Chapter 119 - Bab 119

Zhuge Yue hanya berkerut dan langsung tidak mengendahkan budak kecil itu pada mulanya namun, raut wajah pemuda itu berubah tenang dalam sekelip mata dan terus mengangkat kanak-kanak itu sambil menatapnya dengan perasaan marah.

Kanak-kanak itu terperanjat lalu memuncungkan bibirnya. "Ayah…"

"Jangan panggil saya ayahlah!" Tempik Zhuge Yue lagi yang membuatkan kanak-kanak itu kelihatan seperti dia bakal menangis semula lalu Zhuge Yue pun hanya mengeluh dan berkata, "Jangan panggil saya ayah dan kamu…kamu boleh tinggal sini."

Xingxing memang seorang yang bijak. Sebaik sahaja mendengar kata-kata Zhuge Yue itu, budak perempuan itu terus berlari keluar sambil berkata, "Mo'er, panggil dia pak cik dan selepas itu awak boleh tinggal sini!"

"P-Pak cik…" Kanak-kanak itu mungkin tidak memahami maksud perkataan itu akan tetapi terus mengikuti sahaja arahan Xingxing itu. Setelah melihat raut wajah Zhuge Yue yang mula kelihatan tenang, Mo'er terus melangkah ke arah pemuda itu dan berpaut pada lehernya sambil menjerit, "Pak cik, orang-orang itu…dah bunuh…ibu dan ayah…bakar…bunuh…Mo'er…darah…menangis…orang mati…"

Setelah memanggil Zhuge Yue dengan gelaran pak cik, anak kecil itu terus menganggapnya sebagai salah seorang ahli keluarganya dan dia terus mengadu kepada pemuda itu sambil menangis dengan sekuat hati namun tiada sekelumit pun perasaan ingin membalas dendam yang berbaur dalam nada suara anak kecil itu, mungkin kerana dia belum mempelajari tentang idea tersebut. Apa yang dirasai oleh kanak-kanak ini hanyalah ketakutan, kesedihan, kecemuhan dan kekejian. Namun, perasaan-perasaan ringkas ini mungkin akan bertukar menjadi suatu keiinginan yang tidak pernah memuas terhadap dendam pada masa hadapan kelak. Sama seperti Yan Xun yang sekarang.

Musuh yang dia ingat cumalah beberapa orang dewasa sahaja tanpa mengetahui u identiti, latar belakang, status, mahupun nama penuh mereka. Dia cuma menyedari akan hakikat ibu bapanya telah dibunuh oleh beberapa orang dewasa dan mereka masih lagi sedang mencarinya untuk dibunuh sehingga anak kecil itu langsung tidak mempunyai selera untuk makan, tidur atau pulang ke rumah.

Kali ini Zhuge Yue tidak menolak mahupun menepis anak kecil itu ke tepi. Badan kanak-kanak itu menggeletar ketakutan sewaktu dia berpaut pada Zhuge Yue yang dianggap sebagai keluarganya itu.

Mata Xingxing mula bergelinangan dengan air mata, lantas berkata, "Kakak, saya pulang dulu. Esok saya datang lagi."

Ketika kanak-kanak itu berpaling untuk beredar, Chu Qiao tiba-tiba menarik lengannya semula, kemudian wanita itu menoleh untuk mengambil sebilah pisau belati kecil dan lantas menghulurkannya kepada budak perempuan tersebut sambil berkata, "Xingxing, kamu berhati-hati ya. Kalau ada apa-apa masalah, datang jumpa kakak."

Senyuman mula terukir di bibir kanak-kanak itu, lantas dia pun melambaikan tangannya ke arah Mo'er dan memandang Zhuge Yue sekilas sebelum beredar.

Angin di luar terasa sungguh dingin, Chu Qiao yang berdiri di tirai pintu khemah memerhatikan anak kecil perempuan itu yang sedang berjalan menjauhi Chu Qiao sehingga kelibat anak kecil itu tidak kelihatan lagi. Dalam kegelapan itu, wanita tersebut sudah tidak dapat melihat wajah Xingxing mahupun mendengar kata-katanya lagi dek angin yang terlalu kencang pada waktu itu. Anak kecil perempuan itu telah mengingatkan dirinya sewaktu dia kecil dahulu sekaligus mencetuskan sebuah perasaan yang berbaur di dalam dirinya. Angin yang bertiup membuatkan dirinya berasa dingin.

"Macam pernah lihat ke?" Sebuah suara yang mendatar tiba-tiba kedengaran dari belakangnya. Chu Qiao menoleh dan mendapati budak lelaki itu masih lagi menangis di dalam pangkuan Zhuge Yue yang kemudiannya memandang Chu Qiao dan pada saat itu, masa seakan-akan sedang melayari kembali detik-detik permulaan mereka berdua bersama ketika mereka masih dalam lingkungan usia seperti kedua-dua orang anak kecil yang telah menyinggah ke khemah mereka namun Chu Qiao dan Zhuge Yue telah menempuh lebih banyak cabaran yang menderitakan.

Chu Qiao tertawa. "Kuat dan dengar cakap betul budak kecil ini.."

Angin yang berdesir menyebabkan butiran-butiran pasir tanah untuk berterbangan di udara. Malam itu terasa sangat sunyi kerana tiada seekor burung pun yang dilihat berterbangan di langit dan hanya awan gelap sahaja yang terbentang luas di atas sana.

"Pak cik, saya lapar," Ujar budak lelaki itu dengan air matanya yang masih lagi terus mengalir ke pipi. Tanpa rasa ragu-ragu, kanak-kanak itu memecah kesunyian khemah itu dengan menggigit jarinya sambil berkeras. "Mo'er laparlah."

'Baiklah, nampaknya aku harus biarkan perkara yang dah lepas.' Zhuge Yue memandang budak lelaki yang berketinggian hanya ke paras kakinya sahaja itu dan dia pun berkerut lalu berkata, "Kamu nak makan apa?"

"Umm…" Kanak-kanak itu mengerutkan dahinya ketat dan berfikir sejenak. "Ada sup abalone tak?"

Zhuge Yue berkerut lalu berkata, "Tak ada!"

'Itu pun tak ada?' Kanak-kanak itu bertanya lagi, "Ada burung merpati panggang tak?"

Raut wajah Zhuge Yue berubah kelam, lantas pemuda itu membalas dengan nada yang rendah, "Tak ada."

"Bagaimana kalau sirip ikan yu kukus?"

"Tak…"

"Itu pun tak ada?" Budak lelak itu berkerut tanda tidak berpuas hati sambil memandang keluarga baharunya itu dan mengesan keadaan ekonomi mereka. "Kalau begitu…setidak-tidaknya mesti pak cik ada anak khinzir kan? Pak cik, Mo'er tak makan makanan vegetarian…"

Raut wajah Zhuge Yue semakin lama semakin bertukar menjadi lebih suram dan kelihatan bagaikan pemuda itu bakal meletup pada bila-bila masa. Anak kecil itu yang menyedari hal ini terus mengeluh dan berkata, "Jadi… Kalau begitu… Daging tumis pun jadilah. Saya… Saya nak daging rusa sebab saya tak suka daging khinzir atau lembu."

Zhuge Yue mengangkat kanak-kanak itu dengan perasaan marah. "Budak ini kan! Kamu nak mempermainkan saya ke?"

"Wuuuu…" Anak kecil itu terus merengek semula. "Baiklah, daging khinzir pun bolehlah. Pak cik ini miskinlah!"

Anak kecil ini mungkin merupakan orang pertama di dalam dunia yang mengatakan Zhuge Yue ialah seorang yang miskin di hadapan tuan punya badan sendiri.

Chu Qiao mula bersemangat setelah melihat kedua-dua orang ini, lantas dia melepaskan tirai pintu khemah dan serta-merta membongkok untuk melangkah masuk ke dalam khemah, sekaligus mengambil mangkuk yang berisi bubur itu lalu berkata kepada anak kecil tersebut, "Seharian kamu tak makan kan? Makanlah bubur dulu."

Kanak-kanak itu mengambil mangkuk itu dengan teragak-agak sebelum menjelirkan lidahnya untuk merasa makanan itu seolah-olah wanita itu meracuni anak kecil itu namun, anak kecil itu terus berasa terpegun setelah merasai bubur tersebut dan menjamahnya tanpa henti.

"Kakak, bubur ini sedaplah!" Jawabnya keriangan.

Chu Qiao hanya mengeluh kerana menyedari bubur itu telah disediakan oleh Zhuge Yue jadi ia memang bukanlah sesedap mana pun namun anak kecil ini sahaja yang kebuluran.

"Hei budak! Jangan panggil dia 'Kakak'," Zhuge Yue berkata dengan nada rendah dan wajah yang kelat.

"Hm?" Budak lelaki itu memandang Zhuge Yue namun terus mengabaikan kata-katanya itu, terus menjamah bubur di dalam genggamannya. "Kakak, ini sedaplah."

"Saya cakap jangan panggil dia Kakak."

Anak kecil itu berkerut dan mendapati pemuda yang sedang mengganggunya pada masa ini sebagai seorang yang suka menyibuk, lantas dia berkata, "Habis itu, saya nak panggil dia apa? Ibu?"

"Ibu?" Hati Zhuge Yue mula memanas kembali dan pemuda itu terus bertikam lidah dengan anak kecil berusia empat tahun itu. "Jangan panggil dia macam itu!"

"Jadi nak panggil apa?"

"Panggil…panggil dia Xing'er…"

"Xingxing?"

"Xing'er…"

"Tak naklah." Kanak-kanak itu menggeleng kepalanya lalu membalas dengan degil, "Mo'er tak boleh ingat. Nanti keliru."

"Tak guna betul budak ini!"

Anak kecil itu merupakan seorang kanak-kanak yang sangat bijak, jadi kedua-dua remaja yang berada di dalam khemah itu merasakan mereka sedang dipermainkan olehnya…

Apabila mereka berada di luar dan ditimpa masalah, mereka harus mencari akal secepat mungkin. Misalnya, pada waktu malam apabila mereka membentangkan sehelai permaidani di atas lantai untuk tidur, Chu Qiao akan berbaring di satu sisi manakala Zhuge Yue pula akan berbaring di sisi lagi satu dan Mo'er pula berhimpit di antara mereka berdua. Setelah dia berbaring, dia tersenyum puas dan berkata, "Ayah selalu cakap dia ada suatu perkara untuk dilakukan bersama Ibu pada waktu malam jadi mereka dah lama tak ajak Mo'er untuk tidur bersama dengan mereka. Baguslah Pak Cik dan Kakak tak sibuk."

"Uhuk, uhuk, uhuk, uhuk!" Zhuge Yue terus tersedak dan terbatuk dengan kuat.

Wajah Chu Qiao pula sudah memerah menahan malu lantas dia pun meluku kepala anak kecil itu dan berkata, "Kamu ini memang mulut murai. Pergi tidurlah."

Kanak-kanak itu mengetahui Chu Qiao bukanlah memarahinya dengan benar jadi dia pun mendongak dan memberikan sebuah senyuman tersipu-sipu, kemudian mengerekot dalam selimut lalu memejamkan matanya kegembiraan.

Angin yang sungguh kencang telah menyebabkan atap khemah mengepak-ngepak dan tba-tiba, angin tersebut bertiup masuk ke dalam khemah. Chu Qiao yang tidak dapat tidur dengan kehadiran anak kecil yang dikehendaki ini terus membuat keputusan dia perlu meneliti rancangannya semula.

Setelah menyedari yang kanak-kanak itu telah menendang selimut ke tepi dalam tidurnya, Chu Qiao mencapai selimut itu kembali untuk menyelimutinya semula. Namun, apabila dia cuba untuk mencapainya, tangannya tiba-tiba tersentuh satu tangan panjang yang lain pula. Gadis yang terperanjat itu cepat-cepat menarik jarinya yang sudah mula menyejuk itu namun wajahnya sudah memerah.

Zhuge Yue pula terkaku di tempatnya dengan reaksi yang sama, lantas udara tegang mula memenuhi khemah buat seketika. Tiada siapa di antara mereka yang mengujar apa-apa kata, hanya bunyi pernafasan dan suara anak kecil itu yang menggumam dalam tidurnya sahaja yang kedengaran sekali-sekala.

"Tak tidur lagi?" Nada suara Zhuge Yue agak rendah kedengaran seperti dia belum tidur dari tadi.

"Mmm." Chu Qiao mengangguk dan membalas, "Saya rasa risaulah." Angin mula bertiup dengan lebih kencang, lantas menghasilkan sebuah bunyi desiran yang kuat. Chu Qiao risau akan ribut taufan yang akan melanda mereka kelak.

"Tidurlah." Ujar Zhuge Yue perlahan-lahan lalu menoleh. Chu Qiao menyangka pemuda itu sudah terlena tetapi setelah beberapa ketika, suaranya berkumandang lagi dan kedengaran lembut namun tegas pada masa yang sama, seolah-olah dapat memberikan wanita itu sebuah perasaan seperti dia sedang dilindungi. "Saya ada di sini." Walaupun angin bertiup dengan sebegitu kuat, tetapi udara yang merebak dalam khemah terasa hangat pada saat tersebut. Selagi khemah ini masih teguh berdiri, tiada angin yang mampu menghembus ke dalam.

Pada malam yang sama, seekor kuda menderap ke dalam kem untuk melaporkan berita tentang kegiatan Tuan Feng di Xian Yang. Pada waktu itu, Yan Xun sedang tidur tetapi tidurnya tidak aman. Sebelum kuda itu tiba di kem, dia telah terjaga disebabkan mimpi ngeri, peluh dingin mengalir dari dahinya kerana dia telah bermimpi tentang seorang anak kecil dari keluarga Ouyang. Sewaktu pengembaraan ini, anak kecil itu cuba untuk mendekatinya berkali-kali dengan senyuman yang terukir pada wajahnya namun dalam mimpinya ini, dia ternampak anak kecil itu yang sedang memandangnya sambil memegang sebilah pisau yang dilumuri dengan darah. Kemudian, anak kecil itu mengangkat pisau itu namun tidak menikamnya dan sebaliknya, anak kecil itu menikam jantung Chu Qiao. Mukanya habis dipercik darah lantas mempamerkan anak kecil itu seperti seorang yang kejam, dengan senyuman di wajahnya yang kelihatan seperti iblis dari neraka lalu dia menempik, "Aku akan musnahkan kau dan semua yang kau ada!"

"Ah Chu!" Pakaian Yan Xun habis dibasahi peluh, nafasnya pula tercungap-cungap. Mimpi ngeri itu terus bermain dalam fikirannya.

"Hapuskan…hapuskan…" Yan Xun seperti dirasuk menggumam sendirian. Tiba-tiba dia mendongak dan menjerit, "Askar!"

"Tuan!"

"Cari budak dari keluarga Ouyang itu tak kira apa pun yang berlaku. Saya nak tengok mayat dia sebelum subuh nanti!"

Orang gaji itu terkaku namun segera menurut perintah tuannya itu. "Ya, tuan!"

"Tuan!" Pada masa yang sama, seorang lagi orang gaji memasuki khemah tersebut lalu berlutut di lantai. "Utusan Tuan Feng dah tiba."

"Feng Mian?" Yan Xun mengangkat keningnya dan berkata dengan nada rendah. "Dah tiba masanya." Dia melompat turun dari katil lantas memakai mantelnya, raut wajahnya berubah kembali kepada Raja Yan Bei yang tenang lalu dia berkata, "Jom kita dengar khabar baik dari Xian Yang."

Hujan mula membasahi bumi sebelum subuh menjelang dengan awan mendung yang memenuhi langit. Angin yang bertiup di kawasan itu membawa titisan hujan bersama dengan bunyi dentuman guruh, pokok-pokok di hutan di kedua-dua sisi lembah bergoyang dengan kuat dan lantas menghasilkan bunyi desiran manakala tanah pula mula berlumpur.

Chu Qiao berkerut sambil membuka matanya dan menekup mulutnya dengan sebelah lagi tangannya, mendongak dan ternampak Zhuge Yue yang sedang separa melutut di atas tanah sambil memegang sebilah pedang yang panjang di tangannya dan mencuri dengar sebuah perbualan.