Pemuda itu mengangkat Chu Qiao dan segera membenarkannya untuk bersandar pada dada bidang miliknya sambil dia menepuk-nepuk belakang Chu Qiao. Kilat yang sabung menyabung di langit lantas menggegarkan muka bumi, hanya mempamerkan cahaya kilat yang memutih itu apabila ia menyabung.
"Bangun! Bangun!"
Pemuda itu dapat mendengar batukan-batukan kecil sebagai balasan katanya, dan dia pun dengan pantas menggenggam bahu gadis itu sambil merenung dalam ke matanya untuk bertanya, "Awak dah bangun ke? Awak dah bangun?"
Batukan Chu Qiao yang pada mulanya kedengaran ringan itu semakin teruk, dan tiba-tiba air berlumpur terkeluar dari paru-parunya, lantas muka gadis itu terus bertukar kemerahan. Chu Qiao hanya mampu terbatuk dan terus terbatuk apabila dia bersandar di dalam pelukan Zhuge Yue, langsung tidak mampu menguturkan sebarang kata.
Bunyi batukan gadis itu kedengaran seperti alunan muzik di telinga Zhuge Yue, lantas pemuda itu menghela nafas leganya sebelum terkulai layu. Zhuge Yue sememangnya tidak mahu mempamerkan emosi yang menyelubungi dirinya lagi pada malam membeku bersama hujan lebat dan angin yang sebegitu kencang, ditambahkan lagi dengan panggilan maut yang semakin menghampiri mereka berdua, lalu dia pun hanya mendakap wanita yang bersandar pada dadanya dengan pelukan yang amat erat.
"Keluarga...awak...akan hukum awak…" Sebuah suara lemah tiba-tiba kedengaran. Bisikan itu terlalu lembut sehingga ia dibawa pergi oleh angin dalam sekelip mata sahaja. "Empayar Xia… Zhao Yang… Zhao Che… Mereka semua takkan lepaskan awak."
Hujan lebat yang terus membasahi bumi juga telah membasuhi kedua-dua remaja ini daripada darah dan lumpur dan tiba-tiba sebuah cahaya bak kilat menyinari ruang udara sekaligus menerangi wajah pucat mereka.
"Awak akan mati! Awak tahu tak yang awak akan mati?!" Suara sebak Chu Qia yang sedang menahan air matanya dari berlinangan kedengaran apabila dia bertanya. Bagaimanakah gadis ini boleh tidak mengendahkan niat pemuda ini untuk melindunginya? Namun kini apabila Zhuge Yue sudah berterang-terangan sedang menentang kuasa tentera Zhao Yang, apakah pemuda itu buta dengan nasib yang bakal menimpa dirinya?
"Awak fikir awak siapa?" Chu Qiao mengetap gigirnya sambil merenung pemuda ini dengan tajam. "Awak bunuh keluarga saya dan korbankan saya dan Yan Xun. Saya memang nak saja bunuh awak sekarang ini. Kita saling membenci antara satu sama lain, tapi kenapa awak masih selamatkan saya?:
Zhuge Yue yang langsung tidak membalas kata-kata Chu Qiao itu hanya merenung gadis itu sahaja, seolah-olah dengan renungan itu pemuda tersebut dapat menyingkap isi hati gadis di hadapannya itu. Setelah beberapa kali terlepas dari genggaman maut, Chu Qiao akhirnya menyerah kalah, bagaikan hati besinya terburai disebabkan oleh berbagai-bagai emosi yang sedang menyelubungi dan membelah dirinya.
"Zhuge Yue, saya dah terlalu banyak terhutang budi dengan awak, apa yang awak nak saya lakukan?" Gadis itu memejamkan matanya yang membengkak setelah membenarkan air mata yang berjujuran untuk mengalir ke pipi gebunya.
Laluan di hadapan ternyata lurus dan tidak berpenghalang, dan kilat yang saban kali menyabung itu menerangi kawasan sekeliling di dalam hujan yang sungguh kencang. Di dalam pertempurang yang tegang di jalan Daerah An Bai, tiada seorang ahli tentera pun yang sedang menghampiri medan pertempuran dan kenyataan itu cukup untuk mengenal pasti siapakah dalang di sebalik rancangan pembunuhan itu. Lain daripada adik-beradiknya yang lain, Zhao Yang merupakan salah seorang mangsa kepada buli dan juga pemulauan di istana sejak kecil lagi, lantas membenihkan sikap suka menggunakan kaedah kejam dan zalim di dalam dirinya dan secara tidak langsung di dalam pelaksanaan tugasannya, sekaligus membuatkan dia sedikit pun tidak menunjukkan sebarang belas kasihan kepada Zhuge Yue.
Zhuge Yue yang tidak mempunyai pilihan lain itu hanya mampu mengendong Chu Qiao semasa melintasi kawasan gelap tanpa sekali pun menghubungi Yue Qi dan lain-lain yang telah menyertai kumpulan iringan para pedagang yang juga sedang menuju ke Tang Jing setelah membayar bayaran untuk menyertai pengembaraan itu bersama. Setelah menutup pintu, Zhuge Yue berkata kepada Chu Qiao, "Saya dapat tahu yang ketua iringan ini bernama Liu Xi. Awak kenal dia ke?"
Chu Qiao berkerut sedikit dan membalas, "Rasanya saya pernah berjumpa dia sekali sebelum ini."
"Kalau begitu, kita kena bergerak sekarang juga," Kata Zhuge Yue dengan pasti.
"Sekejap!" Teriak Chu Qiao. "Saya hanya pernah nampak dia dari jauh saja, dan kita tak pernah bersua muka. Lagipun, kejadian itu dah lama berlakulah."
Kening Zhuge Yue dikerutkan rapat oleh pemuda itu. Chu Qiao dengan mudahnya mengenal pasti hal yang dibimbangkan pemuda itu, dan serta-merta cuba untuk menenangkannya, "Mereka semua itu pasti akan ingat kita ini rakyat biasa yang dah diserang penyakit. Kita mesti takkan dapat bertemu dengan mereka. Selagi saya berjaga-jaga, semuanya pasti baik-baik saja."
"Bukan ke dia anak saudara Liu Mingjun?"
"Ya, dialah orangnya."
Zhuge Yue terus berhenti dan berfikir sejenak sebelum berkata perlahan, "Keluarga Liu itu dianggap sebagai keluarga yang sangat berpengaruh di Bandar Xian Yang. Saya tak pasti sama ada dia ada dalam kumpulan yang menjemput saya ketika saya hadir di bandar itu hari itu."
Setelah mendengarnya, Chu Qiao pun turut berkerut, lantas Zhuge Yue menyambung, "Rasanya lebih baik kalau kita terus berjaga-jaga. Esok pagi, saya akan keluar dan pergi beli beberapa ekor kuda, dan kita akan menaiki gerabak kuda kita untuk ke Tang Jing."
Chu Qiao pun mengangguk tanda setuju namun pemuda itu langsung tidak menyangka gadis itu sedang berada dalam sebuah kedudukan yang sangat rumit. Liu Xi ialah anak saudara Liu Mingjun yang merupakan salah seorang ahli di dalam Kesatuan Da Tong, dan gadis itu pasti boleh mendapatkan pertolongan pemuda itu seandainya gadis itu ingin diiringi pulang ke Yan Bei. Namun Zhuge Yue kini berseorangan tanpa seorang pengawal pun disisinya dan jika Liu Xi cuba untuk mencederakannya…
"Awak rehatlah dulu." Setelah merebahkan Chu Qiao ke atas katil, Zhuge Yue berkata kepada gadis itu dengan lembut, "Saya akan suruh pelayan untuk sediakan makanan untuk kita. Apa yang awak nak makan?"
Chu Qiao menggeleng kepalanya lantas menjawab, "Apa-apa pun boleh."
Zhuge Yue berpaling dan berkata sambil melangkah pergi, "Lagipun, pilihan apalah yang kita ada pun di tempat sebegini?"
Chu Qiao tersenyum lemah apabila melihat kelibat pemuda itu berlalu pergi di sebalik pintu.
Disebabkan oleh pengaruh keluarga Zhuge yang terlalu kuat, pemuda itu pasti akan dapat mencari hamba di mana sahaja dia berada di seluruh benua Meng Barat ini dan kuasa mereka pasti melebihi dari sekadar kekuasaan politik yang tertulis di dalam surat khabar mahupun kenyataan-kenyataan rasmi. Dalam dunia ini, tiada siapa yang benar-benar mengetahui tentang kebesaran pengaruh keluarga-keluarga bangsawan ini.
Chu Qiao mengerti di sebalik setiap keluarga bangsawan, pasti akan ada ratusan tahun yang telah dikorbankan oleh nenek moyang mereka untuk mengerah tenaga dan usaha. Walaupun Zhao Zhengde telah menghapuskan seluruh puak keluarga Muhe, namun siapa yang tahu keluarga Muhe benar-benar telah terhapus dari Benua Meng Barat ini?
Pengaruh sebenar Keluarga Zhuge pasti tidak akan terhapus walaupun dengan kehadiran Yan Xun dan lagipun, kebesaran pengaruh politik mereka langsung tidak tercapai dek akal mahupun ditandingi oleh Yan Xun disebabkan oleh keluarga mereka yang merupakan antara keluarga terbesar yang menguasai Empayar Xia. Mereka dapat meluaskan pengaruh mereka dengan menggunakan pangkat supaya dapat memberikan anak cucu keturunan Zhuge ini peluang untuk menjawat jawatan-jawatan terbesar di dalam empayar. Wang dan juga pengaruhlah yang telah mengorak kejayaan buat setiap pegawai Zhuge di dalam kerajaan Xia.
Yan Bei yang memberontak telah menjadikan kesemua daerah dan wilayah di Yan Bei dan juga puak-puak keluarga yang berdekatan dengan negeri itu untuk menyokong keputusan yang telah dibuat oleh Yan Xun dan lantas memberontak terhadap empayar juga. Seseorang hanya boleh membayangkan segala huru hara yang akan dihadapi oleh Keluarga Maharaja Zhao jika suatu hari nanti Keluarga Zhuge memutuskan untuk meraih panji pemberontakan mereka setelah membuat rancangan yang sangat terperinci! Disebabkan oleh kekuatan keluarga Zhuge tersebut dan juga kedudukan Zhuge Yue di dalam keluarga itu, pemuda itu pasti dapat meminta bantuan di mana sahaja dia berada dan ahli keluarganya pasti akan membalas panggilan bantuannya tanpa sebarang permasalahan. Namun begitu,dia masih menolak pilihan tersebut dan telah memilih untuk menyembunyikan identitinya semasa sepanjang perjalanan sambil berada di sisi Chu Qiao dan menjaga kesihatannya, langsung tidak mengendahkan untuk memaklumkan keberadaannya kepada keluarganya yang berkuasa itu. Mungkin Zhuge Yue berasa bimbang dan sukar untuk mempercayai kuncu-kuncunya untuk melindungi identiti Chu Qia juga, tambahan pula pemuda itu sedar puak-puak keluarga yang lain pasti akan menggunakan kejadian tersebut untuk memperoleh kelebihan tersendiri dan lantas menyerangnya.
Chu Qiao tersenyum mengejek apabila tersedar dia sedang giat mencuba untuk membohongi dirinya sendiri. Gadis itu faham dengan sepenuh hatinya mengenai punca permasalahan mereka buat masa ini, namun dengan degilnya wanita ini cuba untuk menafikan kebenaran, memejamkan matanya untuk menyelinap keluar dari alam nyata dan terus terduduk menunggu,
'Mungkin dia sengaja nak mengembara dengan aku tanpa sebarang gangguan, di mana dia bukanlah seorang Tuan dari Keluarga Zhuge, dan aku tak perlu letak Yan Bei dalam bahaya juga. Macam rakyat biasa yang mempunyai hubungan yang baik dan tak membenci antara satu sama lain, tanpa konflik dalaman yang tak boleh diperbaiki, tanpa memikirkan tentang sebarang pergabungan kuasa, dan terutama sekali tanpa tanggungjawab-tanggungjawab besar yang selalu ditanggung oleh kita berdua.'
Ini mungkin peluang terakhir mereka untuk mengharungi takdir sebegitu.
Chu Qiao memejamkan matanya dengan perlahan, berharap agar dia boleh terlelap dengan segera supaya dia dapat melupakan tentang segala kemungkinan tersebut. Gadis itu boleh memahami pemuda itu dari segala aspek, namun dia masih buntu akan sebab mengapa pemuda itu sanggup melakukan apa yang telah dilakukannya buat dirinya. Mereka sering berada di pihak berlawanan sejak dari mula lagi dan setelah lapan tahun berlalu, mereka hanya telah bertambah dingin terhadap masing-masing, jadi mereka patut terus berhati-hati antara satu sama lain.
Chu Qiao mula bertenang, dan setelah sekian lama gadis itu akhirnya terlelap juga namun sebelum sempat dia terlena, gadis itu telah mengejek dirinya sekali lagi, 'Apa gunanya berfikir mengenai semua ini kalau aku tak boleh nak larikan diri sekarang juga?'
Chu Qiao telah pun lena dibuai mimpi sesaat Zhuge Yue yang sedang membawa sedulang makanan dan juga sebotol alkohol itu tiba, lalu pemuda itu pun menuangkan alkohol ke dalam segelas cawan setelah dia selesai mengatur makanan dan juga peralatan makanan. Kedai ini bukanlah sebesar mana, namun makanan yang disajikan amatlah enak, dengan aroma menyelerakan yang dapat dihidu di sekeliling ruang walaupun hidangan-hidangan tersebut telah ditutup. Alkohol yang dihirup pemuda itu juga berperisa enak dan telah diperap lama sehingga telah dapat menaikkan suhu badannya dengan pantas.
Matahari yang terbenam memancarkan cahaya kemerahan yang gelap, mempamerkan bayangan yang panjang di bumi. Zhuge Yue masih lagi terduduk dan terdiam sambil menikmati secawan alkohol di dalam genggamannya sementara cahaya mentari mula terbenam di ufuk selatan dan lampu-lampu jalan pun mula memancarkan cahayanya untuk menerangi laluan-laluan yang riuh dengan pelbagai aktiviti itu. Namun tidak lama kemudian, rakyat jelata yang memeriahkan suasana jalan bandar itu tadi mula untuk beredar dan serta-merta kesepian sahaja yang telah menenggelami kawasan bandar sebelum ia mula untuk memejamkan matanya. Hanya pemuda itu yang masih terjaga sambil berdiri di dalam kegelapan bagaikan sebuah arca, dengan tangannya sahaja yang bergerak dari botol alkohol ke segelas cawan di dalam genggaman pemuda itu.
Chu Qiao akhirnya terjaga pada tengah malam dengan kepala yang sakit dan berpinar-pinar. Gadis itu yang masih dalam keadaan yang mamai berdiri untuk menuangkan segelas air buat dirinya, namun tersedar terdapat sebuah kelibat di dalam kegelapan dan tindak balas pertama yang melayari minda wanita itu adalah untuk mencapai pisau belati yang terdapat di pehanya, dan Chu Qiao pun melonjak dari katil seperti seekor binatang buas walaupun dalam keadaan dirinya yang lemah itu.
Namun wanita itu segera tersedar dari kecelaruannya, merenung kelibat pemuda yang berada di dalam kegelapan itu sambil menyimpan pisau belatinya, dan akhirnya bertanya dengan penuh kebingungan, "Zhuge Yue?"
"Ya." Chu Qiao mendapat tindak balas yang ringkas. Pemuda itu kelihatan seperti dia telah mabuk memandangkan bilik tersebut yang diselubungi dengan bau alkohol yang kuat. "Dahaga?"
Chu Qiao mengangguk dan segera tersedar dia pasti tidak akan dapat dilihat jika dia mengangguk di dalam kegelapan itu jadi wanita itu pun membuka mulutnya untuk membalas namun segelas air telah pun dihulurkan kepadanya. Cawan itu kecil, namun Chu Qiao masih menggenggamnya dengan kedua belah tangan dan gadis itu pun menjilat bibirnya setelah menghirup cawan itu, berbisik dengan suara serak dan mamai, "Kenapa awak tak buka lampu?"
Bilik itu masih lagi senyap sepi sehingga bunyi tegukan air liur pun dapat didengari. Setelah beberapa ketika, sebuah suara tiba-tiba berbunyi, "Gelap lebih baik."
Chu Qiao bertanya penuh serius, "Zhuge Yue, bila awak akan panggil saya Chu Qiao?"
Pemuda itu mendesis dengan penuh mengejek, "Mimpi sajalah."
"Awak ini degil sangatlah." Namun begitu, gadis itu melepaskan ketawa bagaikan dia sedang mengejek dirinya sendiri, dan lantas menyambung, "Sebenarnya, saya pun macam itu juga. Memang susah saya nak ubah fikiran bila saya dah buat sesuatu keputusan."
Zhuge Yue tidak membalas. Chu Qiao yang kelihatan seperti dia dalam angin yang baik pada hari ini terus menyambung monolognya sendirian. "Sebenarnya, awak ini tidaklah seteruk mana. Walaupun awak macam endah tak endah, macam kejam, macam tak berhati perut, dan, hm, muka awak nampak menjengkelkan bila awak bermasam muka, tapi selain dari itu, awak ini taklah teruk sangat. Tapi dalam dunia ini, siapa saja yang tak kejam? Tangan siapa saja yang tak dilumuri dengan darah orang lain? Dunia ini memang begitu, yang kuat saja yang akan menang. Saya memang dah tak boleh nak kira berapa ramai orang yang saya dah bunuh. Zhuge Yue, awak pula bagaimana?" Berhenti seketika, Chu Qiao menyambung, "Awak sepatutnya ingat siapa yang awak dah bunuh, sebab awak itu pernah bunuh orang-orang gaji dan hamba-hamba yang dah buatkan awak marah saja, tapi saya tak boleh ingat berapa ramai yang saya dah bunuh. Mungkin bilangan orang yang dah dibunuh saya lebih banyak daripada bilangan orang yang saya kenal. Setiap kali saya libas pedang, mesti ada kepala yang terputus dan berguling-guling di atas tanah, bila darah mereka terpercik pada muka saya, saya rasa panas macam arang yang merah terbakar."