Chapter 152 - Bab 152

"Ya." Wanita itu telah membenamkan kepalanya pada dada bidang milik Yan Xun, jadi suaranya kedengaran samar-samar sedikit apabila dia berkata, seolah-olah dia telah diperlakukan dengan teruk sebelum ini, "Pastikan yang awak kotakan janji awak itu."

"Mestilah! Saya janji," Yan Xun bersumpah tegas. "Seorang lelaki akan sentiasa mengotakan kata-katanya. Semoga dewa-dewa menghukum saya kalau saya tak tunaikannya."

"Baiklah. Awak boleh pergi."

"Sekejap, ada satu lagi perkara." Yan Xun berkata serius dengan wajah yang kosong, "Ini penting, jadi awak kena tahu ini."

"Hm?" Chu Qiao meraih wajahnya sambil mengerdipkan mata besarnya yang bergelinangan itu. "Apa dia?"

"Ingat! Ini nasihat-nasihat terikhlas yang saya pernah bagi kepada awak sebagai seorang kawan, seorang yang membesar bersama-sama awak, seseorang yang sering berkelahi dan dah hidup bersama dengan awak semenjak kecil."

Chu Qiao berkerut, mindanya terus mengagak ada sesuatu yang tidak kena, jadi wanita ini bertanya dengan penuh curiga, "Apa yang awak nak cakap ini?"

"Awak kena lebih bertenang!" Teriak Yan Xun sebelum membenamkan kepalanya pada kepala Chu Qiao secara tiba-tiba. Pemuda ini yang ternyata lebih kuat memegang kepala wanita muda itu semasa mereka bercumbuan, bibir mereka melekap ke atas satu sama lain sebelum lidah pemuda ini meneroka masuk ke dalam mulut wanita itu lantas meluluhkan segala jenis pertahanan yang dipasang tinggi oleh Chu Qiao. Wanita muda ini berasa amat terkejut sementara nafasnya bagaikan telah dikucar-kacirkan apabila dadanya beralun menaik dan menurun dengan penuh ghairah. Raja Yan Bei baru sahaja bercumbuan dengan Jeneral Chu daripada Pejabat Kakitangan Ketenteraan…

Yan Xun hanya melepaskan Chu Qiao semasa wanita ini hampir kehabisan oksigen dan pemuda itu melepaskan ketawa terbahak-bahak setelah melihat muka merah padam Chu Qiao yang menoleh sekelilingnya malu seolah-olah dia baru sahaja ditangkap mencuri. "Apa yang awak risaukan? Seluruh Yan Bei ini milik saya!"

Chu Qiao meletup dalam keradangan sehingga telinganya sudah mula kemerahan disebabkan malu dan juga amarah. "Ah! Bajingan! Harga diri saya dah tercemar disebabkan awak!"

Yan Xun lantas melilitkankkan kedua-dua tangannya pada pinggang wanita itu sebelum meraih keningnya dan mengusik, "Ah Chu, takkanlah awak tak tahu? 'Harga diri' awak itu memang dah tercemar di saat awak masuk ke dalam Istana Sheng Jin."

"Tak guna!" Kosa kata Chu Qiao terbatas disebabkan wanita ini yang masih malu apabila melihat para tentera di sekelilingnya yang sedang merenung kedua pasangan ini dengan penuh tertarik, membuatkan wanita ini menjadi lebih mengamuk lantas menuding jarinya ke arah Ah Jing dan lain-lain sambil menengking, "Jangan gelak! Jangan beritahu sesiapa! Saya akan belasah kamu! Dan kamu! Siapa kamu? Kamu gelak kuat sangat sampai saya boleh nampak gusi kamu! Siapa nama kamu? Kamu daripada bahagian tentera yang mana? Kamu masih ketawa ke? Ya, kamu!"

"Ah Chu! Jangan risaulah tentang apa yang orang fikirkan!" Yan Xun tiba-tiba berkata sebelum menarik wanita itu menghampirinya dan menyambung, "Awak kena lebih bertenang. Awak tak mahu saya keluar dan menggoda wanita lain, tapi kenapa awak ungkit pasal harga diri dan akhlak? Saya rasa awak ini yang patut kena belasah."

"Oi, oi!" Chu Qiao melonjak dek terkejut. "Dah lama sangat ke kita tak bertempur? Awak nak belasah saya? Awak mampu ke nak tandingi saya?"

Yan Xun yang terpana mendengar kata-kata Chu Qiao itu terus membalas, "Itu kerana saya bagi muka pada awak! Awak betul-betul fikir yang awak itu manusia terhebat di dunia ini ke?"

"Baiklah! Nampaknya awak betul-betul nak musnahkan reputasi awak. Kalau awak nak, kita boleh berentap di sini sekarang!"

Yan Xun terus mula tertawa. "Ah Chu, awak memang betul-betul berat hati nak lepaskan saya, ya? Awak sengaja melengah-lengahkan waktu supaya saya tak berangkat."

Chu Qiao merenung tajam ke arah pemuda ini sebelum berteriak, "Siapa yang berat hati? Berambuslah! Tengok muka awak pun saya sakit hati!"

"Jadi, saya betul-betul boleh pergilah sekarang ini?"

"Berambuslah! Tiada siapa yang nak jumpa awak."

"Jangan menyesal!"

"Tak akan!"

"Selepas saya pergi, jangan menangis senyap-senyap pula!"

"Awak nak pergi ataupun tidak? Merepek betullah!"

"Haha!" Yan Xun melonjak ke atas kudanya sementara masih tertawa. "Ah Chu, saya nak berangkat ini. Nantikan kepulangan kemenangan saya! Cepat gerak!" Ratusan kuda pertempuran itu menderap laju di kejauhan bersama salji-salji memutih yang dikuak oleh kuda-kuda tersebut yang terus menjadi kabus nipis di tanah. Beberapa ekor helang berterbangan megah di udara bersama bunyi angin kencang di kejauhan yang semakin menghampiri para tentera yang sedang berangkat di bawah cahaya matahari terang menerangi kelibat kumpulan iringan tersebut, seumpama sebuah lukisan sebelum para tentera itu menghilang.

Chu Qiao masih tercegat di kedudukan yang sama tanpa bergerak walau seinci apabila merenung pemergian Yan Xun, hati wanita ini diselubungi dengan pelbagai emosi apabila dia menyatukan kedua belah tapak tangannya lantas membentuk aksi berdoa sebelum berkata dengan suara yang lembut berbaur keikhlasan yang menebal, "Maha Dewa yang berkuasa, dengarlah rintihan hatiku. Lindungilah kekasihku, jadikanlah perjalanannya lancar, pastikanlah kemenangannya supaya dia dapat pulang dengan selamat."

Apabila Yan Bei yang bagaikan neraka itu membeku dengan ribut saljinya yang sering melanda, Empayar Song pula terpaksa mengharungi ribut petir selama berhari-hari dengan awanan tebal menghitam yang menyelubungi seluruh kawasan bandar. Tiada obor api yang dapat dinyalakan di istana dengan hanya lampu lilin sahaja yang mampu berkelipan di sebalik kegelapan tersebut. Sehelai kain sutera berenda terapung-apung di udara apabila ditiup angin di dalam Istana Mo Ji yang kesunyian, laluan-laluan koridor di istana itu semuanya diapit dengan barisan kayu mawar, lantainya pula kelihatan mewah dan klasik, berharga lebih kurang sama seperti mencairkan emas dan menjadikannya sebagai lantai. Setiap langkah membawa bunyi bergema yang unik seolah-olah bunyi itu telah mengembara merentasi ruang dan waktu daripada zaman dahulukala, bagaikan sebuah lagu ngeri yang biasa didengari ketika penghapusan zaman.

Lantera-lantera putih salju telah digantungkan pada setiap buah bangunan. Hari ini merupakan hari kemangkatan almarhum Maharaja Nalan Lie, dan semua rakyat jelatanya telah memakai pakaian serba putih bagi menghormati si mati. Bunga kekwa merah yang sedang mekar di bahagian hadapan istana juga telah diikat dengan sehelai kain berwarna putih pada batangnya, namun hujan yang tidak berhenti-henti itu menambahkan lagi kesengsaraan babak tersebut.

Seorang wanita yang sedang memakai perhiasan kepala yang megah melangkah ke dalam sebuah istana yang besar dengan bunyi gemerincing loceng-loceng perhiasan kepalanya. Mata wanita ini bersinar dengan kekuatan dan keyakinan bersama ciri-ciri mukanya yang jelas terbentuk, namun walaupun dia bukanlah seorang wanita yang mempunyai kecantikan yang mempesonakan, tetapi dia masih lagi akan dianggap cantik dengan wajah manisnya dan adabnya yang lemah-lembut itu.

Terdapat sebuah permaidani kecil bersama sebuah meja yang terletak di hujung dewan istana yang besar itu bersama ramai pembantu istana yang berteriakan dan bersorakan dengan ceria, terpegun dengan segala yang sedang berlaku. Mereka berdiri dengan seorang remaja yang sedang memakai sepasang jubah naga, sedikit pun tidak kelihatan seperti seseorang yang hampir berumur 20 tahun kerana kelakuannya yang seakan-akan anak kecil berusia enam ke tujuh tahun.

Mak cik yang berdiri di sisi bilik terus berkerut dan menghampiri mereka. "Puteri pertama dah tiba, Tuanku tak nak sapa dia ke?"

Remaja itu terus menggaru kepalanya sebelum melangkah dengan teragak-agak dan terus pembantu istana yang berada di sebelah wanita itu menyapa remaja itu, "Daulat Tuanku Maharaja."

Maharaja muda itu langsung tidak mengendahkan mereka apabila dia melambai tangannya dengan penuh cemerkap dan meraih wajahnya yang penuh dengan air liur di hujung bibir pemuda itu. Dia pun berkata pemuda wanita itu bagaikan seorang anak kecil yang takutkan cikgunya, "Kakak, saya tak buat apa-apa kesalahan."

Wanita itu lantas mengeluarkan sehelai sapu tangan yang bersulamkan bunga orkid sebelum mengelap air liur maharaja muda itu sambil diterangi cahaya lilin yang lemah di dalam istana sebelum menjawab, "Kakak tahu."

Maharaja tersebut menundukkan wajah sebelum menggumam sendirian dengan suara yang amat rendah dan wanita itu mengeluh, "Hari ini hari kemangkatan Ayahanda kita, kenapa Yu'er tak pergi ke kuil dan bakar beberapa setanggi untuk almarhum Ayahanda? Lagi satu, awak suruh orang-orang bawahan belasah Lu Gong Gong."

Dengan kepala yang masih ditundukkan, jawapan Maharaja itu kedengaran sangat lembut, "Saya… Saya tak nak pergi."

Wanita itu turut merendahkan pandangannya dan bertanya dengan penuh sabar, "Kenapa? Boleh kakak tanya?"

"Sebab… Sebab…" Maharaja itu terus meraih wajahnya yang berkulit putih mulus kemerahan sedikit apabila pemuda itu cuba untuk menerangkan, "Sebab Raja di Chang Ling itu suka memperlekehkan saya… Saya tak suka bermain dengan mereka."

Bunyi percikan air hujan yang menitik di luar bergema kuat apabila angin membawa tempiasnya ke dalam koridor. Setelah berfikir panjang, wanita itu mengangguk dan memberitahunya, "Kalau awak tak nak pergi, tak mengapa." Lalu wanita itu pun menoleh ke arah salah seorang pembantu istana yang masih lagi berlutut di atas lantas dan memerintahkan, "Pastikan yang kamu sentiasa iring Tuanku Maharaja!"

"Ya!" Sekumpulan kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 12 ke 13 tahun membalas secara serentak sebelum wanita itu berpaling bersama kumpulan iringannya untuk berangkat dari kawasan istana dan tidak lama kemudian, bunyi sorakan bergema sekali lagi. Jika didengari dengan lebih teliti, boleh diungkap perasaan keseronokan dan kegembiraan yang melampau yang berada di sebalik sorakan tersebut.

Siapa yang sangka Empayar Song, sesebuah empayar yang mengawal negeri-negeri yang mempunyai sumber terbanyak di dalam benua tersebut mempunyai seorang maharaja yang dungu? Kematangan mental pemuda itu hanya akan kekal seperti seorang kanak-kanak berumur sepuluh tahun buat selama-lamanya, dan usia mentalnya juga tidak akan bertambah baik daripada apa yang kita saksikan pada hari ini. Inilah rahsia terbesar yang telah dilindungi Empayar Song semenjak bertahun-tahun dulu, dengan rakyat jelatanya yang juga buntu akan hal ini. Namun kini Nalan Hongyu semakin membesar, dan hari-hari di mana pemuda ini perlu bertanggungjawab mengenai urusan istana telahpun berkali-kali dilengahkan, jadi suara-suara kegelisahan mengenai puteri ini semakin membiak semenjak beberapa tahun ini dan kini barulah wanita ini terasa bebanannya.

Sebelum kemangkatan Nalan Lie pada tahun itu, Maharaja ini yang telah menawan seluruh wilayah di persisiran pantai merenung puteri muda dan putera dungunya sambil berlaung dengan lantang, "Ini semua karma!" Sebelum mangkat dan terus meletakkan tanggungjawab yang sungguh besar ke atas bahu seorang gadis yang berumur 15 tahun pada waktu itu dan dalam sekelip mata sahaja lima tahun sudah berlalu.

Hati Mak Cik Yun luluh apabila melihat susuk tubuh lemah yang sedang berjalan di hadapannya itu, memang sukar untuk membayangkan seorang wanita muda yang baru sahaja menyambut hari lahir ke-20 sebegitu menghabiskan waktu-waktu terindahnya dengan bekerja keras di belakang tabir di dalam istana ini. Walaupun semua orang mengetahui kebolehan dan juga kebijaksanaan Puteri Pertama ini, namun puteri tersebut hanya telah mendengar kata-kata cemuhan sahaja semenjak kebelakangan ini apabila ada suara-suara yang mengatakan puteri ini telah merampas kuasa maharaja yang lebih muda itu. Ada juga khabar-khabar angin melampau yang menyatakan tuan puteri ini telah mengenakan perintah berkurung kepada maharaja itu di dalam istana. Mungkin Mak Cik Yun seorang sahaja yang mengetahui betapa kerasnya wanita itu bekerja demi empayar tercinta ini setelah berada di sisi wanita muda itu semenjak kecil lagi. Lima tahun. Dalam kehidupan seseorang wanita, lima tahun itu bukan senang untuk diraih.

"Tuan Puteri, dah lewat malam ini, apa kata kita balik ke istana kediaman dan berehat dulu?"

Nalan Hongye menggeleng kepalanya. "Ada beberapa lagi dokumen yang memerlukan kelulusan daripada Istana Yu He."

Mak Cik Yun segera bercadang, "Jadi, apa kita kita bawa dokumen-dokumen ini pulang ke kediaman Tuan Puteri supaya Tuan Puteri boleh baca di sana?"

Apabila Nalan Hongye melihat keresahan Mak Cik yang telah menjaganya semenjak dari kecil itu, dia terus tersenyum manis dan bersetuju, "Baiklah."

Mak Cik Yun terus mengarahkan beberapa orang pembantu rumah dengan ceria supaya pergi ke Istana Yu He untuk mendapatkan dokumen-dokumen tersebut dan tidak lama kemudian, cahaya lampu di Istana Rou Fu menyala yang lantas menerangi seluruh kawasan tersebut. Walaupun Nalan Hongye itu seorang yang suka merendah diri, namun para pembantu istana semuanya tahu wanita inilah yang mempunyai kuasa sebenar di dalam istana tersebut, jadi sudah semestinya mereka akan melayani wanita ini dengan lebih berwaspada.

Mak Cik Yun menyelinap masuk ke dalam bilik buat beberapa kali apabila malam sudah semakin lewat dan akhirnya wanita lanjut umur itu dapat melihat sisa dokumen untuk diperiksa itu berkurangan. Namun tidak lama kemudian, wanita tua ini juga perasan Puteri Song sedang meneliti seutas surat daripada sempadan dengan teragak-agak buat masa yang lama dan wanita ini pun tidak dapat menahan dirinya, terus melangkah ke sisi puteri itu sebelum bertanya dengan kerutan di wajahnya, "Tuan Puteri, apa yang susah sangat untuk membuat keputusan? Dah lewat malam ini. Esok Tuanku kena hadiri dewan pentadbiran di pagi hari."

"Hmm? Ini laporan daripada sempadan." Nalan Hongye menjawab dengan acuh tak acuh setelah fikirannya diganggu seseorang sebelum menyapu rambutnya yang terurai sedikit, langsung tidak menyembunyikan segala yang terlintas di mindanya kepada seseorang yang paling dipercayainya, "Empayar Xia hantar pasukan tentera mereka ke Yan Bei. Yan Bei sekarang betul-betul memerluan bantuan bekalan ubat-ubatan dan juga makanan. Mereka juga nak berdagang bijih besi dan mineral untuk membuat senjata."

Mak Cik Yun bukannya seorang yang jahil mengenai hal politik, jadi wanita itu terus berkerut dan bertanya, "Bukan ke kita baru saja hantar sejumlah yang banyak ke sana?"

"Jumlah yang kita bagi itu tak akan cukup untuk bagi impak yang besar. Ditambah pula dengan Count Changle dan Raja Jinjiang yang membantah tindakan kita dengan berdalih peperangan di Lautan Timur bakal menjelang tidak lama lagi, jadi bekalan sumber kita memang dah dikurangkan dengan dahsyat. Mengenai peperangan di Utara itu pula, kos bekalan seharian pun sudah melambung. Duit yang kita ambil daripada Yan Bei itu hampir semuanya dah digunakan."

Nalan berkerut ringan apabila dia tiba-tiba tersedar sebuah bunyi yang sangat bising telah datang daripada arah Istana Qin An jadi wanita muda ini berdiri lantas bertanya, "Apa yang sedang berlaku di luar?"

Mak Cik Yun terus meluru ke luar sebelum kembali dengan sebuah senyuman di bibir. "Tak ada apalah. Tuanku Muda sedang menangis dan Permaisuri risau yang dia sakit, jadi Permaisuri suruh doktor maharaja datang ke sana."

Nalan meraih keningnya dan bertanya, "Apa yang doktor cakap?"

"Doktor kata semuanya baik-baik. Budak itu sedang lapar saja."

Nalan tersenyum manis, boleh dilihat kematangan wanita ini daripada renungan matanya. "Budak itulah harapan Empayar Song ini. Patutlah Permaisuri itu risau sangat. Mak Cik Yun, Mak Cik berpengalaman, kan? Jadi, saya rasa lebih baik kalau Mak Cik tengok-tengokkan budak itu juga."

"Ya." Nalan perlahan-lahan kembali ke tempat duduknya semula. Nasib baiklah Yu'er mempunyai seorang anak sebegitu kerana ia sememangnya mustahil buat pemuda itu untuk ditabalkan sebagai maharaja, dan Nalan hanya mampu meletakkan harapannya ke atas budak kecil itu sahaja.