Chapter 135 - Bab 135

Awan berkepul melayang-layang di udara membayangi bangunan di bawahnya. Sebuah gerabak kuda menderap di kejauhan lantas meninggalkan jejak debu.

"Tuanku," Kata seorang lelaki berpakaian biru yang berjalan ke atas bukit dengan berat hati. Dengan suara yang rendah, dia berkata, "Sesuatu dah berlaku semasa sesi pentadbiran pada pagi tadi. Sila pergi dan lihat."

Li Ce berpaling, raut wajahnya tidak lagi tenang dan mesra lantas dikerutkan sambil menjawab, "Apa yang berlaku?"

Muka Sun Di juga turut bertukar serius. Sambil bermasam muka, dia berkata, "Sesuatu telah berlaku kepada Puteri Xia."

Beberapa tahun kemudian, terdapat pendedahan dalam rekod sejarah Meng Barat. Pada hari ketiga bulan kesembilan, Puteri Kelapan Xia, Zhao Chun, telah dirogol di luar istana Tang. Perogolya, sebelum dia mati, telah bersumpah setia kepada Kesatuan Da Tong dari Yan Bei, menyebabkan kemarahan rakyat di negara Xia dan Tang. Pada ketika itu juga mereka bersatu untuk matlamat yang sama iaitu untuk memusnahkan Yan Bei.

Para pegawai atasan Tang berdiri di istana yang megah itu. Maharaja Tang, Li Yizhou, bersemayam di atas takhta emasnya. Usia maharaja tersebut sebenarnya kira-kira 50 tahun, tetapi beliau kelihatan jauh lebih tua dengan rambutnya yang sudah memutih dan mukanya yang penuh dengan kedutan, anak matanya pula tidak lagi membawa aura ketajaman dan kekejaman yang dimilikinya pada masa muda dahulu. Kini, anak matanya kelihatan seperti sebuah telaga yang dalam, mencerminkan renungan tajam yang ditujukan kepadanya.

Seorang pegawai berusia lebih dari 70 tahun berlutut di atas tanah dan mengumumkan, "Berani betul Yan Bei itu, langsung tak menghormati Empayar Tang ini dan cuba menyemai kebencian di antara kita dengan wilayah timur. Kalau kita tidak meminta keadilan yang setimpal, di mana letaknya maruah negara kita? Bagaimana kita akan menghalang orang lain daripada meneruskan aktiviti seperti ini dengan tentera kita? Bagaimana kita akan kekalkan pengaruh kedudukan kita di Meng Barat dan juga ke atas tiga empayar utama? "

Apabila mendengar kata-kata ini, pegawai-pegawai lain bersetuju, kecuali seorang pegawai muda yang melangkah ke hadapan sebelum berkata dengan penuh keikhlasan, "Perang di antara Xia dan Yan Bei itu dah semakin dekat, saya rasa kita tidak patut campur tangan dengan tergesa-gesa."

Pegawai tua tadi terus naik berang dan berkata, "Xue Changling! Awak mendakwa yang hal ini tidak berfaedah untuk kami! Apa motif awak sebenarnya? Empayar kita ini dah tak pernah alami penghinaan yang sebegini besar semenjak ribuan tahun! Apabila berita ini sampai ke telinga orang empayar lain, bagaimana kita nak terus mempertahankan kedudukan kita? Awak saja yang lebih berpihak kepada Yan Bei. Awak ada jalinkan sebarang urusan dengan Yan Bei yang menyalahi undang-undang ke sehingga awak tak boleh dedahkannya? "

"Tuanku!" Seruan tersebut kuat bergema dan seorang lagi pegawai berjanggut putih menjerit, "Ini penghinaan yang tak pernah berlaku sebelum ini! Apabila nenek-moyang kita membina empayar ini beribu tahun yang lalu, mereka menekankan keadilan dan kesaksamaan! Keadilan dan kesaksamaan! Itulah asas kepimpinan kita semenjak kita bina empayar ini! Kita tak pernah dihina teruk sebegini! Maruah kita akan lesap begitu saja kalau berita ini tersebar! Ini penghinaan kepada kerajaan kita! "

Xue Changling mengambil langkah ke hadapan dan berkata dengan penuh keyakinan, "Tuanku, isu mengenai puteri Xia ini memang meragukan. Kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada cerita pegawai-pegawai Xia dan masuk campur dalam konflik dalaman mereka!"

"Pengkhianat! Berani kamu mencemar istana kerajaan dengan cerita mengarut! Kamu tahu tak betapa pentingnya status seorang puteri? Dia mestilah dah diperiksa oleh pihak istana! Puteri Kelapan Xia baru saja membentuk sebuah pakatan perkahwinan dengan kita! Tetapi, dia telah dimalukan di wilayah kita, di dalam ibu kota maharaja! Kita tidak boleh nafikan fakta ini! Kalau kita tidak beri balasan yang setimpal, bagaimana kita akan menyelesaikan masalah ini? Berdasarkan kata-kata awak mengenai isu yang meragukan ini?!"

"Ahli Kehormat Luo! Saya tak katakan yang kita tak perlu melihat isu ini dengan lebih mendalam, tapi saya hanya takut yang kita akan jatuh ke dalam sebarang perangkap kalau kita bertindak dengan terlalu tergesa-gesa!"

"Perangkap?" Jeneral Qi mengejek. "Perangkap apa? Perangkapnya ialah Yan Bei takut akan perikatan kami dengan Xia dan mahu menghalangnya!"

"Saya tak nafikan kemungkinan ini, tapi kita tidak boleh abaikan kemungkinan lain juga. Kalau benar-benarlah kejadian itu benar-benar dah dirancang oleh Yan Bei, kenapa si perogol itu dedahkan identiti dia sebelum dia bunuh diri? Bagaimana pula Yan Bei akan dapat kelebihan dengan mengunakan taktik itu? "

Tuan Luo pun menjawab dengan sinis, "Ahli-ahli Kesatuan Da Tong itu memang gila. Bagaimanalah kita boleh menganggap mereka sebagai rasional?"

Jeneral muda yang lain di samping Jeneral Qi berkata, "Mereka nak tipu kita dan membuat kita fikir mereka dah menggunakan kambing hitam. Ahli Kehormat Xue, awak berfikir dengan terlalu mendalam ini!"

Xue Changling naik angin dan berkata, "Ini perkara-perkara yang membabitkan negera kita! Kita harus berfikir dengan teliti! Kita tak boleh membuat kesimpulan dengan hanya berdasarkan kenyataan tidak rasional. Saya seorang pegawai dan saya mewakili istana ini. Saya perlu pertimbangkan semua perkara dengan teliti!"

"Ya ke? Saya rasa awak dah pun berfikir tentang perkara ini dengan teliti. Kalau kita tunggu lama lagi, tentera Xia akan menyerang kita!"

"Jeneral Xu, awak..."

"Tuanku Baginda! 30,000 tentera dari Pasukan Kem Utara sedang menunggu! Kami sanggup berperang untuk negara kita!"

"Tuanku! Kita perlu bunuh mereka! Tolong keluarkan perintah! Pisau saya dah berkarat sebab dah bertahun-tahun tak bertarung!"

"Tuanku! Izinkan kami memulakan peperangan ini!"

Pegawai-pegawai Tang berlutut di atas lantai, meninggalkan hanya Xue Changling yang sedang berdiri sendirian. Pegawai muda itu meradang namun mendiamkan dirinya sahaja.

Pada masa ini, bunyi ketawa meletus dari luar istana, lantas menyebabkan semua orang berpaling dan melihat Li Ce yang sedang berpakaian baju hijau, memakai mahkota di kepalanya dan tali pinggang jed di pinggang dengan matanya yang kelihatan seperti musang. Dia tertawa sambil berjalan ke istana, berkata sambil lewa, "Sesak betul hari ini. Ahli Kehormat Liu pun ada di sini. Ada berita terbaru ke? Kawasan barat menghadiahkan kuda yang berharga, atau kawasan selatan memberikan wanita cantik baru ke?"

Orang ramai berpecah menjadi dua seperti air yang dibelah. Li Ce yang diiringi oleh Sun Di melangkah ke arah orang ramai dan berlutut di atas lantai. "Saya bangun lewat. Daulat Tuanku."

"Hmm," Suara maharaja yang tua itu meledak. Maharaja Tang berkata, "Kamu tahu apa yang berlaku di sini?"

"Di sini? Oh!" Li Ce terus tersedar dengan situasi tersebut lalu menjadi geram, berdiri dan teriak, "Mereka itu pembuli! Saya akan berada di sini untuk perkara ini!"

Pegawai pada mulanya merisaukan kelakuan tuan putera mereka ini. Walau bagaimanapun, setelah mendengar kata-katanya, mereka berasa gembira dan menambah, "Ya, mereka itu pembuli! Putera Mahkota betul!"

Li Ce mengangguk kepalanya dengan marah, berkata, "Empayar Xia dah serahkan dua orang puteri, di mana kedua-duanya tidak setia dan dah memperbodohkan saya! Mengarut! Ayahanda, saya rasa Xia itu tak ikhlas terhadap ikatan perkahwinan ini. Saya rasa kita kena halau puteri mereka dari sini. Saya ingatkan puteri sulung Empayar Song Empyar boleh tahan juga dan saya dengar yang adik perempuan dia pun cantik juga..."

Orang ramai terkejut. Ahli Kehormat Liu mengambil beberapa langkah ke hadapan lalu berlutut dan merayu, "Tuanku, ini tak boleh berlaku!"

Li Ce berpaling dan bertanya, "Oh, kenapa tak boleh?"

"Empayar Xia menghantar dua puteri mereka kepada kita yang menunjukkan keikhlasan mereka. Tetapi puteri yang kedua itu dah dimalukan di wilayah kita. Kalau kita tak beri balasan yang setimpal kepada Yan Bei, kita mesti akan dipersalahkan nanti, tak lupa juga dibenci. Hukuman itu sepatutnya diberikan kepada pemberontak Yan Bei, bukannya puteri Xia. Tuanku Yang Mulia, sila buat pertimbangan berdasarkan fakta ini. "

Li Ce mengerutkan dahinya dan menjawab, "Oh, masuk akal juga itu."

Ahli Kehormat Liu menyapu peluh sejuk dari mukanya dan mengeluh kelegaan. "Tuanku ini bijak pandai."

Lantas Li Ce berkata, "Ayahanda, bakal pengantin perempuan saya dah dipermalukan rakyat Yan Bei. Walaupun saya tak mampu berbuat apa-apa semasa kejadian itu, tapi saya tak boleh duduk diam dan lihat saja wanita saya diperlakukan sebegitu kejam. Ayahanda, sila hantar pasukan tentera ke Yan Bei. Saya sudi memimpin mereka supaya dapat hapuskan Yan Bei itu! "

Seluruh mahkamah bersorak apabila mendengar kata-kata putera mereka ini. Pegawai-pegawai tersebut semuanya memandang satu sama lain dengan kegembiraan, tidak dapat menahan emosi mereka. Walaupun putera itu gemar berfoya-foya selama ini, namun dia juga telah menunjukkan keupayaan yang sungguh baik untuk menilai dan membuat pertimbangan seperti seorang pemimpin yang berintegriti pada saat kritikal. Empayar Tang sepatutnya dipimpin dengan cara sebegini!

"Ayahanda, saya ada satu permintaan kecil lagi."

Maharaja Tang berkerut, namun masih berdiam apabila menunggu permintaan puteranya itu.

Li Ce berdiri di lantai istana dengan pakaian mewahnya. Dengan suara yang kuat, dia menyatakan, "Oleh sebab puteri kelapan dah bertunang dengan saya, bermakna dia akan menjadi sebahagian daripada empayar kita. Saya harap ayahanda dapat tolak sumbangan Empayar Xia yang nak menghantar tentera mereka untuk membantu kita. Yan Bei itu negara yang kecil dan bukannya penting sangat pun. Saya hanya perlukan 100,000 askar elit untuk menangkap Yan Xun hidup-hidup dan hapuskan seluruh negara Yan Bei! "

Ucapan Li Ce tersebut telah memeranjatkan semua orang yang mendengarnya namun sebelum mereka sempat membalas, Li Ce meneruskan kata-katanya.

"Lagipun kita kena melintasi wilayah Xia semasa perjalanan kita ke Yan Bei, dan perjalanan kita ini panjang. Saya sedar yang pengembaraan terjauh yang diambil oleh tentera kita seingat saya hanyalah ke Zhen Huang saja. Kita kerahkan 300,000 askar dan 2,000,000 tentera simpanan, tapi kekuatan tentera kita sekarang ini kurang dari separuh berbanding tentera kita pada masa itu. Lebih-lebih lagi pengembaraan ini yang akan makan masa lebih lama. Oleh itu, saya perlu Jabatan Tentera kumpulkan 3,000,000 askar tambahan, 200,000 kuda, 200,000 set perisai untuk mereka, dan juga pakaian musim sejuk, doktor, ubat-ubatan dan jerami untuk kuda. Bagi Jabatan Pengagihan Makanan pula, saya perlukan 15,000,000 kilogram untuk diedarkan di kalangan tentera. "

Ketua Cendekiawan Jabatan Tentera, Qiu Shihai, terpana setelah mendengar kata-kata Li Ce itu dan lantas menerangkan, "Tuanku, ini pendapat saya sajalah, tapi Yan Bei itu pengkhianat dari Empayar Xia dan sebab kami berperang demi puteri Xia, jadi Empayar Xia harus sediakan tentera mereka sendiri untuk membantu kita, dan mereka yang patut membentuk sebuah pasukan utama. Walaupun kita hantar pasukan tentera kita juga, tapi kita hanya menjadi pasukan sokongan mereka saja. Empayar Xia yang harus sediakan makanan dan peralatan ketenteraan yang lain untuk kita. "

Li Ce tersenyum dan berpaling, sambil berkata, "Oh, Ahli Kehormat Qiu, bukan ke awak yang berlaung untuk bersifat nasionalisma dan juga menjaga keharmonian negara sebentar tadi? Walaupun saya ini Putera Mahkota Tang yang dah diperbodohkan, tapi saya masih perlu bergantung kepada orang lain untuk mencari keadilan ke? Ahli Kehormat Liu itu betul, kita tak pernah dihina seperti ini selama beribu-ribu tahun. Siapa yang peduli tentang masa lalu di mana Xia kalahkan kita dan jajah tanah kita? Masa mereka mengambil Hongchuan dari kita? Penyamun dan penyangak di utara itu dah menjadi semakin keterlaluan. Kalau kita tak ajar mereka secukupnya sekarang, mereka mesti akan terus pijak kepala kita! Saya percaya para jeneral di sini setuju dengan saya dan mahu menakluki Yan Bei tanpa bersembunyi di sebalik tentera Xia seperti seorang pengecut. Lagipun, Empayar Xia itu kan baru saja bangkit dari tempoh konflik dan tak mampu nak tampung diri sendiri pun, mereka harus bergantung kepada kita untuk membeli rangsum. Bagaimana pula mereka dapat memberi kita makanan yang mencukupi untuk perang ini?"

Li Ce berdiri di atas platform sambil tersenyum. Para jeneral yang sebentar tadi tidak henti-henti berbahas dengan tuan putera kini terkejut sambil memandang ke arah sesama sendiri, langsung tidak berani bersuara.

"Saya dengar yang Yan Bei ada pasukan tentera yang besar, dan Yan Xun pun ada banyak pengalaman juga. Dia berjaya tawan Garison Utusan Barat Daya bersendirian saja, dan lantas raih kemenangan ke atas Bandar Zhen Huang yang kita sendiri pun tak pernah lakukan selama ratusan tahun dengan 300,000 tenteranya. Dia paksa kerabat maharaja Xia untuk melarikan diri dari ibu negara untuk kali pertama dalam 300 tahun dan dia akhirnya menghala ke Yan Bei. Tentera sempadan di barat laut dan ramai raja feudal pun tidak dapat kalahkan mahupun menghalang pemuda itu, sekaligus pemuda itu mendapat gelaran Raja Singa Yan Bei."

"Kita dah tak menyertai sebarang peperangan sejak bertahun-tahun dulu, selain dari tentera di sempadan selatan. Majoriti ahli-ahli tentera yang pernah menyaksikan pertumpahan darah sebegitu semuanya dah melangkaui umur enam puluh tahun. Tentera kita memang tak bersedia langsung, dan senjata-senjata kita semuanya dah berkarat. Bagaimanapun, saya percaya yang selagi kita bersatu, kita pasti akan dapat melintasi seluruh wilayah Xia dan bunuh sesiapa sahaja yang menghalang kita," Kata Li Ce ketika pemuda itu sedang berjalan di sepanjang platform, perasaannya kini menjadi lebih gembira apabila dia membuka mulutnya. "Lagipun, semua orang dah saksikannya. Tentera kita berarak selari dalam perarakan tahunan yang kita anjurkan, lepaskan laungan perang yang tegas walaupun mereka tak pernah membunuh sesiapa pun sebelum ini, tapi kebanyakan mereka pernah menyembelih ayam. Mereka juga pandai mencetuskan pergaduhan disebabkan perasaan cemburu di rumah pelacuran. Pengalaman pertempuran mereka pun sudah memadai. Pasukan askar di Dewan Shang Wu itu pun kebanyakannya muda dan tampan, dan ramai anak lelaki dan cucu pegawai yang berada di sana, orang-orang ini aset kerajaan kita!"

"Walaupun mereka-mereka ini belum pernah tengok pertumpahan darah dengan mata kepala mereka sendiri, dan mereka mungkin tidak pernah sembelih ayam pun sebelum ini, tapi saya rasa mereka dah bersedia untuk berperang. Laungan perang mereka tajam dan lantang. Saya rasa saya boleh bertarung bersama mereka disisi saya. Dengan latihan yang lebih sikit di medan perang, mereka pasti akan menjadi tentera elit. Kita juga ada banyak khazanah yang Yan Bei tidak ada. Walaupun saya tahu Bian Cang, Xi Rui dan Wu Daoya dari Yan Bei itu memang mahir dalam perancangan peperangan mereka dan selalu kalahkan tentera yang lebih besar tanpa sekali pun terjejas, tetapi kita Empayar Tang ini tak akan takut kepada mereka. Mereka muda, tapi kita ada jeneral yang lebih tua seperti Jeneral Dou dan Jeneral Bai yang sememangnya lebih berpengalaman. Rancangan strategik dan pengalaman mereka tak dapat ditandingi. Selagi mereka yang memimpin tentera kita, saya boleh jamin yang musuh akan dikalahkan dalam masa yang singkat."

"Oh ya, Jeneral Dou, saya tengok gigi palsu awak ada di pintu ketika saya datang tadi. Saya dengar awak alami strok beberapa hari yang lalu. Gigi awak okey ke sekarang ini? Jangan risau, saya akan arahkan orang-orang saya untuk membuat satu lagi set yang baru untuk awak. "