Chapter 161 - Bab 161

Wu Danyu yang muda dan kacak itu hanya menurut. Pemuda tersebut bukanlah ahli asal Garison Utusan Barat Daya dan telah dimasukkan ke dalam pasukan tentera itu kemudiannya oleh He Xiao dan yang lain. Dahulunya, dia seorang perompak yang terkenal di Pergunungan Helan.

"Jeneral, kalau Cik Puan tak kisah, saya akan fikirkan cara untuk mengumpan pihak musuh ke Tasik Ribuan Ais. Saya tahu bentuk muka bumi di sana. Sekali mereka masuk ke sana, mereka pasti tak akan mampu keluar lagi!"

Chu Qiao berfikir sejenak sebelum mengujar, "Kita ikutkan saja pergerakan mereka. Kalau diizinkan, saya akan benarkan kamu untuk ambil alih situasi tersebut."

Wu Danyu ketawa dan membalas, "Terima kasih, Jeneral!"

"He Qi, bawa pasukan ketiga untuk awasi tembok bandar utara. Bekerjasama dengan pasukan pertama untuk pertahankan Chidu. Komander He Xiao, saya akan serahkan pintu gerbang bandar Chidu kepada kamu. Seluruh Yan Bei akan memerhatikan kamu dari belakang."

Anak mata He Xiao mula bersinar sebelum pemuda itu menunduk hormat dan berkata serentak bersama saudaranya, "Kami tak akan hampakan Cik Puan!"

"Objektif pertempuran ini bukanlah untuk menghapuskan pasukan pihak lawan tapi untuk melancarkan serangan berskala kecil saja untuk menjejaskan semangat musuh sambil memutuskan bekalan rangsum mereka. Dengan itu, mereka akan berundur kerana sudah keletihan lalu menangguhkan serangan mereka terhadap Chidu. Ingat semua, masa dan kesabaran itu senjata kita. Bantuan daripada Tuanku akan tiba dalam masa tujuh hari, jadi bertahuanlah!" Chu Qiao mendongak lalu cahaya mentari pun menyinari wajah putih mulusnya yang membuatkan wanita ini kelihatan bak bidadari. Para tentera muda lain memandang gadis yang lebih muda daripada mereka itu dengan penuh kesungguhan.

Bilik tersebut kecil namun cahaya yang menerangi bilik itu terasa sangat terang. Chu Qiao menghulurkan tangannya perlahan-lahan lalu meletakkannya di dada sebelum . berkata dengan serius, "Kalian, pertempuran dah dekat. Kita sudah tiada masa lagi untuk berpatah balik. Negara kita ini dalam bahaya. Sebagai seorang tentera yang setia, dah menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi para rakyat jelata negara ini. Sama ada kita menang atau tewas, kita tak hampakan Yan Bei. Kita tak boleh biarkan semangat kita pudar. Kita tak boleh biarkan bendera yang berkibar di atas kepala kita diturunkan! Pertempuran ini akan menentukan sama ada kita hidup atau mati. Hati-hati semua!"

"Jeneral pun hati-hati juga!" Lebih sepuluh pasang tangan meniru isyarat tangan Chu Qiao.

Angin utara bertiup kencang di luar bilik tersebut yang diterangi dengan cahaya terang. Tidak jauh dari tembok kota, tentera pihak lawan sedang mengasah senjata mereka sementara Chu Qiao memberi arahannya kepada pasukan tenteranya sebelum mereka keluar dari bilik dan bergerak ke dalam formasi pertempuran masing-masing di medan perang. Wanita ini tidak pasti samada tentera-tentera ini masih dapat merenung sinaran matahari selepas pertempuran ini.

Pertempuran bermula pada malam itu. Pengawal asal di Bandar Chidu telah dikenakan dengan teruk sekali. Namun, permulaan pertempuran tidaklah setegang yang disangkakan. Bantuan pihak lawan kelihatan seperti disekat dan menyebabkan mereka menghantar askar di bahagian depan ke belakang untuk pertahanan. Formasi mereka di belakang pula telah terjejas disebabkan kekacauan kecil yang berlaku.

Chu Qiao menyedari Feng Ting telah berjaya melakukan serangannya berdekatan Pergunungan Helan. Tentera Xia telah berada dalam satu tempat yang tidak diketahui dan sehingga kini, mereka tidak mendengar apa-apa khabar daripada Yan Xun dan pasukan Askar Kedua. Berdasarkan kepekaan Zhao Yang, dia tidak akan bertindak. Motifnya menghantar pasukan tentera yang kecil ialah memastikan kebimbangan pihak lawan sahih dan pergerakan mereka akan disekat.

Ternyata Zhao Yang sememangnya seorang komander yang terunggul. Walaupun Feng Ting sudah mengeluarkan dekri rasmi, namun Chu Qiao masih telah mengubah banyak butiran dalam strateginya lalu merangka sebuah rancangan yang kukuh dan rumit. Akan tetapi, pada subuh hari kedua, serangan di Pergunungan Helan dianggap sebagai sebuah rancangan yang gagal. Rancangan asal ialah mempertahankan wilayah tersebut selama dua hari tetapi pasukannya tidak dapat bertahan walaupun sehari. 1,000 orang askar dari Garison Utusan Barat Daya telah dihapuskan malam itu dan tiada sesiapa yang terselamat.

Oleh sebab kegagalan Feng Ting, Mu Rong dan Ah Mu telah berhadapan dengan serangan tentera Xia lebih awal. Pertempuran bermula dari pagi sehinggalah tengah hari. Abang Ah Mu pulang ke bandar melalui jalan pintas dan menyatakan mereka telah gagal menyempurnakan misi mereka. Lebih 2,000 orang askar terkorban dalam pertempuran itu dan yang lain telah dihapuskan serta-merta.

Tentera Xia yanv mengamuk terus mara dengan pantas ke pintu bandar Chidu tetapi telah diserang hendap di sebalik semak-samun dalam hutan sewaktu perjalanan ke sana. Sebuah pasukan yang terdiri daripada 500 orang itu telah memecah masuk ke dalam teras Tentera Xia di kawasan yang tidak berpenghuni lalu berjaya menyempurnakan pembunuhan mereka sebanyak tiga pusingan. Mereka juga berjaya membakar bendera dan khemah utama pihak musuh. Ketua pasukan menggunakan anak panah boleh sentut untuk menusuk titik akupunktur Timbalan Komander Taiyang. Dengan sekali tarik sahaja, separuh otak komander Xia itu tersembul keluar.

Pergerakan Pasukan Tentera Xia mula menjadi kucar-kacir. Ketua pasukan mengejar mereka. Zhao Yang agak terlambat untuk mencegah hal ini dari berlaku jadi, pada hari itu, Tentera Xia telah kehilangan 8,000 orang askar elit disebabkan lemas dan kesejukan di dalam air beku Tasik Seribu Ais.

Tentera Xia mula mengamuk, lantas menghantar 200,000 orang askar tetapi masih merasai kekalahan. Zhao Yang sendiri pun tidak mampu untuk mengawal teriakan untuk membalas dendam yang timbul dalam pasukan. Mereka yang terdesak tidak mempunyai pilihan lain lagi melainkan kembali menyerang dan menumpukan perhatian untuk memusnahkan musuh seramai 500 orang ini. Walaupun bilangan orang dalam pasukan Wu Danyu melebihi mereka, tetapi mereka mengakali musuh kerana mereka sudah terbiasa dengan rupa bumi dan keadaan di sini. Namun, pasukan seramai 500 orang itu berjaya mengelak daripada tentera Xia yang sudah bersusah-payah menjejak mereka selama dua hari tanpa kehilangan semangat berjuang mereka. Mereka berjaya melengahkan masa untuk mempertahankan Chidu.

Selepas dua hari berlalu, Zhao Yang tiba-tiba mengarah pasukannya untuk berundur. Dalam kekeliruan tentera Yan Bei, tentera Xia tiba-tiba menumpukan seluruh kekuatan 200,000 orang tenteranya untuk membersihkan seluruh hutan itu. Dalam masa kurang dari setengah hari, hutan pokok pain itu telah dibasmi. Kini, pasukan Wu Danyu seramai 500 orang itu telah terdedah sepenuhnya kepada musuh.

Chu Qiao berdiri di tembok bandar yang tinggi sambil melihat pasukan Wu Danyu seramai 500 orang itu dihapuskan oleh tentera Xia tanpa tentangan. Mereka seperti riak di tasik yang segera menghilang.

"Demi kebebasan!" Satu teriakan yang kuat bergema dari jauh. Setelah itu, kesenyapan melanda bandar Chidu. Askar-askar menanggalkan topi keledar mereka. Setelah menyaksikan rakan sepasukan terkorban dalam pertempuran di luar bandar, ramai askar lama yang menangis dalam diam. Matahari menyinari dengan terang di langit. Setelah tiga hari bertempur, tentera Xia akhirnya berjaya mengepung bandar Chidu sepenuhnya. SituJing berdiri di sebelah Zhao Yang sambil mengujar dengan rasa hormat, "Tuanku Keempat Belas, saya ada terima beberapa berita daripada tentera kerahan yang kami tangkap. Tentera yang bertugas untuk mengawal bandar adalah Garison Utusan Barat Daya iaitu pengkhianat Xia. Komander mereka ialah seorang wanita dan namanya Chu Qiao. Dia juga seorang pemberontak Xia."

"Chu Qiao?" Zhao Yang mengujarkan dua perkataan itu dengan tenang. Dia memejamkan matanya perlahan-lahan. Setahun sudah pun berlalu tetapi ia terasa seperti sudah lama dia tidak bertemu dengan wanita ini, lalu pemuda ini terus terkenangkan malam Yan Xun melarikan diri dari Zhen Huang dan kata-kata Zhao Che apabila dia menudingkan jarinya ke arah bayang-bayang itu. Abang ketujuhnya begitu handal dalam mempertahankan diri tetapi pemuda itu buntu dengan cara tidak tahu bagaimana untuk menyesuaikan diri. Dia tidak pakar mengatur rancangan untuk mendapatkan kuasa. Dalam keadaan kucar-kacir seperti ini, sekalipun dia mempunyai kebolehan untuk berjaya, dia tidak akan mampu mendapatkan pertahanan di istana. Namun, Zhao Yang terpaksa mengakui penghakiman Zhao Che hebat. Oleh sebab kata-katanya pada waktu itulah, mereka telah berjaya sampai ke sini.

"Tuanku, Tuanku?" Situ Jing berkata dengan nada rendah. "Sila berikan arahan." Pengembaraannya begitu sukar selama ini. Walaupun dia tinggal di istana agak lama, tetapi tiada sesiapa yang pernah membantunya walaupun hanya sekejap. Dunia ini tidak berbelas kasihan dan dia telah banyak kali merasainya.

Imej dalam fikirannya kini menghilang. Dengan wajah yang serius, Zhao Yang berkata perlahan-lahan, "Mari teruskan dengan kuasa penuh. Apabila kita memecah masuk ke dalam Chidu, bunuh semua orang di dalam bandar dan bakar bendera mereka."

Swoosh! Angin bertiup dan menyebabkan bendera tentera Xia berkibar tinggi di udara. Segala yang menghalang mereka akan dihapuskan! Bandar Chidu, tenteranya, musuh, hubungan kekeluargaan, kelemahan, perasaan teragak-agak dan… hati nurani!

Di bawah sinaran matahari yang terang, tentera Xia menjalankan serangan berdepan-depan yang pertama terhadap Bandar Chidu. Ribuan askar mara ke hadapan sambil menunggang kuda mereka dan menderap melalui dataran. Bunyi telapuk kuda begitu bingit. Tentera berkuda memakai pakaian seragam untuk berperang dengan kemas. Pedang mereka kelihatan berkilau sahaja sebaik dihunuskan. Baju zirah mereka pula bersinar-sinar apabila cahaya matahari memancarkan baju zirah berwarna merah seperti darah itu. Burung helang Yan Bei berlegar-legar di langit. Angin dingin meniupkan salji ke udara lalu menyelubungi askar-askar itu dengan lapisan putih. Pemandangan kini kelihatan lebih menggerunkan.

"Bunuh musuh kita!" Bunyi laungan perang yang kuat berkumandang. Tentera Xia mengaktifkan isyarat untuk memulakan peperangan. Pasukan tentera berkuda pertama mengayunkan pedang mereka ke kepala pihak musuh lalu bergegas ke pintu bandar. Askar pasukan berkuda yang lain mengekori dari belakang, manakala batalion infantri mengapit mereka di kedua-dua sisi. Pemanah-pemanah di bawah perlindungan askar berperisai mara ke hadapan dan berlindung di parit, bersedia untuk menyerang. Musuh berada di mana-mana. Pedang mereka yang dikenali sebagai salah satu senjata yang menggerunkan di dunia juga ada di mana-mana. Askar-askar melaungkan teriakan yang kuat sehingga tanah bergegar tanpa kawalan. Suasana di tembok bandar Chidu hanya sunyi sepi sahaja dan berbeza dengan suasana riuh-rendah tentera Xia. Askar-askar daripada Garison Utusan Barat Daya menunggu dengan senyap di atas pintu bandar bersama senjata mereka, sambil menunggu masa yang sesuai untuk menyerang.

Komander He Xiao memegang sebuah busur silang di tangannya. Dia menarik sebatang anak panah tajam sambil memejamkan sebelah matanya lalu melepaskan anak panah tersebut!

Swoosh! Tentera Xia dibahagian hadapan telah dipanah. Kekuatan anak panah yang dilepaskan itu sudah cukup untuk membuatkannya jatuh berguling di atas tanah selama empat atau lima kali.

Tentera Xia terkedu buat seketika dan terperanjat dengan kekuatan He Xiao. Namun, mereka cepat-cepat tersedar dan memastikan kejadian ini tidak berulang kembali. Mereka cepat-cepat memungut kembali keberanian mereka dan mara ke pintu bandar dengan segera.

"Sedia!" Tempik He Xiao sambil mengangkat tangannya. "Tembak!"

Langit tiba-tiba berubah gelap. Matahari kini dilindungi awan mendung. Anak panah bertalu-talu dilepaskan di udara dengan kelajuan yang menggentarkan. Ia terbang ke arah tentera diraja yang dikatakan kebal itu. Askar-askar di bahagian hadapan telah dipanah dan seorang demi seorang jatuh dari kuda mereka lalu menumbangkan tiga atau empat orang askar di belakang mereka. Ia seolah-olah seperti mimpi ngeri buat mereka. Kuda-kuda perang turut rebah di atas tanah sambil meringkik kesakitan. Askar-askar menjadi papan sasaran nyata bersama anak panah yang sudah tertusuk pada tubuh mereka seperti seekor landak. Darah mereka kini mencemari tanah bersalji tersebut.

Zhao Yang berkerut dan mengeluarkan perintah kecemasan untuk tentera berkuda dan askar membawa perisai bersama untuk memperkukuh barisan hadapan mereka. Namun, sebelum sempat mereka menghampiri, anak panah bertalu-talu dilepaskan ke arah mereka. Tentera Xia ketawa terbahak-bahak manakala tentera berkuda menunjuk-nunjukkan baju zirah mereka dan mencemuh tentera Yan Bei yang memperlekehkan mereka. Akan tetapi, sebelum sempat tawa mereka berhenti, anak panah itu menembusi baju zirah mereka dengan kekuatan yang menakutkan. Mereka tidak mempunyai masa untuk meminta bantuan berikutan dengan arahan yang dikeluarkan dengan segera. Kematian, rayuan meminta tolong, darah dan mayat. Setelah berhadapan dengan serangan yang menakutkan ini, tiada sesiapa yang berani mara ke hadapan. Barisan hadapan tentera telah dihapuskan dengan segera. Pegawai-pegawai Xia menghunuskan pedang mereka dan menghapuskan lebih sepuluh orang askar untuk mengawal situasi yang mana askar-askar ingin melarikan diri ke belakang.

"Maju! Selepas aku!" Seorang komander yang sedang menunggang kudanya berteriak sambil menggunakan pedangnya untuk memukul-mukul baju zirah yang menutupi dadanya. Sebelum sempat dia menghabiskan kata-katanya, sebatang anak panah tajam menembusi otaknya dan menyebabkan darah terpancut keluar lalu merebahkan tubuhnya di atas tanah.

"Sesiapa yang berundur akan mati! Sesiapa yang berundur akan mati! Pihak lawan tak sampai 10,000 orang pun. Setelah kamu mencecah anak bukit di hadapan, kamu akan dianggap sebagai pahlawan perang!" Pegawai-pegawai melaungkannya dengan kuat untuk menaikkan semangat tentera mereka. Walau bagaimanapun, mereka ialah pasukan utama bagi ibu negeri. Mereka yang mengharungi kesusahan enggan berpatah balik dan hanya ingin terus mara dengan kuda mereka sahaja. Sebuah pasukan tentera yang ramai terus mara ke hadapan seperti banjir kilat yang tidak dapat dihentikan.