Chapter 150 - Bab 150

Komander daripada Regimen Berkuda Kedua dari Bandar Beishou iaitu Chen Xi berkata dengan setuju, "Siapa yang buat rancangan ini dah hina kita pahlawan Yan Bei! Kita akan berperang! Kita nak lawan pihak musuh dengan adil dan saksama!"

"Betul itu!" Para ketua dari puak lain bersorak dengan teruja, "Rakyat Yan Bei ini berhati pejuang! Kita tak akan larikan diri dari pihak musuh!"

Chu Qiao tiba-tiba dihurung perasaan mual dengan tingkah-laku para pahlawan ini. Wanita ini baru sahaja melihat kekecohan yang berlaku di luar pintu gerbang bandar, dan berasa sungguh jijik apabila mendengar kata-kata mereka yang langsung tidak berasas itu. Chu Qiao terus meraih wajahnya dengan anak matanya yang tajam merenung setiap komander, berkata dengan tegas, "Saya yang buat rancangan itu. Apa masalah kalian mengenainya?"

Orang ramai itu terus terdiam. Setelah sepuluh hari yang lalu, tiada sesiapa yang berani untuk menyangkal kata-kata wanita muda ini lagi setelah dia mampu mengatur semula seluruh struktur ketenteraan dan merevolusikan bahagian pentadbiran di seluruh bahagian belakang ibu pejabat yang telah menyebabkan tahap keefisienan bahagian pengurusan meningkat dengan mendadak. Tambahan pula, wanita ini juga telah mencipta sebuah batu berwarna merah ajaib yang telah dinamakan wanita ini sebagai 'batu bata' yang bukanlah sekeras batu sebenar, namun ia membuatkan masa pembinaan kubu menjadi lebih singkat. Bagi mengukuhkan lagi tembok bandar pula, wanita ini telah membawa ais yang amat banyak daripada sungai Chishui yang berdekatan supaya dia dapat membina tembok kedua bandar yang berketinggian 30 kaki yang bukan sahaja dapat dijadikan sebagai kubu kepada bandar itu, tetapi tembok ais itu juga membuatkan ia mustahil bagi pihak musuh untuk mengintip tembok bandar. Chu Qiao juga telah meletakkan banyak perangkap dan parit di luar bandar dengan menggunakan muslihat ketenteraan yang telah dipelajari sewaktu di zaman moden dahulu dan kini, seluruh Bandar Beishou itu telah dijadikan sebagai sebuah kubu yang tidak dapat dipecah masuk, bukanlah dikawal dengan sangat longgar seperti dahulukala.

Benarlah, jika seseorang itu tidak berpuas hati dengannya, mereka patut menelan sahaja perasaan mereka itu daripada berhadapan dengannya. Apatah lagi apabila dia baru sahaja menyelesaikan masalah pelarian yang ditangani dengan sungguh teruk sebentar tadi.

"Saya ada beberapa masalah," Sebuah suara tiba-tiba bergema. Semua orang menoleh pandangan mereka ke arah sumber suara itu untuk melihat tuan suara itu milik wakil tentera barisan hadapan Pasukan Tentera Kedua.

Xue Zhiyan merenung tajam ke arah Chu Qiao dan berkata muram, "Kita dah buat persiapan untuk peperangan ini selama lapan tahun. Dalam lapan tahun itu kita dah bekerja keras, ambil ahli-ahli baru dan kebolehan-kebolehan baru, kumpul senjata dan dah latih para tentera secara senyap-senyap. Kita tak akan lupakan penghinaan yang berlaku di Dataran Huolei. Bunga-bunga Huoyun yang bercambah di atas mayat-mayat saudara-mara kita masih mekar sebab mereka tunggu kita balas dendam dan lupakan penghinaan kita ini. Tapi, kita dah tunggu selama lapan tahun ini hanya untuk menjadi seorang penakut ke?" Suara sedihnya dan pandangan kakunya juga telah berpaling ke arah Yan Xun yang sedang terduduk di atas kerusi di tengah-tengah kawasan itu. Dengan suara yang membeku, dia bertanya, "Apa yang terjadi pada sifat gagah berani Keluarga Yan? Kemewahan di bandar maharaja itu dah buatkan darah Tuanku panas ke?"

Keadaan terus menjadi sunyi sepi setelah pemuda itu menghabiskan katanya-katanya, namun Yan Xun yang sedang memakai sepasang jubah berwarna hitam pekat itu kelihatan tenang apabila dia meraih keningnya. Renungan matanya melintasi Xue Zhiyuan, dan terus hujung bibirnya diraih sedikit sebelum dia berdekih ringan, namun dekihannya langsung tidak berbaur lawak jenaka, membuatkan semua orang terus menjadi seram sejuk.

Penolong Komander Tentera Kedua, Yu Xin, yang terduduk berhampiran dengan putera itu terus berdiri dan berkata gelisah, "Personaliti Zhiyuan ini memang jenis yang cakap lepas, saya merayu agar Tuanku dapat ampunkan kata-katanya itu, dia hanya memikirkan negara kita saja."

Datuk Bandar Beishou, Xia An, juga berdiri dan merayu demi Xue Zhiyuan, "Kata-kata Jeneral Xue itu mungkin tak diuturkan dengan baik. Dia ada niat yang baik untuk peperangan Yan Bei sekarang ini. Tuanku, tolong ampunkan dia kali ini demi kesetiaan dan pencapaian dia untuk Yan Bei."

Semua jeneral lain berdiri dan merayu demi Xue Zhiyuan, selain daripada wakil Pasukan Tentera Kedua ini yang mempunyai aut wajah berbaur seolah-olah dia tidak pasti akan tingkah lakunya.

"Jeneral Xue ini memang seorang yang berterus terang, dan itu sesuatu yang saya suka." Mata Yan Xun dikecilkan apabila pemuda itu tersenyum, lantas menenteramkan semua orang yang berada di situ, "Para hadirin sekalian, sila ambil tempat. Semua orang dah korbankan banyak perkara demi Yan Bei, dan saya, Yan Xun, menghargai segala pengorbanan yang kalian dah berikan. Bagaimana mungkin saya nak menghukum seseorang? Jeneral Xue hanya menguturkan apa yang berada di mindanya dan langsung tidak menderhakai saya. Apa salahnya, kan? Betul tak, Jeneral Xue?"

Nada Yan Xun mendatar, dan anak matanya kaku cuba melindungi ketajaman disebaliknya. Jeneral Xue yang mendengar soalan itu diajukan kepadanya tidak mempunyai pilihan lain daripada berdiri dan membalas dengan penuh penghargaan, "Tuanku benar-benar bijaksana. Pahlawan Tuanku ini cuai dengan kata-katanya dan tak tahu bagaimana nak luahkan hasrat hati saya. Saya langsung tak berniat nak menderhakai Tuanku. Saya merayu untuk diampunkan."

Orang ramai yang berada di situ terus melaungkan kata-kata pujian yang melambung ke atas kebijaksanaan Yan Xun sebelum kembali ke tempat duduk mereka dengan gelisah, namun Jeneral Xue masih berdiri sebelum berpaling dan berhadapan dengan Chu Qiao. Dia bertanya dengan suram, "Bagi soalan saya tadi, boleh saya minta Jeneral Chu untuk terangkan kepada saya?"

Apabila pemuda itu berkata sebegitu, Yu Xin daripada Pasukan Tentera Kedua pun turut berkerut. Jeneral Xue ini sebentar tadi telah menunjukkan penderhakaan terhadap Yan Xun, namun dia masih ingin meneruskan agendanya walaupun telah diampunkan raja baru itu. Walau apa pun, Yan Xun masih lagi pemimpin Yan Bei dan jika kesilapan dari Pasukan Tentera Kedua berterusan sebegini, maka nahaslah mereka.

Tetapi sebelum pemuda itu dapat berdiri, Chu Qiao telah pun berdiri dahulu sambil memandang Jeneral Xue dengan bersahaja, dan membalas tenang, "Jeneral Xue, saya tak sangka awak yang akan bertanyakan soalan kebudak-budakan sebegini. Sayang betul."

Wajah Xue Zhiyuan membeku, namun sebelum sempat dia ingin membalas kata-kata wanita itu, raut wajah Chu Qiao telah bertukar kaku apabila dia berkata lantang, "Perang ini bukannya berkenaan aritmetik semata-mata! Kebiasaannya dalam sesebuah pertempuran, kekuatan kedua-dua belah pihak musuh itu bukannya dihitung melalui perbezaan ahli tenteranya saja! Ada banyak lagi faktor penentu, dan jumlah ahli tentera itu hanya salah satu daripadanya saja! Faktor lain termasuklah tahap semangat juang ahli tentera, kekuatan setiap individu, kebolehan menyeluruh sesebuah pasukan tentera itu, kualiti senjata, ketepatan maklumat yang dapat diperolehi, kepantasan penghantaran setiap pesanan, kebolehan para jeneral yang memimpin peperangan itu, pengalaman para tentera yang berlawan dalam peperangan itu, termasuklah permukaan bumi, pasukan bantuan dan juga logistik. Semua ini cukup untuk memberikan impak yang besar dalam sesebuah peperangan itu. Budak mentah saja yang akan merancang untuk hanya menggunakan kekuatan ahli tentera supaya dapat menang sesebuah peperangan!"

Kata-kata cemuhan yang telah diberikan Chu Qiao itu bagaikan sebaldi air ais yang telah dicurahkan ke atas kepala semua orang yang mendengarnya. Penolong Jeneral Chan Xi mendecit dan berdiri, "Jadi kami semua ini budak mentah dalam strategi, dan hanya Jeneral Chu seorang saja pakar strategi, kan? Awaklah manusia yang paling bongkak yang pernah saya jumpa setelah sepuluh tahun berjuang demi Yan Bei."

"Sejarah dah pun jelaskan mereka yang selalu mencanang-canangkan pencapaian lalu mereka itu tak akan ada masa depan. Apatah lagi kalau pencapaian lalu itu langsung tak layak nak dicanang-canangkan pun." Chu Qiao menyangkal kata Penolong Jeneral tersebut dengan pedas sebelum menyambung, "Saya sarankan supaya semua orang betul-betul kaji dan faham situasi kita sekarang ini! Kita bukan saja akan berperang satu pertempuran. Kemenangan dalam satu pertempuran itu dikira sedikit saja dalam sesebuah peperangan yang besar. Pada Xia, kita ini hanya sebuah negeri yang dah memberontak saja. Mereka ada pengaruh kuasa yang besar di dataran Hongchuan dan boleh hantar ratusan ribu, malah jutaan ahli tentera ke arah kita. Kalau Bandar Zhen Huang mengeluarkan perintah kerahan tersebut, mereka dapat mengumpul seratus ribu ahli tentera dalam masa dua hari. Kita? Kita akan bersaing rapat dengan sebuah empayar yang besar sementara mempertaruhkan seluruh negara kita! Kemenangan bermakna kewujudan Yan Bei, manakala kekalahan bermakna penghapusan secara keseluruhannya. Kita tak takut akan kematian, tapi kita tak boleh mati tanpa sebarang makna. Kemenangan kecil-kecilan itu langsung tiada impak pada peperangan yang besar ini. Motif kemenangan kita dalam pertempuran di Beishou ini bukan saja untuk meraih kejayaan strategi, tetapi juga untuk mendapatkan peluang supaya kita boleh beratkan dacing kemenangan peperangan itu pada pihak kita!"

Chu Qiao menggenggam penumbuknya sebelum melemparkannya ke udara, lantas berlaung lantang dengan penuh keyakinan, "Kita perlu kalahkan Tentera Xia dalam bukan satu atau dua pertempuran dan apa yang kita perlu lakukan adalah untuk mengheret mereka mengikut rentak kita, habiskan tenaga mereka sebelum kita serang mereka tepat di jantung mereka, dan bawa kehancuran bersama mereka!"

Pada masa ini, Yan Xun berdiri dan berkata dengan serius, "Para hadirin, Ah Chu betul. Dalam pertempuran Beishou ini, apa yang kita perlu capai bukan saja satu kemenangan yang ringkas, tapi untuk memaksimumkan serangan kitapada pihak musuh sementara menyimpan tenaga kita. Ini pertempuran hidup dan mati buat kita, kewujudan Yan Bei berada dalam tangan kita semua."

Yan Xun memerhati semua orang dengan tenang, anak matanya kelihatan dalam seperti sebuah lautan membiru dengan ombak-ombak kesungguhan dan perjuangan yang marak membara sebelum pemuda ini berhadapan dengan khalayak ramai dan menunduk hormat yang lantas memeranjatkan semua mata yang memandang.

Yang Honghuan terus melutut ke atas lantai sambil berlaung, "Saya akan ikut Tuanku!"

Dengan itu, seluruh bilik mesyuarat itu juga melutut ke atas lantai sambil berkata, "Saya akan ikut Tuanku!"

Angin masih lagi kencang seolah-olah membawa berita yang Tentera Xia telah tiba. Chu Qiao yang berdiri di hadapan pintu gerbang Beishou itu kini sedang berhadapan dengan tentera barisan hadapan Pasukan Tentera Guangfu Pertama bersama-sama 20,000 ahli tentera daripada Pasukan Tentera Helang. Yan Xun berdiri di hadapan barisan tonggak gergasi sambil berperisai lengkap dan memakai kot luaran yang berwarna hitam. Angin sejuk menghembus rambutnya dan lantas mempamerkan lagi ciri-ciri wajah pemuda itu. Chu Qiao yang melihat pemuda ini tiba-tiba dihurungi perasaan dingin lalu dia mencebikkan bibirnya seolah-olah ingin berkata sesuatu namun kerongkongnya tersekat yang membuatkan lidah wanita muda ini terkelu, bagaikan semua kata-kata yang patut diluahkan sudahpun dituturkan dan tiada apa lagi selain kegelisahan yang menggunung dan keraguan sahaja yang berlegar-legar.

"Biar saya ikut awak." Wanita ini berkata teragak-agak walaupun sedar pemuda itu tidak akan membenarkannya, Chu Qiao masih lagi memujuk sambil menarik-narik lengan baju pemuda itu.

"Ah Chu, dengarlah cakap sikit." Yan Xun menggenggam tangan wanita itu sebelum menghembuskan nafas hangatnya pada tapak tangan Chu Qiao sebelum meggosok-gosoknya dengan lembut. "Sempadan Meilin itu terletak beribu-ribu batu jauhnya dari sini, dan dengan cuaca yang tak menentu dan kesihatan awak yang belum pulih sepenuhnya, macam mana saya nak benarkan awak mengembara sejauh itu? Lagipun, saya perlukan seseorang yang saya percaya untuk kawal situasi di sini, dan hantar apa-apa berita mustahak kepada saya secepat mungkin. Empayar Xia tak akan bergerak ke sana dengan sebegitu cepat, dan Beishou juga tak akan jadi medan pertempuran dalam masa terdekat ini. Nanti, saya akan hantar seseorang untuk iring awak ke Bandar Lan untuk menyertai tentera barisan belakang bersama Cik Puan Yu. Awak akan selamat di sana, dan barulah saya boleh berasa lega."

Perbualan ini telah diulangi beberapa kali pada malam sebelum itu, dan Chu Qiao juga sedar Yan Xun tetap tidak akan membenarkannya untuk mengiringi pemuda itu namun wanita ini masih terasa kecewa apabila dia mencebikkan bibirnya dan menundukkan wajahnya dalam kesepian.

"Tuanku, dah tiba masa untuk bergerak," Lapor Ah Jing setelah menghampiri mereka.

"Tunggu sekejap." Yan Xun meraih pandangannya dengan raut wajah yang sungguh meradang. "Kamu tak nampak ke saya tengah berbincang mengenai hal ketenteraan yang mustahak dengan Jeneral Chu ini?"

Ah Jing yang malang itu telah terpijak salah sebuah periuk api Yan Xun, dan terus pemuda itu merayu keampunan daripada raja baru mereka sebelum meromok pergi dari 'perbincangan hal ketenteraan' yang Raja Yan dan Jeneral Chu sedang bincangkan itu.

"Ah Chu, jangan berdegil. Saya akan pulang paling lewat pun dalam masa sebulan." Yan Xun membongkokkan badannya dan merendahkan kepalanya supaya wajah pemuda ini lebih rendah daripada wajah wanita itu sebelum mencubit pipi Chu Qiao dengan lembut. Yan Xun tersenyum manis, bagaikan seekor tikus yang baru sahaja mendapatkan semangkuk madu. "Saya tahu yang Ah Chu ini hebat. Kalau awak ada di sini, itu bersamaan mempunyai sepuluh regimen dan seratus pakar strategi. Kalau awak ada di Sempadan Meilin itu, pihak musuh kita mesti akan menyerah kalah dalam sekelip mata saja disebabkan reputasi awak itu, dan semua jenis pertahanan akan dihancurkan, dan binatang-binatang dari Empayar Xia itu mesti akan tinggalkan senjata mereka dan tunduk pada kekuatan awak. Tapi, apa yang boleh saya buat? Kita perlukan awak di sini juga! Kalau awak tak ada di sini untuk mengawal bandar ini, saya tak boleh nak tidur dengan nyenyak. Saya harap yang Jeneral Chu boleh bersimpati dengan insan yang lemah ini, dan tolong saya kawal perkembangan situasi di Beishou ini."

Chu Qiao terus ketawa terbahak-bahak sebelum menumbuk bahu Yan Xun apabila dia mencebik, "Manis kata-kata awak itu."

Yan Xun melepaskan keluhan lega dengan kuat yang dibuat-buat dan mengelap dahinya sebelum melibas tangannya bagaikan dia benar-benar mempunyai peluh yang banyak sebentar tadi, berkata, "Akhirnya, saya boleh nampak pelangi yang datang selepas ribut. Ini lebih susah daripada bertempur dalam peperangan."