Chapter 117 - Bab 117

Pada waktu pagi hari kedua, cahaya matahari yang terang pun mula bersinar dan rakyat Bandar Xian Yang yang bergerak keluar dari rumah mereka mendapati situasi di bandar tersebut masih lagi sama dan langsung tidak berubah. Ia merupakan status quo yang telah menyebabkan jalan-jalan di bandar tersebut masih lagi sesak dengan orang ramai, dengan anak lelaki ketiga keluarga Zhang yang sedang berkeliaran untuk memungut wang perlindungan dari pelbagai rumah manakala anak lelaki keempat keluarga Li di seberang jalan sedang bersiar-siar bersama tujuh atau lapan orang gundik. Kedai roti milik keluarga Wu pula sesak dengan orang ramai. Perubahan yang terlalu minimum di bandar itu lantas menyebabkan rakyat beranggapan perkara yang berlaku semalam bukanlah urusan mereka dan mereka tak patut memasuk campur, jadi mereka hanya perlu menjalani kehidupan mereka seperti hari-hari biasa.

Namun bagi rakyat-rakyat yang peka dengan keadaan sekeliling, mereka dapat mengesan sesuatu yang aneh telah berlaku seperti beberapa kedai rangsum selain dari keluarga Liu telah diambil oleh pekedai yang baharu namun selain dari beberapa orang gaji kanak-kanak di dalam kedai itu, pengurus akaun masing-masing telah pun lenyap entah ke mana.

Bilik kebal Bos Jia yang mengandungi bekalan garam nampaknya telah terbakar pada malam sebelumnya. Sungguhpun api dapat dipadam tepat pada masanya, asap yang terhasil dari pembakaran garam tersebut telah tersebar di kawasan sekelilingnya.

Kedai pertukaran mata wang yang dikendalikan oleh keluarga Ouyang pun telah membuka perniagaannya dua jam lewat dari kebiasaan disebabkan oleh ketiadaan pemilik kedai. Khabar angin ada mengatakan dia telah diserang penyakit...

Menjelang waktu tengah hari, Tuan Feng telah menerima sepucuk surat daripada orang suruhannya namun lelaki itu hanya memandang surat tersebut sekilas sahaja sebelum dia kembali menelaah dan menulis beberapa ayat, lantas memberikannya kepada orang suruhan yang paling dipercayainya setelah merekatkan surat tersebut. Tuan Feng yang muda dan jarang sekali dilihat muram itu kemudian berkata, "Serahkan surat ini kepada Tuan kita. Jangan sampai ada salah dan silap."

Angin di sebelah timur bertiup membadai kawasan pekan dengan bunga-bunga yang kembang memekar sememangnya menghasilkan sebuah pemandangan yang indah. Musim tersebut merupakan musim yang sungguh indah. Pada waktu itu, asap tebal mula terhasil dari sebuah lembah yang sunyi. Tenaga kumpulan iringan yang sebelum ini seramai 2000 orang itu kini sudah pun berkurangan sehingga 700 orang sahaja selepas pembunuhan besar-besaran yang berlaku beberapa hari yang lalu, dengan yang selebihnya telah terkorban dalam masa semalaman sahaja.

Zhuge Yue sedang memegang sebiji mangkuk yang berisi bubur sambil berjalan ke sisi Chu Qiao dengan raut wajahnya yang kelihatan seperti dia berada dalam kegelisahan namun pemuda itu masih lagi mengekalkan ketenangannya. Oleh sebab khemah tersebut yang agak kecil, pemuda itu tidak mampu untuk berdiri tegak, lalu dia pun hanya duduk bercangkuk sambil membantu Chu Qiao untuk duduk tegak. Lantas, dengan nada yang rendah dia pun mengujar, "Makanlah." 

Wajah Chu Qiao yang agak pucat itu saban hari kelihatan semakin lemah namun dia masih mampu bersuara untuk bertanya, "Macam mana keadaan di luar?"

"Apa lagi?" Cemuh Zhuge Yue. "Mereka yang sepatutnya mati itu dah pun mati, yang tak patut mati pun ada yang mati juga. Senang sangat keluarga Liu itu rampas aset keluarga orang lain."

Chu Qiao berkerut sambil berkata dengan perlahan, "Maksudnya Liu Xi dah rampas aset pedagang-pedagang yang lain? Dia tak takut akibatnya nanti ke?"

Zhuge Yue menggelengkan kepalanya dan membalas, "Ketua-ketua pedagang yang lain pun mungkin dah mati."

"Itu kata awak…"

"Ya," Zhuge Yue mengangguk balas. "Kalau saya, memang saya dah buat. Walaupun kekayaan keluarga Ouyang, Jia dan Wang tak dapat dibandingkan dengan keluarga Liu, tapi kalau mereka bergabung, itu dah cukup untuk beri masalah kepada keluarga Liu. Selepas Liu Xi memutuskan untuk rampas aset dan bunuh orang dari keluarga-keluarga itu, Bandar Xian Yang memang tak tenang malam semalam."

Chu Qiao berkerut. "Liu Mingjun sokong tindakan Liu Xi ke? Kalau macam itu, habislah pengaruh mereka di Bandar Xian Yang."

"Awak masih rasakan yang dalang kepada semua ini Liu Mingjun ke?" Zhuge Yue tertawa. "Xing'er, awak ini pandai, berkebolehan dan cepat bertindak balas, tapi awak memang tak reti baca fikiran orang lain. Liu Xi dah memberontak dan kalau saya tak salah, orang pertama yang mati semalam ialah Liu Mingjun."

"Liu Xi memberontak?" Chu Qia terpana sambil cuba untuk memperingati kembali pemuda yang diperhatikannya di Bandar Xian Yang tempoh hari. Pemuda itu telah mempamerkan sebarisan gigi yang putih apabila dia tersenyum, dan gaya tunggangan kudanya amat menakjubkan. Apabila Liu Mingjun memperkenalkan anak saudaranya kepada Chu Qiao lama dahulu, orang tua itu akan melepaskan ketawa yang terbahak-bahak sambil menepuk-nepuk bahu pemuda itu dengan penuh bangga, mengaku dengan sepenuh hatinya pemuda itu dianggap sebagai anak lelakinya…

"Kenapa Liu Xi memberontak? Mungkin dia tak puas jadi orang kaya. Dia ada impian untuk menjadi ahli politik tapi sistem politik Xia agak eksklusif dan hanya terbuka kepada keluarga bangsawan saja. Lagipun dia langsung tiada pengaruh ataupun kuasa di istana jadi memang sukarlah untuk dia mendaki tangga tersebut walaupun selepas sepuluh tahun. Oleh sebab itu, dia bersunguh-sungguh mengumpul kekayaan para pedagang Xian Yang sebagai batu loncatan untuk dia supaya dia dapat dinaikkan darjat ke eselon atasan negara Tang. Tiada sesiapa yang akan memandang rendah terhadap Liu Xi dalam pengembaraannya ke Tang dengan kekayaan yang sebegitu banyak."

Chu Qiao langsung tidak bersetuju dengan analisis yang telah diberikan oleh Zhuge Yue kerana gadis itu lebih mengetahui tentang identiti sebenar mereka yang sudah mati dan pada saat ini, Chu Qiao sangat mengkhuatiri tentang Liu Xi yang taat setia kepada Empayar Xia dan sedang cuba untuk menghapuskan yayasan Kesatuan Da Tong di Xian Yang dengan mengambil aset mereka. Chu Qiao masih lagi buntu memikirkan alasan mereka yang telah memutuskan untuk menuju ke daerah Tang.

Zhuge Yue merupakan seorang yang cerdik pandai. Pada waktu itu, para peninjau dari negara Tang telah kembali dan membekalkan berita yang sama kepada pegawai-pegawai negara itu dan lantas menyebabkan mereka mencapai persetujuan yang sama iaitu Liu Xi sedang menuju ke negara Tang dengan niat yang tersembunyi setelah menghapuskan keluarga-keluarga pedagan termasyhur yang lain namun tiada sesiapa yang menyedari Liu Xi sebenar yang dibenci oleh orang ramai itu telah dimasukkan ke dalam sekarung guni lalu dicampakkan ke sungai.

Apabila perkara itu terjadi, beberapa pihak cepat-cepat berundur. Ada yang tidak ambil peduli, berpura-pura tidak tahu dan ada juga yang dapat mengawal situasi tersebut. Bagi mereka yang tidak ambil peduli, mereka beranggapan ini hanyalah sebuah kes rompakan dan juga permusuhan antara keluarga namun bagi mereka yang bijak seperti Zhuge Yue dan Li Ce, mereka mampu menyelidik dengan lebih mendalam untuk mendapat tahu punca di sebalik kejadian yang berlaku dan hanya mereka yang berkuasa sahaja yang mampu merungkai lapisan dan jaringan di sebalik misteri ini untuk mengetahui kebenarannya suatu hari nanti.

Dalam sebuah khemah yang besar, seorang lelaki yang sedang memakai jubah putih sedang terduduk di atas sebidang tikar hangat manakala di luar khemah pula berdirinya pengawal-pengawal pemuda tersebut.

Seorang pemuda yang berada dalam lingkungan 20-an sambil memakai baju zirah bergegas ke dalam khemah dan berlutut di lantai sambil berkata, "Tuanku."

Yan Xun sedang memakai jubah putih sambil terduduk di atas tikar hangat tersebut, dengan peluh yang mengalir keluar dari dahinya namun pemuda itu masih tidak berganjak dan kekal di situ, mengerdipkan matanya tetapi masih menyahut kehadiran lelaki dengan bunyi "hmm".

"Aset dah pun dirampas. Ketua keluarga-keluarga lain bersama orang gaji mereka telah dihapuskan. Saya dah hantar orang untuk tanam mayat mereka di belakang gunung."

Yan Xun terdiam, kelihatan seolah-olah pemuda itu sudah tertidur. Pemuda itu kemudian membasahi bibirnya sebelum menambah lagi, "Hanya… hanya putera kecil dari keluarga Ouyang saja yang belum ditemui."

Yan Xun berkerut tanpa berkedip. "Pergilah cari dia kalau begitu."

"Ya, baiklah!" Orang gaji muda itu membalas, "Budak itu hanya berusia empat tahun. Banyak pokok pun di kawasan ini jadi saya rasa dia takkan lari jauh."

"Tunggu sekejap." Sebuah suara yang bernada rendah tiba-tiba berkumandang. Pemuda itu terperanjat dan segera mematuhi arahan tuannya.

Yan Xun akhirnya membuka kedua matanya, membalas renungan orang gajinya itu dengan sebuah pandangan yang penuh berwibawa dan lantas berkata tenang, "Kamu tahu tak kenapa Empayar Xia jadi macam ini sekarang?"

Orang gaji itu terperanjat, membuka mulutnya dua kali namun tiada sepatah perkataan pun yang terungkap.

"Sebab, sewaktu mereka bunuh keluarga saya dulu, mereka tak bunuh saya sekali. Sekarang ini kamu faham tak?"

Orang gaji itu mula menggelabah. "Saya faham, saya faham."

"Kalau begitu, pergilah sekarang." Yan Xun melambaikan tangannya sebagai isyarat supaya orang gajinya itu beredar.

Orang gaji tersebut pun berdiri dengan penuh berhati-hati namun sebelum dia sempat beredar, Yan Xun menambah lagi, "Selepas awak dah selesaikan tugas awak, pergi habiskan hukuman awak berdasarkan undang-undang ketenteraan. Nampaknya awak perlu sesuatu untuk buatkan awak betul-betul kenal saya ini siapa sebenarnya."

"Ya, Tuan. Saya ingat kata-kata tuan itu."

Khemah tersebut terus berubah sunyi. Yan Xun yang muda itu bersandar pada tikar dengan mantel miliknya yang sudah membaluti hampir seluruh tubuhnya. Dia kemudiannya perlahan-lahan menghamun, "Tak guna betul orang-orang gasar selatan yang tak bertamadun itu."

Keesokan harinya, tiada khabar yang menyatakan pasukan itu akan berangkat jadi Zhuge Yue pun keluar untuk meninjau kawasan sekeliling. Selain orang gaji keluarga Liu, tiada seorang pun orang gaji dari keluarga lain yang dilihat oleh pemuda itu yang lantas membuatkan Zhuge Yue berasa resah namun dengan keadaan Chu Qiao sekarang ini, dia memang tidak mampu untuk membawa gadis itu jauh dari tempat ini.

Pemuda itu lalu menuju ke sisi gerabak kuda untuk mengambil beberapa keping rangsum kering dan sewaktu dia melangkah ke sana, Zhuge Yue ternampak seorang kanak-kanak perempuan bernama Xingxing yang sedang bersembunyi di sebelah khemah kecil dengan kepala kecilnya itu yang tertonjol keluar. Kanak-kanak itu kelihatan seperti dia sedang memerhatikannya sebelum memandang ke pelbagai arah untuk mencari Chu Qiao yang ceria.

Setelah tersedar yang Zhuge Yue telah menjumpainya, kanak-kanak itu mengecilkan matanya dalam kegembiraan lalu menerpa ke arah pemuda itu.

Zhuge Yue langsung tidak menghiraukan kehadiran kanak-kanak itu dan lantas berjalan kembali ke arah khemahnya namun setelah melangkah dua langkah ke hadapan, pemuda itu terdengar bunyi tapak kaki yang pantas di belakangnya. Zhuge Yue pun menoleh untuk menemui kanak-kanak perempuan itu yang sedang mengekorinya dari belakang dengan berhati-hati.

'Budak ini nak apa? Nak daging lagi?' Zhuge Yue berkerut lalu mengujar, "Kalau kamu ikut saya lagi, siap kamu!"

"Waaaa!" Zhuge Yue terus berasa cuak apabila kanak-kanak itu terus menangis teresak-esak dengan sekuat hatinya sebelum berlari ke arah yang bertentangan. Orang lain memandang Zhuge Yue dengan pandangan penuh mencaci yang berbunyi seperti, 'Tengoklah lelaki itu, ugut seorang budak kecil macam itu pula.'

Zhuge Yue yang berasa geram itu hanya berniat untuk menakutkan anak kecil itu sahaja.

Chu Qiao masih lagi lena dibuai mimpi apabila pemuda itu kembali ke khemah. Nampaknya gadis ini sudah mempunyai satu kecenderungan untuk terlelap sewaktu sedang bercakap. Zhuge Yue berasa agak risau namun setelah melihat yang wanita mampu untuk berjalan semula tanpa tertidur, dia berasa lega. Setidak-tidaknya, selepas melalui pengalaman pahit bersama, dia dapat meraih kepercayaan gadis ini yang tidak lagi mengacukan pisaunya kepada pemuda itu apabila dia duduk di sampingnya.

Langit mula berubah gelap dan Zhuge Yue pun mengeluh apabila berasa tertekan. Kini keadaan sudah berubah dan pemuda itu tidak mampu untuk meninggalkan tempat ini lagi.

"Umm…" Sebuah suara yang kedengaran malas tiba-tiba bergema dan lantas Chu Qiao membuka matanya perlahan-lahan. Gadis itu berasa agak janggal setelah menyedari kehadiran Zhuge Yue di sampingnya, jadi dengan segera wanita itu merapikan rambutnya, mengujar dengan suara yang sengau, "Sekarang ini pukul berapa? Oh, lamanya saya tertidur."

Zhuge Yue hanya terdiam sambil menghulurkan sebotol air kepadanya.

Chu Qiao mencapai botol tersebut lalu meneguknya. Setelah tersedar yang Zhuge Yue masih lagi memandangnya, dia tersedak. "Uhuk, uhuk…"

"Cemerkap betul awak ini." Zhuge Yue memutarkan bebola matanya lalu menepuk belakang gadis itu dengan lembut.

Setelah sekian lama melepaskan batuk-batuk kecil, Chu Qiao kembali bertenaga, lantas menjeling ke arah Zhuge Yue sebelum merampas botol minuman di tangan pemuda itu dan menelan dua tegukan air yang besar dan berkata lantang, "Saya lapar."

Zhuge Yue baru sahaja keluar sebentar tadi untuk mengambil makanan namun setelah melihat gadis ini yang sengaja bersikap menjengkelkan, pemuda itu sudah tawar hati untuk menghulur makanan kepadanya, lantas dia pun mendengus, "Awak fikir saya ini hamba awak ke?"

"Hamba?" Chu Qiao memandangnya dengan ekor matanya. "Awak? Apa sajalah yang awak mampu lakukan? Entah-entah tak bernilai setahil emas pun."

Zhuge Yue mendengus. "Habis itu, awak itu bernilai sangat ke?"

"Sekurang-kurangnya lebih bernilai daripada awak." 

Related Books

Popular novel hashtag