Chapter 149 - Bab 149

Lebih dari 20 orang askar Pasukan Tentera Kedua telah menurut perintah tuan mereka apabila mereka terus melompat dari kuda dan lantas menyediakan busur dengan beberapa pergerakan kemas. Sebelum sempat Komander Cui mengerdipkan matanya, anak panah terus melayang pantas ke arah kaki-kaki rakyat jelata dan dalam beberapa ketika sahaja, khalayak ramai yang sedang diserang itu terus mengeluarkan tangisan kesakitan yang sangat lantang.

"Tangkap mereka!" Suara pemuda itu kedengaran seperti seekor harimau yang sedang mengaum.

Para tentera lantas menakutkan rakyat jelata yang berada di kawasan yang jauh sebelum melemparkan busur silang mereka dan mengeluarkan sebilah parang pula sambil meluru ke arah orang ramai itu. Tindakan mereka sungguh kejam, mampu merampas mana-mana nyawa yang diingini hanya dengan menggunakan sarung parang mereka sahaja yang boleh menghancurkan setiap kepala rakyat jelata dan dalam masa yang singkat, lebih daripada sepuluh rakyat Yan Bei telah terkulai layu di atas tanah.

"Berambus!"

Para askar dan pelarian berkumpul bersama dengan para tentera Yan Bei yang menyaksikan segalanya yang berlaku di bandar tersebut sebelum memberi isyarat kecemasan. Pasukan-pasukan besar tentera lantas bergegas keluar dari bahagian dalaman bandar, namun serta-merta dihentikan disebabkan oleh keadaan huru-hara yang sedang berlaku berpunca daripada para rakyat yang berada di pintu gerbang bandar.

Pada masa ini, bunyi telapuk kaki kuda tiba-tiba bergema dari kejauhan di dataran bersalji dan tidak lama kemudian sekumpulan tentera muncul dalam penglihatan orang ramai. Salah seorang tentera kecil yang sedang berpakaian hitam, mungkin ketua kumpulan tersebut terus melonjak menuruni kudanya. Suaranya kedengaran feminin, namun masih disaluti dengan aura menakutkan. "Siapa yang membuat masalah?"

Lebih 100 orang tentera menuruni kuda mereka dan lantas si ketua tadi meluru ke hadapan untuk menelaah khalayak ramai sebelum mengeluarkan pedangnya dan berkata, "Pergilah! Serang mereka!"

Para tentera di bawah pimpinan si ketua itu tersangatlah mahir sehingga mampu mengepung Pasukan Tentera Kedua dengan beberapa gerakan tangkas sahaja, menawan pasukan itu dengan mudah kerana mereka mempunyai kelebihan bilangan tentera yang banyak. Rakyat jelata yang sedang menyaksikan kumpulan ini yang sedang mempertahankan mereka terus bersorak gembira. Kekecohan kini kembali stabil.

Kira-kira 30 hingga 40 penduduk Yan Bei yang telah terbaring di atas tanah akibat tercedera dan ada juga beberapa orang daripada mereka yang sudah berhenti bergerak sepenuhnya namun ia agak sukar untuk menentukan samada mereka ini masih hidup ataupun telah mati. Tentera kecil yang berperisai lengkap itu mengerutkan kening sebelum berpaling dan berkata, "Panggil doktor untuk merawat rakyat-rakyat yang dah tercedera."

"Siapakah kamu? Beraninya kamu..." Marah Xue Zhiyuan sambil meluru ke hadapan namun tentera itu langsung tidak menunggu pemuda ini untuk menghabiskan katanya-kata sebelum menampar wajah pemuda ini dengan kuat namun sebelum sempat pemuda ini dapat memberi sebarang reaksi, tentera itu telah menamparnya sekali lagi!

"Kamu ini pahlawan Yan Bei! Pedang kamu seharusnya dihunuskan ke arah Tentera Xia, bukannya rakyat jelata Yan Bei!" Suara tegas itu bergema kedengaran.

Xue Zhiyuan meradang, dengan anak matanya yang sudah menjadi bebola api sebelum melepaskan jeritan lantang dan terus menyerang pahlawan itu. Walau bagaimanapun, pahlawan itu seorang yang sungguh tangkas apabila dia melompat ke udara sebelum menghunuskan sarung pedangnya pada bahu Xue Zhiyuan. Pergerakan ini lantas disusuli dengan sebuah tendangan yang terus melayangkan Xue Zhiyuan ke tanah.

"Ikat dia dan biar dia menghadap Tuanku untuk dihakimi!" Kata pahlawan itu, dan rakyat jelata terus bersorak kegembiraan sekali lagi. 

Pahlawan itu berpaling dan terus berteriak ke arah orang ramai itu, "Khalayak ramai, Beishou bakal berperang tak lama lagi. Di sini terlalu berbahaya. Tuanku sekarang berada di bahagian barat berdekatan dengan Gunung Luori. Dia sudah membina beberapa rumah untuk kalian supaya dapat terhindar daripada ribut salji ini. Makanan dan pakaian pun ada di sana juga. Sila ikut orang-orang bawahan saya ke sana sekarang juga."

Rakyat jelata yang berada di sana terus bergerak dan orang-orang bawahan si ketua lantas bergerak di sebalik khalayak ramai itu untuk mengatur susunan mereka dan dalam beberapa masa yang singkat, beberapa orang doktor tergesa-gesa meluru dari bahagian dalaman bandar. Setelah mengkaji dengan lebih teliti, ketua tentera itu mendapati 13 rakyat jelata yang telah disahkan mati disebabkan oleh kekecohan yang berlaku sebentar tadi jadi dia pun terus berkerut, raut wajahnya kelihatan risau.

Sejam kemudian, rakyat jelata yang masih berada di hadapan pintu gerbang itu akhirnya bergerak ke barat dengan pimpinan para tentera. Ketua tentera itu melangkah ke arah bandar sementara pintu gerbang bandar ditutup kemas di belakangnya dan lantas segala bunyi hiruk-pikuk yang berlaku di luar tadi terus senyap, membuatkan ribut salji yang sedang menimpa permukaan bumi tidaklah kelihatan begitu teruk.

Ketua tentera itu berbalas pandangan dengan Komander Cui yang masih di dalam panik sebelum bergerak ke arah gerabak kuda yang memenjarakan Xue Zhiyuan dan juga kumpulan tenteranya.

"Jeneral Xue, maafkan saya sebab dah malukan awak sebegitu tadi," Pahlawan itu lantas membuka topinya untuk mendedahkan sebuah muka yang tirus, sepasang kening yang tajam dan sepasang mata yang terang, kelihatan cantik.

"Siapa awak?" Wajah Xue Zhiyuan masih lagi membengkak, lebam di tempat tendangan wanita muda itu masih lagi berbisa. Pemuda ini langsung tidak terasa seperti ingin bercakap dengannya, namun setelah melihat wajah wanita itu, pemuda ini berasa terkejut.

"Inilah Jeneral Chu," Komander Cui memperkenalkan. "Jeneral, inilah ketua Pasukan Tentera Kedua, Xue Zhiyuan. Dia tiba di sini untuk memberi bantuan ketenteraan di Beishou ini."

Wajah Chu Qiao sudah mula memerah disebabkan kesejukan yang melampau ini dan bibirnya juga sudah mula meretak, lantas mengangguk dan berkata mesra, "Jeneral Xue, pasti sukar buat awak sekarang ini. Awak dah mengembara dalam cuaca yang sangat teruk sepanjang beribu-ribu batu."

Xue Zhiyuan berkerut, tidak pasti akan asal-usul Jeneral Chu ini, lalu merenung Chu Qiao dengan kejam sebelum berkata sinis dengan nada yang rendah, "Saya takkan biarkan apa yang berlaku hari ini berlalu begitu saja."

"Sudah semestinya. Lebih daripada sepuluh orang yang dah terkorban di luar pintu gerbang bandar, dan empat puluh yang lain tercedera. Memang kebiasaannya perkara sebegini tidak akan dibiarkan begitu saja." Chu Qiao tersenyum, namun raut wajahnya kelihatan tegas apabila dia berkata tenang, "Tapi, Jeneral Xue hanya nak mempertahankan bandar, kan? Dengan peperangan yang akan berlaku tak lama lagi, saya tak akan laporkan hal ini pada pusat kawalan ketenteraan."

"Awak…"

"Jeneral Xue, awak datang ke sini dengan terburu-buru sungguh. Awak tak ada hal yang lebih penting untuk dilakukan ke? Walaupun awak ada banyak masa lapang, tapi saya ini sibuk dan kena minta diri dulu."

Xue Zhiyuan mengambil nafas yang dalam sebelum merenung Chu Qiao ke dalam matanya dengan penuh kejam, lantas mendecit sebelum beredar dengan orang-orang bawahannya.

Komander Cui mengelap peluh-peluh dingin yang menitis dari wajahnya dan berkata kepada Chu Qiao, "Jeneral tak apa-apa ke?"

Chu Qiao berkerut dan mengeluh tanpa daya, berkata, "Kalaulah saya tahu dia daripada Pasukan Tentera Kedua, saya pasti tak akan tampar dia. Sekarang, mesti akan ada masalah."

"Hah?" Komander Cui bingung.

"Hah untuk apa?" Chu Qiao berpaling dan mengamuk, "Kalau bukan kerana Pasukan Tentera Kedua tadi, pintu gerbang bandar pasti dapat diselinap masuk! Kamu tahu ke padah sebab membenarkan pengintip untuk memasuki bandar pada saat ini? Seluruh pasukan tentera Yan Bei akan dimusnahkan! Beishou ini bandar yang penting bagi Yan Bei, tapi kalian ini semua cuai betul. Walaupun Xue Zhiyuan itu salah kerana telah membunuh para rakyat jelata tadi, tapi kamulah yang dah letakkan mara bahaya sebenar kepada Yan Bei!"

Komander Cui berasa sungguh takut apabila dimarahi sebegitu sehingga lututnya menjadi lemah dan matanya bergelinangan. Pemuda ini lantas menoleh ke kiri dan ke kanan seolah-olah seorang penceroboh yang baru sahaja ditangkap sebelum berlutut di atas tanah dengan dentuman yang kuat dan merayu dengan lantang, "Jeneral, saya patut dihukum mati disebabkan kesalahan saya. Tolong ampunkan saya."

Kening Chu Qiao perlahan-lahan membentuk sebuah kerutan, mengenangkan bagaimana si bodoh ini boleh dinaikkan pangkat sebagai seorang pemimpin untuk mempertahankan bandar dan wanita ini tidak mempunyai sesiapa yang boleh dipersalahkannya. Pada masa ini, Chu Qiao berasa sungguh tidak berdaya.

"Pergi dan laporkan diri awak pada Pusat Kawalan Ketenteraan!" Chu Qia mengarahkan pemuda itu sebelum berpaling dan beredar. Ribut yang melanda langsung tidak menunjukkan sebarang ura-ura ia bakal beransur dalam masa terdekat ini.

Chu Qiao lantas disapa oleh udara yang hangat semasa wanita ini memasuki biliknya dan dia terus membuka jubahnya, melihat ke kiri dan ke kanan namun kelibat Yan Xun masih lagi tidak kelihatan. Wanita muda ini terus bergerak ke bilik bacaan sebelum terserempak dengan Ah Jing yang sedang tergesa-gesa. Pemuda itu tercungap-cungap dan berkata, "Cik, Tuanku perintahkan Cik untuk berjumpa dengannya."

Chu Qiao segera meraih keningnya. "Dia berada di mana? Apa yang terjadi?"

"Wakil Pasukan Tentera Kedua dah tiba. Tuanku sedang menunggu Cik untuk memulakan mesyuarat."

Sebelum wanita ini memasuki dewan mesyuarat, dia dapat terdengar seseorang yang sedang berkata lantang, "Kita ada lebih daripada sejuta ahli tentera. Kenapa kita nak takutkan Xia? Kita boleh lawan mereka dengan hebat di dataran berumput!"

Chu Wiao terus berkerut setelah mendengar kata-kata yang diujarkan itu. Inilah raut wajah yang paling sering dipamerkan wanita muda ini dalam masa-masa sebegini.

"Ya! Yan Bei ini teguh! Kita tak takutkan anjing-anjing Xia itu!"

"Melaporkan!" Tentera di luar tiba-tiba melaungkan. "Jeneral Chu sudah tiba."

"Masuk."

Chu Qiao melangkah ke dalam bilik tersebut dan terus menyapa semua orang yang telah hadir. Kehadiran pada kali ini lebih memuaskan daripada mesyuarat sebelum ini dengan penambahan tentera-tentera wakil daripada Pasukan Tentera Pertama dan Kedua bersama-sama penolong komander daripada Pasukan Tentera Ketiga, Ahli-ahli Terhormat Kesatuan Da Tong, pasukan tentera sempadan, pasukan tentera wilayah, pasukan tentera sukarelawan, dan ketua-ketua puak dari tanah tinggi Yan Bei. Dewan mesyuarat itu tersangatlah sesak.

Chu Qiao menyedari semua pegawai-pegawai tentera atasan hadir dalam mesyuarat ini lalu wanita ini pun berjalan ke dalam dewan itu dengan postur badan yang menegak, mengambil tempatnya di sisi Yan Xun sebelum tersenyum dan berkata kepada khalayak ramai. "Maafkan saya kerana terlambat."

"Semuanya bagaimana?" Yan Xun menoleh ke arah Chu Qiao dan bertanya dengan suara yang rendah, raut wajahnya kelihatan rungsing dengan orang ramai di dalam dewan itu,

"Semuanya baik-baik sahaja. Rumah-rumah dah pun siap dibina. Cukup untuk meredakan mereka buat masa sekarang ini."

"Bantahan!" Sebuah suara tegas tiba-tiba bergema kuat. Penolong Ketua Ketenteraan, Liu Ou, berdiri dan berkata dengan raut wajah yang gelisah. "Kenapa kita perlu gunakan sumber kita untuk bina rumah-rumah bagi pelarian-pelarian itu? Sumber-sumber itu boleh digunakan untuk memperkuat tembok bandar kita dengan meningkatkan lagi sepuluh kaki ketinggiannya, memang berguna untuk menyekat Pasukan Tentera Xia itu. Lagipun, kenapa kita bagi catuan makanan kita pada para pelarian? Jeneral Chu tak tahu ke situasi yang kita sedang hadapi sekarang ini? Pasukan Tentera Xia itu dah semakin dekat dan peperangan pun dah nak bermula. Manakala kita masih lagi belum pasti samada rangsum makanan kita cukup untuk menampung diri kita sendiri, tapi awak dah bagi pada para pelarian pula!"

"Penolong Ketua Liu Ou, kalau saya betul-betul ingat, bila saya perkuatkan pintu gerbang bandar sepuluh hari lalu, awak langsung tak bagi saya apa-apa sokongan. Tiada seorang pun daripada Pasukan Tentera Beishou yang datang menolong tapi para rakyatlah yang dah bantu saya dengan penuh teruja. Kalau tidak, tembok bandar awak ini tak akan jadi 20 kaki lebih tinggi daripada sebelumnya. Lagipun, perlu ke saya peringatkan awak yang ketinggian tembok bandar perlu mematuhi beberapa piawaian. Tembok bandar kita dah cukup tinggi dan kalau ditambah tingginya lagi, ketepatan para pemanah bakal terjejas dan keupayaan kita untuk mempertahankan bandar akan menjadi lebih terhad. Jadi, saya sarankan supaya sesiapa yang jahil tentang sebarang rancangan ketenteraan yang sebenar untuk berwaspada dalam kata-katanya."

Raut wajah Chu Qiao tersangatlah dingin dan langsung bukan seperti dirinya beberapa hari yang lalu apabila wanita muda ini merenung penolong ketua itu dan berkata, "Dan, saya juga nak cakap sesuatu. Kita ini berperang demi rakyat Yan Bei, demi kebebasan mereka. Kalau mereka semua mati, maka peperangan ini akan menjadi sia-sialah."

Wajah Liu Ou terus bertukar kehijauan apabila dia berkata untuk berdalih, "Memang selalu begini. Ribut salji yang berlaku setiap tahun memang teruk. Empayar Xia tak pernah bagi rangsum makanan kepada rakyat mereka tapi tiada siapa yang pernah mati selama beribu-ribu tahun."

"Betul itu. Sebab itulah Xia mengusir Yan Bei dari empayar mereka." Wanita muda itu memeluk tubuh sebelum mengangkat kedua belah bahu dan menyambung, "Para tentera yang akan datang ke sini untuk menyerang kita itu ialah tentera daripada ibu negara. Mereka dapat gaji mereka daripada ibu negara. Penolong Ketua Liu Ou, awak pernah bayar gaji kepada pasukan tentera awak ke? Kenapa orang-orang bawahan awak ikut awak dengan penuh setia? Jangan beritahu saya yang awak mahukan orang-orang bawahan awak untuk meletakkan nyawa mereka dalam bahaya demi awak, tapi awak sanggup biarkan keluarga mereka mati kebuluran ataupun disebabkan cuaca beku?"

Dewan mesyuarat itu terus menjadi senyap sunyi tanpa ada seseorang pun yang membuka mulut mereka dan satu-satunya bunyi yang dapat kedengaran hanyalah datang daripada angin kencang yang bertiup di luar.

Suara Yan Xun yang dingin bergema perlahan apabila pemuda ini berkata, "Berbalik pada topik kita. Siapa yang bersuara tadi?"

"Sayalah orangnya," Ketua Pasukan Tentera Ketiga, Lu Jie, berkata dengan nada yang rendah. Lelaki itu berusia dalam lingkungan 30 tahun dengan janggut yang tebal, kelihatan seperti seseorang yang datang daripada tanah tinggi itu. Mukanya pula memerah apabila dia berkata dengan nada yang berat, "Saya tak faham. Kenapa kita bersembunyi? Kenapa kita bersembunyi di Bandar Beishou? Kita ada pasukan tentera seramai 500,000 orang manakala Xia hanya ada tentera barisan hadapan seramai 100,000. Kita akan melebihi mereka dari segi angka jumlah askar lima persatu. Bagaimana mungkin kita boleh kalah?"