Chapter 168 - Bab 168

Chu Qiao berdiri tinggi di atas menara pengawal sementera memerhatikan Bandar Beishou yang riuh dengan keriangan itu. Orang ramai terus meluru ke arah tembok kota apabila menyedari bandar mereka masih lagi mempunyai harapan untuk memenangi pertempuran tersebut, lalu mereka terus mengangkat batu tarbil ringkas namun masih teguh untuk melindungi bandar tercinta bermati-matian.

Sehujanan anak panah melayang secara berkumpulan lantas menyebabkan pihak musuh terkulai jatuh ke tanah bagaikan cebisan-cebisan rumput yang telah ditebas dek pemotong rumput. Pandangan Chu Qiao yang sedang memakai jubah luaran berwarna putih itu tetap membatu apabila melihat ratusan ribu nyawa yang melayang begitu sahaja pada setiap masa disebabkan oleh arahan yang datang daripadanya. Darah segar mengalir bagaikan sungai kecil sehingga menjadi lopak-lopak besar di sesetengah tempat semasa dewa pertempuran membuka mulutnya dan menelan nyawa-nyawa para tentera yang seumpama semut yang langsung tidak bernilai di atas medan pertempuran ini.

Lama-kelamaan Chu Qiao kehilangan segala pertimbangannya dan tidak lagi berasa takut mahupun jijik, bahkan gadis ini langsung tidak berasa penat lagi. Dia kini hanya berasa kaku disebabkan kesejukan melampau itu setelah ia menumpulkan segala derianya.

Kesimpulannya, peperangan di mana-mana sahaja akan menjadi kejam. Dua hari kemudian, bandar tersebut telah kehabisan segala anak-anak panah mereka dan keesokan harinya, batu-batu besar dan batang-batang pokok yang besar juga telah habis digunakan, menyebabkan hampir tujuh ribu nyawa Pasukan Tentera Xiao yang terkorban. Mayat-mayat berdarah yang terbujur layu di atas tanah membentuk sebentuk permaidani merah bersama ribuan senjata dan anak panah yang bertempiaran di sekeliling mereka. Para pelindung Bandar Beishou kini sudah berasa benar-benar penat namun sebelum sempat mereka menggigit sejamah hidangan, pasukan berwarna hitam itu kembali menyerang sekali lagi.

Chu Qiao mengeluh berat. Walaupun pasukan wanita ini telah melemparkan batu kisar mereka yang terakhir, melepaskan setiap mata anak panah, dan juga menyebabkan kecederaan parah terhadap pihak musuh, tetapi Pasukan Tentera Xia masih lagi dapat menyusun semula formasi mereka dengan pantas dan menyerang sekali lagi. Wanita ini dan juga Zhao Yang mengetahui yang kadangkala peperangan ini sekadar persaingan kemampuan bertahan antara kedua pasukan tentera sahaja dan sesiapa yang dapat bertahan paling lama akan menjadi pemenangnya. Zhao Yang telah merancang untuk memberi segala keupayaannya untuk menukar situasi mereka setelah pasukan tenteranya berhadapan dengan kehilangan yang banyak.

"Jeneral, apa yang patut kita lakukan?" Seorang pegawai bawahan meluru masuk dan merenung wanita muda ini dengan anak mata yang penuh teruja. Lagipun, jeneral wanita inilah yang telah berjaya membina senjata-senjata rahsia untuk menyelamatkan mereka, jadi tidak hairanlah jika seluruh Pasukan Tentera Kedua menyokong segala tindakan yang diambil wanita ini. Namun, Chu Qiao menggeleng kepalanya dan membalas tenang, "Kita tiada cara lain lagi. Kita terpaksa bertempur."

Pertempuran berjarak dekat akhirnya tercetus dan bumi pun bagaikan begegar apabila mendengar teriakan mengerikan itu. Formasi Pasukan Tentera Xia bagaikan sebuah lautan yang tidak berpenghujung apabila mereka merempuh tembok Bandar Beishou bagaikan ombak yang menghempas pantai tanpa henti. Kelemahan dalam jumlah angka pasukan tentera Yan Bei sememangnya menghampakan apabila pihak musuh berjaya mendaki tembok setiap kali mereka menyerang dan meragut nyawa para tentera Yan Bei pada masa yang sama. Namun, Garison Utusan Barat Daya tetap mempamerkan kehandalan yang menakjubkan dalam seni bela diri apabila mereka mengawal separuh tembok bandar dengan ahli pasukan yang hanya seramai lebih kurang 3,000 tentera sahaja sambil juga membantu pasukan yang mengawal separuh lagi tembok bandar yang dikawal oleh lebih 60,000 ahli tentera daripada serangan musuh.

Dua hari kemudian, Zhao Yang telah memerintahkan orang-orang bawahannya untuk menggali sebuah parit berdekatan bahagian Timur tembok bandar yang telah menyebabkan sebahagian kecil daripada tembok tersebut runtuh dan 2,000 ahli tentera Xia telah berjaya merempuh masuk ke dalam bandar walaupun Chu Qiao telah menghantar pasukannya dengan pantas. Pasukan tentera yang berada di dalam bandar Beishou itu merupakan pasukan tentera elit Xia dan ia telah mengambil masa selama lebih empat jam bagi pasukan tentera Yan Bei untuk menghapuskan setiap ahli tentera pihak lawan yang lantas membentuk sebukit tinggi mayat.

"Jeneral! Batalion ketiga semuanya dah dihapuskan! Kem Pasukan Pemanah dan Kumpulan Keempat Pasukan Kerahan dah menyerang keluar bandar di bawahan arahan Jeneral Yu. Mereka dah menyebabkan pasukan tentera Xia yang sedang menggali parit di bawah tembok kita itu untuk berundur, tapi mereka semua terkorban! Kem Pasukan Xiaolin dan Pasukan Ke-11 semuanya dah mati disebabkan tembok bandar Timur…"

"Jeneral, kita tak boleh lagi menghalang pihak musuh. Kita hanya mampu bertahan selama empat jam saja lagi. Kita patut berundur!"

He Xiao melangkah mendekati mereka dengan parut dan luka berdarah di seluruh badannya, lantas merayu dengan suara yang serak, "Jeneral, seluruh Garison Utusan Barat Daya menyarankan supaya Cik Puan berundur. Kami boleh jadi pasukan hadapan untuk membuat sebuah laluan untuk Cik Puan di pintu gerbang Selatan."

Wajah Yun Liangyu memucat. Pemuda ini hanyalah seorang pegawai pentadbiran dua hari lalu namun kini dia sedang mendondonkan seragam pertempuran buat para jeneral, lantas berkerut dan mara ke hadapan, "Jeneral, pasukan bantuan tak akan tiba dalam masanya. Kita kesuntukan masa. Tolonglah pimpin Garison Utusan Barat Daya, bersama para wanita dan anak-anak kecil keluar dari kawasan ini. Bergeraklah ke Bandar Lan, dan selagi Cik Puan dapat berjumpa dengan Cik Puan Yu, kita masih mempunyai peluang untuk bangkit semula. Orang bawahan Cik Puan ini sanggup tinggal di Beishou ini untuk melengahkan pihak musuh."

Chu Qiao mengangguk kepalanya perlahan, hanya wanita muda ini sahaja yang mengetahui tiada siapa lagi yang akan berada di Bandar Lan dan mereka hanya akan mengundang pasukan tentera Xia yang berada di kawasan berdekatan sahaja. Wanita ini membalas dengan tegas, "Saya tak akan berundur."

"Tolonglah! Jeneral, Jeneral kena fikir gambaran yang besar! Sekarang ini bukan masanya untuk berdegil!"

Chu Qiao meraih wajahnya dan merenung ke sebalik kaki langit sebelum berkata dengan penuh yakin, "Pasukan bantuan pasti akan datang."

"Jeneral!" Kini, He Xiao seperti telah diserang histeria apabila dia mengamuk, "Kalau pasukan bantuan dalam perjalanan ke sini pun, kita pasti tak akan dapat bertahan selama itu! Kalau kita tak berundur sekarang, kita mungkin tak akan dapat peluang untuk berundur lagi selepas ini."

Chu Qiao mengulangi ayatnya kembali yang masih berbaur keyakinan dan sedikit kepercayaan yang teguh, "Pasukan bantuan pasti akan datang."

Para tentera tersebut berundur dengan tidak berdaya apabila menurut perintah untuk bertempur sehingga ahli terakhir yang sekaligus mengambusi bandar itu dengan teriakan kesengsaraan yang tidak terhingga. Chu Qiao tidak dapat mengenal pasti perasaan apakah di sebalik teriakan itu, adakah ia kemarahan? Kesedihan? Ketakutan? Keinginan untuk membalas dendam? Kengerian? Kebencian? Kehampaan? Ataupun mungkin ia teriakan kematian semata-mata?

Matahari telah bertukar menjadi warna kemerahan bak darah apabila senja menjelang tiba dan pertempuran tersebut telah memasuki babak-babak terakhirnya. Komander Seksyen Ke-8 dalam Batalion Ke-7, yang juga seorang tukang masak, menghunus pisau dapurnya ke dalam tubuh para tentera Xia yang sedang mendaki tembok bandar, sekaligus menyebabkan dia diserang oleh lebih daripada sepuluh tentera Xia, namun tukang masak yang gemuk itu tetap menyerang mereka dan seterusnya terjatuh ke dalam lubang api bersama tentera-tentera pihak lawan. Para tentera Xia bertempiaran di sekeliling dengan penuh panik, cuba untuk memadam api yang sedang membakar pakaian mereka, namun komander tersebut masih lagi terus menyerang para tentera Xia tersebut tanpa mengendahkan langsung api yang marak membakar bajunya, bahkan menambahkan lagi aura mengerikan yang menyelubungi pemuda itu. Pasukan pihak lawan terus menjadi panik dan cuba untuk melarikan diri daripada tukang masak itu bagaikan dia sejenis wabak penyakit. Akhirnya, tukang masak yang sedang terbakar itu menggenggam tangga yang digunakan Pasukan Tentera Xia untuk mendaki tembok dan berguling ke bawah dengan badannya yang gedempol itu tanpa merintih walaupun sekali, meragut nyawa lebih daripada 20 tentera Xia sebelum menghempas ke tanah.

Pada hari tersebut, ratusan tentera telah menyaksikan ketaatan dan keberanian seorang tukang masak.

"Jeneral! Seksyen Ke-8 dah dihapuskan!"

"Bantuan akan datang."

"Jeneral! Bahagian kedua tembok timur dah runtuh! Lebih 300 orang tentera musuh dah merempuh masuk. Batalion Ke-9 dan Ke-10 akan bergerak ke sana untuk bertempur dengan mereka!"

"Bantuan akan datang."

"Jeneral! Berundur dengan cepat! Beberapa formasi terakhir Xia dah masuk ke dalam pertempuran itu!"

"Bantuan akan datang."

"Jeneral…"

...…

Semua orang berasa hampa, memikirkan Chu Qiao telah membuat keputusannya untuk mempertahankan bandar tersebut sehingga ke ahli tentera yang terakhir dan tangisan keperitan berlaung kuat semasa pertempuran tersebut menjadi lebih sengit dengan para tentera Yan Bei yang bagaikan orang gila memberikan segala keupayaan mereka untuk menyerang pihak lawan sambil menghunus pedang mereka ke udara.

Seseorang yang berpangkat tertinggi dalam sesebuah angkatan tentera itu tidak perlu menyertai pertempuran di medan perang, namun pada saat ini, Chu Qiao juga meraih pedangnya tinggi dengan kepercayaan yang teguh yang berlegar-legar di mindanya. Setiap butir saat yang mengalir jatuh ke dalam jam pasir itu bagaikan butiran emas. Wanita ini bergerak ke puncak tertinggi di tembok bandar daripada khemah utama dengan pedang yang berkilau tatkala ia terpantul pada sinaran mentari yang sedang terbenam yang sudah bersedia di dalam genggaman tangan.

Xiao He tiba-tiba bergegas ke arah wanita itu dengan raut wajah yang terkejut, sukar untuk mengenal pasti samada pemuda ini gembira atau sedih semasa dia berlaung cemas, "Jeneral!"

"Jangan cakap apa-apa lagi!" Chu Qiao menyampuk kata-kata pemuda itu semasa dia berkata tegas, "Saya tak akan berundur. Pasukan bantuan pasti akan datang."

"Jeneral," Xiao He menjilat bibirnya yang pucat dan menyambung perlahan, "Pasukan bantuan dah pun tiba."

Tubuh Chu Qiao yang kecil tersentak apabila dia berpaling ke arah jari yang ditudingkan Xiao He dan lantas melihat sebarisan yang berwarna hitam bersama dengan kepulan habuk yang berterbangan di udara di kaki langit dataran Huolei. Bunyi begol tiupan Pasukan Tentera Xia sayup-sayup kedengaran namun melodi yang disenandungkan berlainan daripada tiupan begol kemenangan. Para pengutus Xia bergegas ke tengah-tengah medan pertempuran dengan penuh terdesak apabila mendengar pegawai-pegawai atasan mereka yang sedang terpekik ke arah satu sama lain. Suasana di situ sememangnya hiruk-pikuk sebelum Pasukan Tentera Xia berundur bagaikan ombak yang ditarik ke dalam lautan apabila ia menghempas ke pantai mengikuti bunyi senandung begol tersebut, benar-benar keliru dengan situasi yang terungkap kini.

Bumi bergegar! Boom! Boom! Boom! Segala pergerakan terhenti di Bandar Beishou ini. Para pengawal yang sudah bersiap sedia untuk berhadapan dengan ajal mereka meraih wajah untuk merenung ke ufuk timur untuk melihat sebarisan halus yang berwarna hitam itu lama-kelamaan bertukar menjadi sebatang sungai kecil yang kemudian menjadi lebih besar. Pasukan bahagian rusukan tiba-tiba muncul daripada kepulan awan tersebut bagaikan seekor helang yang meraih kepala sebelum melebarkan kedua belah sayapnya, sungai hitam itu kini bertukar menjadi sebuah lautan!

Para penceroboh tersebut kelihatan seperti langsung tidak dapat dikalahkan dengan formasi mereka yang amat teratur itu! Helang pertempuran yang disulamkan ke dalam bendera-bendera hitam yang berkibar megah di atas lautan hitam tersebut merenung tajam ke arah pasukan tentera musuh mereka. Para pahlawan tersebut lantas menghunus pedang mereka dan lantas meraihnya secara menegak di hadapan wajah mereka sambil mengawal kuda yang ditunggang dengan kaki sebelum berlaung megah dan lantang, "Demi kebebasan!"

Bunyi begol pertempuran itu bergema di seluruh kawasan yang lantas membawa bumi Beishou bergetar bersamanya apabila mereka bersorak ceria!

"Itu bendera helang hitamlah! Itu Tuanku! Tuanku dah sampai!"

"Pasukan bantuan kita sudah tiba!"

Sorakan para tentera yang bercampur dengan tangisan kegembiraan bergema kuat. Bandar ini telah menyaksikan kematian para tentera sekutu dan juga musuh yang tidak terkira ramainya dalam beberapa hari ini, sudah pastinya pasukan ini diselubungi dengan perasaan riang dan juga rahmat apabila cahaya harapan tiba-tiba bersinar menerangi mereka.

Manakala Pasukan Tentera Xia pula sedang diselubungi perasaan panik yang teramat sangat. Zhao Yang berasa sukar untuk mempercayai semua ini lantas dia menempik, "Macam mana ini boleh jadi? Macam mana mereka boleh mengepung kita!"

"Tuanku! Tuanku!" Seorang pengutus meluru ke arahnya namun pemuda ini agak pelik kerana dia sedang memakai pakaian seragam yang hanya akan dilihat di Bandar Zhen Huang sahaja. Pengutus itu yang kotor berdebu itu menjerit, "Perintah daripada ibu negara maharaja! Tuanku diperintahkan untuk berpatah balik ke ibu negara untuk mempertahankannya! Si pemberontak Yan Xun dah memimpin 500 ribu ahli tentera ke dalam kawasan ibu negara maharaja. Seluruh daerah di barat laut sudah menjadi tandus. Sekarang, dia dah berpatah balik untuk mengepung pasukan tentera Tuanku!"

Zhao Yang lantas menendang tentera tersebut daripada kudanya dan lantas pengutus itu pun jatuh berdebap sebelum putera tersebut menempik, "Kenapa tak tunggu sehingga mereka bunuh kita saja sebelum kamu laporkan kepada aku?"

"Hamba Tuanku ini dah mengembara sehari semalam. Semua rakan seperjuangan saya dah mati disebabkan oleh Pasukan Tentera Yan Bei. Saya tiada pilihan lain dari menjadi lebih berwaspada…" Tentera itu cuba untuk berdalih, namun dia telah ditendang dengan kuat oleh Zhao Yang sekali lagi sebelum sempat dia menghabiskan kata-katanya, dan Putera Keempat Belas itu mengarah dengan pantas, "Semua ahli tentera kita kena bertahan! Tiada sesiapa yang patut berundur. Kita hanya akan mampu bersaing dengan pihak musuh dengan mengekalkan formasi kita!"

Namun sebelum sempat putera tersebut menghabiskan kata-katanya, Pasukan Tentera Barat Daya, penggabungan kuasa tentera daerah utara, dan juga Pasukan Tentera Keluarga Batuha semuanya telah diselubungi dengan perasaan panik yang teramat dan sudah bertempiaran melarikan diri, hanya Pasukan Tentera Barat Laut sahaja yang masih cekal menghadapi kuasa tentera Yan Bei.

Zhao Yang menutup matanya dengan penuh kecewa. Benarkah para dewa juga menginginkan kejatuhan Empayar Xia?

Kekalahan Pasukan Tentera Xia berlaku dalam sekelip mata sahaja apabila segala pertahanan yang dibina mereka diruntuhkan oleh pasukan tentera Yan Bei. Kini dengan kelebihan dalam jumlah angka ahli tentera, kehandalan seni bela diri para tentera, semangat juang, dan juga elemen kejutan, Pasukan Tentera Yan Bei hampir dijamin kemenangan dalam pertempuran ini. Tentera Xia telah diusir keluar dari dataran Huolei dalam masa kurang dari empat jam dan terus bergerak ke arah pergunungan Helan dan 100 ribu ahli tentera telah dihantar keluar untuk mengejar ahli-ahli tentera lawan yang sedang melarikan diri!

Hari itu merupakan November pertama pada tahun 775 dalam Kalender Bai Cang. Pasukan Tentera Helang Hitam yang telah berjaya menyusup jauh ke dalam bumi Xia itu tiba-tiba telah berpatah balik dengan kelajuan yang bagaikan kilat apabila mereka meluru di sebalik hutan-hutan pada siang dan malam hari, sehingga makan dan tidur juga di atas belakang kuda. Mereka menyertai pertempuran tersebut tanpa sebarang rehat yang lantas mengejutkan para tentera Xia yang terus menjadi panik!