Chapter 160 - Bab 160

Pegawai itu hampir mengeluarkan tangisan semasa dia melonjak naik ke atas kudanya sekali lagi dan melibas cemetinya sebelum meluru ke arah Zhao Qi untuk melaporkan hal tersebut. Zhao Yang lantas tersenyum apabila dia bersandar pada kerusinya sambil merenung garisan-garisan yang telah dilukis pada peta tersebut sebelum memejamkan matanya dan berkata perlahan, "Beishou, Chidu, Bandar Lan, Daerah Chunyu, Yaoshui, Sempadan Meilin…"

Walaupun tiada sesiapa yang benar-benar mengetahui mengapa Zhao Yang teragak-agak untuk menyerangnya, tetapi bagi Chu Qiao, ia adalah satu rahmat dari para dewa. Jadi, wanita ini segera mengatur semula sistem pertahanan bandar sementara juga menguruskan perunduran para rakyat jelata dari bandar tersebut dan melantik beberapa sukarelawan ke dalam pasukannya untuk bertempur sebentar lagi. Chu Qiao langsung tiada masa untuk bersorak kelegaan dalam beberapa saat penangguhan serangan ini.

Bunyi teriakan dalam bandar beransur berkurangan apabila malam menjemput. Chu Qiao yang sedang berjalan di jalan-jalan yang kosong itu terasa sejuk secara tiba-tiba dan lantas Ge Qi melangkah ke arahnya untuk menyelimuti wanita ini dengan sehelai jubah. Chu Qiao lantas mengangguk sebagai tanda terima kasih kerana jubah yang tebal itu telah dapat menghalang angin yang kencang daripada terus membekukan tulang sumsumnya.

Pintu-pintu gerai di sepanjang jalan semuanya terbuka luas tanpa seorang pun di dalam dan lantas bunyi dentuman baldi kayu yang terjatuh telah ditiup dek angin memecah kesunyian sebelum ia bergolek-golek di atas tanah. Udara di kawasan itu pengap dengan kesepian yang diselimuti dengan kesunyian.

"Jeneral, kita pasti tak akan menang, kan?" Chu Qiao lantas terkejut apabila soalan yang sebegitu mendalam tiba-tiba diajukan kepadanya sebelum wanita itu berpaling untuk berhadapan dengan Ge Qi yang sedang merenungnya sambil tersenyum tenang. "Kalau Cik Puan betul-betul yakin dengan kemenangan kita, mesti Cik Puan takkan aturkan perunduran rakyat jelata daripada bandar."

Chu Qiao langsung tidak menjawab kata-kata pemuda itu dan terus berpaling. Wanita ini merupakan seorang pegawai atasan yang telah menerima pendidikan ketenteraan moden yang terbaik, jadi sudah tentulah dia mengetahui kesan sesebuah peperangan. Keajaiban tidak boleh berlaku jika pihak tentera mereka langsung tidak mempunyai sebarang penentangan yang sepadan terhadap pihak lawan dan mereka masih perlu mencari kelebihan mereka tersendiri untuk menentang kekuatan pihak musuh walaupun nasib tidak menyebelahi mereka. Wanita ini perlu mengawal bandar yang mempunyai pertahanan yang lemah bersama pasukannya yang seramai hanya sepuluh ribu orang tentera untuk berhadapan dengan pasukan tentera elit seramai 200 ribu orang, ditambah lagi dengan beberapa kumpulan tambahan yang bakal datang untuk membantu pihak musuh. Sudah tentulah tiada sesiapa yang akan berasa yakin dalam pertempuran sebegini namun wanita ini langsung tidak boleh mempamerkan emosinya kerana dialah ketua pasukan tentera ini lantas menjadikan dia harapan mereka. Jadi, apa yang akan terjadi pada semangat juang pasukannya jika wanita ini juga berputus asa?

Chu Qiao mengeluh perlahan. Tiba-tiba, dia ternampak sebuah kelibat kecil di hadapannya dan lantas wanita ini berkerut, manakala Ge Qi pula sudah melangkah ke hadapan dengan penuh berwaspada sambil melindungi wanita ini. Ge Qi menempik, "Siapa kamu?"

Para pengawal yang mendekati terus mendapati kelibat kecil itu sebenarnya seorang budak kecil yang kelihatan dalam lingkungan usia 12 ke 13 tahun. Budak lelaki itu sedang memakai sehelai kot yang nipis sambil memegang sebungkusan kecil, wajahnya sudah bertukar kemerahan dek cuaca yang sungguh dahsyat sambil mendongakkan wajahnya bangga, mempamerkan aura kedegilan.

Chu Qiao berkerut dan bertanya, "Kamu daripada keluarga mana? Kenapa kamu tak pergi dengan rakyat jelata yang lain?"

Budak lelaki itu langsung tidak menjawab dan terus menundukkan wajahnya. Chu Qiao yang sedang memandangnya itu mengagak budak tersebut baru sahaja melarikan dirinya dari pintu gerbang barat dan terus berpaling sebelum beredar.

"Hei! Jeneral tak mahu berbuat apa-apa pada saya?" Budak lelaki itu berasa pelik dan terus bertanya setelah melihat Chu Qiao yang langsung tidak mempedulikannya, "Jeneral tak mahu usir saya keluar dari bandar?"

Chu Qiao membalas dengan tenang, "Kalau kamu nak hidup atau mati, itu bukan masalah saya. Saya ada banyak perkara untuk diuruskan, jadi saya memang tiada masa untuk melayan kerenah kamu."

Budak tersebut berasa sungguh terkejut, seolah-olah dia baru sahaja dihina oleh wanita itu apabila dia berkata lantang, "Saya berumur 15 tahun pada tahun ini! Saya dah cukup besar untuk menjadi seorang tentera!"

Chu Qiao memerhatikan budak lelaki tersebut tanpa sebarang emosi. Lantas kanak-kanak itu berkata, mungkin dia juga mengetahui penipuannya itu terlalu jelas, "Saya mungkin nampak kecil, tapi saya kuat!"

Chu Qiao langsung tidak mengendahkan anak kecil itu, dan budak kecil itu terus meluru ke arah wanita ini namun dia telah dihalang oleh Ge Qi. Akan tetapi, budak lelaki itu masih tidak berputus asa apabila dia melompat-lompat untuk meraih perhatian wanita itu sehingga telah melipat-lipat lengan bajunya untuk mempamerkan lengannya yang berotot itu.

"Kenapa kamu tak pergi lagi?" Chu Qiao tiba-tiba bertanya.

Anak kecil itu berasa terkejut dan terus berhenti daripada mempamerkan kekuatannya, berasa teragak-agak seketika sebelum membalas, "Adik perempuan saya sakit, dia tak boleh pergi."

Hati Chu Qiao meluluh, wanita ini pernah melihat banyak kejadian sebegini yang berlaku semenjak bertahun-tahun lalu dan lantas berasa segala pembunuhan yang telah dilakukannya selama ini akan menjadi berbaloi tidak lama lagi. Hanya dengan kemusnahan status quolah yang akan membentuk sebuah pegangan hidup yang baru. Sesetengah bayaran perlu dibayar apabila sesebuah negara itu memohon kemerdakaan dan harapan wanita ini supaya anak-anak kecil ini tidak perlu menjadi papa kedana lagi, dan para rakyat jelata tidak perlu berasa risau terhadap kewujudan mereka. Chu Qiao merasakan jika sesuatu yang semudah dan seringkas itu boleh terjadi, maka ia akan menjadi cukup baik buat negara itu.

"Siapa nama kamu?"

"Orang panggil saya Du Gouzi."

Chu Qiao lantas berkerut. Anak kecil ini kelihatan sangat comel, namun kenapa mereka memberikan nama sebegitu kepadanya?

"Nama itu tak sedaplah. Biar saya bagi nama yang lain kepada kamu."

Budak lelaki itu berfikir sejenak sebelum bersetuju. "Baiklah, tapi nama keluarga saya mesti Du juga."

Chu Qiao berdiri dengan renungan mata tajam yang disasarkan di sebalik kejauhan. "Jadi, nama kamu sekarang ini Pingan." Wanita ini memang benar-benar berharapkan keamanan menyelubungi tanah tinggi Yan Bei ini dengan seikhlas-ikhlas hatinya.

Sejam setelah babak itu berlalu, seluruh kontigen Garison Utusan Barat Daya berkumpul di dataran kecil di bahagian barat bandar dengan bulan yang terang menyuluh cahayanya di atas kepala para tentera. Chu Qiao yang sedang berpakaian tentera berdiri di atas pentas kayu sementara merenung para tentera yang telah bertarung bersamanya mengharungi saat genting dengan pandangan sayu. Lantas dia berkata dengan bersungguh-sungguh, "Hadirin sekalian, saya terhutang budi atas kepercayaan kamu semua kepada saya melalui semua ini. Kita dah bertempur bersama dari Ibu Negara Maharaja Zhen Huang, juga di Dataran Hongchuan, dan juga di luar pintu gerbang Beishou dan dah merasai keperitan bersama. Saya berterima kasih kepada kamu semua sebab dah ikut saya dan dah percaya pada saya sehingga hari ini kamu akan bertempur bersama saya melalui situasi yang mustahil ini. Saya betul-betul minta maaf." Chu Qiao menundukkan badannya sebagai tanda hormat sebelum menegakkan kembali badannya dan menyambung, "Saya tak mahu terus menipu kamu semua, jadi sebelum pertempuran kita, saya akan beritahu kamu yang kita tak ada sebarang kumpulan bantuan. Bandar Chidu tidak akan memberi sebarang bantuan dalam pertempuran ini jadi kita akan keseorangan tanpa seorang pun yang akan beri sebarang bantuan."

Pasukan tentera tersebut terus menjadi panik namun perasaan itu serta-merta dibenamkan jauh ke dalam hati apabila para tentera tersebut merenung Chu Qiao dengan harapan wanita ini mempunyai penjelasan lain.

"Pasukan Tentera Xia akan pecahkan pasukan mereka menjadi dua kumpulan dan pasukan utama mereka seramai 400,000 orang tentera tidak termasuk pasukan bantuan dan juga para pegawai logistik itu akan memulakan serangan mereka di bahagian Timur Beishou. Sebuah lagi pasukan yang seramai 200,000 orang tentera itulah yang bakal menjadi pihak lawan kita selepas ini. Mereka dah mendaki Pergunungan Helan itu dan bakal menjalankan serangan mengejut di Bandar Chidu dan objektif mereka ialah menawan bandar ini! Setelah itu, jutaan tentera dan rakyat jelata Beishou yang sudah tak mempunyai tempat perlindungan lain untuk dituju pasti akan dihapuskan oleh Pasukan Tentera Xia! Pasukan Tentera Elit Yan Bei juga pasti akan mengalami kekalahan teruk dan seluruh daerah timur Yan Bei akan jatuh ke dalam kawalan Empayar Xia! Bandar Lan juga tak boleh nak berikan kita sebarang pasukan bantuan kerana mereka sedang bertindak sebagai barisan pertahanan kedua buat masa sekarang ini. Mereka juga hanya ada 100,000 ahli tentera yang mengawal stesen signal asap yang berada di sepanjang Pergunungan Luori itu. Pasukan tentera yang diketuai oleh Tuanku sekarang berada di Sempadan Meilin jadi mereka tak akan sempat tiba di sini untuk bantu kita."

Cahaya daripada obor api yang menerangi wajah kecil milik wanita ini menunjukkan kesungguhan hatinya apabila Chu Qiao yang sedang berdiri tegak itu berkata dengan anak mata yang bersinar terang penuh yakin, "Dengan itu, pertempuran kita kali ini bakal menjadi memeritkan. Pasukan tentera lawan melebihi kamu sebanyak dua puluh kali ganda, dan angka mereka hanya akan bertambah tidak lama lagi. Tapi kita tak boleh sekali-kali berundur. Kalau kita berundur, rakyat Beishou akan terbiar begitu saja dan mereka tak boleh nak larikan diri. Lagipun, belakang kita ini juga rakyat pergunungan Luo Ri ini. Kalau kita tak lindungi mereka, Pasukan Tentera Empayar Xia pasti akan bunuh mereka dengan kejam tak kiralah kalau mereka itu orang tua, para wanita, anak-anak kecil, mereka semua pasti akan mati dengan dahsyat. Yan Bei pasti akan hancur!"

Mata Chu Qiao yang kemerahan itu terus bertukar ceria. "Para tentera Garison Utusan Barat Daya, kalian semua selalu dipanggil pengkhianat. Ahli-ahli sebelum kamu dah mengkhianat Yan Bei dan mengkhianat asal-usul mereka sendiri, dan dalam lapan tahun itu, semua orang dah memandang rendah terhadap kamu semua. Kamu dah menjadi mangsa kepada segala fitnah dan juga khabar angin orang ramai walaupun kamulah yang telah ditinggalkan Putera Yan Xun semasa Tuanku melarikan diri daripada Bandar Zhen Huang, walaupun kamulah yang telah memulakan rusuhan yang sungguh dahsyat di Zhen Huang, walaupun kamulah yang telah mengalahkan pakatan Pasukan Tentera Barat Laut yang melebihi kamu sebanyak sepuluh kali ganda, tapi kamu masih lagi digelarkan sebagai pengkhianat. Tiada sesiapa yang dah percayakan kamu, tiada sesiapa yang nak terima kamu. Tapi pada hari ini, segalanya akan berubah sebab satu peluang sudah berada di depan mata kamu sendiri. Selagi kamu boleh mengharungi semua ini, kamulah Wira Pahlawan Yan Bei! Wira semua rakyat Yan Bei!"

Anak mata setiap ahli tentera membara dengan perasan semangat juang yang berkobar-kobar di dalam salji yang masih menyelimuti bumi dan juga angin kencang yang membeku. Chu Qiao berdiri tinggi di dalam kegelapan tersebut bagaikan panji yang berkibar megah menunjuk arah kepada para tentera. Wanita ini berkata lantang dengan penuh kesungguhan, "Pahlawan, ambil senjata kalian dan ikut saya! Kita akan lindungi Yan Bei, lindungi rakyat jelata yang tak dilindungi itu. Kita akan gunakan darah pejuang kita untuk hapuskan segala penghinaan lampau. Martabatkan nama kita, dan biarkan nama Garison Utusan Barat Daya untuk disebut megah sekali lagi! Sesetengah daripada kita bakal jatuh, dan sesetengah daripada kita tak akan dapat bertemu musim sejuk tahun depan, tapi ingatlah rakyat jelata kita akan sentiasa menghargai segala pengorbanan kamu semua, dan Yan Bei akan mengingati kesetiaan kamu. Nama kamu akan terpampang megah di arkib pencapaian ketenteraan Yan Bei, dan akan sentiasa diperingati oleh cucu-cicit kita! Pahlawan, saya akan terus berada bersama kamu, melalui hidup dan ajal, dan jangan sekali-kali tinggalkan rakan seperjuangan!"

"Melalui hidup dan ajal! Jangan sekali-kali tinggalkan rakan seperjuangan!" Para pahlawan tersebut bersorak secara serentak sambil meraih kedua belah tangan mereka dengan mata yang kemerahan, ada juga yang sudah mengalirkan air mata. Penghinaan yang harus ditanggung mereka selama bertahun-tahun telah bertukar menjadi salah satu kekuatan mereka apabila mereka membalas, "Lindungi Yan Bei!" Suara mereka bergema kuat bagaikan angin telah menghembus nada suara mereka sehingga ke angkasa!

Sorakan yang penuh berbaur dengan kesungguhan para tentera bergema sungguh kuat sehingga ia boleh didengari sehingga ke dataran di sebalik bandar. Zhao Yang yang sedang memakai sepasang jubah putih lantas mendengus apabila mendengar kesungguhan mereka dan memutuskan masanya telah tiba untuk menyerang. Zhao Qi pasti akan mengamuk jika dia melengah-lengahkan masaa lagi.

Pemuda itu merenung bahagian bawah tembok bandar sambil menepis emping-emping salji yang mendarat pada baju kotnya. Pada pandangan pemuda ini, kawasan ini tidak boleh dipanggil sebuah bandar pun! Lalu dia pun mengambil pandangan sekilas ke arah Chidu yang ditenggelami kegelapan itu sebelum mengarah beberapa orang jeneralnya dengan bersahaja, "Pergi, tolak tembok itu sehingga ia jatuh."

"Baiklah!" Para jeneral pemuda itu mengangguk tanda mengerti akan maksud perintah serangan yang baru sahaja diberikan dan lantas mengeluarkan senjata-senjata mereka dalam sebuah formasi kedudukan yang teratur sebelum mara dengan pantas.

Boom! Boom! Boom! Telapak kaki mereka bergegar disebabkan bumi yang bergetar apabila para tentera bersorak, "Mara!" Bunyi begol lantang yang berbunyi bagaikan melengkapkan lagi pertempuran sengit yang bakal berlaku sebentar lagi, bersama angin kencang yang bertiup dengan ghairah, sekaligus melayang-layangkan emping salji dengan kuat.

Malam akhirnya datang menyapa!

"Feng Tian, kumpul 1,000 peninjau ke dalam lima kumpulan dan arahkan mereka untuk melancarkan serangan yang tersendiri. Sesuaikan diri dengan permukaan bumi supaya dapat menggunakan teknik serangan gerila terhadap pihak musuk. Cuba sebaik mungkin untuk hapuskan segala jenis bekalan tambahan pihak musuh dan untuk mengepung pasukan bantuan mereka di Pergunungan Helan selama sekurang-kurangnya dua hari."

Seorang komander muda mengangguk, "Saya faham!"

"Mu Rong, kamu kena bawa 2,000 tentera kerahan terbaru kita untuk melakukan serangan hendap di curam Bai Zhang. Kumpul batu-batu dan juga batang-batang pokok. Apabila pasukan tentera bantuan pihak musuh sudah memusnahkan penghadang yang dibuat oleh Feng Tian dua hari selepas itu, Lao Mu akan mencari kamu untuk melaporkan apa langkah kita seterusnya."

Dua orang pemuda itu mengangguk pada masa yang sama, "Baiklah!"

Chu Qiao terus membuka petanya sambil jarinya yang halus itu sedang ditudingkan pada kawasan Tenggara, dan lantas wanita ini mengarah dengan tegas, "Wu Danyu, kamu akan bawa 500 orang pemanah dan lindungi diri kamu sendiri semasa melintasi hutan tebal itu untuk merusuki pihak musuh. Sesaat pihak musuh membalas semula serangan kamu, kamu kena berundur. Jangan sesekali bertempur dengan melulu, faham?"