Walaupun begitu, mungkin pada masa itu Raja Yan Bei pun tidak menjangkakan perubahan yang sebegitu drastik daripada pihak empayar, mungkin dia tidak menyedari kesilapannya sehinggalah di saat riwayatnya tamat.
Melepaskan keluhan kecil, suara Chu Qiao yang lembut itu kedengaran semakin memudar di sebalik kejauhan. Apa yang wanita itu tidak tahu adalah kata-katanya yang aneh dan ganjil itu telah menukar cara pemikiran dan juga kehidupan sesetengah orang yang mendengarnya. Kehidupan wanita ini kadangkala bagaikan seorang petani yang sengaja melemparkan benihnya merata-rata, dan benih-benih ini berselindung di sebalik selapisan salji yang membeku sambil menunggu saat musim bunga untuk menjelang tiba supaya ia boleh bercambah.
"Qiao Qiao," Li Ce menoleh ke arahnya dengan wajah yang dikerutkan, seolah-olah dia sedang memikirkan sesuatu dengan tekun sebelum bertanya, "Boleh tak awak beritahu saya, kenapa awak yakin sangat dengan kesudahan itu? Awak lain daripada ahli-ahli dari Kesatuan Da Tong yang berfikiran beracun itu. Apa yang menyebabkan awak berfikiran sebegitu? Sebab Yan Xun ke?"
"Bukan begitu." Chu Qiao menggeleng kepalanya ringan dan membalas, "Sebab saya sendiri dah nampak dengan mata kepala saya."
Terpana mendengar jawapan ini, Li Ce menggumam, "Awak apa?"
"Awak takkan pernah faham." Chu Qiao yang memerhatikan tasik akuamarin itu terus tersenyum.
Tiada sesiapa yang akan pernah memahami dia telah menjadi saksi kepada semua perubahan tersebut, sedar akan masa hadapan yang bakal ditanggung zaman ini di mana prinsip kehidupan yang kuno akan beransur-ansur hilang dimamah bumi. Bersama dengan itu, sebuah kuasa baru akan bangkit dari abu empayar-empayar purbakala, dan perkara itu bakal terjadi jika seseorang boleh memberikan desakan yang kecil ke arah yang benar.
"Li Ce, awak tak boleh faham ke? Ini prinsip saya, kepercayaan saya."
Hujan mula merintik membasahi permukaan bumi semasa cahaya bulan yang memudar dek kepulan-kepulan awan nipis menerangi wajah wanita itu yang kelihatan tenang.
Sekumpulan doktor empayar baru sahaja beredar dari kediaman Mihe apabila barisan demi barisan payung berwarna hijau muncul dari pandangan, dengan jubah longgar mereka yang meleret di atas tanah dan juga kasut biru cair mereka yang memijak lopak-lopak air, lantas membuatkan air tersebut terpercik di sekeliling mereka. Para pelatih perubatan sedang mengekori mereka dari belakang sambil membawa perkakasan perubatan mereka yang besar, berisi ubat-ubatan. Warna hijau muda itu berkibar-kibar di dalam hujan bagaikan dedaunan yang melambai-lambai dihembus angin.
Bunga-bunga teratai yang selebihnya akhirnya berterbangan di udara sementara beberapa orang gaji meluru ke arah koridor, lantas seorang gadis muda memasuki bilik luaran dengan rambut depannya yang melekat di dahi akibat air hujan. Qiu Sui memanggil gadis itu, dan lantas mereka berdua terus mula berbisik sesama sendiri di koridor tersebut, suara mereka masih boleh didengari sehingga ke bilik dalaman walaupun mereka ia kedengaran amat lembut.
"Bunga teratai yang selebihnya ini dah pun diterbangkan disebabkan hujan. Mak Cik Xia kata Putera Mahkota kita sukakan bunga teratai, dan mahukan kita untuk payungkan bunga-bunga teratai itu."
Qiu Sui mengeluh. "Apa gunanya kalau kita payungkan bunga itu? Kalau dia nak layu, dia akan layu juga walau apa pun yang terjadi. Orang-orang dari Istana Jinse ini beria sangat nak seronokkan hati Putera Mahkota itu."
"Betul itu, sekarang ini pun dah September. Kita sudah nak masuk musim luruh pun."
Kedua-dua orang gaji ini beredar sambil masih bersembang sesama sendiri, namun suara mereka sudah tidak lagi kedengaran. Cahaya bulan yang menyejuk itu tetap bersinar terang di luar tingkap.
Bilik tersebut telah dikosongkan buat masa yang lama, dan kekosongan bilik tersebut lantas memberikan suatu ilusi yang menjadikan bilik tersebut kelihatan lebih luas. Di bahagian utara bilik tersebut, terdapat sebuah katil yang diselimuti dengan selapisan kain vel hijau yang bersulamkan seekor burung phoenix keemasan, melambai-lambai seperti bunga teratai yang dilihat di atas tasik sebentar tadi. Tingkap yang berada di bahagian selatan bilik itu terbuka luas dan pemandangan tasik yang indah dihiasi dengan bunga teratai terpampang megah di hadapan selusur tingkap tersebut. Bunga teratai tersebut ditiup kasar bagaikan sebuah boneka disebabkan oleh angin yang amat kencang dan juga hujan yang lebat, jelas menunjukkan ia bakal layu tidak lama lagi. Para hamba yang ingin menyeronokkan hati tuan mereka sedang mendayung perahu-perahu kecil di dalam hujan yang lebat itu untuk menyediakan barisan demi barisan payung untuk melindungi kumpulan terakhir bunga teratai yang masih mekar di dalam hujan lebat itu.
Li Ce terduduk di atas kerusinya dengan wajah yang muram, jari-jemarinya menggosok-gosok lengan kerusi itu sehingga cat merah yang mewarnai kerusi itu pun sudah terhakis. Kerusi ini telah dibawa ke dalam bilik ini dengan tergesa-gesa dari bilik stor, jadi para orang gaji tidak sempat untuk mengecatnya semula ataupun membawa kerusi yang lebih baik, namun Li Ce langsung tidak mengendahkannya dan terus menggosok-gosok permukaan kerusi yang tidak rata. Matanya kelihatan seperti telah ditutup, namun ia sebenarnya masih terbuka, hanya dikecilkan sahaja sehingga menjadi satu garisan halus apabila merenung wanita yang sedang terbaring di atas katil.
Kesihatan Chu Qiao semakin merudum sekali lagi, dan para doktor empayar telah memberikan sebuah hujah yang panjang mengenai aspek teknikal penyakit tersebut, lantas menaikkan angin Li Ce yang sememangnya sedang meradang itu. Putera yang kebiasaannya tenang dan ceria itu telah menolak salah seorang doktor tersebut sehingga terjatuh dibuatnya sebelum para doktor yang lain tergesa-gesa menjelaskan penyakit tersebut dengan lebih ringkas.
Nampaknya pada saat ini, rehat yang secukupnya telah sangat membantu Chu Qiao dalam menghapuskan hampir keseluruhan racun itu, dan kecederaannya juga sudah beransur pulih, namun punca wanita ini sebegitu lemah dan juga sakit adalah kerana kepenatan yang tidak henti-henti, berpunca daripada tekanan yang telah menggunung di dalam dirinya. Semua itu boleh dipulihkan kembali dengan rehat yang secukupnya, namun bagi Chu Qiao, masa bukanlah rakan karibnya buat masa ini.
Chu Qiao sedang memakai sehelai jubah berwarna biru kehijauan bersama anak baju berwarna putih yang telah disulamkan dengan beberapa helai bunga kekwa yang indah memekar, namun raut wajahnya langsung tidak menyerupai pakaiannya itu apabila dahinya yang dikerutkan menghiasi wajah pucatnya yang telah memberikan aura kesengsaraan dan juga kesepian.
Para doktor empayar akhirnya beredar dari bilik tersebut, dan walaupun kata-kata jaminan mereka masih terngiang-ngiang di rongga telinga, namun perasaan gelisah masih lagi tergantung megah di dalam bilik itu.
Cahaya bulan berwarna keperakan menerangi keseluruhan bilik tersebut, menjadikannya lebih luas dari yang sebenarnya, ditambah pula dengan kekosongan bilik itu daripada sebarang perabot mahupun perhiasan, hanya sebuah katil besar dan sebuah kerusi sahaja. Lantai kayu yang gelap itu terasa tegap apabila dipijak walaupun usia bangunan itu yang sudah lama dan kawasan-kawasan sebegini pastinya akan melontarkan bunyi bergema mengikut kata seseorang yang sedang bercakap, membuatkan ia lebih terasa sunyi, kemas, namun sepi.
Kediaman ini merupakan kediaman yang terdekat sekali dengan Istana Putera Mahkota Li Ce. Beberapa tahun yang lalu, Li Ce telah membesar di Kediaman Mihe ini yang meriah pada suatu ketika dahulu. Namun entah bila kediaman ini telah ditutup dan dikunci ketat, tali pita merah yang bercorak bunya ros maharaja itu melekat-lekat pada semua pintu bilik kediaman dan semenjak dari hari itu, tiada sesiapa yang pernah menjejakkan kaki mereka ke sana.
Tetapi pada hari ini, dalam sekelip mata sahaja enam tahun pun sudah berlalu. Chu Qiao menukar postur badannya apabila wanita itu terasa sejuk dek angin bayu yang berhembus lembut. Li Ce lantas berdiri, kasut suteranya memijak lantai yang lembap itu untuk menutup tingkap sebelum bergerak ke sisi katil dan meregangkan jari-jemarinya. Pemuda itu pun melipat-lipat kelambu yang menyelubungi tempat tidur itu yang lantas mempamerkan seorang wanita di dalamnya, boleh dilihat bulu mata wanita itu yang panjang, hidungnya yang kecil namun tajam terukir, bibirnya yang merah semulajadi, telinganya yang comel, dan lehernya yang nipis…
Pemuda itu menghulurkan tangannya ke arah wanita itu, seolah-olah dia ingin menarik selimut untuk menutupi dadanya, namun ribut petir yang melanda kawasan itu telah menjadi semakin kencang sehingga air hujan menitik-nitik di ambang jendela dengan sungguh bising. Cahaya bulan yang samar-samar menerangi melalui cermin jendela lantas menyinari rambut Chu Qiao yang lebat dan lembut itu, memberikannya suatu aura yang sangat indah namun kaku dan sedikit kesepian. Jari-jari pemuda itu terhenti seinci dari badan wanita itu, cahaya mempamerkan sebuah bayangan pemuda itu yang panjang di lantai kayu, kelihatan tinggi lampai yang berbaur kesunyian.
Dentuman gendang bergema kuat, menandakan masa yang panjang sudah pun berlalu. Di dalam Ibu Negara Tang yang indah ini, bunyi dentuman jam pun kedengaran merdu dengan alunan melodinya yang lembut, namun tegas untuk berbaur dengan angin yang menghembus.
Setelah beberapa lama, bulan akhirnya meninggi dan tergelincir kembali. Pemuda itu akhirnya mengalih pandangannya yang kaku sejak tadi dan berpaling untuk melangkah keluar dari pintu yang dilarang itu, lantas melihat Sun Di yang sedang bersandar pada salah sebuah tiang di koridor kediaman itu. Apabila melihat Li Ce yang sedang melangkah keluar itu, Sun Di meraih wajahnya dan tersenyum riang.
Li Ce langsung tidak mengendahkan pemuda itu dan terus melangkah.
"Tuanku, Cik Yushi daripada Astaka Yu Shang dah datang dua kali setelah terdengar yang Tuanku lencun kerana hujan. Dia dah sediakan sup halia istimewa untuk Tuanku dan ia sedang menunggu Tuanku di istana."
Li Ce yang masih berdiam itu terus berjalan, seolah-olah dia langsung tidak mendengar kata-kata Sun Di itu.
Rentak Sun Di dipercepatkan apabila dia tersenyum dan berkata, "Cik Liuliu daripada Astaka Liu Fu pun hantar orang gaji dia untuk bawa ubat-ubatan berharga untuk Cik Chu gunakan supaya dapat sembuh. Rasanya Cik Bai daripada Istana Tang Ran dah pergi ke Kuil Buddha Utara supaya dapat mendoakan kesihatan Tuanku dan juga Cik Chu. Ramai Cik-Cik yang lain yang ikut Cik Bai juga. Sekarang ini pasti sami tua yang jaga kuil itu berasa hairan sebab ramai sangat wanita yang berkunjung ke sana. Dan lagi satu…"
Apabila angin bayu menghembus lembut kedua pemuda ini, hujan yang merintik mula berhenti. Sekumpulan orang gaji sedang mengekori kedua pemuda ini jauh di belakang mereka dengan penuh berhati-hati supaya tidak berada terlalu dekat dan dapat mencuri dengar perbualan mereka.
Sun Di menepuk dahinya seolah-olah dia terlupa akan sesuatu sambil berkata, "Oh ya, anak perempuan Encik He pun berada di istana sekarang ini. Setelah mendengar apa yang terjadi, dia bertegas nak tinggal di kediaman puteri keempat, dan dia jemput Tuanku untuk berjumpa dengan dia bila Tuanku ada masa lapang."
"Apa sebenarnya yang awak nak cakap ini?" Suara yang suram itu akhirnya membalas, hilang segala baur mesra dan ceria yang sering dibawanya.
Sun Di yang sedikit terpana mendengar kata-kata Li Ce itu terus tersenyum dan membalas, "Hamba ini sebenarnya nak cakap, ada banyak lagi benda menarik untuk dilakukan sekarang ini. Betul ke Tuanku tak berminat nak lakukannya?"
Li Ce langsung tidak membalas dan Sun Di pun mula mencabut bulu keningnya. "Tuanku, Tuanku ini macam lain saja dari biasa."
"Biasa?" Li Ce ketawa mengejek, tanpa sekelumit pun perasaan gembira. "Saya pun dah tak ingat bagaimana rupa saya ini."
Sun Di ketawa seolah-olah dia baru sahaja terdengar jenaka yang terlawak di abad itu. "Semangat menyerah kalah itu bukannya semangat yang Tuanku selalu ada. Tuanku selalu mengutuk Buddha itu, dan selalu hidup dengan bersuka ria. Sejak bila Tuanku jadi muram dan hina ini?"
Kelopak-kelopak bunga pokok epal masam yang terjatuh di atas tanah itu melenggok-lenggok ditiup angin. Li Ce yang sedang berdiri di bawah pokok itu termenung jauh, dan akhirnya pemuda itu berpusing setelah raut wajahnya kembali normal tanpa sebarang perasaan hina dan keji, lantas bertukar menjadi Putera Tang yang ceria, sepertimana yang dikenali orang ramai. Dia pun berkata dengan ketawa yang terbahak-bahak, "Betul itu, selagi kita hidup, kita kena nikmati kehidupan kita itu tanpa sebarang penyesalan. Sun Di, jemput Cik-Cik yang lain untuk bertandang ke Istana Putera Mahkota untuk melayan saya. Saya nak wanita-wanita yang sedang bersembahyang di kuil itu pun untuk turut hadir juga! Satu hari nanti kita akan musnahkan kuil itu dan bina sebuah lagi sebagai tanda penghormatan buat… Buat keseronokan! Hahaha!"
"Hidup tanpa sebarang batasan, Tuan Putera memang bijak pintar," Sun Di mengulangi monolog Li Ce sekali lagi sebelum memberi pujian yang melambung kepada pemuda itu.
Li Ce langsung tidak berasa malu dengan pujian-pujian itu dan dia pun terus tersenyum.
Tidak lama kemudian, Istana Putera Mahkota menunjukkan tanda-tanda bunyi riuh alunan muzik dan tarian yang banyak, bersama gelak ketawa para wanita yang saban kali kedengaran. Bau aroma wain dan juga makanan boleh dihidu datang dari kediaman tersebut.
Nampaknya ia kelihatan seperti suatu lagi malam berpesta dan bersuka-ria.
Di dalam sebuah bilik di Kediaman Mihe, dua orang doktor maharaja sedang berada dalam syif tunggu sedia. Salah seorang daripada mereka sedang berdiri di tingkap sambil merenung ke arah Istana Putera Mahkota, mengeluh, "Aku betul-betul ingat yang Tuanku kita itu sukakan Cik Chu ini apabila melihat dia buka bilik Kediaman Mihe ini dan dah menyeru sekumpulan doktor maharaja untuk menjaga dia. Tapi aku rasa itu cuma salah satu kerenahnya saja!"
Seorang lagi lelaki sedang memang tempat pemanas tangan, dan boleh dilihat sedang memakai baju yang berlapisan tebal. Dengan mata yang tertutup, dia langsung tidak meraih wajahnya apabila mendengar kata-kata rakan seperjuangannya itu, lantas membalas tenang, "Kamu masih berharap dia buat begitu ke? Jangan haraplah. Semenjak Puteri Fu meninggal, haih…"
Doktor yang berada di tingkap itu pun turut mengeluh apabila mendengar kata-kata seorang lagi doktor itu.
Angin malam mengepulkan lapisan demi lapisan perhiasan yang lembut dan juga gebu itu namun di dalam istana yang indah dan megah ini, kesengsaraan dan juga keresahan berapa ramai orangkah yang telah tertanam di dalam tanah ini?
Hujan terus membasahi permukaan bumi dan rancangan Chu Qiao untuk melepaskan diri terbantut sekali lagi akibat penyakitnya itu, dan wanita itu telah dikendong ke luar untuk mendapatkan cahaya matahari pada hari ini. Kecederaannya sudah semakin memulih, namun kudratnya masih lemah dan rapuh, tidak boleh melakukan pergerakan yang pantas dan banyak. Orang-orang gaji wanita itu, termasuklah Qiu Sui, juga telah dipersalahkan kerana mereka langsung tidak membenarkan wanita itu untuk melakukan apa-apa kerja sekali pun sehingga berjalan pun mereka tidak bagi. kesudahannya, wanita itu berasa mengantuk seluruh hari dan berat badannya juga telah bertambah.