Chapter 111 - Bab 111

Ah Jing mengheret kedua-dua orang pemuda itu sebelum menghalau mereka keluar tanpa sekelumit pun perasaan teragak-agak!

Orang ramai yang menyaksikan babak itu semuanya menjadi terpana. Kedua-dua lelaki itu terjatuh dari tingkat dua! Terdapat sebuah kolam yang dalam di tingkat bawah bangunan tersebut dan akhirnya bunyi percikan air kolam itu kedengaran kuat.

Ah Jing bersama-sama Feng Mian sedang berdiri di belakang Yan Xun apabila mereka melangkah kembali, menunjukkan perasaan hormat yang menggebu buat pemuda di hadapan mereka ini.

Yan Xun yang tersenyum tanpa perasaan bersalah itu langsung tidak mempamerkan aura mendahagakan darahnya yang terpancar kuat sebentar tadi, seolah-olah apa yang berlaku tadi langsung tidak berkaitan dengannya. Dia berkata dengan tenang, "Saya minta maaf sebab melebih-lebih tadi,"

Hanya kesepian sahaja yang memenuhi ruang kawasan itu. Orang-orang tua ini yang sering mengarah orang-orang di sekeliling mereka untuk melakukan kehendak hati sukar untuk memproses apa yang telah terjadi, lantas hanya merenung Yan Xun seolah-olah pemuda itu ialah seorang pengunjung dari dunia lain.

"Saya hairanlah, pengawal peribadi awak boleh berenang tak?' Yan Xun yang tersenyum dengan penuh elegan itu terus bertanya. Jika ini merupakan hari-hari biasa, hati sesiapa sahaja pasti akan tertambat setelah melihat wajah mesra ini namun pada Ahli-Ahli Kehormat ini, senyumannya itu penuh berbaur dengan sifat kesyaitanannya yang mampu menusuk fikiran mereka

"Saya hanya bertanya sebab saya percaya kalau tiada sesiapa yang pergi dan selamatkan mereka, mereka berdua pasti akan lemas." Dia bersandar di atas kerusi dan lantas menggeleng kepala. "Memang malang betullah, saya tak perasan pun kolam itu ketika kami tiba tadi."

Ahli-Ahli Kehormat itu akhirnya bertindak balas setelah pemuda ini menjelaskannya, lantas orang-orang tua tersebut melonjak dari tempat duduk mereka dan segera mencari orang bawahan mereka untuk menyelamatkan kedua-dua yang telah dibuang ke dalam kolam tersebut. Serta-merta dewan itu menjadi sibuk dengan aktiviti orang ramai yang berkeliaran dan akhirnya, mereka berjaya menarik Ahli Kehormat Yu yang hampir mati kelemasan itu kembali ke tanah. Yan Xun sudah pun menghabiskan makanannya apabila mereka pulang ke tempat duduk mereka.

"Tuan Feng, siapa kawan kamu ini? Kalau dia ahli kesatuan itu, bagaimana dia boleh tak tahu tentang peraturan kita?" Tanya seorang ketua berpakaian merah yang bernama Liu, seorang pemegang perlantikan utama di cawangan Kesatuan Da Tong dalam Bandar Xian Yang dan telah menyandang jawatan di Bandar Xian Yang ini selama 40 tahun yang lalu. Pengaruhnya yang besar itu sememangnya diketahui ramai, malah Encik Wu dan Cik Puan Yu sendiri pun tidak berani untuk mengambil mudah akan pendapatnya. Sesebuah pasukan tentera memerlukan bantuan kewangan dan juga logistik apabila mereka pergi berperang, dan Ketua Liu inilah yang bertanggungjawab ke atas bahagian tersebut dalam Kesatuan Da Tong.

Yan Xun yang langsung tidak mengendahkan orang itu pun menjawab dengan tenang, "Para hadirin sekalian, izinkan saya perkenalkan diri saya. Oleh kerana Ahli Kehormat Yu di sini dah tak sabar nak berkenalan dengan saya, jadi izinkan saya untuk mula." Senyuman di wajah Yan Xun disinari dengan cahaya yang berkelipan, sambil pemuda itu berkata, "Nama saya Yan Xun, baru saja mengembara dari Yan Bei. Selamat berkenalan."

"Raja Yan Bei?" Ahli Kehormat Liu yang amat terperanjat itu tertepis teko teh tanpa sengaja, lantas membuatkan teh tersebut tertumpah ke atas blousenya yang cantik itu, namun dia langsung tidak mempedulikannya sambil merenung dengan mata yang terbuntang untuk melihat wajah Yan Xun yang comel tersenyum itu.

"Itu lebih tepat walaupun Yan Bei belum isytiharkan kemerdekaan kami, dan saya belum lagi ditabalkan lagi sebagai raja secara rasminya. Tapi, kalau Ahli Kehormat Liu pun dah panggil saya dengan panggilan itu, saya tak kisah."

"Tapi bagaimana?" Seorang lagi ahli kehormat berkata dengan tidak percaya. "Bagaimana awak yang dari Yan Bei boleh sampai ke Xian Yang?"

Yan Xun hanya tergelak. "Ahli Kehormat Xi, sudah semestinya awak tak nak saya datang sebab awak dah merancang untuk memindahkan semua aset awak ke Empayar Tang, bukan? Kalau saya datang, tak menjadilah rancangan awak itu.

Semua orang terpana sekali lagi apabila mendengar kenyataan Tuan Putera Yan Bei itu! Ahli-Ahli Kehormat yang berada di meja itu terus merenung wajah Yan Xun dengan wajah yang kelam dan pucat.

Senyuman di wajah Yan Xun terus memudar dengan nada suaranya yang menjadi semakin suram, "Empayar Xia bakal bangkit semula dari abu, dan tak lama lagi akan kembali ke Bandar Zhen Huang. Zhao Yang tengah kumpulkan pasukan tentera dia bersama Zhao Che yang sedang mengawal Bandar Zhen Huang sambil merancang kedudukan pasukan tentera maharaja. Peperangan di antara Yan Bei dan Empayar Xia sedang meningkat ke kemuncak dan nampaknya Kesatuan Da Tong seperti dah tak ada harapan untuk Yan Bei, jadi kalian dah merancang untuk berundur ke Empayar Tang, betul tak?"

"Yan… Putera Yan," Ahli Kehormat Liu cuba untuk menghasilkan sebuah alasan untuk menyelamatkan dirinya, "Ini semua strategi dari pihak atasan! Ketua Kesatuan yang telah mengarahkan kami supaya dapat mengelak persatuan kami dari terhapus sepenuhnya! Kesatuan Da Tong dah bermati-matian untuk Yan Bei selama bertahun-tahun ini dan juga dah selarikan minat kami dengan Yan Bei. Kami dah korbankan banyak nyawa ahli kami untuk selamatkan awak. Ini cuma perpindahan strategik saja untuk mengumpulkan kekuatan kami!"

Yan Xun merenung wajah-wajah ketakutan itu dengan penuh tajam dan lantas berkata dengan muram, "Selama lapan tahun ini, Da Tong dah gunakan nama saya untuk jaga keamanan Yan Bei, dan untuk pastikan yang rakyat jelata tak merana. Saya, Yan Xun, takkan lupakan pertolongan itu! Tapi!" Riak wajah pemuda itu terus menjadi tegang apabila dia mengecilkan matanya dan menyambung, "Tapi ia bermakna kamu jugalah yang ambil alih bahagian kewangan dan juga percukaian Yan Bei. Ambil alih kuasa di Sempadan Baiyu dan juga semua perdagangan yang berlaku di barat, memang kamu kaut banyak keuntungan, betul? Dan setengah tahun yang lalu, awak ambil peluang untuk kutip cukai yang bernilai mencecah cukai selama sepuluh tahun hanya sebelum saya nak pulang ke Yan Bei, merompak rakyat-rakyat jelata dari rezeki titik peluh mereka sendiri. Sekarang bila awak dapat tahu yang Yan Bei akan pergi berperang dengan tentera maharaja, awak merancang untuk tinggalkan Yan Bei begitu saja? Awak fikir Yan Bei akan pergi ke mana?" Yan Xun tersengih setelah mengambil nafas dan menyambung untuk mencemuh para Ahli Kehormat itu, "Pahlawan-pahlawan muda dan berani dari Da Tong itu dah merisikokan nyawa mereka dalam medan peperangan, tapi awak semua ini di sini hidup dalam kemewahan. Awak tak ada hati nurani ke? Saya terdengar yang Feng Mian ada kumpul beberapa data, agaknya apa yang dikatakan Cik Puan Yu kalau saya beritahu dia?"

Wajah pucat orang-orang tua di hadapan Yan Xun itu bertambah lebih pucat apabila mereka mendengar ancaman secara terang-terangan yang diberikan pemuda itu. Di dalam kalangan ketua-ketua generasi seterusnya, Wu Daoya pastinya mempunyai pengaruh terbesar, namun Cik Puan Yu sememangnya mempunyai kebolehan yang lebih hebat dan cekap. Taktik kejam dan juga kebencian wanita muda ini terhadap sesiapa yang dianggap sebagai musuh amatlah mempesonakan, dan jika wanita ini mengetahui tentang data-data tersebut, para dewa sahaja yang tahu apa yang bakal dilakukan oleh wanita ini.

"Mengenai hal ini, Putera Yan, orang tua ini harap yang data itu dijauhkan dari Daoya dan Ah Yu."

"Baiklah." Yan Xun tersenyum tanda bersetuju. "Ahli Kehormat Liu, kita berada di pihak yang sama. Memang banyak lagi perkara untuk dilakukan. Peperangan harus dilawan satu persatu, dan tembok Empayar Xia itu kena dihancurkan seinci demi seinci. Dengan itu, sesetengah perkara tak patut dinyatakan dengan sebegitu jelas, kalau tak rakyat jelata semuanya tak mempercayakan Da Tong lagi."

"Ya, betul itu."

"Kalau macam itu, saya pasti kalian semua tahu apa yang patut kalian buat."

Ahli Kehormat Liu cuba untuk menguji pemuda ini, "Jadi kita akan terus tunggu di sini dengan tenang sehingga berita kemenangan Yan Bei sampai di Xian Yang?"

"Tak perlu." Yan Xun menggeleng kepalanya. "Kalian semua boleh terus pindahkan aset kalian ke Empayar Tang."

Terpana sekali lagi, Ahli-Ahli Kehormat yang berada di situ merenung pemuda ini dengan tidak percaya untuk ke berapa kalinya hari ini dan melihat Yan Xun yang tersengih nakal ini. "Jangan risau. Kebetulan saya pun tengah menuju ke Empayar Tang juga ini. Selepas itu saya akan menggunakan sempadan selatan untuk balik ke Yan Bei dan semua maklumat ini akan dibawa balik bersama."

Wajah Ahli Kehormat Liu dan yang lain semuanya berubah masam apabila mendengar kata-kata Yan Xun itu, lantas pemuda itu berdiri dan menghabiskan perbualan tersebut dengan bersahaja. "Baiklah, makan malam pada malam ini sedap sangat, dan perbualan ini pun dah nak tamat. Dah tiba masanya saya ambil diri dulu. Ahli Kehormat Liu, kali ini saya akan gunakan nama anak saudara awak untuk menghala ke Empayar Tang, dan saya harap awak dapat siap uruskan segalanya esok. Putera Tang itu kan bakal berkahwin tak lama lagi, sebagai pedagang terunggul di Xian Yang ini, awak patut beri hadiah yang bagus kepada dia." Dengan itu, Yan Xun mengucapkan selamat tinggal kepada orang lain yang berada di dalam bilik itu dengan menggenggam kedua belah tangannya dan berkata, "Selamat tinggal!"

Gerabak kuda meninggalkan kawasan rumah agam tersebut pada tengah malam di Bandar Xian Yang, namun jalan-jalan di bandar itu masih meriah dengan bermacam-macam aktiviti.

Feng Mian yang kebingunan itu bertanya, "Tuanku, mereka itu semua ada aset yang hebat. Bukan ke bahaya kalau kita nak bawa semuanya ke Empayar Tiang. Kenapa tak pulang ke Yan Bei saja?"

"Kamu fikir kita selamat sangat ke kalau kita pulang ke Yan Bei?" Yan Xun membalas dengan soalan. "Memandangkan Empayar Xia yang masih tidak mempunyai politik yang stabil, susah nak dijangka sama ada rancangan kita untuk pulang ke Yan Bei itu tidak bermasalah." Bersandar di dalam gerabak tersebut, Yan Xun pun mengeluh sebelum menyambung, "Kita pun tak nak maklumat-maklumat ini untuk jatuh ke tangan pegawai Empayar Xia, dan kita pun tak nak diperbodohkan oleh Ahli-Ahli Kehormat itu, jadi kita hanya boleh ambil jalan ke Empayar Tang saja. Lagipun kawalan di Empayar Tang itu pun bagus juga dan lebih-lebih lagi bila saya tengah berlakon jadi orang kaya yang nak pindah ke Empayar Tang dari Xian Yang. Pasti Empayar Tang akan menghantar pasukan tentera mereka untuk mengawal aset kita semasa perjalanan kita ke Tang Jing sebab mereka itu nak pastikan kemajuan ekonomi mereka saja. Dan setelah kita berada di dalam Ibu Negara Tang, kita akan ada banyak jalan untuk menyelinap keluar dan memasuki sempadan selatan untuk pulang ke Yan Bei."

"Tapi," Feng Mian yang masih khuatir itu bertanya, "Mesti ada ramai ahli bangsawan di Tang Jing, dan ramai daripada mereka akan kenal Tuanku. Kalau Tuanku berlakon jadi anak saudara Ahli Kehormat Liu, Tuanku tak takut tertangkap ke?"

"Kamu jangan risau mengenai itu. Saya ada cara saya tersendiri." Yan Xun menenangkan hati Feng Mian, "Untuk menghalang dari pesanan itu tersebar, tolong jaga Ahli-Ahli Kehormat ini selepas saya berangkat. Pastikan yang mereka ini akan senyap selama-lamanya supaya kita dah tak perlu risaukan tentang mereka."

Feng Mian terperanjat setelah mendengar kekejaman ini dan terlupa untuk memperingati Yan Xun.

Yan Xun terus berkata dengan tenang, "Saya senang hati kalau kamu berada di samping saya. Saya rasa dah tiba masanya ketua bahagian logistik di Tenggara itu bertukar tangan. Feng Mian, walaupun kamu ini masih muda, tapi saya rasa kamu patut dapat pengalaman yang sebenar."

Feng Mian akhirnya membalas kali ini, "Hamba Tuanku ini faham!"

Yan Xun yang kelihatan mengantuk itu berkata dengan suara yang lemah, "Ahli-Ahli Kehormat ini mungkin ahli-ahli Kesatuan Da Tong yang bersemangat tinggi juga masa mereka muda dulu. Tapi selepas mereka dapat lebih banyak harta dan kuasa, mereka terus menjadi tamak. Sebagai manusia, kamu boleh mempunyai impian yang tinggi, tapi jangan sesekali kamu ambil perkara yang berada di luar hak kamu. Impian boleh bawa kemenangan yang besar, tapi ketamakan itu akan tenggelamkan kamu ke dalam neraka jahanam. Feng Mian, sebagai seseorang yang mempunyai kuasa yang besar, kamu patut fikir apa yang saya cakap itu baik-baik."

Wajah Feng Mian perlahan-lahan bertukar pucat, lantas menundukkan wajahnya dengan perasaan hormat namun masih berdiam.

Angin menghembus ke dalam gerabak itu lantas menjadikan lilin di dalam gerabak itu untuk berkelip-kelip dan wajah Yan Xun pun kini sukar untuk ditafsirkan.

Feng Mian terasa seram sejuk yang merangkak di tulang belakangnya apabila teringat akan kata-kata Chu Qiao kepadanya dua tahun lalu sebelum dia pergi, "Kamu itu taat, mengambil berat, bijak, berani. Kamu mempunyai semua sikap yang baik, cuma kamu itu terlalu berkebolehan."

Pemuda itu langsung tidak mempercayai kata-kata gadis ini dan tidak pernah sekalipun memikirkannya namun merenung tuan mudanya itu pada masa ini, Feng Mian tiba-tiba tersedar. Dengan berhati-hati dia mengangkat sehelai jubah lalu membaluti Yan Xun dengan baju itu walaupun dia tahu putera itu masih belum tidur, dia masih terdiam dan tidak mahu berbuat sebarang bunyi. Feng Mian tiba-tiba bersusah hati dan berharap dengan sepenuh hatinya tuannya akan selamat sepanjang perjalanannya ini, dan Ciknya itu untuk kembali ke pangkuan Yan Xun. Mungkin satu-satunya orang yang dipercayai Tuan Putera itu ialah gadis ini seorang sahaja.

Pada malam musim panas itu, tentera Yan Bei yang beriringan dengan Yan Xun itu telah menukar pakaian mereka ke pakaian yang dibeli di Xian Yang dan juga menggunakan kuda-kuda mereka. Di bawah iringan pedagang hebat Liu Mingjun, iringan besar ini meninggalkan Bandar Xian Yang pada hari kedua dan menuju ke Tang Jing dengan megah.