Chu Qiao baru sahaja ingin menolak jemputan tersebut apabila Qui Sui menyedari tindakan wanita itu lalu dia pun dengan cemas tergagap, "Cik, Cik Puan Tang itu Maharani Empayar Tang!"
Istana Feng Yuan merupakan tempat di mana Maharani empayar itu bersemayam namun setelah menunggu selama sejam, Chu Qiao masih lagi tidak diseru oleh wanita itu. Dia yang sudah sememangnya berasa letih itu tidak boleh membuka matanya lagi sambil membetulkan posisi kedudukannya yang membongkok itu, memang menyampah dengan racun tersebut walaupun ia tidak memberikan sebarang permasalahan lain kepada Chu Qiao, hanya membuatkan dia kepenatan dan pening-pening lalat sahaja. Kini, dia hanya boleh berharap kepada Li Ce pemuda itu boleh mencari penawar kepada racun tersebut.
Setelah beberapa lama, seorang gaji melangkah keluar dan memberitahunya Maharani telah jatuh gering pada hari ini lantas meminta Chu Qiao untuk pulang kembali pada keesokan harinya. Walaupun wanita itu berasa geram setelah mendengar kata-kata orang gaji itu, akan tetapi dia masih lagi mengawal perasaannya lalu menunduk hormat dengan penuh adab dan melangkah keluar dari kediaman Maharani itu.
Dia sedar Maharani itu mungkin sedang memerhatikannya selama ini, namun dia masih lagi akan menetap di Empayar Tang ini untuk memulihkan kembali kesihatannya, jadi ini bukanlah masa yang sesuai untuk memulakan sebuah lagi konflik.
Sebaik sahaja Chu Qiao yang sedang menguap itu melangkah keluar dari kediaman Maharani, dia ternampak sebuah kelibat yang tiba-tiba muncul di hadapannya, lantas dia pun melompat ke belakang akibat terperanjat, namun tersedar ia hanyalah Li Ce yang kelihatan seperti dia baru sahaja bangun dari tidur.
Serta-merta kepenatan yang dirasai Chu Qiao hilang apabila dia bertanya kebingungan, "Awak tunggu saya di pintu selama ini?"
Li Ce yang menguap itu pun membalas "Selepas saya dengar yang bonda seru awak untuk bercakap, saya datang ke sini sebab nak tengok."
Chu Qiao terpana mendengar jawapan pemuda itu. "Jadi kenapa awak tak masuk ke dalam?"
"Dalam itu panaslah." Li Ce memberi wanita itu sebuah jawapan yang langsung tidak masuk akal sebelum meraih keningnya dan menjelaskan, "Saya takut yang kalian berdua akan bergaduh semasa perbualan itu, jadi saya tunggulah di sini sebab nak bersiap sedia untuk hentikan pergaduhan itu."
Chu Qiao agak terkejut setelah mendengar penjelasan putera tersebut, lantas bertanya, "Bonda awak memang panas baran ke?"
"Memang normal bagi orang-orang yang agak berusia ini untuk berkelakuan aneh sikit." Li Ce menjawab cincai. "Lagipun, dia memang dengki dengan saya, jadi saya rasa dia mesti akan cuba untuk menyusahkan hidup awak di sini."
Chu Qiao yang malas untuk melayani gelagat pemuda itu terus melangkah pergi sambil berkata, "Saya penat ini. Saya nak tidur."
Li Ce juga bersetuju, "Okey, saya pun penat juga ini. Kita nak tidur bersama ke?"
Lantas gadis itu berpusing ke belakang dan melambai-lambaikan penumbuknya ke muka Li Ce sambil tersenyum, "Kalau awak tak takut mati, bolehlah cuba."
Putera mahkota itu melepaskan ketawa mengekeh. "Saya memang tak kisah kalau dengar ancaman dari seorang wanita."
Pada masa yang sama, seorang gaji tiba-tiba meluru ke sisi Li Ce dan memanggilnya, "Tuan Putera, anak gadis Encik He dah tiba di istana, dan nak berjumpa dengan puteri keempat."
Angin Li Ce tiba-tiba menjadi lebih ceria dan lantas pemuda itu terus mengucapkan selamat tinggal kepada Chu Qiao, "Qiao Qiao, saya ada hal mustahak untuk diselesaikan, saya jumpa awak nanti ya!" Li Ce terus beredar bersama orang gaji tersebut tanpa memberi peluang kepada Chu Qiao untuk membalas kata-kata pemuda itu.
'Hal mustahak?' Chu Qiao terkekeh seronok. Walau apa pun, wanita itu berasa senang hati apabila berkawan dengan pemuda itu kerana dia tahu dia tidak akan mempunyai ikatan emosi yang terlalu tegang mahupun dahsyat bersamanya.
Chu Qiao terus melelapkan matanya sesaat dia melabuhkan punggung di atas kerusi di dalam gerabak kuda.
Larut malam itu, Chu Qiao telah dibangunkan secara tiba-tiba dengan bunyi raungan seseorang, dan lantas wanita itu turun dari katilnya dengan penuh cemerkap sebelum memanggil Qiu Sui. Gadis itu yang rupa-rupanya masih belum tertidur dan sedang berdiri di luar pintu Chu Qiao itu terus memasuki kamar wanita ini, memberitahunya, "Cik jangan risau. Itu cuma Cik Hongluan saja. Saya dah pun suruh orang untuk halau dia keluar."
Berasa aneh, Chu Qiao bertanya, "Apa yang terjadi?"
"Petang tadi semasa kita pulang, kita berselisih dengan Cik Hongluan dan adik dia, Cik Qiuhe. Cik Qiuhe suruh orang-orang suruhannya untuk tolak gerabak kuda kita sampai hampir terjatuh ke dalam tasik. Nasib baik beberapa orang Pengawal Besi nampak kejadian itu jadi mereka pun laporkannya kepada Tuanku Baginda, dan terus Tuanku hantar pengawal-pengawal dia untuk campak Cik Qiuhe ke dalam bilik penyiksaan jadi sekarang ini Cik Hongluan sedang menangis untuk meminta kemaafan dari Cik. Tapi Cik, Cik tak perlu masuk campur dalam urusan politik yang serabut sebegini jadi saya dah pun halau dia pergi."
Nampaknya wanita-wanita tersebut telah menganggap dirinya sebagai suatu ancaman, tetapi mereka itu hanyalah gundik-gundik yang menginginkan perhatian sahaja jadi Chu Qiao pun tidaklah terlalu gelisah mengenai peristiwa tersebut. Namun, dia masih berasa terkejut dengan kekuatan racun yang sedang merebak di dalam badannya itu kerana dia langsung tidak menyedari peristiwa petang tadi di mana seseorang telah menolak gerabak kudanya hampir ke dalam tasik dan perkara itu telah benar-benar menunjukkan kecuaian dirinya.
Setelah bangun pada keesokan harinya, kolam sementara itu akhirnya siap juga dengan beberapa ekor ikan emas yang sedang berenang-renang dengan penuh lemah gemalai. Chu Qiao bersandar pada sebuah dinding di sebelah kolam tersebut dan lantas menghulurkan tangannya untuk mengocak-ngocak air kolam tersebut, lantas wanita itu terdengar beberapa buah suara yang kedengaran seperti bunyi perbualan di antara Qiu Sui dan juga seorang lagi orang gaji bernama Zhi Chan.
Qiu Sui berkata, "Berani betul mereka itu! Ada ramai lagi wanita-wanita di dalam istana itu. Walaupun dia tak buat kesalahan itu, saya pasti mesti dia akan mati juga di sini."
Zhi Chan mengeluh sebelum membalas, "Mungkin dia ingat yang Tuanku itu senang sangat untuk ditipu. Tapi tengoklah apa yang dah berlaku. Semua Cik dan Cik Puan di Empayar Song dah mati ataupun mengalami kecederaan, dan tak ada seorang pun yang terlepas."
"Awak tak dengar apa yang pengasuh itu cakap ke? Sebab mengapa Putera Mahkota Tang kita berkahwin dengan puteri Xia untuk melarikan diri daripada Empayar Song, supaya Cik dan Cik puan dari Empayar Song itu boleh pergi dari sini tak lama lagi. Sekarang pun kita dah boleh lihat yang ramalan dia dah jadi kenyataan!"
"Apa? Kita akan pergi berperang dengan Empayar Song ke?" Tanya Zhi Chan.
"Saya tak tahu, tapi bukan ke ada pertempuran kecil di Pergunungan Laohu? Walaupun kecil saja, tapi saya dengar ada ramai yang mati terbunuh. Lepas habis pertempuran itu, Encik Luo akan kembali ke ibu negara tak lama lagi," Qiu Sui berkata.
"Tuanku betul-betul nampak seperti dia murka kali ini. Saya tak pernah tengok dia mengamuk sebegitu sebelum ini! Cik Hongluan itu betul-betul dalam masalah besar sekarang ini. Haih, memang terang lagi bersuluh yang Tuanku kita itu sukakan Cik ini, tapi dia masih tak faham lagi."
'Empayar Tang berperang dengan Empayar Song sebelum ini?' Chu Qiao berkerut, kini dia mula mengerti mengapa Empayar Tang ingin menjalinkan sebuah pakatan dengan Empayar Xia dan walaupun Li Ce kelihatan seperti dia seorang yang ganjil dan karut, namun dia tetap seorang putera mahkota empayar ini. Chu Qiao lantas tersedar ia lebih mudah jika dia memandang rendah terhadap putera ini.
Malam kini menjelma dan bulan yang terang terapung-apung di angkasa dengan cahayanya yang menyuluh bilik Chu Qiao melalui tingkap. Wanita itu sedang memakai sepasang gaun berwarna putih mutiara, rambutnya yang hitam itu mengurai panjang di atas katil sebelum dia berkerut dan terjaga. Melihat bagaimana gelombang air kolam itu yang mampu memantulkan cahaya bulan di luar biliknya, wanita itu sekali lagi terpana melihat keindahan istana megah ini. Dia langsung tidak terasa penat setelah seharian tidur.
Chu Qiao dengan penuh berhati-hati terduduk di atas katilnya, tidak mahu membuat sebarang bunyi kerana tidak mahu mengganggu para orang gaji yang sedang berehat di luar, dan terus bergerak ke arah jendela sebelum membuka sebelah cermin tingkap tersebut. Sebuah pokok epal masam yang sedang mekar berbuah itu berada betul-betul di hadapan tingkapnya dengan ranting-ranting yang melambai-lambai ditiup dek angin dan kelopak-kelopak yang berterbangan lembut lalu terjatuh ke atas gaun milik wanita ini.
Seseorang sedang mendayung ringan di atas sebuah bot kecil di tasik dengan irama flut yang bergema di udara. Chu Qiao yang terpana melihat keindahan pemandangan itu tercegat di situ tanpa sebarang kata untuk diucapkan, seolah-olah dia telah menyelinap masuk ke dalam alam para dewa. Kerana tidak mahu menyusahkan para orang gaji, Chu Qiao mengangkat kainnya tinggi sebelum melompat ringan ke atas salah sebatang dahan pokok dan menerjun ke bawah dengan pertolongan kincir air yang baru sahaja dibina, mampu mendarat dengan kedua kakinya setelah membuat balik kuang di udara.
Pasir segar di atas tanah ini jelas menandakan pokok tersebut baru sahaja diambil dari tempat lain, dan lantas Chu Qiao terkenang akan peristiwa di mana Li Ce bergurau dan mengatakan dia ingin memindahkan pokok epal masam ke dalam istananya tidak lama dahulu, dan sedikit terkejut kerana pemuda itu benar-benar telah melakukannya.
Entah mengapa, tetapi hati Chu Qiao bergetar seketika apabila dia memaksa dirinya untuk bergerak jauh dari pokok tersebut bagaikan dia risau jika dia akan diselubungi oleh perasaan-perasaan lain. Kini malam-malam tidak lagi dihangati oleh angin berbahang oleh kerana musim panas yang tidak lama lagi bakal tamat dan kini angin yang bertiup sudah semakin menyejuk. Chu Qiao dengan perlahan mengheret kakinya yang telah diperagakan dengan sepasang kasut sulaman apabila dia berjalan di atas sebuah jambatan kayu sambil memegang gaunnya yang sedang dikepak-kepakkan dek udara nyaman itu ke atas, merenung cahaya bulan yang menerangi langit yang tidak berawan, kadangkala sahaja mempamerkan perarakan kepulan-kepulan awan nipis yang melewatinya.
Chu Qiao berasa sungguh tenang, suatu perasaan yang telah lama tidak dirasainya, terasa seolah-olah ini bagaikan sebuah mimpi indah sahaja apabila angin bayu menghembus lembut ke pipinya. Ketika wanita ini sedang melintasi jambatan tersebut, seekor ikan koi tiba-tiba telah meriakkan air kolam yang lantas mengocak permukaan air yang tenang namun riakan air tersebut telah tersebar dengan selari, menjadikan pemandangan di situ kelihatan lebih menenangkan.
Disebabkan Chu Qiao yang keseorangan di situ, jadi dia memutuskan untuk melabuhkan punggungnya di atas jambatan untuk memerhatikan riakan air yang semakin berkurangan dengan menjenggukkan kepalanya ke luar selusur kayu sambil tangannya menggenggam erat selusur itu.
Dia sudah terlupa bila kali terakhir dia berasa setenang itu. Ketibaannya di Empayar Tang ini telah menghapuskan segala kepenatan dan juga perasaan ingin membunuh yang dirasainya sebelum ini dan akhirnya dia mampu untuk melepaskan keluhan kelegaan apabila mengetahui dia kini tidak lagi berada di Bandar Zhen Huang mahupun Empayar Xia. Dia kini akhirnya selamat daripada segala pembunuhan terancang dan juga pertempuran itu, jadi bolehlah dia mengambil nafas lega sedalam-dalamnya.
Walaupun wanita ini tidak pernah merungut tentang segala tekanan yang dirasainya selama lapan tahun ini, dia tetap merasai kepenatannya.
'Agak-agaknya angin di Yan Bei sepanas ini ke?' Chu Qiao mengukir senyumannya apabila soalan itu terlintas di minda.
Mustahillah. Tanah Yan Bei selalunya diliputi salji sepanjang tahun dengan angin kencang yang mampu membekukan tulang sumsum sesiapa sahaja, dan satu-satunya kawasan yang mempunyai pemandangan menghijau di lembah berumput di sekitar Pergunungan Hui Hui di mana seseorang boleh belajar menunggang kuda di sana. Mengikut Yan Xun, Dewi Yan Bei menetap di Gunung Min Xi di mana di situlah dia melindungi keturunan Yan Bei dan dia telah berdiri di puncak gunung tertinggi seluruh hidupnya untuk memerhatikan kehidupan rakyat jelata yang berada di bawah sana. Setelah bertempur dengan para dewa lain demi kehangatan dan juga kebahagiaan, dewi tersebut akhirnya mengurniakannya kepada rakyat jelata Yan Bei.
Selain dari itu, walaupun dewi Yan Bei merupakan dewi yang pengasih dan penyayang, namun dia juga merupakan dewi pahlawan dengan caranya yang tersendiri, begitulah juga dengan setiap inci negara Yan Bei yang telah dibina melalui hasil pergelutan rakyat jelatanya daripada bencana alam dan peperangan tanpa henti. Yan Bei betul-betul sebuah bangsa yang telah bangkit daripada abu mayatnya sendiri, dan setiap butir tanah yang telah menyemai setiap akar pokok, setiap kuntum bunga telah dilumuri dengan darah pahlawan Yan Bei lama dahulu, dalam setiap bayu angin terdapatnya roh pahlawan Yan Bei yang telah mengorbankan nyawa mereka demi kedaulatan negara tercinta. Itulah Yan Bei, sebuah kawasan yang dipenuhi dengan kesusahan dan juga kepayahan, namun tiada seorang pun rakyatnya yang tertunduk kepada kepayahan itu.
Chu Qiao belum lagi sempat berkunjung ke Yan Bei dan hanya mampu membayanginya berdasarkan penerangan orang-orang lain. Bercerita tentang Yan Beilah yang telah menyemarakkan semangat Yan Xun ketika hari-hari kegelapan, hari-hari penyiksaan, hari-hari menyedihkan beberapa tahun lalu, di mana mereka telah meromok ketakutan di penjuru pondok usang, namun membiarkan imaginasi mereka untuk berlari bebas, membina sebuah dunia di dalam minda mereka bersama sekawan kuda liar yang sedang menderap bebas, dengan sungai yang berliku-liku yang mengalir terus ke ufuk. Dalam kehidupan mereka yang gelap dan membeku itu, gambaran-gambaran tersebutlah yang telah menjadi cahaya harapan yang telah menyinari hidup mereka supaya mereka tidak terus terjatuh ke dalam gaung kesengsaraan. Mereka yang tidak pernah melalui pengalaman pahit sebegitu pasti tidak akan memahami perasaan bergantung terhadap orang lain dengan sebegitu tegar.
Terdapat dua ekor anak serigala di dalam ibu negara maharaja yang memualkan dan melemaskan itu yang telah bersandar pada belakang masing-masing sambil mengasah taring dan kuku mereka. Mereka sememangnya sebatang kara tanpa ada sesiapa untuk membantu mereka mahupun harta untuk melindungi diri sendiri, hanya mempunyai diri masing-masing untuk terus mencari kekuatan supaya dapat meneruskan kehidupan mereka.
Mereka merupakan rakan sepasukan dalam pertempuran, rakan karib, dan juga keluarga yang tidak boleh dipisahkan. Emosi yang rumit ini telah lama menjadi sesuatu yang lebih mendalam daripada hanya rasa cinta dan kasih sayang di antara seorang lelaki dan seorang wanita yang menjadikan mereka berdua bersatu hati, jiwa dan raga.
Kebiasaannya, Chu Qiao tidak mempunyai masa untuk memikirkan perkara-perkara yang sering dikhuatirkan oleh seseorang wanita dan dalam kehidupannya yang pendek selama ini, dia begitu sibuk dengan pengembaraan ke hulu ke hilir, pertempuran, perancangan strategi, dan akibatnya, wanita ini telah menguburkan nalurinya sendiri. Dia merupakan seseorang yang sangat berfikiran logik dan pasti dengan apa yang diingininya, apa yang tidak patut disentuhnya, dan apa yang telah ditentukan takdir buat dirinya. Disebabkan itu, Chu Qiao begitu berhati-hati dalam menjalani setiap langkah kehidupannya tanpa sebarang kesilapan dan walaupun orang sebegitu akan dianggap sebagai membosankan, wanita ini telah menerima dirinya seadanya.
Chu Qiao menarik nafas yang dalam sambil memejamkan matanya apabila mengenangkan pemuda itu yang hampir tiba, lantas dapat merasai angin yang berbaur keinginan pemuda itu untuk bersatu dengannya menghembus lembut ke muka wanita itu.
"Berapa lama awak nak duduk di sini keseorangan?"
Chu Qiao yang terkejut dengan soalan yang tiba-tiba diajukan oleh seseorang itu, dia terus menoleh kepalanya untuk melihat Li Ce yang sedang memakai sepasang blouse hijau pokok pain, dengan tali pinggangnya yang telah dilonggarkan bersama kolar bajunya yang dibuka luas, rambutnya pula diikat longgar dengan sehelai kain renda sutera. Matanya yang sempurnya terletak itu sedang dikecilkan di bawah cahaya bulan, kelihatan seperti seekor musang yang masih mamai setelah baru sahaja terjaga dari tidur, lantas pemuda itu mendepangkan tangannya yang kurus itu sebelum menguap.