Chapter 120 - Bab 120

Bunyi derapan tapak kaki kuda berkumandang dan kedengaran menghampiri khemah kecil tersebut di dalam ribut petir yang kencang.

"Ada orang datang," Ujar Zhuge Yue sebelum menoleh dan bersiap-sedia untuk melarikan diri dengan membawa beberapa ketulan emas dan makanan. Setelah itu, dia berpaling dan bertanya kepada Chu Qiao, "Awak macam mana? Boleh jalan tak?"

Chu Qiao mengangguk, "Ya, boleh."

Zhuge Yue menoreh selimut dengan pisau belatinya. Selepas itu, dia mengendong dan mengikat anak kecil yang masih lagi lena itu di belakangnya.

Kanak-kanak yang masih lagi mamai dalam tidurnya bertanya sambil menggosok matanya, "Pak cik, kita nak ke mana?"

"Budak, orang yang sedang cari kamu itu dah sampai sini," Zhuge Yue dengan tenangnya terus memberitahu kanak-kanak itu.

Bersama bunyi dentuman guruh dan desiran angin yang memenuhi suasana, kanak-kanak itu menggigil di belakang tubuh Zhuge Yue tetapi dia cuba sedaya upaya untuk mengurangkan kegigilannya itu.

"Kamu takut ke, budak?"

Budak lelaki yang sedang mengetap giginya bersama wajah yang pucat lesi itu kemudiannya berkata, "Saya tak takutlah!"

Zhuge Yue tertawa sinis. Namun, dalam ketawanya itu, mereka boleh merasakan keyakinan dan maruah pemuda itu dan lantas dia pun membalas kata-kata anak kecil itu, "Budak baik. Dengar sini, orang-orang di luar itu tak cukup bagus untuk buat kita takut, ingat tu."

Kegelapan yang menyelubungi malam itu hanya diterangi dengan obor yang dibawa. Walaupun dalam keadaan berangin dan hujan, api yang dihasilkan masih lagi terang. Tiba-tiba, seseorang menjerit, "Serah budak itu atau kami akan bunuh kamu."

Dalam kegelapan itu, lelaki tersebut berpaling dengan matanya yang memancarkan kesungguhan yang penuh menghiasi wajah tampannya. Dengan pandangan yang tenang dia bertanya, "Kamu boleh lakukannya ke?"

Sedar tidak sedar, masa sudah berlalu dalam sekelip mata sahaja. Chu Qiao tiba-tiba mengenangkan suatu saat di dalam riwayat hidupnya kembali setelah beberapa tahun peristiwa itu berlaku di mana lelaki yang kini berada di hadapannya itu sedang terduduk di atas kudanya sambil melontarkan soalan yang sama kepada gadis itu, "Kamu boleh lakukannya ke?"

Perjalanan kehidupan kedua-dua remaja ini berubah menjadi sangat berliku dan dipenuhi dengan darah serta kematian semenjak dari saat itu. Mereka pernah berada di pihak yang berlawanan, berselisihan pedang juga telah menjadi perkara biasa malah mereka juga pernah hampir berbunuhan antara satu sama lain. Namun, darah merah pekat yang mengalir keluar tidak dapat mengaburi fikiran mereka dan akhirnya mereka memilih untuk tidak menghayunkan ayunan pedang terakhir yang boleh meragut nyawa masing-masing. Dalam kekeliruan itu, mereka tidak dapat membuat keputusan mereka sehingga sampai satu tahap di mana mereka telah mempersoalkan kepercayaan dan keyakinan mereka yang dipegang teguh. Namun akhirnya, mereka masih berjuang bersama pada malam yang bergelora ini.

Tanpa mempersoalkan masa silam masing-masing, niat masing-masing dan pandangan politik atau pihak masing-masing, Zhuge Yue dan Chu Qiao telah bergabung tenaga untuk menumpaskan musuh bersama-sama.

Sebab kepada pergabungan kuasa ini mudah sahaja, iaitu kerana mereka tidak boleh mati. Tidak kiralah Chu Qiao atau Zhuge Yue, mereka tahu mereka tidak boleh mati di tempat seperti ini.

Chu Qiao menghunuskan pedang pendeknya sambil tersenyum, "Kalau awak mati di sini, saya akan nyalakan bunga api untuk meraikannya dan tak perlulah saya bersusah-payah nak balas jasa baik awak itu."

Sebuah senyuman kemudian terukir di wajah Zhuge Yue dan reaksi wajahnya itu tidak terlepas dari pandangan Chu Qiao. Ini mungkin kali pertama Chu Qiao menyaksikan Zhuge Yue tersenyum seperti itu. Senyumannya kali ini kelihatan begitu mesra, tenang, ikhlas, tanpa sekelumit pun maksud tersirat ataupun sindiran.

"Saya risau yang awak takkan dapat peluang itu." Renungan Zhuge Yue terus berubah menjadi serius seolah-olah dia sedang berada dalam kegelapan dan cuba menahan sebuah perasaan yang begitu mendalam sehingga Chu Qiao sendiri terpaksa mengalih pandangannya buat seketika.

Tiba-tiba, Zhuge Yue mendepakan tangannya dan memeluk Chu Qiao dengan lembut sambil berbisik, "Ikut saya."

Sebuah perasaan yang kuat dan mendalam tiba-tiba menyelubungi diri Chu Qiao namun dia tetap membalas sambil mengangguk, "Hati-hati."

Entah dari mana, bunyi desiran tiba-tiba berkumandang, Zhuge Yue pun berkerut lalu segera melompat. Budak kecil yang merasakan pergerakan Zhuge Yue yang drastik itu terus menutup kepalanya supaya tidak terkena khemah tersebut.

Dengan bunyi hentaman yang kuat, angin kenang tadi terus menderu ke arah kedua-dua remaja ini di samping mengusutkan rambut Chu Qiao yang sudah kelihatan seperti seekor kupu-kupu yang bertebangan pada waktu malam.

Sewaktu kanak-kanak itu membuka matanya, dia telah mendapati tirai pintu khemah yang didiami mereka tadi sudah pun dibuka oleh orang ramai yang berada di luar. Mereka yang berdiri di sebuah padang kosong itu sedang berhadapan dengan lebih daripada tiga puluh orang tentera berkuda yang sudah mengepung mereka, setiap seorang daripada ahli tentera itu sedang memakai sepasang uniform berwarna coklat yang dijahit khas supaya ia tidak dapat mengganggu pergerakan mereka yang berbadan sasa dan tinggi itu, sememangnya kelihatan menggerunkan.

"Serahkan budak itu dan jangan melawan," Laung ketua pasukan pihak lawan yang sedang memegang sebatang lembing sambil merenung keji ke arah Chu Qiao, seolah-olah gadis itu sudah pun tewas. Namun, mata pemuda itu terus bertembung dengan mata pedang Chu Qiao sewaktu gadis itu menerpa ke arahnya untuk memulakan serangan. Ketua pasukan itu melangkah ke tepi untuk mengelak serangan Chu Qiao namun kuda yang ditunggangnya tidaklah setangkas tuannya jadi kuda tersebut mengangkat kedua telapuk kaki hadapannya akibat terperanjat. Pada saat itu, pisau belati Chu Qiao telah pun menusuk leher kuda tersebut lalu menyebabkan kuda itu meringkik bersama darah yang memancut keluar seperti air hujan.

Lantas dengan itu, lelaki terbabit terus terjatuh dari kudanya dan merebah ke tanah namun sebelum sempat dia bangun, kuda yang berada di ambang kematian itu terus menghempap perutnya.

Maka, satu lagi bunyi teriakan bergema pada malam yang bergelora itu. Sebelum orang suruhannya sempat menariknya ke tepi, kuda yang hampir mati itu sudah pun menghempapnya lalu menamatkan riwayatnya di situ juga!

Tulang-tulang yang patah di dalam badan pemuda itu berkeriang-keriut kedengaran begitu kuat sehingga ia mampu memecah bunyi desiran angin, Tuhan sahaja yang tahu bagaimana keadaan lelaki yang berada di bawah kuda tersebut namun mereka sudah kesuntukan masa untuk memikirkannya lagi apabila pemuda yang dikepung oleh mereka terus menerpa ke arah mereka bagaikan seekor harimau bintang! Bunyi getaran besi pedang berkumandang kuat di udara apabila pemuda itu melibas pedangnya dengan gah!

Kebetulan pada waktu yang sama, seledakan petir terus menyambar bumi lantas menghasilkan sebuah bunyi dentuman guruh yang kuat tatkala rumput-rumput di situ diwarnai dengan warna darah.

Bunyi desiran angin yang mengelilingi Zhuge Yue seolah-olah telah bercampur dengan bunyi desiran ayunan pedangnya sewaktu dia meluru ke hadapan untuk berhadapan dengan musuhnya, diiringi dengan aura pemuda itu yang sememangnya menggerunkan.

Chu Qiao berada dalam keadaan yang sungguh lemah sehingga wanita itu sukar untuk berjalan pun namun memandangkan ini merupakan suatu situasi hidup dan mati, maka gadis itu terpaksa berjuang juga. Pada mulanya, Chu Qiao telah menganggap kumpulan lelaki ini telah datang dari Xian Yang jadi bolehlah dia meminta bantuan daripada salah seorang pegawai Da Tong, namun angan-angannya itu sia-sia apabila Liu Xi telah memutuskan untuk meninggalkan Da Tong. Malah, pasti wanita ini akan terjatuh dalam kuburnya sendiri jika dia membongkarkan identitinya jadi satu-satunya idea yang bernas adalah untuk membebaskan diri mereka daripada pengepungan ini.

Zhuge Yue telah memaksa tiga orang musuh untuk berundur dengan sekali ayunan pedangnya sahaja namun pergerakan itu telah menyebabkan kedua-dua belah pihak untuk menanggung kecederaan. Para musuh telah melihat dua orang ahlinya sudah tercedera manakala seorang lagi sudah mati, dan dada Zhuge Yue pula telah tercedera apabila terkena serangan daripada salah seorang musuhnya yang lantas menyebabkan darah untuk mengalir keluar tanpa henti.

"Pak cik tercedera!" Teriak budak kecil itu.

Setelah mendengar kata-kata anak kecil itu, Chu Qiao terus berundur daripada musuhnya dan melompat ke arah Zhuge Yue dan Mo'er sambil menendang dada musuhnya apabila dia sedang mengorak langkahnya. Musuhnya itu terus kehilangan pertimbangan diri lalu jatuh rebah ke tanah dengan bunyi berdebap.

"Awak rasa macam mana?" Chu Qiao menampung berat badan pemuda itu sambil bertanya kepadanya dengan khuatir.

Para musuh dapat melihat Zhuge Yue merupakan suatu ancaman besar jadi mereka hanya menumpukan perhatian untuk menyerang lelaki itu sahaja. Memang jelas kelihatan pemuda itu telah tercedera di bahagian dada, lengan, serta betisnya.

Zhuge Yue lantas meludahkan air liur yang bercampur dengan darah itu sambil menggelengkan kepalanya penuh kepenatan bersama raut wajah yang serius. Bibirnya yang tersedia merah itu kini kelihatan lebih merah disebabkan darah, menjadikan pemuda itu kelihatan bagaikan seekor syaitan. Lantas, dia membasahkan bibirnya itu sambil membalas, "Saya okey."

Pada masa yang sama, bunyi pedang tiba-tiba kedengaran di belakang. Dengan sekilas sahaja, Zhuge Yue berpaling dan menepis pedang tersebut.

Petir sekali lagi menyambar bumi bersama bunyi dentuman guruh yang kuat. Chu Qiao membongkokkan tubuh kecilnya di bawah lengan Zhuge Yue dan dengan sekali libas, dia telah berjaya menusuk jantung penyerang mereka itu. Wanita itu juga telah memusingkan dan menyentak pisaunya dengan kasarke dalam badan penyangak itu juga untuk memastikan dia benar-benar telah mati!

Mereka yang lain hanya mampu melihat sahaja kedua-dua orang pasangan ini. Siapa yang tahu mereka ini sukar betul untuk ditumpaskan? Dalam beberapa detik itu sahaja, Chu Qiao dan Zhuge Yue telah berjaya membunuh lebih daripada sepuluh orang musuh namun pada waktu ini, bantuan sudah pun tiba.

Di luar kawasan kem, kelibat sekumpulan tentera dapat dilihat dari jauh yang pastinya telah datang ke sini untuk menyekat Chu Qiao dan Zhuge Yue daripada melarikan diri!

"Xing'er, kita tak boleh larikan diri lagi."

Chu Qiao tersenyum sambil mengangkat keningnya dengan ringan, kemudiannya membalas, "Jadi? Kita nak menyerah kalah saja ke?"

"Hahaha!" Zhuge Yue tiba-tiba ketawa terbahak-bahak. Para tentera yang sedang mengerumuni mereka untuk menunggu peluang keemasan supaya dapat menyerang pasangan ini terus berasa takut dan panik setelah mendengar ketawa Zhuge Yue itu!

"Apa pendapat awak?" Zhuge Yue yang masih bersisa ketawa akhirnya membalas pertanyaan Chu Qiao itu.

Setelah itu, pasangan tersebut terus menoleh ke arah khemah utama yang tersembunyi di sebalik kegelapan. Khemah utama tersebut merupakan khemah milik Keluarga Liu dan pastinya dalang di sebalik pembunuhan secara besar-besaran ini, iaitu Liu Xi, akan berada di sana!

Mereka berdua terus memutuskan untuk menghapuskan ketua misi tersebut sebagai harapan terakhir mereka untuk melepaskan diri!

Budak lelaki yang berada di belakang Zhuge Yue terus kembali berada dalam ketakutan setelah mengenangkan pembunuhan kedua orang tuanya yang berlaku di depan mata kepalanya sendiri itu. Ahli keluarga anak kecil itu yang sering tersenyum mesra kepadanya juga telah turut mati dibunuh dan Pak Cik Meng seorang sahaja yang telah berjaya melarikan diri dari pengepungan tersebut bersamanya namun darah yang mengalir dari beberapa kecederaan yang telah dialami oleh pak ciknya itu telah menamatkan riwayat penyelamatnya itu. Setelah itu, budak lelaki itu mengetap giginya dengan kuat bersama mata yang kini sudah memerah, terus menuding jarinya yang montel itu ke arah tentera yang berada di hadapan mereka sambil berkata dengan suara yang penuh dengan kebencian.

"Pak cik! Merekalah yang dah bunuh keluarga Mo'er! Mereka semua inilah!"

Zhuge Yue mencapai sepapan mercun yang rumit buatannya sendiri yang telah disembunyikan di dadanya dan lantas, dengan satu sentakan yang kuat, mercun tersebut terus meluru ke udara, membentuk sekuntum bunga berwarna emas.

Tentera yang mengelilingi mereka berasa terperanjat dan semangat mereka terus menjunam secara mendadak apabila mereka telah menganggap Zhuge Yue sedang memanggil bantuannya.

Zhuge Yue menoleh ke arah Chu Qiao dan mengujar dengan suara yang acuh tidak acuh, "Kalau kita mati hari ini pun, ada orang yang akan membalas dendam untuk kita."

Chu Qiao menggelengkan kepalanya dengan bersungguh-sungguh sambil tersenyum. "Kita takkan mati di sini hari ini."

Zhuge Yue berasa terperanjat sejenak sebelum meneruskan gelak ketawanya kembali. Lantas, dia pun berkata dengan lantang, "Betullah itu! Jom kita keluar dari pengepungan ini bersama!

"Xing'er, capai kuda itu!"

Mereka berdua terus menyerang dan dengan beberapa pergerakan yang tangkas, mereka telah berjaya mencakup dua ekor kuda dengan mudah sekali! Apabila kuda mereka menderap laju, pedang Zhuge Yue masih lagi tertusuk pada leher seorang musuh manakala seorang musuh lagi sedang mengambil kesempatan tersebut untuk menyerang budak kecil itu dari belakang! Zhuge Yue kemudiannya mendengus dengan dingin, "Tak guna!" Sambil menghayunkan sarung pedangnya yang terus terkena kepala penyerang tersebut!

Bunyi keriat-keriut tulang musuh yang patah membuatkan Zhuge Yue melaungkan laungan perang sebelum menendang seorang askar lain yang sedang menghampirinya. Dia kemudiannya menjerit, "Xing'er, ikut saya!" Kuda tersebut meluru pantas ke hadapan bagaikan seekor binatang buas apabila mendapat satu tendangan yang kuat di bahagian belakangnya oleh Zhuge Yue.

Pengepungan yang sudah dibina dengan bersusah payah oleh tentera itu terus berterabur seperti cebisan kertas apabila Zhuge Yue menghayunkan pedangnya semasa dia sedang meluru di atas kuda tersebut. Zhuge Yue telah meninggalkan jejak laluan kematian ke mana sahaja pemuda itu pergi!

"Lindungi khemah utama!"

Dengan laungan yang kuat, pasukan tentera tersebut berterabur menuju ke khemah utama.

"Lindungi tuan muda!"

"Mereka sedang menuju ke tuan muda! Cepat bunuh mereka! Serang kuda mereka!"

"Pemanah! Bersiap sedia cepat!"

Arahan yang dilontarkan dari pelbagai arah itu membuatkan suasana di kawasan pertempuran itu menjadi kucar-kacir yang membuatkan ia kelihatan seperti mereka sedang diserang oleh sebuah angkatan tentera yang besar dan bukannya oleh satu pasangan bersama seorang budak kecil.

Dalam keadaan hujan lebat bercampur darah itu, Chu Qiao mengekori Zhuge Yue yang sedang melindungi anak kecil lelaki di belakangnya itu sambil menghayunkan senjatanya dengan tangkas dan oleh disebakan Zhuge Yue yang telah mencuri perhatian semua ahli tentera, Chu Qiao langsung tidak mengalami sebarang kecedaraan walaupun sedikit. Pertempuran itu terus berlanjutan sepanjang malam.