Chu Qiao dan Zhuge Yue terus hangat bertikam lidah lagi seperti biasa sehinggalah mereka terdengar bunyi tapak kaki yang datang dari luar dan lantas kedua remaja yang terperanjat itu segera berdiri dengan pisau belati yang tersemat di tangan mereka.
Sebelum sempat mereka keluar untuk meninjau keadaan sekeliling, tiba-tiba mereka terdengar sebuah bunyi rempuhan yang kuat apabila dua bayang-bayang kecil telah menghentam khemah mereka sehingga tirai pintu masuk itu hampir terkoyak sepenuhnya!
Chu Qiao dan Zhuge Yue berasa terpana itu terus memandang ke arah sesama sendiri silih berganti yang diikuti dengan sebuah solan yang diajukan oleh Chu Qiao kepada anak kecil perempuan itu, "Budak kecil, kamu buat apa itu?"
Xingxing sedang mengendong seorang kanak-kanak yang lebih kecil daripadanya dengan wajah yang kelam dan juga mata yang sudah memerah, dan air matanya mula berjujuran jatuh ke pipi setelah anak kecil itu mendengar suara Chu Qiao.
Zhuge Yue yang kelihatan jengkel itu terus menjeling ke arah kanak-kanak yang kelihatan seperti mukanya baru sahaja digesel-gesel pada arang itu sebelum menempik, "Siapa bagi kamu masuk? Keluar sekarang!"
"Uwuuuu…" Budak yang lebih kecil dalam lingkungan lebih kurang empat atau lima tahun itu pun mendongak, matanya bulat dan besar namun mukanya habis comot dengan arang. Budak itu memuncungkan bibirnya sambil memandang Zhuge Yue tanpa sedikit pun rasa bersalah lantas menghampiri Zhuge Yue dengan tangan montelnya itu sambil merengek.
Zhuge Yue sudah terbiasa dengan peperangan dan juga pertempuran sehingga dia langsung tidak pernah berasa gentar. Namun pada saat ini, pemuda itu tiba-tiba berasa panik sambil menuding jarinya ke arah kanak-kanak itu dan menjerit, "Kamu…kamu! Jangan datang dekat. Saya suruh kamu keluar, kan!"
"Uwaah!!" Kanak-kanak itu terus memeluk Zhuge Yue dan merengek dengan lebih kuat. Aiir mata dan hingusnya terus membasahi pakaian Zhuge Yue. "Ayah!" Teriak kanak-kanak itu.
Pada saat itu, muka Zhuge Yue terus berubah merah. Raut wajahnya itu boleh ditafsirkan sebagai dia sedang "menggelabah teruk", memandang Chu Qiao dengan mulutnya yang ternganga sebelum segera berkata, "Siapa ayah kamu? Lepaskan sayalah! Kalau tak, saya kerjakan kamu nanti!"
"Ayah!" Kanak-kanak tersebut hanya sekadar menggenggam erat paha Zhuge Yue dengan sepenuh tenaganya sambil merengek kuat, "Ayah! Ayah!"
Kanak-kanak itu pasti akan tercedera parah jika Zhuge Yue memutuskan untuk menendangnya dengan kuat, jadi Zhuge Yue yang risau untuk mengapa-apakan budak kecil itu terus mengusir idea itu sejauh yang mungkin, namun pemuda itu berasa sungguh tidak berupaya apabila budak kecil itu terus memeluk pehanya dengan erat sekali. Akhirnya, Zhuge Yue menoleh ke arah Chu Qiao supaya gadis itu dapat membantunya. "Saya betul-betul bukan ayah budak ini."
Dia sendiri tidak faham mengapa dia perlu menjelaskan hal itu kepada Chu Qiao, tetapi setelah melihat gadis itu yang sedang mencuba dengan sedaya upayanya untuk menyembunyikan perasaan geli hati di sebalik wajah terkejutnya itu, hati pemuda itu mula berasa panas.
Walaupun Chu Qiao berasa geli hati, tetapi dia tetap berasa aneh jauh di dalam sudut hatinya lantas menoleh ke arah Xingxing kerana mengetahui dia pasti tidak akan mendapatkan jawapan yang diingininya daripada budak kecil yang sedang merengek dan melekat pada kaki Zhuge Yue itu. Dia pun berkata kepada Xingxing, "Xingxing, siapa dia itu? Apa yang berlaku?"
Sebelum sempat Xingxing membalas, budak lelaki itu terus memalingkan wajahnya seolah-olah dia baru tersedar akan kehadiran Chu Qiao di dalam khemah itu,lantas menghulurkan tangannya kepada Chu Qiao sambil merintih, "Ibu!"
"Kamu anak keluarga Ouyang kan?" Soal Zhuge Yue setelah mendapati pakaian mewah yang dipakai oleh budak lelaki itu. Mereka berempat duduk di dalam sebuah bulatan di dalam khemah yang kecil itu sambil memikirkan hal terbabit.
Kanak-kanak itu kelihatan seperti seekor arnab yang berada dalam ketakutan, menundukkan kepalanya pada setiap masa dan hanya mencuri-curi pandang ke arah Zhuge Yue sebelum tangannya mencapai lengan baju lelaki itu sambil teresak-esak, "Ayah…"
"Saya bukan ayah kamulah!"
Zhuge Yue menepis tangan budak itu yang menyebabkan wajahnya berubah masam dan sekaligus kelihatan seperti dia bakal menangis sekali lagi namun, budak itu berjaya mengawal dirinya.
Chu Qiao berkerut lalu menoleh ke arah kanak-kanak yang lagi satu dan bertanya, "Xingxing, kamu yang bawa dia ke sini ke?"
Walaupun dia masih muda, Xingxing seorang yang cerdik. Setelah mendengar soalan Chu Qiao itu, dia hanya menundukkan kepalanya dan mendiamkan diri sahaja.
"Kalau kamu tak beritahu, saya akan halau kamu berdua keluar."
Xingxing segera mengangkat tangannya dan mengerdipkan matanya yang besar itu sebelum membalas, "Kalau saya beritahu hal sebenar, boleh tak kakak halau saya seorang saja?"
Setelah mendengar kata-kata Xingxing itu, Chu Qiao terus berasa terkejut namun kembali tenang sejurus selepas itu. "Xingxing, kamu tahu tak yang dia akan membawa masalah kepada kita nanti?"
"Saya…tahu." Kanak-kanak itu memuncungkan mulutnya. "Saya tak boleh bawa dia balik ke khemah saya. Ayah akan beritahu Encik Lim…"
"Jadi, kamu bawa dia ke sini?"
Kanak-kanak itu mengeluh panjang lalu mengangguk.
"Kamu kenal satu sama lain ke?"
"Kami kawan baik!" Xingxing mendongakkan kepalanya dengan wajah yang lebih serius dari kebiasaannya, kemudian menepuk-nepuk dadanya seperti dia bakal menyampaikan sebuah ucapan yang penting, "Kami bermain bersama sepanjang perjalanan ini!
"Ayah…" Budak lelaki tadi cuba menarik lengan baju Zhuge Yue sekali lagi, memuncungkan mulutnya sambil teresak-esak, "Mo'er lapar."
Setelah dijeling oleh Zhuge Yue, budak lelaki itu segera mengalihkan pandangannya ke arah Xingxing pula. Sebuah perasaan yang lemah disebabkan lapar dan dibuli jelas kelihatan berlayar di dalam renungan matanya itu tanpa langsung memahami erti perkataan "kawan" tersebut.
"Tunggu sekejap saja lagi!" Xingxing menepuk lembut bahu kanak-kanak itu untuk memujuknya.
Zhuge Yue dan Chu Qiao terus berasan terpana dengan tindakan gadis kecil itu yang telah membahayakan dirinya sendiri hanya untuk menyelamatkan seorang kenalan yang baru sahaja ditemuinya sewaktu dalam pengembaraan ini. Perkataan "kawan" kedengaran mudah dan yakin dari mulutnya dan hal itu yang membuatkan Zhuge Yue dan Chu Qiao berasa hormat akan kanak-kanak itu.
Persahabatan seperti itu mungkin sudah pupus dalam dunia orang dewasa.
Raut wajah Chu Qiao mula berubah lembut apabila dia terus mengajukan soalannya, "Bagaimana kamu jumpa dia? Di mana kamu menyorok selama ini?"
Setelah melihat wajah Chu Qiao yang tenang, perasaan takut yang menyelubunyi diri Xingxing sudah tidak lagi menghalangnya untuk bersuar, lantas memberitahu mereka dengan penuh bangga, "Semalam ada ramai askar jadi saya takut dan bersembunyi dekat rumput di belakang. Lepas itu saya lihat seorang pak cik yang macam pernah saya nampak. Pak cik itu keluarga Mo'er. Ada satu lambang burung besar di belakang badan dia tapi badan dia dah penuh dengan darah. Dia peluk Mo'er dengan kuat tapi sebenarnya dia dah mati. Mo'er takut sangat sampai dia tak berani nak menangis dan muka dia pucat lesi jadi saya tarik dia keluar dari pelukan pak cik itu dan saya bawa dia balik ke rumah saya lepas semua askar beredar."
"Bawa balik rumah?"
"Ya. Tapi Ibu tak nak bagi kami masuk rumah. Ayah pula terus jadi panik selepas nampak Mo'er dan nak laporkan hal itu. Saya tahu kalau askar-askar itu dapat tahu, Mo'er pasti akan dibunuh macam pak cik itu jadi saya bawa dia pergi dan larikan diri. Satu hari suntuk saya bersembunyi dekat rumput itu."
Mo'er terduduk di atas lantai dan kelihatan langsung tidak bertenaga, seperti langsung tidak menyedari mereka bertiga sedang bersembang mengenainya tentangnya. Budak kecil itu sudah semestinya berasa lapar dan dahaga setelah bersembunyi dengan agak lama dan juga dikejar oleh orang yang ingin membunuhnya. Sudahlah "ayah" barunya ini garang semacam jadi memang dia langsung tidak berminat dalam perbualan, ditambah pula dengan perasaan mengantuk.
"Dah tu kenapa kamu bawa dia ke sini pula?"
"S-Saya…" Xingxing cuba mengumpul seluruh keberaniannya sebelum berbisik kepada Chu Qiao, "Kakak nampak macam peramah saja dan… pak cik ini garang dan kuat betul."
"Pak cik?" Mata Zhuge Yue terbeliak lantas dia pun meluku kepala Xingxing perlahan. "Hei budak, jangan cakap main ikut sedap mulut saja. Suka hati saja nak panggil saya pak cik!"
Keluarga Wang, Jia dan Ouyang telah dibunuh semalam dan satu-satunya mangsa yang terselamat dari pembunuhan secara besar-besaran itu mungkin budak lelaki ini seorang sahaja. Keluarga Ouyang pasti telah mengorbankan segalanya untuk melarikan budak kecil ini dari pengepungan tetapi mereka telah diserang dan dibunuh sewaktu dalam perjalanan dan ia memang sebuah kebetulan sahaja yang Xingxing telah menjumpai budak lelaki ini dan menyembunyikannya. Keluarga Liu pasti telah menjangka kanak-kanak ini telah diselamatkan oleh seseorang jadi mereka mula mencari di luar kawasan padahal mereka langsung tidak terfikir kanak-kanak ini masih berada di dalam kem mereka. Mungkin ibu bapa Xingxing yang sedar anak perempuan mereka telah menyelamatkan budak kecil ini jadi mereka tidak berani untuk melaporkannya.
Chu Qiao mengeluh lalu memandang ke arah Xingxing dan berkata, "Xingxing, kamu tahu tak apa yang kamu buat ini sangat berbahaya?"
"Ya, saya tahu," Wajah kanak-kanak itu berubah sugul. Dia tidak faham mengapa kawannya yang kaya itu tiba-tiba terjatuh seperti itu dalam masa semalaman sahaja. Dia menggaru kepalanya sambil berkata, "Tapi apa yang patut saya buat lagi?"
Benarlah kata anak kecil itu. Apa lagi yang dia patut lakukan? Khianati kawannya itu?
"Jadi sebab itulah kamu bawa dia ke sini dan ajar dia untuk panggil kami 'Ayah' dan 'Ibu', supaya dia dapat raih simpati kami, kan?"
Kanak-kanak itu menundukkan kepalanya kerana menyedari perbuatannya itu tidak jujur, namun Chu Qiao terus menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum menarik Xingxing ke dalam dakapan yang erat. "Anak yang baik."
Pada waktu yang sama, bunyi berdebap kedengaran apabila budak kecil itu terus melonjak ke dada Zhuge Yue dan lantas melelapkan matanya dengan menggunakan kaki Zhuge Yue sebagai sebuah kusyen. Budak kecil ituberdengkur di dalam tidurnya sehingga air liurnya meleleh keluar.
"Hei bangun! Siapa bagi kamu tidur sini? Bangun! Bangun!"
Kanak-kanak yang tidak tahu menahu itu pun terus membuka matanya dan memandang wajah Zhuge Yue yang sudah mula naik berang sambil menggosok matanya lalu membisik perlahan, "Saya lapar…"
Kemudian, bunyi tapak kaki tiba-tiba kedengaran dari luar khemah dan lantas dua orang kanak-kanak itu terus melonjak terkejut seperti dua ekor arnab yang dalam ketakutan. Xingxing terus mencapai tangan Mo'er seperti seekor ibu ayam yang sedang melindungi anak-anak tetapi setelah mendapati tiada tempat lagi buat mereka untuk bersembunyi, Xingxing dengan pantas bergerak untuk menyorok di belakang Chu Qiao.
Chu Qiao dapat merasai kedua-dua orang anak kecil itu sedang berada dalam ketakutan dari cara mereka menarik baju wanita itu. Bunyi tapak kaki terus menghampiri mereka dan terus bergerak melepasi khemah mereka. Nampaknya, bukan kanak-kanak itu yang mereka cari.
"Kakak, saya pulang dulu ya," Ujar Xingxing dengan wajah yang masih lagi pucat. "Saya takut ibu dan ayah dah sebarkan khabar ini jadi saya nak balik untuk pastikan."
Chu Qiao memandang Xingxing dan waris muda keluarga Ouyang tersebut dengan silih berganti dan lantas membuat suatu keputusan. Apabila dia memandang Mo'er sekali lagi, wanita itu berkata, "Kalau kamu nak makan, pergi ganggu dia."
Budak kecil itu terperanjat sambil memandang Zhuge Yue. Dia berasa takut dengan raut wajah Zhuge Yue yang sungguh masam jadi budak itu pun berjalan ke hadapan dengan wajah yang tertunduk sebelum berlutut di lantai dan terus bersujud hormat kepada Zhuge Yue. Bunyi dahinya yang bersentuhan dengan lantai itu bergema kuat di dalam khemah tersebut, dan kata-katanya kini lebih jelas kedengaran, "Saya merayu, saya betul-betul merayu."
Kanak-kanak berusia empat tahun sepertinya itu pun mungkin sudah menyedari situasi yang sedang dihadapinya sekarang. Dengan kemusnahan keluarganya, walaupun di usia yang muda, dia juga sudah pasti dapat memahami masa hadapannya tidak begitu cerah lagi.