Chapter 116 - Bab 116

Musim panas kini sudah tiba di kemuncaknya, dan hari yang terang telah pun bertukar malam. Utusan tersebut mengembara sehingga matahari di ufuk mula terbenam sebelum dia bersiap sedia untuk bermalam di tengah-tengah lembah itu.

Chu Qiao dan Zhuge Yue telah ditempatkan di dalam satu khemah yang kecil dan pendek, sehingga kepala mereka terhantuk pada atap khemah jika mereka duduk tegak.

Pembantu mereka juga telah berkhemah di bulatan luar kawasan perkhemahan. Selepas bertanya, mereka mendapati bukan sahaja keluarga Xian Yang Liu yang hadir, malah keluarga Wang, Jia, dan Ouyang turut telah menghadirkan diri.

Selepas seharian mengembara, Chu Qiao berasa lebih lemah berbanding sebelum ini. Memandangkan peredaran angin yang lemah dalam khemah kecil itu, Zhuge Yue membawa gadis itu keluar dan menyandarkannya pada sebuah pokok untuk berehat, kemudian pemuda itu membeli arnab yang baru diburu dari pembantu lain dan menyalakan api untuk memasak, lantas udara dipenuhi dengan bau daging yang dimasak tidak lama kemudian.

Zhuge Yue merobek sekeping daging arnab tadi dan menghulurnya dekat dengan mulut Chu Qiao yang bersungguh-sungguh cuba untuk menggigit daging itu apabila gadis itu melihat makanan tersebut namun gadis itu telah diketuk di dahi oleh Zhuge Yue. "Panas!" kata Zhuge Yue.

"Oh." Respon Chu Qiao dengan sebuah senyuman, lantas dengan berhati-hati meniup sambil mengambil daging tersebut dari tangan Zhuge Yue. Gadis itu mendapati makanan yang sedang dikunyahnya amat enak sehingga dia memuji Zhuge Yue, "Wah, saya tak sangka awak pandai memasak."

"Saya hanya belajar memasak semasa bertahun-tahun di hutan," Zhuge Yue menjawab dengan bersahaja sebelum mengambil sebilah pisau untuk menghiris-hiris arnab yang telah dimasak tadi. Daging yang lazat itu kemudiannya diserahkan kepada Chu Qiao satu persatu.

Sisa cahaya matahari terakhir kini mula tenggelam dan lantas kegelapan malam menghuni kawasan sekeliling dengan nyanyian belalang besama kicauan burung sewah padang yang jelas berbunyi di bawah langit malam yang mempunyai kilauan bintang. Lembah itu damai dan tenang dengan hanya bunyi pakaian para pelayan yang berjalan-jalan dengan tergesa-gesa

Chu Qiao mengambil nafas yang panjang semasa terduduk di atas rumput menghijau sebelum memaparkan sebuah senyuman seolah-olah dia seorang kanak-kanak yang tidak bersalah dan naif, dan berkata, "Nostalgia sangat!"

Zhuge Yue meneruskan perbualan dengan penuh tenang, "Apa yang nostalgia sangat?"

"Perasaan ini ..." Chu Qiao bersandar pada sebatang batang pokok itu berserta riak muka gadis itu yang terus berubah menjadi sebuah senyuman, berkata tenang, "Saya rindu rumput panjang, pokok hijau, berkhemah, dan memasak dengan unggun api dengan kawan-kawan. Selepas memasak, kami akan duduk di sekitar unggun api dan berborak, mungkin minum alkohol sikit. Saya paling rindu akan hari-hari di mana saya tak perlu risau tentang hari esok, atau untuk meneruskan kehidupan. "

Zhuge Yue yang sedang memerhatikan gadis itu dengan senyap terus mempersoalkan, "Awak pernah ke lalui kehidupan yang macam itu sebelum ini?"

"Mestilah." Chu Qiao mengangkat kepalanya sambil tersenyum anggun. "Lama dulu, saya dengan tiga orang kawan baik saya berada di lembah macam ini, dan kami makan arnab panggang seperti ini juga. Oh, tapi kemahiran memasak kami mestilah lebih baik daripada awak, dan kami letak lebih banyak bahan-bahan."

"Hm!", Zhuge Yue yang mendengar kritikan tersebut terus mengalihkan pandangannya.

"Xiao Shi belajar daripada tukang masak terkenal dari Perancis, dan kemahiran dia adalah untuk memanggang daging."

Mengerutkan dahi, Zhuge Yue bertanya, "Perancis? Itu nama sebuah restoran di mana-mana ke?"

"Hmmm?" Chu Qiao mengangguk kepalanya. "Yalah, restoran."

Zhuge Yue menjawab, "Saya tidak pernah dengar nama restoran itu sebelum ini. Mesti tak terkenal sangat."

Dari jauh kelihatan unggun-unggun api lain yang baru sahaja dinyalakan dengan aktiviti demi aktiviti yang dijalankan, lantas memeriahkan suasana kawasan perkhemahan itu.

"Teruskan."

"Hmm?" Chu Qiao terkejut.

"Teruskan dengan cerita awak. Kita pun bosan tanpa ada benda untuk dilakukan." Zhuge Yue menundukkan wajahnya dan terus memotong daging. "Ceritalah tentang kawan awak itu."

"Boleh." Chu Qiao mengangguk dan bersetuju. Untuk sebab tertentu, hati gadis itu terasa sungguh sangat berat pada malam ini, mungkin tindakan para Ahli-Ahli Kehormat Da Tong yang telah menyakiti perasaannya, dan gadis itu ingin melakukan sesuatu supaya dia dapat mengalihkan perhatiannya.

Suaranya kedengaran tenang berbunyi seperti rumput yang melayang di bawah angin malam yang dingin apabila dia berkata, "Kemahiran mempertahankan diri mereka semuanya lebih baik daripada saya."

Menaikkan bulu kening, Zhuge Yue sedikit terkejut. "Mereka semua itu wanita, kan?"

"Sudah tentulah," Chu Qiao memandang ke arahnya sambil mengejek, "Bukan ke kamu pandang rendah terhadap wanita?"

Zhuge Yue langsung tidak menjawab lantas Chu Qiao meneruskan, "Tapi itu dulu. Kalau saya berhadapan dengan mereka lagi, saya pasti saya mesti boleh tewaskan mereka. Xiao Huang mahir sangat dalam tembak-menembak, er, maksud saya memanah, Xiao Shi pula memang mempunyai teknik yang paling luar biasa dalam pertempuran jarak dekat, dan pernah kalahkan 17 orang sekaligus. Kemahiran Mao'er taklah sebegitu hebat, tapi teknik membunuh dia yang terbaik."

Zhuge Yue bertanya, "Awak pula macam mana?"

"Saya?" Chu Qiao mengekeh. "Saya pakar dalam semua bidang."

Zhuge Yue menggulingkan matanya. "Berlagak betul awak ini."

Chu Qiao langsung tidak tersinggung dengan kata-kata Zhuge Yue itu, cuma menoleh pandangannya sahaja ke arah pemuda itu dan bertanya, "Zhuge Yue, apa yang awak harap awak boleh dapatkan?"

Zhuge Yue mengerutkan dahinya sebelum mendengus dengan dingin, "Saya harap awak boleh cepat-cepat pulang ke Yan Bei, dan jangan biar saya jumpa awak lagi. Lebih baik awak tinggal di Yan Bei selama-lamanya."

"Itu mustahil." Chu Qiao melepaskan ketawa mengekeh sebelum berkata, "Walau awak tak serang Yan Bei sekalipun, saya akan tetap bawa tentera saya ke Empayar Xia."

"Ya ke? Jadi harapan saya adalah untuk jatuhkan nama baik Yan Xun, dan dengan itu Yan Bei akan disisihkan oleh keluarga Batuha. Awak akan hidup dipulau sehingga akhirnya awak datang merayu di depan pintu rumah saya."

Chu Qiao merenung pemuda itu dengan pandangan yang tajam. "Jahatnya. Tapi hal itu pun mustahil untuk berlaku juga." Dengan senyuman sinis, Chu Qiao berkata, "Jika hari itu betul-betul berlaku, kemungkinan besar saya dah mati dalam pergolakan itu."

Zhuge Yue terperanjat apabila mendengar jawapan Chu Qiao yang langsung tidak dijangkakan itu, namun pemuda itu terus berdiam tanpa sebarang balasan.

"Pada masa itu, kami berempat bertanya soalan yang sama." Chu Qiao yang sedang merenung jauh ke ufuk itu terus melayari kembali memori indah tersebut di dalam mindanya sambil menggambarkan, "Xiao Shi nampak betul-betul dingin dan juga tegas pada luarannya, tapi dia mungkin yang paling sensitif di antara kita semua. Dia suka kumpul anak patung yang mahal-mahal, dan akan habiskan gaji bulanan dia untuk beli anak patung. Impian terbesar dia semasa dia meninggalkan organisasi itu adalah untuk menerima wang pampasan yang besar dan berkahwin dengan seseorang yang normal dan nak jadi seorang isteri yang baik. Dia sangat rapat dengan seorang kawan sejak zaman kanak-kanak dia lagi, mungkin hasrat dia akan kesampaian kalau perkara itu tak terjadi selepas itu. "

Pada ketika ini, senyuman suram tiba-tiba muncul di muka Chu Qiao namun gadis itu meneruskan monolognya selepas dia berhenti sejenak, "Xiao Huang pula yang paling bising di kalangan kita. Keluarga dia sangat kaya dan suka menyahut cabaran. Pada masa itu, dia merancang untuk memanjat gunung dan mengukir nama dia di puncak."

Chu Qiao berhenti sejenak, lalu menggambarkan rakan ketiganya itu dengan sebuah senyuman yang terukir di wajah, "Impian Mao'er mudah saja, iaitu untuk kumpul wang. Dialah yang paling tamak dan dia juga sangat berani. Dia selalu melakukan berbagai-bagai jenis bisnes, jadi dia bukanlah setia sangat pada organisasi itu. Kepada dia, organisasi itu hanyalah satu pekerjaan buat dia untuk mendapatkan wang. "

Zhuge Qiao bertanya, "Macam mana dengan awak pula?"

"Saya?" Chu Qiao terkejut. Selepas berfikir sejenak, gadis itu menjawab dengan perlahan-lahan, "Saya pun tak tahu. Saya ingat yang saya sedang merancang sebuah misi dan berharap misi itu berjalan tanpa sebarang halangan supaya saya dapat menyelesaikannya secepat mungkin."

Zhuge Yue mendengus dengan sinis.

Chu Qiao berpaling dan melihat pemuda itu sambil tersenyum kecil. "Sebenarnya, saya memang selalu macam ini. Saya tak ada impian yang besar-besar, dan sangat dogmatik dan juga keras kepala. Saya hanya berharap yang kepercayaan saya ini betul dan berbaloi untuk saya pertaruhkan seluruh hidup saya untuk berjuang."

"Contohnya," Chu Qiao mengambil kesempatan ini untuk mengambil nafasnya seketika sebelum gadis itu menjelaskan, "Segala hutang awak dengan saya, saya pasti akan tuntut balik. Begitu juga dengan segala hutang saya dengan awak, saya pasti akan bayar balik."

"Saya rasa saya lebih suka Mao'er," Zhuge Yue menyatakan pendapatnya dengan tenang. "Organisasi yang awak cakapkan itu organisasi Da Tong ke? Tolong kenalkan dia kepada saya kalau awak ada peluang."

Gadis itu menggelengkan kepalanya dengan tenang sebelum tersenyum kelat. "Saya rasa pelik sebab dah beritahu awak semua ini."

Zhuge Yue mendengus. "Bukannya saya paksa awak untuk beritahu saya pun."

Tiba-tiba, kedua-dua remaja ini mendengar bunyi jejak langkah yang datang dari kejauhan, dan lantas mereka meraih kepala mereka untuk melihat seorang gadis muda berusia lima atau enam tahun yang sedang memakai sepasang blaus merah terang dan mempunyai rambut yang telah didandankan kepada dua di atas kepalanya. Budak perempuan itu lantas merenung daging arnab yang sedang berada di dalam genggaman tangan Zhuge Yue itu sambil mengigit jari-jarinya.

Pasangan ini sedar perjalanan mereka ini sedang diringi dengan bukan sahaja anggota keluarga ternama, malah dengan hamba-hamba mereka juga. Sebahagian daripada hamba-hamba itu mempunyai keluarga tersendiri dan mungkin gadis ini berasal daripada salah sebuah keluarga hamba tersebut.

Zhuge Yue mengerutkan mukanya dan hampir mengatakan sesuatu namun Chu Qiao telah bertindak dengan lebih cepat. Melambaikan tangannya, Chu Qiao berseru, "Mari ke sini!"

Wajah gadis itu serta-merta bersinar dan lantas dia menghulurkan tangannya sebelum mendekati mereka.

Renungan mata budak perempuan itu kelihatan terang dan jelas. Chu Qiao lantas tersenyum melihat budak perempuan itu. "Berapa umur kamu?"

Gadis itu menjawab dengan penuh gugup sambil merenung Zhuge Yue dengan sekilas pandangan, "Saya berumur enam tahun."

"Siapa nama kamu?"

Mungkin budak perempuan ini merasakan Chu Qiao ialah seorang yang sangat ramah, jadi dia pun segera menjawab, "Nama saya Xingxing."

Dengan perasaan jengkel, Zhuge Yue meninggikan suaranya terhadap gadis itu, "Pergi balik dan beritahu ibu bapa kamu untuk tukar nama kamu!"

Gadis itu terus terperanjat, dan lantas air matanya bergelinangan setelah melihat renungan tajam Zhuge Yue yang tertumpu kepadanya itu.

"Kenapa awak takutkan budak kecil ini!" Chu Qiao yang masih berkerut itu terus menarik lengan anak kecil itu dan berbisik sesuatu kepadanya. Tidak lama kemudian, gadis itu mula ketawa berdekah dengan penuh gembira.

Zhuge Yue yang terduduk di tepi itu terus memerhatikan kedua-dua gadis ini, namun pemuda ini tiba-tiba berasa pelik. Chu Qiao bukanlah seperti ini dalam ingatannya. Wanita itu seorang yang tenang, senyap, tabah, suka menilai, pintar, dan langsung tidak beremosi seperti seorang wanita biasa. Walau bagaimanapun, dalam perjumpaan mereka kali ini, dia dapat melihat lapisan demi lapisan personaliti Chu Qiao yang tidak pernah dilihatnya sebelumnya. Mungkin, Chu Qiao yang sekarang ini bukan lagi seperti dirinya yang dahulu kerana diri gadis itu yang dahulu hanyalah lakonan semata-mata, dan idea tersebut telah mengukir sebuah senyuman mengejek di wajah Zhuge Yue. Chu Qiao sering menganggap pemuda itu sebagai seorang musuh dan lantas tidak pernah menunjukkan dirinya yang sebenar kepada pemuda itu, malah mungkin dia sedang berlakon juga pada masa ini. Kalau tidak, mengapa gadis itu masih memegang senjata walaupun dia telah mengalami kecederaan yang parah, seolah-olah dia sedang melindungi dirinya sendiri daripada Zhuge Yue?

Kepercayaan tidak akan pernah wujud di antara pasangan ini. Mungkin apa yang diperkatakan Chu Qiao itu benar, segala hutang Zhuge Yue dengan gadis itu pasti akan dibayarnya kembali suatu hari nanti.

Zhuge Yue tersenyum kelat bersama tatapan matanya yang menjadi melankolik.

'Tak guna! Entah kenapa, tapi saya memang suka benar dengan suasana ini'.

Pada masa ini, budak perempuan itu berjalan ke arah Zhuge Yue dan lantas menarik lengan bajunya. Dia menunding jari ke arah daging arnab itu dan bertanya dengan suara keanak-anakannya, "Dah tak nak makan ke?"

Zhuge Yue serta-merta menolak daging arnab itu terus ke arah gadis itu dengan tidak sabar.

Namun gadis itu langsung tidak menghiraukan ketidaksabarannya, dan lantas wajah anak kecil itu terus berubah gembira sambil tersenyum pada Zhuge Yue. "Baik hatinya!" Kemudian anak gadis itu kembali ke sisi Chu Qiao dan bercangkung dengan penuh cemerkap sebelum melabuhkan punggungnya di atas tanah berumput, berkongsi daging arnab tersebut bersama Chu Qiao.

Tidak lama kemudian, seseorang telah datang ke kawasan berhampiran dengan mereka untuk memanggil nama gadis kecil itu. Lantas dia pun melompat dan terus meluru ke arah pemanggil tersebut sambil melambai-lambaikan tangannya dan mengucap selamat tinggal kepada Chu Qiao dan Zhuge Yue ketika dia berlari. Suaranya yang ceria dan jelas kedengaran itu bergema di bawah langit malam...

Suasana tenang ini tiba-tiba diganggu dengan bunyi teriakan keperitan tanpa henti. Pada malam itu, pembunuhan secara besar-besaran telah berlaku bukan sahaja di lembah ini, malah di Bandar Xian Yang juga!

Seorang lelaki kacak yang sedang memakai kot emas keungguan bersandar di atas katil ditengah-tengah dua orang penari cantik yang sedang berpelukan dengannya. Sepasang jari putih telah memetik sebuah anggur dan lantas menyuapkannya ke dalam mulut pemuda itu.

"Tuan Feng!" Seorang hamba yang sedang memakai sepasang baju penyamaran hitam untuk operasi malam memasuki bilik tersebut. Wajahnya dilumuri dengan beberapa titisan cecair merah, dan walaupun baju hitamnya tidak mempunyai kesan yang ketara, namus bau darah segar serta-merta memenuhi ruang bilik tersebut ketika pemuda itu tiba. Orang gaji itu berlutut di atas tanah sambil berkata dengan, "Misi itu dah berjaya."

Tuan Feng yang terkenal daripada Bandar Xian Yang itu menjawab dengan tenang, "Kalau sudah berjaya, kamu boleh pulang dan tidur."

Bandar Xian Yang telah mengalami sebuah bencana yang besar pada malam itu. Banyak darah yang telah mengalir ke anak-anak sungai Chi Shui dengan jeritan keperitan yang melolong kuat memenuhi kawasan bandar telah membuatkan rakyat Xian Yang untuk berjaga sepanjang malam. Para pengawal tiba-tiba membutakan mata mereka kepada rakyat-rakyat yang telah berlumuran dengan darah yang baru sahaja keluar dari pengepungan dan sedang berlutut di hadapan pintu gerbang utama Yamen Ketenteraan Xian Yang.

Akhirnya, Yamen tersebut terpaksa melaporkan kepada "pihak penguatkuasaan" tempatan tentang mereka-mereka yang telah menimbulkan kekacauan itu dan setelah mendengar rehat Datuk Bandar yang terhormat itu telah diganggu, Tuan Feng segera menghantar sejumlah besar tenteranya untuk "berunding" dengan dalang di sebalik kekacauan ini.