Chapter 132 - Bab 132

Chu Qiao belum lagi bertanyakan kepadanya mengapa dia tidak mendedahkan kebolehannya sewaktu bertempur di hutan tempoh hari walaupun dia seorang yang handal sebenarnya. Dia juga tidak bertanyakan mengapa dia mampu bermain seruling dengan baik sekali tetapi menyuruh seorang lelaki tua membantunya untuk menyembunyikan bakatnya itu sedangkan dia cuba untuk menarik perhatian anak-anak gadis. Selain itu, Chu Qiao juga tidak bertanyakan mengapa dia tidak datang melawatnya beberapa hari ini dan sebaliknya bermain cinta di kediamannya sendiri.

Setiap orang pasti mempunyai rahsia mereka tersendiri, terutama sekali golongan bangsawan dan keluarga diraja. Di sebalik topeng keagungan dan kegemilangan, mereka semua mempunyai rahsia dan beban tersendiri yang dipikul. Sebabnya mungkin terlalu berat dan rumit jadi Chu Qiao memutuskan untuk mendedahkannya. Sungguhpun dia mendedahkannya, dia mungkin tidak akan memahaminya.

Mereka berdua berada dalam kesunyian, hanya ditemani cahaya bulan yang bergemerlapan di langit dan juga angin bayu yang bertiup pada waktu malam ini boleh dikatakan sebagai suatu malam yang tidak tenang. Chu Qiao telah bermimpi. pada malam itu di mana dia menyaksikan semula malam bersalji di laluan Istana Sheng Jin yang panjang dan sunyi itu. Alunan muzik kedengaran dari hadapan istana dan suasana terasa begitu meriah seperti ingin bermegah tentang kemakmuran empayar mereka.

Pemuda di dalam mimpinya itu berdiri di hadapan Chu Qiao bersama jari-jemari yang berdarah-darah. Namun, lelaki ini masih lagi memujuknya dengan berkata, "Jangan risau, tak sakit pun." Senyumannya ibarat bunga kembang memekar mendakapnya dengan erat dan menenangkan jiwanya.

Apabila Chu Qiao tersedar, bantalnya dipenuhi dengan kesan air mata. Sebaik sahaja cahaya terpancar pada bantal berwarna merah itu, ia kelihatan seolah-olah bantal itu tercemar dengan kesan darah dan bukannya air mata.

Chu Qiao terdiam membisu sambil berfikir sedalam-dalamnya. Dia baru tersedar yang dia tidak mampu untuk menunggu lagi.

Walaupun orang gaji cuba untuk melindungi bunga teratai dari dilencuni hujan, tetapi dalam keadaan hujan yang lebat dan suhu yang semakin menurun bersama kemunculan musim sejuk, bunga teratai akan layu juga lama-kelamaannya dan hanya akan meninggalkan daun-daun hitam dan ranting. Begitu juga air tasik, yang akan kelihatan tercemar.

Pada masa yang sama, bunga kekwa yang berwarna keemasan sudah berkembang mekar terlalu awal, namun dengan titisan hujan yang kerap dan suhu yang rendah, banyak kelopak yang sudah meluruh lalu mewarnai tanah dengan warna kuning yang pelbagai.

Sewaktu sarapan, Chu Qiao terdengar salah seorang wanita yang mendapat perhatian Li Ce telah melanggar beberapa peraturan dan telah dimasukkan ke dalam penjara. Walaupun Li Ce belum lagi menjatuhkan apa-apa hukuman tetapi dari cara wanita ini yang berkelakuan bongkak setelah mendapat perhatian Li Ce, sudah tentulah Cik-Cik yang lain tidak menyenanginya. Dalam cuaca sejuk begini dan kekurangan perkakasan untuk memanaskan badan di dalam penjara itu, Chu Qiao sungguh pasti inilah penamat riwayat gadis itu. 

Orang gaji hanya membincangkan hal itu sepintas lalu sahaja dan langsung tidak mengambil berat tentang kejadian tersebut kerana ia dianggap hukuman ringan sahaja di istana ini. Namun, Chu Qiao berasa sedikit kecewa kerana dia baru teringat yang dia masih belum lagi mengenali Li Ce yang sebenarnya, dan sering lihat pemuda itu yang suka mengetepikan segala hal mustahak. Walaupun Chu Qiao tahu pemikiran Li Ce tidaklah seringkas itu, tetapi dia masih berasa selesa dengan putera mahkota tersebut. Tidak kira apapun orang kata, Li Ce tetaplah pewaris bagi empayarnya.

Setelah bersarapan, Chu Qiao bercadang untuk menghantar seseorang supaya memberi jemputan untuk bertemu dengan Li Ce namun sebelum sempat Qiu Sui beredar, Chan'er bergegas masuk ke dalam bilik. Dia yang masih tercungap-cungap tiba-tiba menjerit, "Puteri Xia dah tiba!"

Chu Qiao yang sungguh terperanjat itu terus kehilangan kata-katanya, sementara Qiu Sui tidak henti-henti mengajukan soalan demi soalan pada masa yang sama, "Bukan ke dia patut ke sini waktu berkahwin nanti? Ada lagi sebulan sebelum majlis perkahwinan."

"Betullah itu!" Jawab Chan'er bersetuju. "Tapi nampaknya, dia datang menunggang kuda sendirian tanpa tentera dan tuan puteri sudah berada di Istana Qin An untuk bertemu dengan Maharaja dan Tuan Putera."

"Tuan Puteri Kesembilan ini berani sungguh. Saya dengar dia baru sahaja 13 tahun tapi dah berani sebegitu."

"Bukan Puteri Kesembilan lah, Dia Puteri Kelapan dan anak kepada Maharani Muhe. Menurut mereka, Puteri Kesembilan dah meninggal dunia disebabkan penyakit dan puteri kelapan yang dijadikan sebagai pengganti."

Setelah mendengar nama tersebut, Chu Qiao terasa seperti sesuatu yang meretak di dalam hatinya jadi dia pun mula menggeletar. Gadis yang dahulunya lemah dan tidak berdaya kini seorang yang berani? Kesakitan dan kedukaan sememangnya penawar yang berkesan untuk berubah dan menjadi matang.

Gadis yang lemah-lembut dan keanak-anakan dari masa lampau itu kini sudah membesar dan menjadi seorang gadis yang jelita. Wajah bangsawannya yang tegas itu mengeluarkan sebuah aura yang mengagumkan apabila dilihat.

Namun, beberapa tahun yang lalu, dia hanyalah seorang gadis yang suci dan telus. Dia yang memakai baju berwarna putih dengan bahagianya memegang ekor seekor arnab, berkata tersipu-sipu, "Abang Xun, terima kasih. Chun'er gembira sangat."

Dalam sekelip mata sahaja masa berlalu. Sesetengah perkara hanya tinggal sejarah, sesetengah layanan hanya akan terkubur, pertumpahan darah akan tetap berlaku dan sesetengah perasaan akan dibawa sampai mati.

Li Ce sudah tidak melawat haremnya selama dua hari. Oleh sebab ketibaan awal Zhao Chun'er, perkahwinan pemuda itu telah dipercepatkan.

Seperti yang dijangkakan oleh Chu Qiao, pengawal-pengawal dan utusan dari Empayar Xia tiba sejurus sehari selepas Zhao Chun'er tiba. Walaupun Empayar Xia tiba-tiba berubah fikiran dan menghantar Zhao Chun'er, keturunan puteri ini sendiri telah membantunya untuk mengelak daripada sebarang pertelingkahan. Empayar Tang pada dasarnya meletakkan penekanan pada darah maharaja, jadi Zhao Chun'er telah diberikan perhatian kerana dia merupakan satu-satunya puteri yang dilahirkan oleh Maharani Muhe.

Pegawai-pegawai berasa terperanjat dengan ketibaannya. Pegawai-pegawai pentadbiran yang selalunya penakut terus sibuk melemparkan pujian yang melambung tentang pakatan perkahwinan yang akan melakarkan sejarah ini sehingga terlupa akan penjenayah yang menghancurkan angkatan Empayar Tang dan merampas 18 wilayah Hongchuan dari penguasaan Tang, dan seterusnya memaksa keluarga Maharaja Tang melarikan diri dan hilang seluruh kawasan barat laut. 

Namun ada seperkara yang rakyat jelata tidak tahu. Chu Qiao berkerut sambil menggenggam tirai dengan jarinya. Dengan perhiasan emas yang terletak di antara keningnya, kerutannya tadi hanya menambahkan kejelitaannya sahaja. Setelah diperkosa oleh askar-askar itu, Chun'er bukanlah seorang yang suci lagi. Sebagai Puteri Xia, daranya tidak akan diuji lagi tetapi selepas dia bersetubuh dengan Li Ce yang berpengalaman, Li Ce pasti akan segera mendapat tahu.

Sungguh pun Li Ce menyedarinya, dia tidak boleh mencari pasal dengan Empayar Xia. Yalah, selagi Puteri Xia tidur di atas katilnya, siapa yang akan mempercayai kata-kata tuan putera yang suka berfoya-foya itu apabila dia memberitahu mereka gadis itu tidak berdara lagi? Lagipun, Li Ce memang menentang keras perkahwinan ini jadi segala usahanya untuk menyatakan kebenaran hanya akan dianggap sebagai satu alasan untuk merosakkan majlis perkahwinan ini. Berdasarkan kebijaksanaannya, Li Ce tidak akan memalukan dirinya sendiri dengan berkata sebegitu.

Mungkin dengan cara itulah Zhao Chun'er dapat berkahwin dengan jayanya, namun sebagai seorang puteri yang dianggap telah hilang kesuciannya, masa depannya kelihatan cerah sahaja. Berdasarkan sikapnya, bolehkah dia bertahan dengan penghinaan seperti itu?

Chu Qiao menyimpan maklumat tersebut pada dirinya sendiri namun dia risau jika ia bakal menjadi suatu perkara yang wanita itu tidak boleh luahkan.

Pengurusan dalaman Empayar Tang sudah menjadi serabut. Chu Qiao pula mula menjadi lebih berwaspada kerana dia telah menangguhkan waktunya untuk beredar dari istana ini. Jadi, Chu Qiao tinggal selama dua hari lagi dalam Istana Tang. Dengan tubuhnya yang sedang memulih, ketajaman mentalnya kini kembali seperti sedia kala.

Li Ce menjumpai pelbagai herba yang baik untuk kesihatan Chu Qiao jadi lukanya sudah betul-betul sembuh sekarang. Luka yang lama pun sudah semakin membaik. Sewaktu dia berehat untuk kembali pulih, wajah Chu Qiao kini kelihatan lebih segar dari yang sebelumnya dan tidak kelihatan lemah atau tidak berdaya lagi.

Pada malam itu, Chu Qiao memakai sepasang jubah lembut dan bersandar pada jendela. Angin malam menggelembungkan pakaiannya. Bunyi tapak kaki tiba-tiba kedengaran di koridor dan ia kedengaran seperti hanya ada seorang sahaja yang sedang berjalan. Seperti yang disangka, Li Ce muncul sejurus selepas itu dengan memakai baju hijaunya. Wajahnya kelihatan memerah dan dia berbau seperti minuman keras, pemuda itu hanya berdiri di pintu dan memerhatikan Chu Qiao tanpa melangkah masuk.

Setelah melihat pemuda itu, Chu Qiao tersedar akan bunyi tapak kakinya yang kedengaran berat dan cuai seperti bila-bila masa sahaja boleh tersandung lantas wanita itu segera membantunya tetapi sebaik sahaja gadis itu menghulurkan tangannya untuk membantu, Li Ce tiba-tiba menariknya ke bawah, lantas mereka berdua pun terduduk di hadapan pintu itu. Li Ce menyandarkan dahinya di bahu Chu Qiao sambil mengeluh, "Qiao Qiao, saya penatlah."

Chu Qiao terus kehilangan kata-katanya. Dengan tangannya yang masih lagi terangkat, dia sememangnya buntu tentang apa yang patut dilakukan sekarang.

Angin bayu pada malam itu meniupkan haruman bunga bersama. Setelah melihat dengan lebih teliti, sulaman benang emas di pakaian sutera milik Li Ce boleh dilihat dengan jelas. Sekali lihat sudah tahu yang sulaman itu hanya boleh dilakukan oleh seseorang yang pakar sahaja. Chu Qiao mengeluh dan kemudiannya dia berbisik, "Li Ce, apa yang dah berlaku?"

Li Ce hanya menggelengkan kepalanya tanpa membalas apa-apa.

Chu Qiao mencuba lagi dan bertanya, "Sebab perkahwinan itu ke? Awak suka Chun'er?"

Li Ce masih lagi tidak berkata apa-apa. Chu Qiao hanya dapat mengeluh dan membiarkan lelaki itu merehatkan kepalanya selama mana yang dia mahu tanpa berkata apa-apa lagi.

Bulan di langit kini bersinar melalui tingkap. Warnanya ungu dan berkedip-kedip dengan cahaya yang tidak sekata. Lilin yang mencair menitis di atas pemegang lilin dan perlahan-lahan meleleh keluar. Bunyi serangga di sekeliling mereka menjelaskan lagi tempat ini merupakan sebuah tempat yang terasing. Yalah, istana ini sudah dikosongkan selama beberapa tahun.

"Qiao Qiao, awak hantar orang untuk cari saya?" Li Ce tiba-tiba bertanya. Nadanya kedengaran dalam tetapi tidak begitu lesu seperti tadi. Pemuda itu terduduk tegak dan matanya kelihatan gelap seolah-olah lelaki lemah sebentar tadi sudah berubah menjadi orang yang lain. Chu Qiao tahu sifatnya yang lemah lembut sudah hilang dan dia kembali menjadi Putera Tang yang tidak pernah salah.

"Ya," Chu Qiao menganggukkan kepalanya, "Saya dah nak pergi."

"Baiklah. Saya akan suruh orang-orang saya hantar awak ke Yan Bei." Ujar Li Ce tanpa teragak-agak.

"Tak, saya tak nak kembali ke Yan Bei lagi. Ada perkara yang perlu saya lakukan di sini."

Li Ce berkerut setelah mendengar hal itu. Dia kemudiannya memandang Chu Qiao dengan pandangan seperti berfikir dan mempersoalkannya.

Chu Qiao menerangkannya sebelum dia bertanya lagi, "Awak tak perlu berteka-teki. Saya hanya tengah tunggu seseorang. Siapa orang itu, awak tak perlu tanya."

Li Ce tersenyum sinis dan menyakat, "Awak nak curang dengan Yan Xun ya? Zhuge Yue akan datang nanti. Awak nak jumpa dia ke?"

Chu Qiao memutarkan matanya dengan geram. "Terus saja berteka-teki."

"Awak patut jaga diri." Li Ce kini bersandar pada pintu dan berkata, "Apabila awak berada di dalam kawasan pengaruh saya, saya masih boleh lindungi awak. Tapi, sebaik sahaja awak keluar dari sini, saya dah tak boleh buat apa-apa. Empayar Xia tahu tentang keberadaan awak di sini. Sebanyak mana kebencian mereka terhadap awak, awak patut tahu itu lebih daripada saya."

Chu Qiao mengangguk dan tiba-tiba dia teringat akan tangan Zhao Song yang telah putus. Wajahnya kini bertambah sayu dan dia membalas dengan perlahan, "Saya faham."

Setelah memerhatikan gadis itu, Li Ce faham wanita ini sudah tidak mahu bercakap mengenainya lagi. Tiba-tiba dia berdiri dan menarik tangan Chu Qiao bersama sambil berkata dengan riang, "Jom saya tunjuk satu tempat kepada awak!"

Cahaya malap istana ternampak seperti unggun api sahaja dari jauh pada malam yang berkabus ini. Li Ce mengheret Chu Qiao bersamanya apabila dia berlari dengan pantas. Angin malam meniupkan rambut mereka yang ikal mayang itu.

Mereka berdua pergi ke laman yang tidak pernah dikunjung Chu Qiao sebelum ini, memijak rumput berembun itu dan melewati beberapa pintu kecil sehinggalah mereka tiba di sebuah tasik hijau yang terbentang luas di hadapan mereka. Tasik itu dipenuhi dengan bunga teratai dan bunga yang lain lagi. Cahaya bulan yang memancarkan bunga-bunga putih di situ kelihatan seperti salji. Dengan harumannya, pemandangan itu sememangnya kelihatan seperti pemandangan yang muncul hanya dalam mimpi.