangi tiba-tiba berlegar keluar dari bilik mandi tersebut. Tirai bilik terkepak sedikit walaupun tiada angin yang menghembus di dalam kamar tersebut lalu suara Yan Xun tiba-tiba memecah kesunyian. "Ah Chu, tolong berikan saya tuala itu."
Chu Qiao lantas mengangkat sehelai tuala berwarna putih sebelum menghulurkannya melalui tirai tersebut dan lantas wanita muda ini terasa kehangatan yang menyelubungi dirinya apabila jari-jemari mereka bersentuhan. Chu Qiao menarik tangannya dengan pantas dan bertanya janggal, "Air itu cukup panas ke?"
"Ya."
Bunyi percikan air dapat didengari sehingga di dalam bilik, Chu Qiao yang sedang terduduk di luar bilik mandi tersebut tersipu malu apabila cuba memikirkan topik untuk dibualkan.
"Yan Xun, awak tercedera tak kali ini?"
"Tak. Saya tak pergi ke barisan hadapan."
Kabus air berlegar-legar di udara sebelum menyusup keluar daripada bilik lantas memanaskan bilik itu.
"Kenapa Song bekerjasama dengan kita dengan memerintahkan untuk mengadakan latihan ketenteraan di sempadan? Awak kenal puteri pertama mereka ke?"
Pemuda tersebut membalas, "Saya pernah berjumpa dengan dia beberapa kali dan dia seorang kenalan saya. Tapi, saya juga ada kawan di Song, dan dia yang dah tolong saya kali ini."
"Oh, begitu."
"Ah Chu, awak tercedera teruk ke? Awak tercedera di mana?"
"Tak mengapa, semuanya kecederaan tak serius saja."
Suasana di dalam bilik tersebut menjadi lebih tenang dan Chu Qiao berkata setelah berdiam seketika, "Yan Xun, jangan sembunyikan apa-apa daripada saya lagi selepas ini."
Namun, pemuda itu tetap berdiam. Setelah sekian lama, Chu Qiao bertanya sekali lagi setelah langsung tidak mendapat sebarang respons daripadanya. "Yan Xun?"
Masih tiada jawapan lalu Chu Qiao terus berasa panik. Wanita muda tersebut terus membuka tirai bilik mandi dan bergegas ke dalam berkaki ayam untuk melihat Yan Xun yang sedang terduduk di dalam kolam air panas dengan kepalanya yang bersandar pada dinding apabila pemuda itu telah terlena dalam tidur. Raut wajah pemuda itu dikerutkan, jelas menunjukkan kepenatannya.