Chapter 131 - Bab 131

Cahaya matahari di luar memancarkan cahayanya dengan begitu terang. Chu Qiao bersandar pada kerusinya sambil dibuai mimpi. Kebanyakan reriang di pokok sudah hilang, hanya beberapa ekor sahaja yang tinggal dan menghasilkan bunyi yang kurang jelas. Dia kemudiannya mengerdipkan matanya untuk menghanyutkan diri ke alam mimpi.

Setelah beberapa ketika, suasana pun mula sunyi.

Chu Qiao terkejut lalu membuka matanya dengan segera, terperanjat apabila mendapati seorang wanita tua kira-kira 50 tahun sedang berdiri di hadapannya. Wajah mak cik tersebut kelihatan tenang tetapi wajahnya pucat seperti sudah lama tidak bermandi cahaya matahari. Wanita itu menggunakan matanya untuk memerhatikan Chu Qiao dengan penuh tekun.

Setelah melihat Chu Qiao sudah terjaga dari tidur, wanita itu menganggukkan kepalanya sebagai satu sapaan lalu bertanya, "Awak nak air tak?"

Chu Qiao hanya memandang wanita itu sambil berkerut. Wanita di hadapannya ini sedang memakai pakaian yang ringkas tetapi setelah melihat dengan teliti, jenis bahan yang digunakan untuk membuat pakaiannya nampak berharga. Dia kelihatan seperti seorang nenek yang bergaya. Selain itu, dia juga kelihatan seperti seorang yang berstatus tinggi namun bukanlah seorang yang memiliki kuasa. Dia juga memakai gelang kayu lama dan langsung tidak melambangkan statusnya itu.

Apabila melihat Chu Qiao yang hanya berdiam, wanita itu berjalan ke arah sebatang pokok di sisi dan mengambil sebuah teko daripada seorang pembantu rumah. Kemudian, dia menuangkan teh dan berjalan kembali ke Chu Qiao sebelum menghulurkan cawan itu dan berkata, "Minumlah. Musim luruh seperti ini buatkan kita mudah dahaga. Anak dara seperti awak pasti menjaga kesihatan."

Chu Qiao menghirup teh tersebut dan terasa segar semula. Dia memandang wanita itu dengan rasa kekok lalu berkata, "Maafkan saya. Saya baru saja masuk ke istana jadi saya tak tahu banyak. Saya patut panggil awak apa ya?"

"Saya? Nama keluarga saya adalah Yao."

Yao ialah nama keluarga yang lazim di Tang. Dari Maharani Dowager sehinggalah ke pembantu istana, hampir 20 peratus daripada mereka menggunakan nama keluarga ini. Beberapa hari lepas, Chu Qiao telah berkenalan denga kira-kira tujuh atau lapan orang yang mempunyai nama keluarga yang sama.

"Boleh saya duduk?" Wanita itu menuding jarinya ke arah kerusi dan bertanya dengan sopan.

Chu Qiao mengangguk dan segera membalas, "Ya, silakan."

Setelah melihat Chu Qiao memandang keadaan sekeliling, wanita itu bertanya lagi, "Maharani Dowager ada di sini. Pembantu rumah awak dah keluar pergi sambut dia."

Chu Qiao memandang wanita itu dengan aneh. Mesejnya jelas: Siapa awak? Mengapa awak tak keluar sedangkan Maharani Dowager ada di luar?

Wanita itu tertawa. Dia kelihatan seperti seorang yang jarang ketawa dan ia kelihatan agak kolot. Kedutan pun tiada di kelopak matanya. Dia kemudian memandang Chu Qiao dan berkata, "Tak mengapa. Saya hanya nak melawat awak saja."

Kata-katanya itu tidak didengari seperti kata-kata salah seorang dari pertubuhan tetapi Chu Qiao tidak tahu bagaimana ingin membalasnya. Dalam istana ini terdapat pelbagai peraturan lalu memaksanya untuk menahan segala kata-kata yang ingin diujarkan. Ketika Chu Qiao cuba meneka identiti wanita di hadapannya itu, wanita tersebut tiba-tiba bersuara lagi, "Awak sangat bagus."

Chu Qiao tersenyum kecil dan membalas, "Terima kasih atas pujian itu."

"Saya tak puji awak. Awak memang bagus pun tapi saya tak rasa awak sesuai untuk tinggal di istana ini."

Chu Qiao mula tersedar. Adakah wanita di hadapannya ini seorang lagi wanita yang berasa cemburu ke atas layanan yang telah diberikan oleh Li Ce kepadanya?

"Jangan risau, saya takkan tinggal lama di sini."

"Tak, saya tak maksudkan itu." Wanita itu menggeleng kepalanya dan menambah lagi, "Semua orang tak sesuai dengan semua ini pada mulanya tapi lama-kelamaan pasti akan terbiasa juga. Memang begitu caranya di istana ini. Ia akan membaiki kelemahan awak sebab saya rasa awak ini boleh tahan juga. Jika awak tinggal di sini, istana ini pasti akan berubah menjadi lebih baik."

Chu Qiao berkerut dan memandang wanita itu dengan penuh curiga kerana sememangnya dia tidak mampu menghadam segala maksud yang ingin disampaikan oleh wanita itu.

"Tuan putera nak hapuskan amalan penyembahan altar di istana ini. Awak tahu tak tentang hal itu?"

Wanita itu tiba-tiba beralih topik. Chu Qiao terpaku dan menggelengkan kepalanya. "Saya tak tahu."

"Dia nak menyembah Dewa Keseronokan. Haih, saya betul-betul…" Kerut wanita itu yang jelas sekali kelihatan terganggu sambil merenung Chu Qiao dan berkata perlahan-lahan, "Kalau awak ada masa, pergilah bercakap dengan dia. Apapun, dia tetap Putera Mahkota Tang. Dia tak boleh berfoya-foya seperti ini."

"Saya minta diri dulu." Wanita itu berdiri dan berkata kepada Chu Qiao, "Awak cedera, jadi tak perlulah hantar saya." Kemudian, dia pun berjalan keluar dari Kediaman Mihe melalui pintu belakang.

Wanita ini telah datang tanpa diundang, bercakap yang bukan-bukan dan beredar begitu sahaja. Chu Qiao mula berasa bingung.

Setelah beberapa ketika, Qiu Sui dan pembantu istana yang lain pun kembali. Raut wajah mereka kelihatan aneh dan gelisah.

"Qiu Sui, apa dah jadi? Maharani Dowager datang ke sini ke tadi? Kenapa kamu tak panggil saya?"

Qiu Sui membalas, "Mak Cik Xi beritahu yang Maharani Dowager dah tiba di pintu istana jadi selepas saya lihat yang Cik masih tidur, saya laporkan yang Cik sakit dan tak berupaya untuk menyambutnya. Setelah itu kami beredar."

"Maharani Dowager pula bagaimana?"

"Kami tunggu lama tapi Maharani Dowager tak turun dari gerabak kudanya. Setelah itu, dia cakap yang dia tak sihat dan terus balik."

"Oh." Chu Qiao mengangguk seperti memahami sesuatu. "Bantu saya sekejap."

Pembantu istana itu pun menurut arahan wanita itu dan menaikkan tikarnya kembali.

Apabila difikirkan kembali, sudah dua hari Chu Qiao tidak terserempak dengan Li Ce. Dia langsung tidak mempunyai apa-apa pendapat mengenai hal itu tetapi Qiu Sui dan yang lain kelihatan murung sahaja. Lagipun, ketika Chu Qiao sakit teruk tempoh hari, Li Ce telah membuka Kediaman Mihe iaitu kediaman di mana Li Ce dibesarkan untuk menempatkan Chu Qiao buat sementara waktu. Siapa sahaja yang tidak mengerti dengan niat pemuda itu?

Namun, apa yang berlaku selepas itu telah menyebabkan orang gaji di Kediaman Mihe berasa murung. Putera Mahkota yang baru sahaja menunjukkan dedikasinya, telah menjemput semua gundiknya ke dalam Istana Putera Mahkota pada malam yang sama untuk berpesta dan minum sesuka hati. Khabar angin ada menyatakan dia telah bersetubuh dengan lapan orang wanita pada malam itu. Beberapa hari ini, dia tidak menjejakkan kakinya ke Kediaman Mihe dan memilih untuk menjadi tuan rumah bagi jamuan di istananya. Tambahan pula, ura-ura ada mengatakan dia ingin membina sebuah kediaman lagi untuk orang gaji istana yang baharu dan yang telah mendapatkan perhatiannya.

Qiu Sui dan pembantu istana yang lain mengeluh panjang seolah-olah mereka baru sahaja dilayan dengan dingin oleh pemuda itu. Mereka pun semakin jarang bercakap buat masa ini jadi Kediaman Mihe hanya sepi tanpa sebarang perbualan, hanya bunyi pernafasan mereka sahaja yang kedengaran.

Tatkala senja menjelang, langit pula mula menggelap. Chu Qiao yang terduduk di hadapan jendela tiba-tiba terdengar bunyi merdu seruling yang datang dari tasik bertentangan. Bunyi itu kedengaran samar-samar dari jauh tetapi ia sangat menarik perhatian.

Setelah Chu Qiao mendengar alunan melodi itu, dia bertanya, "Awak tahu siapa yang main seruling itu?"

Mereka hanya menggeleng kepala mereka, jadi Chu Qiao pun berdiri untuk melangkah ke luar supaya dapat melihat siapa yang sedang bermain seruling itu. Qiu Sui dan pembantu istana yang lain terperanjat lalu segera menghalang wanita itu kerana pembantu-pembantu istana itu merisaukan tentang kecederaannya.

Jadi Chu Qiao tidak mempunyai pilihan lain selain patuh kepada arahan pembantu-pembantu istana itu, terbaring di atas tikarnya perlahan-lahan sehingga mereka yang sedang berada di dalam biliknya itu beredar. Kemudian, dia pun berjalan ke arah jendela sebelum membalik kuang keluar, kakinya membengkok apabila ia menjejak tanah yang hampir membuatkan wanita itu terjatuh.

Chu Qiao hanya sedang memakai sepasang kasut yang diperbuat untuk dipakai di dalam rumah sahaja, jadi tapak kakinya terasa amat sejuk apabila menyentuh jalan diturap batu itu. Tiada satu pun kelibat manusia yang kelihatan berjalan-jalan di luar. Baju putih yang sedang dipakai wanita itu meleret sepanjang jalan, lencun apabila terkena lopak air namun kesan debu masih tidak menjejaskan pakaian itu, berjalan semakin jauh dari Kediaman Mihe.

Dia berjalan ke tasik itu lagi. Angin yang bertiup dari pelbagai arah menampar-nampar permukaan tasik tersebut. Seorang lelaki berjubah putih sedang memegang sebuah seruling ungu di dalam tangannya, lengan bajunya mengepak-ngepak tatkala ditiup angin dengan bayangan lelaki itu yang terhasil di bawah cahaya bulan memudar, lantas menambahkan lagi keindahan alam semula jadi pada waktu malam.

Chu Qiao melangkah ke atas jambatan kayu perlahan-lahan. Lelaki tersebut menoleh dan lantas bunyi seruling tadi pun tiba-tiba terhenti, namun dia langsung tidak berasa gementar mahupun gelabah apabila melihat Chu Qiao, sebaliknya dia hanya tersenyum sinis ke arah gadis itu. Kemudian, dia bermain-main dengan seruling di tangannya itu sambil berkata, "Awak tak tidur lagi ke? Patutlah. Saya dengar awak tidur saja sepanjang hari. Rupanya awak suka tidur siang dan merayau pada waktu malam."

Chu Qiao tersenyum dan membidas, "Saya okey saja tapi saya ada terdengar tentang kegiatan awak beberapa hari ini. Selepas bersuka-ria sampai macam itu, awak masih ada tenaga untuk main seruling ya?"

"Haha," Li Ce tertawa dan membalas, "Mestilah. Kalau awak tak percaya, awak boleh lihat sendiri nanti."

Muka Chu Qiao mula memerah lalu dia membidas, "Tak tau malu betul."

Li Ce memutarkan matanya dan berkata, "Yalah, Yan Xun sajalah yang elok dengan muka ketat dia itu. Dia nampak macam satu dunia dah hutang duit daripada dia setiap hari tahu tak? Qiao Qiao, awak nak ikut dia seumur hidup awak ke? Saya berani jamin yang kehidupan lelaki itu mesti membosankan. Fikirlah pasal kebahagiaan awak juga."

"Bosannya." Chu Qiao memandangnya. "Awak sajalah yang menarik."

"Awak betul." Senyum Li Ce dengan bangga. "Saya seorang yang kacak dan bijak. Saya lelaki kegilaan ramai wanita di seluruh Benua Meng Barat. Ke mana saja saya pergi, saya boleh dapatkan semua wanita yang belum berkahwin. Wanita yang berkahwin pula asyik angan-angan tentang saya saja sepanjang hari. Dari kanak-kanak tiga tahun hinggalah nenek 80 tahun, mereka semua tergilakan saya."

Chu Qiao menekup mulutnya dan ketawa. "Yalah, awak memang lebih kacak daripada Song Yu, lebih tampan daripada Pan An dan lebih menawan daripada Long Yang."

"Song Yu itu siapa? Pan An pula? Long Yang itu nama orang ke pun?" 

Chu Qiao tertawa. "Mereka semua lelaki kacak. Takkan awak tak pernah dengar?"

"Lelaki kacak?" Dengus Li Ce seperti mencemuh. "Kalau saya ada masa, saya nak lihat dengan mata saya sendiri."

Cahaya bulan yang samar-samar menyinari bumi. Angin pula terasa dingin sahaja pada malam itu, jadi Li Ce pun berdiri dan berkata, "Jom masuk ke dalam. Berangin pula di sini dan awak masih lagi cedera."

"Okey." Jawab Chu Qiao.

Li Ce tersedar gadis itu hanya sedang memakai sepasang kasut rumah dan bahan lembut itu pun telah basah lencun apabila terkena air. Dia kemudiannya berkerut, "Kenapa awak pakai kasut itu keluar?"

Chu Qiao dengan selambanya menjawab, "Tak mati punlah. Saya pernah berkaki ayam pun sebelum ini, tak macam awak."

"Qiao Qiao, awak perlu ingat yang awak ini seorang wanita dan bukannya pahlawan." Wajah Li Ce berubah tegas dan nadanya pula kedengaran kasar. "Apa masalah Yan Xun? Dia tak boleh buat benda sendiri? Awak itu wanita tetapi bukannya nak duduk di rumah, merayau pula itu, langsung tak pedulikan kesihatan awak dan tak beritahu pun bila awak sakit. Macam mana awak nak kahwin nanti dengan parut-parut ini? Saya nak tengok siapa yang nak kahwin dengan awak."

Chu Qiao mencelah, "Awak itu yang takkan kahwin. Itu bukan urusan awak pun."

"Hmph, bukan urusan saya pula? Saya yang nak jadikannya urusan saya!"

Chu Qiao berkerut. "Hei Li Ce, awak betul-betul pandang rendah pada wanita ya?"

"Apa masalahnya kalau saya pandang rendah pun? Apa masalahnya?" Lelaki itu menjeling ke arah Chu Qiao, gayanya tidak ubah seperti seorang samseng.

Chu Qiao berjalan ke hadapan, mengabaikan kata-kata pemuda itu sambil membalas, "Saya dah tak nak cakap dengan awak. Saya nak balik." Setelah dia menghabiskan kata-katanya, dia terasa dirinya dipusingkan ke belakang. Sebaik sahaja tersedar, dia sudah berada dalam dakapan erat Li Ce. "Hei! Apa awak buat ini? Lepaskan sayalah!" Jerit Chu Qiao.

Mata Li Ce sudah separuh mengecil. Dia memandangnya dan mendengus. "Tak nak."

Chu Qiao mula naik berang dan dengan suara yang tegas, dia berkata lagi, "Awak nak lepaskan saya ke tak nak? Kalau tak nak, saya takkan berbaik dengan awak lagi."

Li Ce memanjangkan lehernya dengan selamba dan berkata, "Awak ada pisau yang tersembunyi di bawah leher dan kaki awak. Saya tahulah. Tikamlah saya di sini. Kalau tak, memang saya akan pandang rendah terhadap awak."

Chu Qiao pun meletus, "Li Ce, kenapa awak ini tak tahu malu sangat?!"

Li Ce memandang Chu Qiao dengan sebuah renungan seperti ingin berkata, 'Takkanlah awak baru sedar hari ini?' Angin meniupkan lengan baju mereka yang lantas membuatkannya mengepak-ngepak di udara seperti seekor rama-rama.

Malam itu terasa dingin dengan tasik yang berada di sekeliling mereka. Li Ce mendukung gadis itu di belakangnya dan berjalan perlahan ke atas jambatan kayu itu bersama dahan pokok willow yang kecil bercambah di tebing tasik. Ikan koi yang kadangkala melompat keluar dari permukaan air lantas meriakkan permukaan air tasik.

Li Ce berjalan sambil bersiul riang, rentak siulannya kedengaran gembira seperti senyuman yang tidak pernah lokek dari wajahnya.