Chapter 153 - Bab 153

Namun, wanita ini perlu menunggu beberapa tahun lagi untuk si kecil itu membesar, dan Nalan Hongye terus menggeleng kepalanya ringan, malas untuk memikirkan hal ini lagi. Jadi, wanita ini mengecop "Akan Dibaca" pada sisa baki dokumen itu sebelum melemparkannya ke tepi.

Mak Cik Yun mengerutkan dahinya, ingin berkata sesuatu namun tekaknya terasa tersekat. Tuan puteri telah memberikan perhatian terhadap hal ehwal Yan Bei selama ini terutama sekali mengenai hal ehwal selepas kemerdekaan negara tersebut. Empayar Song telah mengubah pendirian mereka dan mengambil risiko yang sungguh besar dengan melibatkan diri mereka dalam konflik ini, wanita ini beranggapan Puteri Nalan yang bijaksana itu pasti mempunyai niatnya yang tersendiri di sebalik tindakan tersebut, namun dia sesungguhnya tidak boleh menafsirkan pemikiran tuan puteri ini. Memang benarlah penerangan rakyat jelata Empayar Song, Puteri Nalan Hongye seumpama sebuah bintang yang bergemerlapan di langit, memang seorang yang sangat bijaksana.

Nalan berjalan ke arah di sebuah jendela lalu menyelak tirainya untuk melihat air hujan menitik pada pokok pisang yang lantas menghasilkan bunyi percikan bersama kolam teratai yang boleh kelihatan dari jauh, beberapa ekor ikan koi saban kalai akan melonjak keluar dari permukaan air tersebut. Nalan terasa dingin di tulang sumsumnya namun wanita muda ini terus berdiri di hadapan jendela itu buat beberapa ketika, sehingga orang-orang gajinya yang lain juga sudah beredar bersama Mak Cik Yun yang juga mengekori mereka setelah mengemas tempat tidur puteri ini. Pada saat itu, seluruh dunia kedengaran senyap sunyi sahaja dan hanya diiringi dengan bunyi titisan air hujan dan juga bunyi katak menguak. Tiba-tiba, dia teringatkan kejadian yang telah berlaku beberapa tahun dahulu di mana pada waktu itu dia masih lagi seorang kanak-kanak, sedang berdiri di bawah pokok pisang itu di dalam hujan dan pemuda itu pula kelihatan seperti sebuah bintang yang bersinar terang, kedua-dua anak kecil ini bertepuk tangan…

Pakatan antara adik-beradik itu akan kekal abadi.

Ayahandanya masih lagi sihat walafiat pada tahun itu, dan Maharaja merupakan seorang yang mementingkan keluarganya jadi beliau telah menghantar puteri kesayangannya ke Xia bersama kekandanya, Raja Anling sambil memerintahkan puterinya itu untuk menyamar sebagai Xuan Mo iaitu putera Raja Anling. Mereka berdua terserempak dengan Putera Yan Bei yang masih menjadi putera tebusan di Zhen Huang pada waktu itu. Nalan dan juga Putera Yan Bei telah berinteraksi antara satu sama lain selama sebulan sebelum menjadi lebih akrab dan menjalinkan hubungan adik-beradik angkat. Semenjak dari hari itu, mereka akan menulis surat kepada satu sama lain yang mengembara dari utara ke selatan dan sebaliknya, berlanjutan buat bertahun-tahun lamanya.

Pada waktu itu, sikap wanita ini masih lagi aneh manakala Yan Xun pula seorang yang ceria dan kacak. Anak-anak keluarga Muhe suka membangga diri, suka bermain-main dan juga sombong, namun tiada seorang pun di antara mereka yang menyimpan sebarang niat jahat. Zhuge Huai pula sudah membesar manakala Zhuge Yue suka menyepikan diri dan sukar untuk dibawa bergaul. Walaupun Zhao Che seorang yang sangat angkuh, namun dia sering diusik oleh dirinya sendiri, Yan Xun, Muhe Xifeng dan lain-lain yang membuatkan Zhao Che sering mengamuk sehingga pemuda itu pernah mengejar Muhe Xifeng dengan pedangnya sejauh 30 buah pintu gerbang istana semata-mata kerana dia ingin berlawan dengannya. Si kecil Zhao Song pula seorang yang suka menangis dan ingin bermain dengan mereka semua sepanjang hari namun semua orang berpendapat Zhao Song masih terlalu kecil untuk bermain bersama jadi tiada sesiapa yang ingin membawanya bersama.

Dalam sekelip mata sahaja, sepuluh tahun sudah berlalu dan kini segalanya sudah berubah. Kini, anak-anak kecil itu bukan lagi berperwatakan yang sama apabila mereka membesar, dengan sesetengah daripada mereka yang mempunyai kuasa mutlak di dalam genggaman tangan manakala sesetengah lagi terpaksa mengharungi penderitaan dan kesusahan hidup. Ada yang bercita-cita tinggi, ada yang tercedera dan ada juga yang sudah menjadi abu, melayang-layang di dunia ini apabila ditiup angin.

Wanita itu lantas mengeluarkan seutas surat yang telah dihantar ke istana pagi tadi. Dalam masa satu hari sahaja, surat itu sudah berlipat-lipat dan terasa hangat apabila dipegang dengan kertasnya yang masih lagi berbau seperti haruman wanita myda ini dan di surat itu tertera:

'Adik Xuan Mo, perang di Yan Bei akan tercetus tidak lama lagi. Beberapa hari lagi saya akan bertempur di medan perang. Saya berfikir panjang sebelum saya berangkat. Saya masih perlukan bantuan awak untuk selesaikan isu mengenai rangsum askar. Setengah bulan yang lalu, saya pergi ke Song untuk bertemu dengan puteri sulung Song. Puteri Nalan itu sangat baik hati kerana dia telah berjanji untuk membekalkan rangsum kepada Yan Bei. Perang di bahagian timur negara awak pun akan bermula tidak lama lagi jadi saya risau yang pegawai-pegawai di istana maharaja akan membantah. Sekiranya tuan puteri berubah fikiran, tolong bantu saya kendalikan situasi itu dan pujuk pegawai-pegawai itu. Hal ini melibatkan kewujudan Yan Bei jadi saya tak ada pilihan lain lagi selain meminta pertolongan awak. Saya harap awak dapat membantu saya demi hubungan persaudaraan kita yang sudah terjalin selama bertahun-tahun ini. Tiada kata-kata yang dapat diucapkan lagi kepada awak selain dari ribuan terima kasih yang tidak terhingga.

Saya dengar awak sudah berkahwin bulan lalu jadi tahniahlah saya ucapkan. Saya tidak dapat hadir majlis perkahwinan awak jadi saya hanya mampu hadiahkan penyepit rambut ini. Saya harapkan semoga awak dan isteri awak akan sentiasa berbahagia selamanya.

Akhirnya, saya berpeluang untuk bertemu dengan puteri sulung yang jelita seperti awak katakan. Tapi, wajahnya dilitupi dengan sehelai vel yang setebal setengah jari. Suaranya pula kedengaran matang dan tenang, namun tidak cukup ceria. Lagi satu, dia rasakan cara awak menilai kecantikan itu di lain daripada yang lain. Kalau saya jumpa awak lagi, awak perlu minum secawan penuh wain sebagai hukuman penilaian teruk awak itu.'

Nalan berkerut apabila membaca surat itu beberapa kali terutamanya ayat itu, 'Tapi, wajahnya dilitupi dengan kain yang setebal setengah jari. Suaranya pula kedengaran matang dan tenang, namun tidak cukup ceria.' Wajahnya mula berubah marah.

Aroma yang dihasilkan bunga-bunga terus meresap ke udara tatkala angin meniup bahagian bawah pakaiannya, lalu wanita ini mengambil sehelai kertas dan sebatang berus sebelum menulis:

'Setelah menerima surat awak dan mengetahui yang awak akan berperang, saya berasa khuatir. Medan perang ialah satu tempat yang merbahaya. Pedang-pedang itu tidak mempunyai mata jadi tolonglah jaga diri awak dengan baik. Saya akan nantikan perjanjian kita untuk bertemu semula selepas 15 tahun di Restoran Pengxian dan minum sehingga mabuk. Kita akan nikmati pemandangan air tasik sambil bermain muzik dan menyanyi. Awak mesti kotakan janji awak dan jangan abaikan saya.

Puteri sulung itu seorang yang tinggi, beradab dan mulia, jadi sudah tentulah dia dijadikan teladan bagi wanita Song di samping menjadi khazanah empayar itu. Bagaimana boleh dia dilihat oleh rakyat jelata? Saya sudah bertempur sepanjang tahun jadi penilaian saya sudah terjejas dengan teruk. Setelah mendengar kata-kata awak, saya sangat berduka cita. Saya risau tentang perkara yang bakal awak lalui pada esok hari.

Awak tak perlu khuatir mengenai rangsum itu. Jika puteri sulung sudah berjanji untuk membantu awak, beliau pasti akan memegang teguh pada janjinya. Kalau ada sebarang perubahan, saya pasti akan cuba sebaik mungkin untuk memudahkan keadaan bagi awak. Perang di Yan Bei akan tercetus tidak lama lagi, jadi saya akan tunggu di kerusi saya sambil memandang ke arah barat laut dan menunggu khabar awak.'

Hujan sudah pun berhenti apabila wanita ini selesai menulis surat tersebut, memegang penyepit rambut berwarna putih yang terasa hangat di tangan. Di hujung penyeput itu dihiasi dengan bunga plum bersama kelopaknya yang menonjol, kelihatan ringkas namun mempunyai kerumitan dan kehalusan tersendiri. Hadiah kepada pasangan itu? Benarkah pemuda ini menghadiahkan penyepit rambut ini kepada isteri Xuan Mo?

Puteri Pertama Nalan mengukir sebuah senyuman yang kelihatan janggal sebelum mengangkat dokumen yang dibacanya tadi lantas menulis, 'Telah Dibaca.'

Cahaya mentari pagi akhirnya memancarkan cahayanya ke bumi menandakan malam bakal melabuhkan tirainya. Nalan lantas berjalan ke arah jendela sambil memandang ke arah barat laut dan berdiri di situ buat seketika. Kepulan-kepulan awan telah muncul di ufuk bersama udara yang terasa segar selepas ribut taufan yang melanda membanjiri tanah Song semalam sebelum bunyi dentuman gendang bergema kuat dan jelas, begitu juga bunyi suara pengawal di belakang istana.

Nalan menarik nafasnya sedalam-dalam sebelum memejamkan mata dan langit sudah menjadi cerah apabila puteri itu bangun semula. Wanita muda ini masih perlu memikirkan tentang cara untuk memujuk para pegawai yang enggan masuk campur dalam peperangan antara Xia dan Yan Bei itu. Dia menggosok matanya perlahan-lahan. Nampaknya terpaksalah dia menggunakan reputasinya sebagai seorang pakar taktik yang mempunyai setiap alasan bagi segala perkara yang dilakukan olehnya. Dia tersenyum kecil lalu menampakkan wajahnya yang sedikit nakal. Manusia, ada kalanya mereka akan ingkar.

Sesetengah orang ataupun sesuatu benda memang mustahil untuk diramal. Wanita ini tidak mahu memikirkan hal ini dengan lebih mendalam lagi kerana dia tahu objektif utamanya ialah melindungi Empayar Song, Maharaja, anak-anak saudaranya dan seluruh keluarga Nalan.

Cuaca di luar istana kelihatan cerah. Puteri Sulung Nalan dengan tenangnya membuka tirai dan berkata, "Bantu saya bersihkan diri dan bersiap-sedia untuk sesi dewan."

"Bukan Beishuolah! Sasaran tentera Xia seterusnya ialah Lintasan Chiyuan!" Gadis itu berkerut dan berkata. "Dah tiga hari serangan tentera Xia tak teratur. Mereka hanya menjalankan kekacauan berskala kecil dan pertempuran kecil saja. Ini bukan suatu kebiasaan dan memang sangat aneh. Berdasarkan kekuatan tentera mereka, mereka pasti akan dapat menyerang Beishou sepenuh-penuhnya jika mereka mengumpul semua kerahan tenaga tentera ini bersama. Berdasarkan apa yang dah berlaku setakat ini, ia bermakna Empayar Xia tidak mempunyai seorang pemimpin unggul. Pasukan ini bukanlah pasukan utama mereka…"

"Awak ada dapat maklumat terbaru?" Jeneral Cao Mengtong yang berpura-pura menguap itu bertanyakan orang bawahannya, tidak mengendahkan kata-kata wanita itu. "Zhao Qi dan adik beradiknya itu masih tak berasa takut dengan pasukan tentera kita ke? Ataupun mereka dah lupa sebab ayahanda mereka menghantar mereka ke sini?"

Semua orang yang berada di dalam dewan itu terus terburai dalam tawaan. Tentera Yan Bei telah meraih kemenangan demi kemenangan dalam pertempuran mereka bersama Xia selama tiga hari ini dan Tentera Xia telah dihapuskan dengan mudah disebabkan oleh pasukan tentera yang diketuai oleh Zhao Qi dan Zhao Yang itu yang kelihatan seperti tidak bersatu padu manakala Pasukan Tentera Barat Laut pula menyebelahi Putera Keempat belas Zhao Yang dan pasukan tentera keluarga Batuha pula berpihak kepada Zhao Qi. Pasukan tentera yang berbelah bahagi ini pasti akan bertembung dengan satu sama lain di medan pertempuran, dan lantas merosakkan formasi pasukan tentera itu, langsung tidak menyerupai sebuah pasukan yang mantap dan kelihatan seperti pasukan ala kadar sahaja. Tiada sesiapa yang ingin menjadi pasukan yang menyerang dan menghabiskan sumber mereka dahulu.

Namun sebelum tentera Yan Bei dapat melepaskan walaupun sebatang anak panah mereka, tentera Xia sudah menjerit, "Sudahlah! Kami tak boleh teruskan lagi!" Setelah itu, mereka segera berundur. Seorang tentera berusia 10 tahun yang langsung tidak berlatih pun lebih handal daripada mereka.

Lebih 300,000 orang tentera yang sedang berkumpul di Bandar Beishuo bersama lebih 300,000 orang tentera kerahan, cukup untuk membentuk sebuah pasukan tentera yang mantap. Pada mulanya, rakyat jelata Yan Bei berasa bimbang dan juga takut apabila memikirkan peperangan mereka bersama pasukan tentera elit Xia namun setelah menghadapi beberapa pertempuran, para tentera kerahan Yan Bei telah menjadi semakin berani sehingga tiba suatu tahap di mana mereka meluru ke hadapan secara terbuka hanya dengan parang mereka sahaja.

"Nampaknya anjing-anjing liar Xia ini akan berundur ke Zhen Huang sebelum Tuanku sempat kembali ke sini."

Mereka semua melepaskan ketawa terbahak-bahak sekali lagi. Cao Mengtong kemudian menambah, "Pada pendapat sayalah, kita patut hantar separuh tentera di sini ke Sempadan Meilin supaya Tuanku dapat menawan kawasan itu dengan lebih mudah"

"Tak perlulah. Kita boleh kejar tentera Xia itu dan bertarung dengan mereka sepanjang jalan ke Zhen Huang nanti."

"Betul itu!" Ramai yang bersetuju dengan lelaki itu setelah dia berkata, seolah-olah mereka telah memenangi peperangan ini.

"Jeneral Cao!" Chu Qiao berdiri dengan mata yang bersinar-sinar sebelum berkata dalam nada yang rendah, "Para jeneral sekalian, kalau awak semua tak jelas dengan kata-kata saya sebentar tadi, saya akan ulanginya sekali lagi! Sekarang ini, kita masih belum dapat pastikan lagi jumlah angka pasukan tentera utama pihak lawan. Serangan yang telah dilakukan mereka semuanya berskala kecil dan di bawah 10,000 orang. Walaupun panji-panji tentera mereka kelihatan tetapi kita masih belum nampak pasukan tentera berkuda utama mereka lagi. Ribut salji tebal ini telah menyekat hubungan komunikasi kita jadi kita tak tahu di mana kem utama mereka itu. Ini semua hanya helah! Saya tak tahu sangat tentang keluarga Batuha dan Pasukan Tentera Barat Laut, tapi saya kenal Putera Maharaja Ketiga Xia, Zhao Qi dan saya juga pernah berhadapan dengan Zhao Yan sendiri di medan pertempuran sebelum ini. Zhao Qi itu seorang yang berwaspada dan dia tak akan menyerang secara membuta tuli saja dengan bilangan askar yang ramai. Kalau dia menyerang sekali pun, kaedahnya tak akan sebegitu ringkas. Zhao Yang pula, walaupun pada usia mudanya, dia sudah menjadi seorang tokoh di Dewan Shangwu di Xia, juga seorang pakar dalam hal ehwal peperangan dan mempunyai banyak pengalaman sebagai seorang tentera dengan kaedah-kaedahnya yang sukar dijangka itu. Kepakaran dia peperangan infantri dan juga penawanan bandar, memang seorang yang berpengalaman. Lelaki ini juga gagah dan suka menyerang hendap, dan dikenali sebagai "Ular" dalam Pasukan Tentera Xia. Dia tak akan bersetuju dengan rancangan untuk menggunakan kaedah-kaedah membunuh diri ini!

"Saya merayu supaya kalian kaji dengan lebih mendalam. Empayar Xia dah kekalkan pengaruh kekuasaannya di seluruh dunia ini selama ratusan tahun, jadi tak mungkinlah setakat ini saja kemampuan mereka. Mereka cuba untuk memperdayakan kita dan sengaja buat kita berpuas hati. Kalau saya tak salah, Zhao Qi dan Zhao Yang bukanlah dari pasukan tentera yang bertentangan dan juga terdapat pelbagai jalan yang boleh menuju masuk ke dalam Yan Bei. Kalau saya seorang komander kepada tentera Xia, saya akan menggunakan Pergunungan Helan dan Pergunungan Changying sebagai titik utama untuk ke Lintasan Chiyuan. Selagi saya boleh menstabilkan situasi di sana dan lancarkan serangan dua hala, Beishuo akan kecundang walaupun tanpa serangan secara langsung! Kita beruntung kerana masih boleh hantar 100,000 orang askar untuk melindungi Chiyuan walaupun kita dah bazirkan masa selama tiga hari. Perang ini dah hampir nak bermula, jadi fikirlah masak-masak!"

Kesenyapan terus melanda kawasan itu.

Semua orang memandang gadis yang memakai baju zirah ini yang sedang berdiri tegak bersendirian di dalam dewan mesyuarat yang besar itu. Matanya bersinar-sinar dan tubuhnya pula membongkok ke hadapan sedikit, berkerut sedikit sambil memerhatikan khalayak ramai dengan tegas. Renungannya itu seperti membawa satu perasaan marah dan juga penuh harapan.

Kedutan di wajah Cao Mengtong menggeronyot sedikit sebelum berdiri lalu meninggalkan bilik itu tanpa sepatah kata.

Inilah saat yang paling sesuai untuk menyimpulkan perasaan komander itu. Setelah itu, semua orang terus beredar dari bilik tersebut dan lantas meninggalkan Chu Qiao bersendirian. Gadis itu mengeluh dan bersandar pada kerusi dengan lemah sambil menutupi dahinya dengan sebelah tangan. Kelopak matanya berdenyut-denyut tatkala hatinya berkobar dek perasaan marah.

Related Books

Popular novel hashtag