Chu Qiao pun berkerut dengan perlahan. "Berapa lama awak berdiri di sini?"
"Tak lama pun." Li Ce melangkah ke arah Chu Qiao dan melabuhkan punggungnya di sisi wanita itu, dengan sebotol wain berwarna perak di tangan \'dan berkata, "Awak nak sikit?"
Chu Qiao menggeleng kepalanya sebelum membalas, "Saya tak minum alkohol."
Li Ce mengangkat bahunya dan berkata. "Hidup awak ini membosankan."
"Awak lebih rela berada di sini dan kutuk saya daripada tidur?"
Li Ce mengambil tegukan yang besar daripada botol wain tersebut, namun tahap ketahanannya terhadap alkohol tidaklah sekuat mana jadi mukanya telah mula memerah setelah mengambil beberapa tegukan sahaja. Pemuda itu merenung Chu Qiao sebelum menuding jarinya ke arah sebuah pulau di tengah-tengah tasik itu dan berkata, "Awak tahu tak berapa lama pokok itu berada di situ?"
Chu Qiao terpana, tidak menyangka pemuda ini ingin menceritakannya secara tiba-tiba.
Li Ce lantas menjawab soalannya sendiri dengan berkata, "Selama empat ratus tahun. Mesti awak tak sangka kan? Pokok itu dah hidup lebih lama daripada Empayar Xia." Setelah itu, dia menuding jarinya ke arah pokok bunga kecil di sebelah jambatan kayu itu dan berkata, "Awak tahu tak itu bunga apa?"
Bunga tersebut berwarna ungu susu dan kelihatan kecil comel, berkibaran ditiup angin dan kelihatan seperti ia bakal tercabut pada bila-bila masa.
"Ini Youyan. Bunga ini kembang pada malam hari dan kuncup pada siang hari. Ia kembang untuk sekali sahaja selama beberapa jam, dan kita kena tunggu bertahun."
Terdapat ukiran bercorak bunga yang telah diukir di botol wain perak itu yang serupa dengan bunga Youyan. Li Ce lantas mengambil seteguk lagi wain tersebut dan berpaling sebelum berkata, "Qiao Qiao, hidup kita ini pendek dan susah. Pejam celik, masa pun dah berlalu dan kita dah jadi tua. Nikmatilah hidup ini selagi kita boleh, jangan bazirkan masa muda kita."
Chu Qiao menggeleng kepalanya perlahan, berkata dengan nada rendah, "Kalau saya diberi pilihan, saya lebih rela jadi macam bunga Youyan daripada pokok itu yang sibuk seumur hidup dia."
"Haha." Li Ce tersenyum indah. "Setiap manusia ada cara lain untuk nikmati kehidupan. Bunga Youyan itu kutuk pokok itu sebab dia sibuk seumur hidup dia, dan sebab dia itu membosankan. Tapi, dia tak tahu yang hidup untuk masa yang lama dalam semua kesusahan itulah yang menjadi daya tarikannya sendiri. Ketabahan dia selama bertahun-tahun ini tanpa sebarang kecederaan itulah keupayaan dia sebenarnya. Jadi, saya tak rasa kehidupan yang singkat itu bermakna masa kita lebih berharga."
Chu Qiao berpaling dan merenung anak mata Li Ce yang bersinar terang itu, senyumannya memukau. Lantas wanita itu bertanya, "Jadi awak bagaimana? Awak lebih rela jadi bunga itu ataupun pokok?"
"Saya?" Li Ce menoleh dan tersengih. "Saya ini bercita-cita tinggi. Saya nak hidup lama macam pokok itu, tapi rasa keseronokan yang dirasai bunga itu. Haha."
Chu Qiao menggeleng kepalanya ringan dan membalas, "Seseorang itu mesti nikmati saat-saat indah itu daripada hanya terduduk dan melihat saat-saat indah itu pergi."
"Baguslah sajak awak!" Li Ce tergelak, mendongak untuk mengambil seteguk lagi wain sebelum berkata, "Qiao Qiao, saya tak sangka awak pandai bermain kata."
Chu Qiao tersenyum, namun tidak mahu membalasnya.
"Qiao Qiao, saya ada perkara untuk cakap ini, tapi saya tak tahu sama ada saya patut cakap atau tidak."
Chu Qiao tersenyum dan membalas, "Kalau awak anggap saya ini kawan awak, awak boleh teruskan."
Li Ce yang bersama wanita ini pada malam ini ternyata Li Ce yang lain dari kebiasaannya. Walaupun mereka berceloteh di sana sini, namun pemuda itu masih tidak kelihatan sebegitu ceria dan kelihatan lebih muram semasa dia sedang terduduk di bawah pokok merimbun diterangi dengan cahaya bulan. Nada suaranya kedengaran lebih serius daripada nada tenang yang sering dipamerkan pemuda itu, dengan angin yang meniup lembut pergelangan baju kedua-dua remaja ini yang lantas membuatkan warna putih mutiara dan juga hijau untuk bercampur baur, mengeluarkan aura kemesraan di dalam situasi tersebut.
Chu Qiao mengemaskan rambutnya yang telah menjadi kusut dek tiupan angin itu sebelum pemuda itu menoleh ke arahnya dengan anak mata yang kelihatan lebih serius.
"Walaupun Empayar Xia itu dalam keadaan kucar-kacir dengan para duke dan juga rakyat jelata yang selalu buat rusuhan, empayar itu masih sama seperti pokok itu. Asas pokoknya stabil. Walaupun ada ribut petir sekarang ini, selagi kapal itu stabil, senang untuk pengemudi kapal nak berhadapan dengannya. Tapi, kalau kita tengok situasi di Yan Bei, walaupun mereka mempunyai kuasa yang cukup besar untuk membuatkan Empayar Xia menyerah kalah, tapi mereka tidak mempunyai politik yang cukup stabil. Kuasa mereka itu tidak dibahagikan dengan adil dan saksama. Rakyat Quanrong itu tunggu masa saja di utara sementara Empayar Xia sedang tunggu di selatan. Lagipun, peperangan ini langsung tak disebut oleh kuasa politik dunia yang lain. Memang tugas yang susah. Seluruh negara itu akan musnah kalau mereka buat pilihan yang salah." Setelah menghabiskan ayatnya, Li Ce tersenyum dan memetik bunga Youyan tersebut sebelum menyambung, "Yan Bei itu macam bunga Youyan ini sementara Xia macam pokok purba ini. Malam ini singkat saja. Bila subuh menjelang, pemenangnya pasti akan diketahui."
Angin lembut menghembus laju, membawa sekali bunga ungu itu bersamanya yang akhirnya mendarat di atas permukaan air tasik.
Chu Qiao merenung Li Ce. Tiba-tiba, dia terasa selaput kabus yang muncul di hadapannya, dan wanita itu langsung tidak tahu apa yang sedang terjadi kerana penglihatannya kabur dan langsung gelap.
Beberapa lama setelah saat itu, Chu Qiao pun berkata perkara yang sama kepada Yan Xun apa yang Li Ce telah katakan kepadanya, dan pemuda itu terduduk di atas kudanya. Angin Yan Bei yang sejuk akan terlayar di anak matanya sementara salji terjatuh ke atas rambutnya. Setelah pemuda itu mendengar apa yang dikatakan wanita itu, dia tidak memberi respons yang sama seperti Chu Qiao yang telah memilih untuk berdiam diri. Setelah seketika, Yan Xun membalas dengan nada yang rendah, "Kalau macam itu, mari jadikan malam ini hidup selamanya."
Namun wanita itu tidak mengerti akan maksud Yan Xun, berfikir sendirian Li Ce yang tidak memahami Yan Xun. Empayar Xia sememangnya bagaikan pokok purba tersebut dengan akar teguh yang merebak sehingga ke Dataran Hongchuan. Namun, walaupun ia mampu memungut hasil akar yang kuat itu, namun pokok tersebut mempunyai terlalu banyak dahan yang memerlukan nutrien, air dan juga cahaya matahari untuk terus hidup. Mereka itu seumpama puntianak yang menghisap segala khasiat pokok itu.
Bagi Yan Bei pula, walaupun ia lemah, namun ia masih mampu mempamerkan kecekalan yang tabah untuk meneruskan kehidupan, seumpama bunga Youyan tersebut. Selagi di situ ada tanah, bunga itu pasti akan mekar, tanpa mengira cuaca sejuk mahupun panas, ia akan menunggu saat yang paling istimewa untuk mekar. Buat Yan Xun pula, bagaimanakah pemuda itu mampu untuk menunggu saat kematiannya sahaja sambil melihat empayarnya musnah menjadi tanah tandus?
Namun, ini merupakan kejadian yang bakal terjadi lama lagi. Kini, Chu Qiao merenung Li Ce dengan senyap dan berfikir dia langsung tidak mengenali pemuda ini di sebalik perlakuannya yang ceria dan juga gelagatnya yang pelik. Masih banyak lagi yang diselindungi pemuda ini, bagaikan jurang gelap yang amat dalam sehingga tiada sesiapa yang benar-benar mengetahui apa yang tersirat. Ini juga merupakan kali pertama pemuda ini membuka jiwa dan raganya kepada wanita itu, membenarkan bayangan wanita ini berlegar-legar dan meneroka keadaan sekelilingnya.
Lantas wanita itu berbisik, "Li Ce, awak kawan saya ke?"
Li Ce tersenyum ringan dan membalas dengan sesuatu yang langsung tidak mempunyai kaitan. "Saya ini Putera Mahkota Tang."
Chu Qiao yang langsung tidak tercabar masih bertanya, "Boleh tak awak tolong kami serang Empayar Xia?"
Li Ce menggeleng kepalanya dan membalas dengan ringan, "Tak boleh."
"Awak akan tolong Xia serang kami?"
Li Ce terpana seketika sebelum melepaskan ketawa dan membalas, "Pei Luo dari Zhen Huang rampas 18 negeri Hongchuan daripada Empayar Tang dan kedua-dua empayar itu berperang selama beratus-ratus tahun. Tak kira betapa tak senonohnya saya ini ataupun tak munasabahnya saya ini, tapi saya takkan sekali-kali malukan keluarga saya."
Chu Qiao meraih keningnya. "Maksudnya?"
"Saya takkan masuk campur dalam peperangan di antara Xia dan Yan Bei. Walaupun kalau Zhao Zhengde kahwin saya dengan anak perempuan dia, tak, mak dia sekali pun, memang tak ada gunanya! Haha!" Li Ce berkata, lantas melepaskan ketawa yang berdekah-dekah.
Chu Qiao tersenyum dan berkata, "Kalau macam itu, awak ini betul-betul kawan sayalah." Wanita itu menghulurkan tangannya dengan perlahan, anak matanya bersinar terang dan bibirnya mengukir senyuman yang indah.
Li Ce masih lagi ketawa, namun sebaik sahaja melihat postur wanita itu, dia pun menjadi terpana, jadi dia pun terus ketawa sekali lagi sebelum mengejek postur wanita itu dengan menghulurkan tangannya dengan perlahan dan berjabat tangan dengan wanita itu!
Chu Qiao tersenyum ringan, merenung Li Ce dengan anak mata yang bersinar. Senyumannya menawan ketika dia mendongak sedikit dan melihat cahaya bulan yang lembut dek sutera yang bersinar menerangi wajahnya, kelihatan memukau.
Wanita itu yang masih tersenyum pun menyambung, "Li Ce, Yan Bei itu bukannya macam Youyan ataupun efemera. Walaupun pokok Empayar Xia itu cukup besar, tapi akar dia dah mula mereput. Beberapa orang putera bercita-cita tinggi tak mampu nak tampung pokok itu. Awak tak pernah dengar ke? Dunia berada di tapak kaki mereka yang berjiwa rakyat."
Li Ce terus berasa keliru pada saat itu, lantas dia pun berkerut ringan dan menggumam sendirian, "Dunia berada di tapak kaki mereka yang berjiwa rakyat?"
Chu Qiao tergelak ringan. Dalam era ini, topik-topik sebegini pasti kedengaran menakjubkan dan tidak masuk dek akal, lalu wanita ini pun terus mengangguk dan merenung ke hadapan, berkata perlahan, "Kaum kerabat menguasai rakyat jelata, tapi rakyatlah yang mempunyai kuasa sebenar. Ahli tentera negara ini, gedung senjata, kekayaan, dan makanan semuanya datang daripada hamba-hamba dan rakyat jelata yang dah ditindas oleh para bangsawan dan kerabat. Merekalah manusia yang paling berhati mulia, mereka hanya perlukan sesuap nasi dan sebidang tanah untuk buat lebih banyak makanan supaya dapat bagi orang lain makan. Tapi, apa akan terjadi kalau mereka tak boleh nak bertahan kalau terus macam ini?" Chu Qiao berpaling untuk merenung Li Ce dengan penuh kesungguhan, berkata, "Tak ada sesiapa yang hanya akan menunggu ajal mereka. Li Ce, kalau semua rakyat nak merusuh terhadap awak, awak mampu tak nak kekalkan takhta awak?"
Li Ce terpana, lantas menjawab sambil dahi dikerutkan, "Boleh jadi sampai macam itu sekali ke?"
Chu Qiao tergelak. "Kenapa tak boleh pula? Hanya kerana sesetengah perkara dah tak berlaku selama beberapa tahun tak semestinya ia takkan berlaku lagi. Tiga ratus tahun dulu, awak semua boleh sangka yang puak minoriti akan ambil alih ke? Awak rasa mereka terfikir yang puak minoriti itu akan serang Yinshan dan jajah 18 negeri Hongchuan, lantas mencetuskan peperangan dengan Empayar Tang ke? Awak rasa mereka terfikir yang ketua keluarga Nalan akan mengkhianati empayar maharaja dan isytiharkan kemerdekaan mereka daripada Empayar Song ke?"
Li Ce terpaku tanpa mampu mengujarkan sebarang kata dengan kening yang berkerut.
Chu Qiao melepaskan ketawa sekali lagi. Empayar-empayar maharaja ini mungkin akan dikategorikan di bawah Dinasti Xia di dalam buku sejarah China moden. Kaum kerabat ini menyangka mereka kebal kerana rakyat jelata tidak pernah menyoalkan segala keputusan mereka. Adakah mereka berfikir yang rakyat jelata akan tetap tunduk kepada mereka setelah beribu-ribu tahun dicaci dan dimaki?
"Li Ce, awak tunggu dan lihat sajalah. Semuanya akan berubah. Jangan raikan apa yang sudah lama berlaku. Lambat-laun, awak akan saksikan betapa berkuasanya rakyat jelata terutama sekali apabila mereka mengamuk. Kuasa yang mereka ada itu boleh jadikan seluruh negara huru-hara, boleh gerakkan pergunungan dan juga kawal cuaca. Empayar Xia, Yan Bei, Empayar Tang, Empayar Song, dan rakyat minoriti Quanrong di luar sempadan itu pun akan jatuh dimamah tanah bagaikan semut apabila berhadapan dengan kuasa sebegini. Parti yang mampu mengawal kuasa ini pasti akan menjadi pemenang agung."
Senyuman di wajah Li Ce terus memudar, lantas pemuda itu memperagakan kerutan semasa dia merenung wanita itu, masih berdiam.
Chu Qiao berpaling dan merenung Li Ce sambil tersenyum. "Li Ce, awak ini kawan saya. Saya harap bila ribut taufan itu datang, awak bukan mangsa pertamanya."
Angin sejuk masih lagi kencang. Renungan mata pemuda itu lantas bertukar dingin dan tajam bagaikan mata anak panah apabila dia merenung Chu Qiao, tanpa sekali pun berkelip ataupun berkata apa-apa. Angin menghembus ruang di antara kedua remaja ini yang lantas menjadikan suasana semakin dingin, dan setelah seketika, pemuda itu kembali mesra apabila dia tergelak ringan sambil berkata, "Qiao Qiao, kalau saya tak pernah dengar ayat ini sebelum ini, saya pasti akan berasa sangat terharu sekarang ini. Saya akan berfikir mengenainya dengan lebih mendalam."
Chu Qiao sedar Li Ce telah menanamkan keinginannya untuk membunuh wanita itu pada saat itu, namun dia tidak membuka langkahnya. Walaupun mereka mewakili pengaruh kuasa yang berlainan dan juga mempunyai pendapat yang berbeza, namun seperti yang wanita itu ungkapkan, mereka adalah kawan, ataupun mungkin sesuatu yang lebih dari itu. Mereka tidak mampu untuk mengungkap maksud persahabatan mereka ini dengan jelas dan lantas Chu Qiao menyedari seperkara yang telah meragut mindanya buat beberapa tahun ini. Daripada ramai lagi raja-raja feudal yang lain, mengapa Maharaja Xia memilih untuk menyerang Yan Bei? Mengapakah maharaja tersebut membunuh Yan Shicheng, seorang raja yang paling setia di bawah naungan maharaja tersebut? Jika Maharaja mahu menguasai pengagihan kuasa, bukankah dia sepatutnya bermula daripada raja-raja feudal yang lain? Raja Ling? Raja Jing? Raja orang gasar yang tidak terkawal? Namun, wanita itu mengerti akan segalanya sekarang ini, dan sebabnya sangat mudah. Apabila Raja Yan Bei menjalinkan sebuah pakatan bersama Kesatuan Da Tong, Yan Shicheng telah menanam sebuah ideologi yang baharu. Bunga asing telah mekar kembang di dataran tinggi berais Yan Bei lantas menyebabkan negara itu meraih hasil tanaman yang asing. Daripada sudut pandangan neutral, Yan Bei tidak lagi mempunyai pandangan yang sama seperti bandar maharaja tersebut. Hal yang sama berlaku apabila sesebuah negara itu mengenalkan sistem kapitalisma tetapi salah seorang ahli parti politiknya lebih menyenangi idea komunisma, jadi ideologi tersebut memang tidak dapat diterima. Sudah terang lagi bersuluh yang mereka akan menentang pandangan utama, dan itu merupakan pengkhianatan yang tidak dapat dimaafkan.