Chapter 115 - Bab 115

"Saya dikenali sebagai Syaitan Darah di barat laut. Di daerah Yao, komander yang dikenali sebagai Qi… hantar orang untuk bina tugu saya di pintu bandar lalu mengarah semua orang yang memasuki bandar itu untuk meludah ke tugu saya sebelum dibenarkan masuk. Semasa saya masih lagi melarikan diri, saya bukan saja perlu bersembunyi dari tentera kerajaan, malah saya kena bersembunyi dari rakyat biasa juga. Saya pernah tercedera sekali semenjak melarikan diri dari Zhen Huang, dan telah diselamatkan oleh sepasang suami isteri berusia 80 tahun yang baik hati dan ceria. Mereka yang dah rawat luka saya dan dah sembelih satu-satunya ayam betina yang mereka ada supaya dapat buatkan sup untuk saya. Mereka langsung tak tanya mengenai latar belakang saya, mungkin mereka ingat yang saya ini dah dirompak jadi mereka sarankan supaya saya laporkannya kepada pihak berkuasa."

"Tapi pada hari kedua, air muka pak cik itu berubah semasa dia balik dari pekan selepas dapatkan ubat. Saya pun tak pasti apa yang dah terjadi tapi pada malam yang sama, mereka cuba menyelinap masuk ke dalam bilik saya dengan membawa pisau bersama dan cuba untuk tetak kepala saya. Saya sedar anak lelaki mereka yang dah dimasukkan ke dalam tentera Xia itu telah terkorban semasa menyerang Yan Bei di tanah tinggi Yan Bei." Chu Qiao tertawa bersama wajahnya yang dingin. "Saya bunuh mereka sebab mereka terlalu marah. Saya tak boleh larikan diri jadi saya bunuhlah mereka."

"Hipokritlah awak ini," Sebuah suara dingin berkumandang. Zhuge Yue terduduk di tempatnya sambil berkata dengan nada sinis, "Awak sepatutnya boleh bunuh kedua-dua orang tua itu dengan mudah saja dengan kebolehan awak itu. Lagipun, awak bukannya berasa takut pun kalau mereka laporkan hal itu kepada pegawai-pegawai. Awak sengaja cari alasan yang tak munasabah untuk buatkan diri awak itu rasa lebih baik."

"Saya bukannya cari alasanlah," Balas Chu Qiao dengan tenang. "Saya tercedera parah sebab sebatang anak panah dah tertusuk ke dalam peha saya sampai saya langsung tak boleh berjalan. Saya hanya ada dua pilihan saja waktu itu, sama ada untuk bunuh mereka atau tunggu mereka yang bunuh saya."

Zhuge Yue tertawa. "Xing'er, apa beza kita sekarang kalau awak pun buat benda yang sama macam saya?"

"Betullah itu, saya pun fikir benda yang sama dulu," Jawab Chu Qiao dengan nada yang rendah. "Tapi, sekarang saya tak fikir macam itu dah. Dulu waktu Jeneral Meng mencetuskan peperangan bersama Yan Bei, tujuan dia adalah untuk menyerang, bunuh dan tindas rakyat yang tidak berdosa. Anak mereka masuk ke dalam tentera untuk menyerang kampung halaman orang lain. Mangsa-mangsa peperangan itu tak dibenarkan untuk lawan balik ke? Ramai rakyat Yan Bei yang dah terkorban dalam pertarungan itu, termasuklah rakyat jelata dan tentera. Ia sememangnya satu penghapusan bangsa kerana rakyat Yan Bei lebih banyak terkorban jika dibandingkan dengan Empayar Xia. Tetapi saya tak hampakan mereka, saya tinggal di rumah mereka untuk memulihkan tenaga saya sambil menawarkan ganjaran kepada mereka. Mereka yang nak cederakan saya atas sebab kebencian yang langsung tiada kaitan dengan saya, takkanlah saya nak berpeluk tubuh dan tunggu ajal saya saja, bukan? Saya memang bunuh orang tapi saya tak pernah bunuh mereka yang tak berdosa. Saya memang berasa kasihan terhadap rakyat jelata tetapi saya ni bukanlah baik sangat pun."

Suara Chu Qiao kedengaran yakin apabila dia mengujarkan katanya sepatah demi sepatah, "Peperangan antara Yan Bei dan Empayar Xia pasti akan tercetus dan akan berlangsung dalam jangka masa yang panjang. Namun, nyawa yang terkorban sewaktu dalam peperangan ini tak akan sia-sia. Mereka akan korbankan diri mereka untuk keadilan dan kebebasan dan mungkin suatu hari nanti tanah Hongchuan akan ditadbir dengan kefahaman yang berbeza iaitu sesuatu kefahaman yang berisi kebebasan dan juga kesaksamaan ataupun kefahaman yang mengandungi undang-undang dan keamanan. Ia takkan jadi keji seperti dulu lagi. Apa yang saya lakukan sekarang memang berbaloi."

Zhuge Yue tiba-tiba mendengus. "Xing'er, saya selalu pandang tinggi pada awak jadi saya memang tak sangka yang awak boleh cakap perkara yang mengarut macam itu sekali. Kebebasan dan kesaksamaan? Undang-undang dan keamanan? Awak dah jadi pengikut Da Tong ke sampai berangan bersama-sama dengan mereka?"

"Taklah. Saya pun tahu yang kesaksamaan takkan dapat dikecapi selagi wujudnya sifat pentingkan diri tapi kita boleh manfaatkan peluang ini untuk memajukan diri kita selangkah demi selangkah." Chu Qiao memandang Zhuge Yue sambil berkata dengan tegas, "Sekurang-kurangnya, tak adalah pembunuhan, penderaan dan penganiayaan yang berlaku seperti di dalam kediaman Zhuge!"

"Awak betul-betul percaya yang Yan Xun akan capai semua ini ke?" Cemuh Zhuge Yue sambil mengangkat keningnya. "Awak ingat orang-orang tua di Da Tong itu tak pentingkan diri sendiri seperti yang mereka cakap ke? Sesiapa yang pernah merasai kekuatan kuasa sebenar pasti takkan lepaskan kuasa mereka dengan semudah itu. Kalau Yan Xun dapat naik takhta suatu hari nanti pun, dinasti saja yang akan berubah dan ia bukannya suatu penamat zaman. Xing'er, kalau awak tak boleh nak terima yang Yan Xun itu bercita-cita tinggi dan tamakkan kuasa sekalipun, awak cuma perlu mengaku yang dia ingin membalas dendam saja. Itu pun cukuplah. Tak perlu nak reka cerita dia itu seorang yang berhati mulia sangatlah. Jijik saya dengar."

Raut wajah Chu Qiao berubah dalam diam. Setelah sekian lama, dia masih mengekalkan keyakinan dalam nada suaranya itu. "Saya percayakan dia."

Zhuge Yue berkerut dan memandang gadis itu.

"Saya percaya yang dia takkan hampakan saya." Chu Qiao tertawa kecil. "Saya akan tetap berada di samping dia supaya saya dapat bantu dia capai misi yang hebat ini. Awak tunggu dan lihat saja, Zhuge Yue."

Pada saat itu, ia terasa seperti cahaya menyinari kegelapan. Zhuge Yue tiba-tiba berasa seperti gadis yang sedang berdiri di hadapannya ini seorang yang lemah dan dungu namun pemuda itu langsung tidak mengejek kedegilannya lagi, hanya ingin mengajukan sebuah soalan sahaja. "Kalau ditakdirkan suatu hari nanti yang dia akan hampakan awak, apa awak nak buat?" Namun soalan itu hanya terdetik dalam fikirannya dan tidak mampu ditanyakan kepada gadis itu kerana ia kedengaran agak kejam… ya, kedengaran sangat kejam.

Gadis ini hanyalah berusia 17 tahun. Apakah yang sedang dilakukan oleh adik-beradiknya di rumah? Apakah yang sedang dilakukan oleh puteri-puteri maharaja di Bandar Zhen Huang? Mungkin mereka sedang bersolek dan menikmati kehidupan mereka, berborak mengenai para jejaka kacak ataupun mengenai kisah curang yang disembunyikan dari semua orang? Namun bagi gadis di hadapannya ini, dia terpaksa menempuhi pelbagai rintangan selama beberapa tahun yang menyiksakan ini hanya disebabkan kepercayaannya yang dipegang teguh di dalam hatinya itu tanpa kuasa, pengaruh mahupun saudara-mara… Mungkin inilah satu-satunya sebab dia masih bertaham sehingga kini.

'Baiklah kalau begitu, Xing'er. Saya akan tunggu dan lihat. Saya nak tengok sama ada lelaki itu berjaya tunaikan hasrat awak atau tidak. Kalau dia berjaya, saya, Zhuge Yue akan habiskan segala harta keluarga saya untuk beli dan nyalakan bunga api supaya dapat meraikan kejayaan awak!'

"Yan Bei…" Zhuge Yue mendongak sambil meneguk secawan wain yang memeritkan tekaknya apabila ditelan. Lantas dia berkata dengan mendatar, "Aku sedang perhatikan kau."

Zhuge Yue bangun awal pagi pada pagi hari kedua untuk meninjau kawasan bandar demi mencari kuda dan juga gerabak kuda namun walaupun pemuda itu mempunyai wang yang banyak, tetapi dia masih tidak dapat membeli apa-apa. Seluruh kawasan pasar termasuklah kerusi milik penjual kuda telah pun hilang semalam, lantas Zhuge Yue dengan perasaan yang marah bertanya tentang haiwan lain yang boleh digunakan sebagai alternatif seperti keldai atau baghal malah pemuda itu sempat bertanya tentang seekor lembu namun usahanya itu sia-sia sahaja.

Pada masa yang sama, Chu Qiao sedang berisitirahat di dalam biliknya di tingkat kedua rumah tumpangan tersebut dan setelah melihat pengawal-pengawal yang sudah lengkap bersenjata sedang melewati kawasan tersebut, wajah gadis itu mula berkerut seperti ada sesuatu yang tidak kena. Apabila Zhuge Yue pulang ke bilik tersebut, mereka hanya menatap mata masing-masing dan terdiam seribu kata di situ.

Setelah iringan tersebut meninggalkan bandar, tiada lagi empat ratus hingga ke lima ratus orang tentera di situ. Kira-kira 2000 orang askar yang ditempatkan di belakang barisan tentera itu belum lagi menunggang kuda mereka apabila barisan tentera yang ditugaskan di hadapan mula bergerak keluar dari bandar dengan sejumlah beg, rangsum, emas, barang kemas dan juga barang-barang berharga yang banyak telah disumbatkan ke dalam 300 buah pedati atau lebih. Selain itu, terdapat ramai wanita berpakaian ranggi yang mengikuti belakang iringan itu sekaligus menjadikan iringan tersebut yang melewati satu kawasan demi satu kawasan itu dilihat megah dan juga menakjubkan.

Chu Qiao dan Zhuge Yue telah ditugaskan untuk mengendalikan sebuah gerabak usang yang berada di belakang kumpulan tentera itu. Walaupun gerabak tersebut baru sahaja dibeli, namun terdapat sebuah bau yang kurang menyenangkan di dalamnya.

Kebimbangan yang dirasai mereka adalah suatu perasaan yang tidak berasas. Mereka langsung tidak berpeluang untuk mendekati keluarga Liu memandangkan status mereka buat masa ini. Pada pagi itu, Chu Qiao mengekori beberapa orang gaji yang telah ditugaskan untuk mengalih beg-beg dan mendapati seorang lelaki yang berjubah biru sedang memasuki gerabak di hadapan sambil diiringi oleh seorang orang gaji. Walaupun cuaca di An Bai agak panas, lelaki itu masih memakai mantel. Lelaki itu sedang memakai topi dan juga merupakan seorang yang kurus namun kelibatnya kelihatan samar pada waktu pagi ini oleh kerana kabus yang terlalu menebal lantas memeranjatkan Chu Qiao namun tanpa disedari, gadis itu telah menghentikan langkahnya sambil melihat kelibat pemuda tersebut yang telah lenyap di kejauhan sebelum menaiki gerabak yang telah dihiasi dengan penuh gah itu.

Chu Qiao terkaku di situ agak lama.

"Kenapa?" Zhuge Yue berjalan di hadapannya dan menoleh untuk bertanya.

"Oh, tak ada apa." Chu Qiao tertawa sendiri sambil menggelengkan kepalanya untuk mengosongkan fikirannya yang tidak masuk akal itu. "Jomlah."

Gerabak kuda itu bergerak keluar dari Bandar An Bai dengan perlahan-lahan. Chu Qiao bersandar pada jendela lalu menyelak tirai yang lut cahaya itu dan lantas merenung ke luar.

"Oh ya," Chu Qiao tiba-tiba teringat sambil mengeluarkan sebuah beg kecil dan lantas menyerahkannya kepada Zhuge Yue, berkata tenang, "Saya suruh pelayan untuk dapatkan ini pagi tadi semasa dia keluar."

Zhuge Yue mengambil beg tersebut lalu membukanya untuk melihat sebuah topi. Walaupun sekarang ini bukanlah masa yang sesuai untuk memakainya, namun topi itu ditenun dengan indah sekali, dengan kain yang digunakan amat nipis jadi ia tidaklah terasa begitu panas apabila dipakai.

"Lebih baik kita berhati-hati kan?" Chu Qiao menambah perlahan-lahan sambil tertawa, "Walaupun nampak macam awak tak berkesempatan saja nak pakai."

Pengiring yang terdiri lebih daripada 2000 orang bersama ratusan gerabak dan juga pedati yang membanjiri laluan itu. Chu Qiao dan Zhuge Yue langsung tidak boleh melihat bahagian hadapan pasukan iringan ini lagi.

Zhuge Yue meletakkan topi tersebut di sisinya namun tangannya masih menggenggam topi yang telah dihadiahkan kepadanya itu, kemudiannya berkata, "Pedagang-pedagang di Xian Yang bercadang nak melarikan diri."

Chu Qiao tersenyum dan menoleh. "Awak pun nampak juga."

"Peperangan antara Yan Bei dan Empayar Xia dah nak bermula. Musang-musang tua licik itu dah nak berundur ke kawasan Tang. Mereka tak berani nak tinggalkan Xian Yang dalam kumpulan yang besar dan hanya mampu berkumpul di An Bai dulu dan barulah bergerak ke Tang Jing bersama-sama. Simpanan mereka semua ada dalam pedati-pedati itu."

Chu Qiao mengangguk setuju lantas membalas dengan lembut, "Betul. Mereka nak bebaskan diri dari tanggungjawab saja."

Berlainan dari Zhuge Yue, Chu Qiao tiba-tiba berasa gelisah kerana gadis itu mengetahui tentang identiti pedagang-pedagang Xian Yang yang mengiringi mereka itu, malah lebih dari itu seperti bagaimana mereka membahagikan harta kekayaan mereka selama ini. Namun, hari ini mereka ingin melarikan diri.

Setelah teringat akan bayang-bayang yang dilihat wanita itu tadi, Chu Qiao tiba-tiba berasa sungguh teringin untuk melihat apa yang sedang berlaku di hadapannya namun dalam sekelip mata sahaja dia berubah fikiran sambil menggelengkan kepalanya dan menyandar pada dinding gerabak kuda itu.

'Chu Qiao, kau dah penat sangat ke? Semenjak pemberontakan di Zhen Huang, kau nampak seperti dah tak tentu arah. Sebab itukah kau mula berfikir tentang perkara-perkara yang tak munasabah?'

'Yan Xun, mereka nak melarikan diri depan mata aku. Apa yang patut aku lakukan untuk hentikannya? Apa yang patut aku lakukan?'