"Li Ce, cantik betul negara Tang ini." Orang ramai sedang berasak-asak memungut wang dari lantai itu tetapi tiada seorang pun yang berebut mahupun bergaduh, lantas membuatkan Chu Qiao tergamam di situ.
Li Ce tertawa sambil menggelengkan kepalanya membalas, "Tak mengapa. Yang awak nampak ini semua yang baik-baik saja. Tapi lebih baiklah dari apa yang awak nampak di Xia kan."
Setelah persembahan akrobatik tidak lagi kelihatan, mereka berjalan-jalan di sekitar jalan raya sambil berbual santai.
Li Ce membawa beberapa makanan ringan, termasuklah gula-gula, kurma, kuih osmanthus dan buah berangan bersama yang telah dibungkuskan ke dalam dua plastik yang berbeza. Mereka berdua mengambil setiap satu beg dan menjamahnya sambil berjalan.
Chu Qiao kini kelihatan lebih tenang dan kelesuannya dari hari-hari sebelum ini telah pun hilang, lantas wanita itu bertanya, "Li Ce, awak tahu tak yang saya ini dikehendaki oleh Xia? Mungkin saya seorang pelarian yang paling dikehendaki di dunia sekarang ini."
"Pelarian?" Li Ce tergamam sebelum memecah tawa dan membalas, "Okey, itu sesuatu yang baharu."
"Awak tak nak serahkan saya kepada Xia ke?"
Li Ce berkerut hairan dan bertanya lagi, "Serahkan awak kepada Xia? Buat apa? Untuk dapat ketulan emas ke? Haha, tak naklah. Saya lebih rela awak di samping saya saja."
"Tapi," Chu Qiao menggeleng kepalanya, "Saya akan pulang ke Yan Bei juga nanti."
"Awak ini Qiao Qiao…sengaja bagi saya sedih kan." Li Ce menggeleng kepalanya dan berkata, "Lupakan sajalah. Saya tahu awak ke Tang bukan sebab saya pun."
Chu Qiao berfikir sejenak sebelum berkata dengan perasaan malu, "Li Ce, dengan buat pakatan dengan Xia melalui perkahwinan, awak menentang Yan Bei juga ke?"
Li Ce menoleh dan memerhatikan Chu Qiao. Kemudian, dia mengeluh, "Qiao Qiao, malam yang indah seperti ini, boleh tak awak lupakan Yan Bei dan Yan Xun sekejap? Bertenang sikit boleh?" Chu Qiao hanya terdiam dan Li Ce terus menyambung, "Perang antara Yan Bei dan Xia ialah masalah awak sendiri. Lagipun, kenapa saya nak bersusah-payah mengembara jauh semata-mata untuk musnahkan tempat tinggal Yan Xun? Dia itu garanglah! Kalau dia pukul saya nanti bagaimana? Lagipun saya dengar yang tanah tinggi Yan Bei itu sangat sejuk dengan angin dingin yang bertiup. Pasti kulit wajah gadis-gadis di sana tak cerah. Saya tak nak buat sesuatu tanpa manfaat."
Angin meniupkan lengan baju Chu Qiao yang terasa seperti sentuhan rama-rama apabila ia mengusap-usap kulitnya. Chu Qiao tersenyum kecil ketika memandang Li Ce dan kemudian dia berkata, "Li Ce, walaupun saya selalu tak boleh baca fikiran awak, tapi saya rasa awak bukan orang jahat."
Li Ce mendengus lalu mendongakkan dagunya dan berkata, "Saya seorang yang berstatus tinggi dan cantik luar dan dalam. Kalau saya biar awak selami saya semudah itu, mana saya nak letak muka saya?" Setelah dia menghabiskan kata-katanya itu, dia berlari ke hadapan dan berkata, "Qiao Qiao, saya akan beri awak peluang untuk selami diri saya. Awak nak tak?"
Chu Qiao memuncungkan bibirnya. "Terima kasih sajalah."
"Ceh," lelaki itu mengeluh. "Tak menghargai langsung."
Apabila mereka berjalan melewati kedai yang menjual ikan, Chu Qiao yang berasa curiga terus mendekati kedai tersebut. Di situ, dia ternampak sekumpulan ikan emas berekor merah di dalam satu tangki air yang besar, kelihatan comel dan berwarna-warni.
Chu Qiao seorang yang arif tentang membela ikan. Dia memang telah menyukai haiwan dan ingin membela seekor anjing. Namun, disebabkan komitmennya dengan tentera, dia tidak mempunyai masa untuk melakukan hal itu. Tambahan pula, hostelnya tidak membenarkan haiwan jadi dia membela ikan pun secara senyap-senyap. Tetapi, kaptennya langsung tidak mengendahkannya sebaik sahaja dia mendapat tahu tentang hal tersebut. Jadi, Chu Qiao membela ikan sebagai haiwan peliharaannya dan menjadikan belaan ikan sebagai kebiasaan buatnya. Namun, setelah beberapa tahun berlalu, kehidupannya telah bertukar menjadi begitu sukar jadi sudah tentulah dia tidak mempunyai masa untuk melakukan semua itu. Li Ce yang ternampak akan pandangan mata Chu Qiao terhadap ikan-ikan itu terus membeli semua ikan itu. Setelah melihat pelanggan yang murah hati seperti Li Ce, pemilik kedai memberikan bekas tembikar percuma untuk meletakkan ikan-ikan tersebut.
Malam sudah begitu larut dan Chu Qiao yang masih belum sembuh dengan sepenuhnya dari kecederaan itu mula berasa penat. Jadi, mereka berdua membuat keputusan untuk pulang. Apabila mereka tiba di tasik tadi, kuda mereka masih lagi meragut rumput bersama beberapa orang kanak-kanak yang berada di samping kuda tersebut sambil menarik tali kekangannya. Mereka berniat untuk mencuri kuda tersebut namun takut jika kuda itu menendang mereka. Namun begitu, mereka masih tidah mahu berundur tetapi setelah melihat pemilik kuda tersebut muncul, mereka terus lari bertempiaran.
Chu Qiao dan Li Ce menunggang kuda tersebut semula. Oleh sebab mereka membawa ikan bersama, mereka membiarkan kuda itu bergerak perlahan di jalan.
Chu Qiao tiba-tiba berasa aneh apabila mengenangkan kisah lampau sewaktu mereka berdua bertemu di Xia. Mereka bukan kawan, namun musuh pun bukan. Hal itu pun sudah lama berlalu. Benar juga cakap Yan Xun. Bandar Zhen Huang seperti sebuah penjara besar yang membuatkan sesiapa sahaja tidak bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Segala perkara yang menyentuh tanah di sana pasti akan tercemar.
Wanita itu langsung tidak tahu tentang keberadaan Yan Xun yang telah menyamar sebagai Liu Xi dan mengaut kekayaan persatuan Da Tong di Xian Yang. Tidak syak lagi, dia ingin mara ke sempadan selatan dan mengangkut segala barangan itu pulang ke Yan Bei. Tidak lama lagi, Da Tong akan mengkhianati Xia dan membelot Tang jadi tidak hairanlah mengapa Yan Xun ingin menyamar sebagai Liu Xi. Atas tujuan itu, Yan Xun pasti akan menghala ke Tang tetapi Chu Qiao masih tidak mengetahui apakah sebab dan tujuan Yan Xun sebenarnya.
Bunyi dentuman gendang yang menandakan masa kini sudah semakin hampir. Chu Qiao tiba-tiba berasa semakin lemah. Setelah diracun oleh sekumpulan pembunuh upahan tempoh hari, Chu Qiao berasa dirinya mudah terlelap. Sewaktu menunggang kuda, dia terasa sesuatu yang lembut di dalam hatinya. Kemudian, dia bersandar pada Li Ce dan terus dibuai mimpi. Lelaki di hadapannya itu terperanjat lalu menoleh ke belakang dan mendapati dahi Chu Qiao yang sudah bersandar pada bahunya. Gadis itu sudah terlelap.
Tatkala angin bertiup, bunga magnolia di penyepit rambut Chu Qiao itu terus mengeluarkan aromanya yang menyenangkan. Wajah Li Ce tidak kelihatan sinis seperti kebiasaannya, hanya memerhatikan Chu Qiao dan membiarkan kuda tersebut bergerak ke hadapan tanpa mengekangnya.
Tang dikenali sebagai "Negara Bunga". Pelbagai jenis bunga dan pokok menghiasi tepi-tepi jalan di negara itu. Apabila angin berhembus, kelopak-kelopak bunga akan berterbangan di udara dan tanah seumpama sekumpulan rama-rama. Jubah kuning Chu Qiao pula mengepak-ngepak di udara yang lantas membuatkannya kelihatan seperti seorang pari-pari di tengah-tengah taman bunga.
Kuda mereka membengkok kecil. Kening Chu Qiao berkerut dan dengan sedikit sentakan, tubuhnya membengkok ke belakang.
Tersedar akan hal itu, Li Ce cepat-cepat mencapai pinggang wanita itu. Kemudian, lelaki yang tidak mahir dalam seni mempertahankan diri itu terus memusingkan tubuhnya dan menggunakan satu tangan untuk memegang pelana. Tubuhnya kini terbang di udara dan sedar tidak sedar, dia telah berpindah dari depan ke belakang. Tangannya kini memeluk erat pinggang Chu Qiao dan membiarkan gadis itu terus terlena dalam dakapannya.
Angin meniupkan daun-daun dan menyebabkan saki-baki titisan air yang terdapat padanya menitis ke tanah bersama kelopak bunga yang tidak terhitung banyaknya.
"Ketenangan empayar Tang akan terjejas tak lama lagi." Li Ce mengeluh sambil tersenyum. Namun, senyumannya itu tidak melambangkan sama ada dia tenang atau bahagia, cuma menunjukkan kebiasaannya untuk tersenyum apabila berbual. "Selepas awak sembuh, saya akan hantar awak jumpa kekasih lama awak itu. Tiada kebahagiaan pun dalam dunia ini. Dungu betullah awak."
Cahaya bulan kelihatan seperti lapisan ais dan kabus yang nipis. Mereka semakin menghampiri Istana Jinwu.
Apabila Chu Qiao terjaga, hari sudah begitu lewat. Seorang pembantu rumah, Qiu Sui sedang terduduk di atas bangku sambil menunggu Chu Qiao terjaga. Setelah melihat Chu Qiao sudah bangun, Qiu Sui tersenyum dan membawa secawan teh bersama dan berkata, "Cik dah bangun. Cik nak minum air?"
Chu Qiao menggeleng kepalanya. Lantas, pembantu rumah itu berkata lagi, "Doktor dah tunggu di luar untuk periksa nadi Cik. Tuanku dah arahkan mereka untuk masuk sebaik sahaja awak sedar."
Chu Qiao membersihkan dirinya sendiri dan menolak pelawaan pembantu rumah yang ingin mencuci rambutnya itu, menyepit rambutnya ke belakang. Dia bukanlah bangsawan dan kehidupannya juga bukanlah kehidupan yang indah. Namun, pada saat ini, lebih sepuluh orang yang sedang memerhatikannya walaupun ketika dia sedang membasuh mukanya. Jarang sekali wanita itu diperhatikan sebegitu jadi dia pun mula berasa kekok. Dia telah menolak pelawaan mereka tetapi lebih 20 orang doktor telah masuk ke dalam biliknya dan ingin memeriksa nadinya.
Pembantu rumah sudah menyediakan jamuan mewah yang terdiri daripada 30 jenis sup dan pelbagai pencuci mulut yang lain manakala seorang pembantu rumah lagi sedang melutut di sisi meja. Di sini, Chu Qiao tidak perlu melakukan apa-apa kerana terdapat seorang doktor yang sedang merawatnya dan pembantu rumah yang sedang menyuapkan makanan kepadanya. Sebelum makanan itu disuapkan ke dalam mulutnya, pembantu rumah akan memandang wanita ini dahulu dan jika dia mengangguk, barulah pembantu rumah itu menyuapkan makanan tadi ke dalam mulutnya, dan jika Chu Qiao menggelengkan kepalanya, makanan seterusnya akan disuapkan ke dalam mulutnya. Chu Qiao agak malu untuk menggelengkan kepalanya jadi dia hanya menerima setiap suapan makanan ke dalam mulutnya itu. Perutnya kembung kerana makan terlalu banyak.
Setelah doktor selesai melakukan tugas mereka, 20 orang doktor itu kemudiannya balik ke dewan utama untuk berbincang tentang cara rawatan buat Chu Qiao.
Tiba-tiba, wanita itu terdengar bunyi lentang-lentung di luar lalu cia pun bertanya, "Apa yang berlaku di luar?"
Qiu Sui merupakan ketua kepada pembantu rumah di kediaman itu lalu dia pun membalas, "Mereka sedang membaiki kolam."
Kolam tersebut terletak betul-betul di bawah jendela Chu Qiao. Aneh dengan jawapan yang diberikan, gadis itu bertanya lagi, "Baiki kolam? Apa dah jadi sebelumnya?"
"Kolam itu terlalu cetek. Tuanku perintahkan kami supaya bina satu kincir air di sini untuk menaikkan kolam itu supaya ikan emas yang awak bawa semalam boleh dibela dengan elok."
Chu Qiao terpana setelah mendengar kata-kata itu, lalu dia pun berjalan ke arah jendela tersebut dan mendapati lebih dari 200 orang sedang melakukan tugas mereka dengan bersungguh-sungguh, langsung tidak berani berbuat sebarang rintihan. Segala peralatan telah dipasang di tempat lain dan kemudian dibawa ke sini. Chu Qiao berasa terkejut dengan usaha mereka semata-mata kerana beberapa ekor ikan emas yang langsung tidak berguna itu. Sebelum ini, Chu Qiao ada terdengar tentang kekayaan Empayar Tang tetapi dia tidak menjangka mereka akan boros seperti ini.
Yalah, dia hanya akan berada di sini untuk beberapa hari sahaja pun. Menerima layanan Li Ce seperti ini, dia berasa malu pula.
Dia menoleh ke belakang dan bertanya, "Di mana Tuanku?"
"Selepas waktu pagi, Tuanku dah tak pulang lagi."
Chu Qiao mengangguk. Dia sendiri tidak tahu bagaimana dia pulang ke sini semalam. Nampaknya, kesihatannya telah amat menjejaskan dirinya. Dia kemudiannya berfikir sendirian, 'Sementara menunggu Yan Xun datang ke Tang, aku akan pulihkan diri aku di sini dulu.' Lalu dia pun melabuhkan punggungnya di atas tikar dingin itu perlahan-lahan sambil berfikir.
"Cik, awak dari Xia ke?"
Chu Qiao mendongak dan bertanya, "Dari mana kamu dengar semua itu?"
"Saya dengar dari Komander Tie. Dia yang bawa Cik ke dalam istana ini bersama Tuanku. Dia cakap Cik seorang bangsawan Xia dan menyuruh kami untuk layan Cik dengan baik."
"Oh."
"Saya ingat Cik seorang gundik baru! Tapi, Tuanku cakap semalam yang Cik ni kawan dia. Kalau difikirkan balik, Cik seorang saja kawan wanitadia." Pembantu rumah itu merasakan Chu Qiao agak senang untuk diajak berbual. Sewaktu mengipas Chu Qiao, dia berkata lagi, "Tuanku layan Cik dengan baik betul. Saya tak pernah lihat dia layan mana-mana gundik seperti ini."
"Tuanku ramai gundik ke?"
Qiu Sui membalas, "Ya. Kalau campur di istana Qiuhua, Zhangqing dan Astaka Qiushui, boleh dikatakan… Haih, saya sendiri pun tak tahu berapa ramai tapi yang pastinya memang ramai."
"Oh," Angguk Chu Qiao. "Betullah khabar angin itu."
Pembantu rumah tersenyum dan berkata, "Tuanku suka bergurau senda jadi semua orang sukakan dia. Walaupun dia seorang putera, dia layan kami dengan mesra, langsung tak angkuh."
Pada masa yang sama, seorang pembantu rumah lagi masuk ke dalam bilik dan berkata, "Cik, Cik Hongluan dah tiba. Dia sedang menunggu Cik di luar untuk berjumpa dengan Cik."
Chu Qiao berasa terkejut lalu Qiu Sui menerangkan kepada Chu Qiao, "Cik Hongluan itu gundik baru kediaman ini. Dia seorang penari dan dia dihadiahkan kepada putera oleh Empayar Song."
Chu Qiao mengangguk dan serta-merta mengenal pasti tujuan lawatan itu. Dia kemudiannya berkata dengan nada yang rendah, "Boleh tak kalau saya tak nak jumpa dia?"
Qiu Sui membalas, "Mestilah boleh. Tuan putera cakap Cik boleh menolak daripada bertemu mana-mana pelawat sebelum dia pergi tadi."
"Oh," Ujar Chu Qiao. "Kalau begitu, tolong beritahu Cik Hongluan yang saya sakit teruk sampai tak berkeupayaan untuk berjumpa sesiapa. Cakap terima kasih kepada dia kerana melawat saya."
Pembantu rumah itu kemudian meminta diri.
Dalam masa separuh hari sahaja, lebih sepuluh orang gundik datang melawat Chu Qiao. Beberapa orang daripadanya ialah daripada golongan bangsawan. Nampaknya reputasi Li Ce bukanlah calang-calang, benar benar pemuda itu telah menyimpan ramai wanita. Chu Qiao pun tidak tahu sama ada putera itu mengingati nama-nama mereka ini atau tidak.
Menjelang tengah hari, cuaca mula terasa panas. Chu Qiao pula sekejap terlelap dan sekejap terjaga dari tidurnya. Qiu Sui menyediakan semangkuk ais dan menambahkan beberapa potongan buah pic dan tembikai susu ke dalamnya. Apabila dia ingin menyuap ke dalam mulut Chu Qiao, seorang lagi pembantu rumah masuk ke dalam bilik dan berkata Cik Puan Tang ingin bertemu dengan Chu Qiao.