Membenarkan seseorang yang tidak berkeupayaan untuk memimpin hampir sejuta orang tentera itu bagaikan sebuah resipi untuk memusnahkan pasukan tersebut. Memang tidak disangka-sangka tahap kualiti para tentera Yan Bei sungguh rendah sehingga telah membenarkan seorang jeneral tidak berpengalaman seperti Komander Cao ke medan peperangan. Jika Yan Xun berada di sini, maka bolehlah pemuda itu menggunakan pengaruh kuasanya untuk menghentikan segala kebodohan ini, akan tetapi kini Chu Qiao berseorangan, jadi apalah sahaja seorang gadis ini mampu mengubah segalanya? Adakah Yan Xun sedar akan segala masalah ini? Jika benarlah dia tahu akan segala hal ini, bagaimana mungkin dia akan membenarkan si bodoh Cao itu untuk memimpin? Dan, jika dia tidak tahu…
Chu Qiao berkerut tanpa daya. Bagaimana mungkin pemuda itu tidak mengetahuinya. Dia Yan Xunlah! Tetapi mengapakah pemuda itu tidak menerangkan segalanya kepada wanita ini terlebih dahulu sebelum berangkat ke Meilin? Lagipun, Yan Xun telah mengarahkannya untuk mencari Cik Puan Yu. Jika dia meninggalkan Beishou, maka separuh daripada tanah Yan akan dijajah orang! 'Yan Xun, apalah yang awak fikirkan ini?'
Para ahli kehormat dari Kesatuan Da Tong itu lebih hebat daripada sesiapa dalam pergaduhan, memulakan persengketaan, dan menjadi batu api apabila menyemai propaganda di dalam hati rakyat jelata untuk menentang pihak musuh. Namun, ia tugas mustahil bagi mereka untuk memimpin para tentera, merangka strategi peperangan dan meneka rancangan pihak musuh!
Kemarahan yang meluap-luap menyelubungi hati Chu Qiao ini sudah semakin tidak ditanggung olehnya dan dia telah pun menghantar tujuh kumpulan utusan untuk melaporkan hal ini kepada Cik Puan Yu, namun tiada seorang pun yang kembali lagi. Jika seseorang yang mampu mengawal situasi ini tidak hadir, maka Yan Bei pasti akan kalah dalam pertempuran ini!
Cahaya matahari senja bersinar bagaikan warna darah apabila suara para tentera yang sedang bersorak dapat didengari datang dari kejauhan, bersama bunyi tawaan kanak-kanak yang juga samar-samar kedengaran bersama iringan tentera itu. Chu Qiao tidak pasti berapa lama tawaan itu dapat bertahan, dan dia juga tidak dapat meneka berapa meneka berapa lama lagi masa yang mereka adasebelum ajal menjemput mereka. Walaupun jika dia mempunyai seratus orang tentera bersamanya, wanita ini mampu berhadapan dengan para jeneral yang korup itu, namun wanita ini sebatang kara sahaja di sini kerana semua pengawal peribadi yang telah diberikan Yan Xun kepadanya semua telah dihantar untuk mencari Cik Puan Yu. Kini, wanita ini tidak mempunyai seorang utusan pun bersamanya. Patutkah wanita ini menyelinap masuk ke dalam kediaman bajingan-bajingan itu untuk menghapuskan mereka? Fikiran itu tiba-tiba terlintas di minda Chu Qiao, namun sepantas kilat wanita ini menolaknya dengan jauh, namun berkerut ketat. Kalau dia ada senapang raifal tempur bolehlah.
Langit mula menjadi gelap apabila Chu Qiao perlahan-lahan bangkit, cahaya bulan yang bersinar menerangi lantai lantas membuatkan bayangan wanita itu kelihatan lemah dan kesepian yang mengeluarkan aura ketidakupayaan dan juga kesunyian.
Wanita ini ternampak beberapa orang tentera yang sedang tergesa-gesa meluru ke arahnya sewaktu dia baru sahaja melangkah keluar daripada pejabat Datuk Bandar dan tiba-tiba ketua tentera itu terlanggar wanita ini. Setelah melihat pakaian mewah yang dipakai wanita muda itu, pemuda ini terus menyedari kesilapannya sebelum melutut ke atas lantai sambil memohon setinggi-tinggi keampunan. Mereka ini hanyalah seorang petani dan mereka belum lagi menyesuaikan diri dengan persekitaran baru yang sedang berlaku di tanah Yan Bei jadi kadangkala tabiat mereka masih lagi menguasai diri apabila mereka melutut di tepi jalan apabila berjumpa dengan para pegawai negara. Chu Qiao tersedar mereka ini hanyalah para tentera kanak-kanak dan yang paling tua di kalangan mereka mungkin berusia 14 tahun dan yang paling kecil mungkin belum berusia 10 tahun lagi. Setiap seorang daripada mereka sedang memegang sebatang kayu dengan sebatang besi yang telah dilekatkan pada hujung kayu itu untuk bertindak sebagai mata lembing, langsung tidak mengetahui senjata sebegitu pasti tidak akan bertahan setelah berhadapan dengan sekumpulan tentera sahaja. Senjata-senjata yang digunakan oleh Empayar Xia semuanya diperbuat daripada kualiti terbaik dan ditukang sehingga mendapatkan mata bilah yang tertajam, mampu menembusi setiap baju zirah mahupun baju perisai, apatah lagi mematahkan senjata yang dipanggil 'lembing' oleh anak-anak kecil ini.
Chu Qiao merasakan ia lebih berpatutan untuk memanggil mereka sebagai sekumpulan fakir miskin daripada sekumpulan tentera namun mereka inilah tulang belakang pada kumpulan tentera Beishou yang seramai sejuta orang tentera. Lantas wanita ini sekali lagi terasa tidak berupaya seolah-olah dia telah ditenggelamkan ke dalam sebuah lautan bersama rumpai-rumpai laut yang telah mengikat kakinya dengan kemas, masih tidak mampu menyelamatkan dirinya ke daratan tidak kira sekuat mana wanita ini bergelut.
Chu Qiao berkerut seolah-olah hatinya telah digenggam erat di dalam tapak tangan syaitan. Setelah pemergian Yan Xun, Cao Mengtong telah mengeluarkan perintah pengerahan tenaga, jadi para pelarian pun berkumpul sepanjang seratus batu. Para wanita telah dibawa masuk sebagai wanita penghibur, dan para jejaka telah dikerahkan ke dalam pasukan tentera dengan orang-orang tua juga yang telah ditugaskan sebagai pihak sokongan di belakang tabir. Neraka bagaikan telah bertempat di seluruh Bandar Beishou buat masa ini dengan para pegawai dari Kesatuan Da Tong yang berkelakuan seperti si papa kedana yang baru sahaja ditabalkan sebagai maharaja, ketamakan dan juga kekejaman yang berlaku di sini lebih kejam daripada para bangsawan Xia. Chu Qiao telah menghantar beberapa jemputan untuk mesyuarat, namun wanita ini hanya diabaikan dan langsung tidak diendahkan. Sesiapa yang telah membunuh beberapa orang pegawai tentera yang membelasah rakyat jelata boleh memutuskan untuk beredar dari bandar tersebut atau bersembunyi di sebalik Pejabat Kakitangan Ketenteraan dan kini, pejabat itu telah pun dipenuhi dengan rakyat jelata. Begitulah demokrasi yang sedang berlaku di Yan Bei! Begitulah kepimpinan yang didamba-dambakan rakyat Yan Bei! Begitulah masa hadapan dan juga harapan rakyat buat Yan Bei!
Chu Qiao mengambil nafas yang dalam. Mereka ini sunguuh malang kerana telah mempelawa dan juga menyokong si penjahat yang akhirnya akan menghancurkan mereka tidak lama lagi! Wanita ini menggenggam penumbuknya dengan erat, seolah-olah dia ingin memecahkan sesuatu. 'Bila Yan Xun balik nanti… Bila dia balik nanti, aku akan…'
"Jeneral," Ketua kumpulan budak-budak kecil itu bertanya teragak-agak, "Kakak ini Jeneral Chu daripada Pejabat Kakitangan Ketenteraan ke?"
Chu Qiao menundukkan wajahnya dan merenung seorang kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 11 ke 12 tahun itu, lengan budak ini kelihatan sungguh kurus sehingga ia mampu dipatahkan dengan beberapa pergerakan ringkas sahaja, jelas dia kekurangan zat makanan daripada wajah pucatnya itu, namun anak mata budak itu masih bersinar terang. Budak lelaki itu hanya memakai sehelai kain buruk bersama sehelai kot besar yang sudah mula rapuh.
"Macam mana kamu kenal kakak?"
"Ada seorang saja jeneral wanita di dalam pasukan tentera!" Anak kecil itu menjawab ceria. "Jeneral, kami semua dengar yang Jeneral ini baik hati!"
Lantas para anak kecil yang lain mula berkerumun di sekeliling wanita muda itu dan mula berceloteh, "Kakak saya bekerja di Pejabat Kakitangan Ketenteraan. Dia diselamatkan oleh Jeneral. Jeneral kenal dia tak?"
"Mak saya pun ada di sana!"
"Jenerak, kami nampak Jeneral penggal kepala tentera besar itu beberapa hari lalu. Jeneral ini kuat betullah!"
"Betul itu. Jeneral, boleh tak Jeneral ajar kami beberapa teknik? Kita nak bertempur taklama lagi!"
"Ya, Jeneral, ajarlah kami cara nak bunuh musuh!"
Hati Chu Qiao tiba-tiba menjadi luluh sebaik sahaja melihat anak-anak kecil ini dan lantas mempersoalkan kepercayaannya, taksirannya, dan juga segala hujahan buat segala yang telah dilakukannya selama ini. Rancangan gilanya tiba-tiba terlintas di minda namun akhirnya, akal logiklah yang bakal memenangi segala-galanya. Wanita ini melihat lampu-lampu obor api berwarna merah yang menerangi wajah-wajah suci ini sebelum merendahkan nadanya dan membalas tanpa ragu-ragu, "Bila kamu serang, jangan berdiri di hadapan." Setelah itu wanita ini berpaling dan beredar, seolah-olah tidak sanggup berbual dengan anak-anak kecil ini lagi lalu meninggalkan sekumpulan budak lelaki yang tercengang merenung wanita ini dengan kebingungan. Mengapakah Jeneral Chu menasihati mereka sesuatu yang sungguh berlainan daripada apa yang diajar oleh para pelatih?
Chu Qiao yang akhirnya tiba di simpang itu menghentikan langkahnya, perasaannya dihurung kerisauan yang menggunung terhadap beberapa pasang anak mata budak-budak kecil tadi, membuatkan wanita ini sukar untuk menasihati mereka dengan nasihat-nasihat paling berguna demi memartabatkan negara. Wanita ini beranggapan hatinya telah menjadi cekal akibat pertempuran yang tidak henti itu namun menyedari pengalamannya masih belum cukup untuk mendapatkan hati sebegitu.
"Encik Cao itu akhirnya menang sebuah pertempuran, tapi awak cakap kemenangan itu disebabkan oleh Empayar Xia yang sengaja menyerah kalah kerana nak cuaikan semua ahli tentera kita. Memang patutlah dia tak percayakan awak." Sebuah suara yang mendatar tiba-tiba kedengaran dari sebelah Chu Qiao sebelum wanita muda ini ternampak Xue Zhiyuan yang sedang bersandar pada sebuah dinding sambil memeluk tubuhnya dan menjeling ke arah wanita ini, raut wajah pemuda ini berbaur tertarik.
Chu Qiao yang sememangnya jengkel dengan pegawai-pegawai tempatan Da Tong ini terus mendecit sebelum berpaling dan berniat untuk beredar.
"Tuanku buat keputusan untuk tinggalkan kita ke?" Xue Zhiyuan tiba-tiba bertanya setelah mengambil selangkah ke hadapan.
Soalan yang ditanya itu sungguh memeranjatkan sehingga Chu Qiao terus terhenti dalam langkahnya. Dia menempik dengan renungan yang sungguh tajam, "Apa yang awak cakap?"
"Tuanku dan Encik Wu kedua-duanya mempunyai kebolehan ketenteraan yang paling menakjubkan di Yan Bei ini, tapi mereka berdua-dua dah berangkat untuk memimpin pasukan elit Tentera Pertama untuk menyerang Sempadan Meilin tanpa meninggalkan sesiapa untuk mengawal Beishou. Disebabkan itu, Pasukan Tentera Kedua harus bertempur dengan Pasukan Tentera Xia. Cik Puan Yu, seorang pakar strategi yang tak kurang hebatnya, pergi meninggalkan bandar untuk mengawal Bandar Lan tapi langsung tak hantar mana-mana pasukan bantuan ke Beishou. Samalah juga dengan Jeneral Chu, di mana Cik pun hebat dalam mengatur strategi, tapi Tuanku langsung tak bagi apa-apa pengaruh kuasa yang sebenar kepada Cik. Seluruh Beishou ini dah diserahkan kepada sekumpulan manusia yang langsung tak berkebolehan untuk memahami seni peperangan. Haha, kalau bukan sebab Cik Chu yang masih ada di Beishou ini, saya mesti dah bermati-matian percaya semua cakap saya tadi."
Pada masa ini, Chu Qiao terasa seolah-olah dia telah dipanah petir. Bukanlah wanita ini tidak pernah berpendapat sebegitu juga sebelum ini, namun dia telah memilih untuk tidak mempercayainya.
Benarkah Yan Xun betul-betul tidak mengetahui tentang ketidakwabaan Cao Mengtong, Pasukan Tentera Kedua, dan Kesatuan Da Tong? Apakah niat sebenar pemuda itu yang telah memilih saat ini untuk menyerang Sempadan Meilin? Adakah benar Yan Xun menyerang sempadan tersebut kerana ingin menyangkal segala kemungkinan di mana Yan Bei diserang oleh kedua-dua sempadan pada masa yang sama, dan juga untuk merusuki pasukan tentera Xia yang besar itu? Atau adakah niat sebenar pemuda itu ialah membiarkan Pasukan Tentera Xia dan Pasukan Tentera Kedua berperang sesama sendiri? Kalau bukan kerana ini, mengapa pula dia telah menganugerahkan bidang kuasa yang besar kepada Cao Mengtong? Mengapa pula pemuda itu tidak menugaskan Encik Wu untuk mengawal Beishou dan sebaliknya telah mengarahkan Chu Qiao pula untuk mencari Cik Puan Yu di Bandar Lan? Mengapa pula ketujuh-tujuh kumpulan tentera yang dihantar oleh wanita ini untuk mencari Cik Puan Yu tidak pulang-pulang juga? Apakah sebab kepada semua ini? Atau adakah benar seperti Xue Zhiyuan cakapkan tadi, semua ini rancangan rumit Yan Xun untuk melemahkan kekuatan Pasukan Tentera Kedua, jadi barulah pemuda itu mampu menstabilkan pengaruh kuasanya di dalam bidang politik Yan Bei, sekaligus menggunakan Tentera Empayar Xia di dalam rancangannya? Namun jika benarlah itu rancangan pemuda tersebut, ia bermakna Yan Xun langsung tidak mempedulikan lebih sejuta nyawa rakyat jelata yang telah terkorban mahupun keselamatan Yan Bei, jadi adakah semua ini benar-benar berbaloi? Mungkinkah pemuda itu melakukan sesuatu yang dahsyat seperti ini?
"Tapi kalau betul Tuanku merancang sebegitu, Jeneral Cao juga bukanlah seorang dungu. Ratusan ribu ahli tentera Xia pasti akan dapat bertahan ke atas segala serangan kita termasuklah kalau kita gunakan taktik gelombang manusia dalam masa sebulan ini sekalipun. Hanya angka rakyat jelata saja yang akan menerima penangan yang besar di saat kepulangan Tuanku nanti, dan sebahagian besar Pasukan Tentera Kedua langsung tak akan merintih pun. Tuanku tak akan meraih banyak melalui rancangan ini."
"Di tanah air saya, seseorang ahli tentera yang cuba meneka niat pihak atasan itu boleh dikenakan hukum bunuh!" Wanita muda itu meraih keningnya sambil mencemuh jeneral muda itu dengan penuh dingin.
Xue Zhiyuan terkejut apabila melihat wajah bengis wanita itu namun sebelum pemuda ini sempat membalas, Chu Qiao menyambung, "Awak tak perlu nak tanam keragu-raguan awak itu dalam diri saya. Tuanku tak akan mempertaruhkan seluruh Bandar Beishou, tidak kiralah jika Yan Bei berada di dalam kesengsaraan disebabkan ketidakstabilan politik dalaman mahupun pergelutan kuasa yang sungguh dahsyat di antara ahli-ahli Kesatuan Da Tong. Kalau awak benar sekalipun, saya masih tak percaya Tuanku itu seseorang yang sanggup melakukan apa saja demi meraih kuasa! Dari segi taktiknya, serangan hendap Tuanku di Sempadan Meilin itu pasti akan menghapuskan pihak musuh kita di sana. Cik Puan Yu yang tak dapat membalas surat saya itu mungkin disebabkan beberapa hal mustahak tidak dijangka yang lain! Peperangan ini akan menentukan kewujudan Yan Bei, dan hanya orang bodoh saja yang masih akan bergelutkan pengaruh kuasa di dalam situasi ini kerana semuanya akan menjadi sia-sia sahaja kalau Yan Bei ini dimamah kehancuran. Kalau awak ini mempunyai banyak sangat masa lapang, apa kata awak pergi latih rakyat-rakyat jelata yang baru saja awak kerahkan itu supaya mereka tak mati dalam keadaan yang kejam sangat?"
Kedua-dua belah kening Xue Zhiyuan menggerenyet semasa pemuda ini berbahas, "Semenjak awak yakin sangat, kenapa awak hantar beberapa kumpulan tentera untuk mencari Cik Puan Yu? Kalau benarlah apa yang Jeneral Chu cakapkan, mereka hanya akan mengambil masa paling lama pun selama tiga hari saja untuk berpatah balik dari Bandar Lan ke sini. Jadi kenapa batang hidung Cik Puan Yu masih lagi tak kelihatan? Kalau Cik Puan Yu tak dapatkan perintah dari pihak atasan, awak fikir dia akan tengok saja malapetaka ini terjadi di sini?"
Hati Chu Qiao meluluh. Baru sahaja wanita ini ingin menyangkal katanya, seekor kuda tiba-tiba menderap dengan kelajuan yang sangat tinggi sehingga menyebabkan rakyat jelata berpecah dari tengah-tengah jalan supaya terhindar daripada dilanggar kuda tersebut bersama penunggangnya yang sedang berteriakan lantang, "Jeneral Chu! Mana Jeneral Chu?"
"Saya di sini!" Chu Qiao menjerit dengan wajah terus bersinar terang apabila melihat wajah lelaki itu dengan kakinya yang berjengket.