Chapter 112 - Bab 112

Chu Qiao akhirnya mengekori Zhuge Yue. Setahun yang lalu, jika seseorang memberitahu gadis ini suatu hari nanti dia bakal berada di dalam gerabak kuda yang sama dengan Zhuge Yue dalam keadaan aman damai, dia tidak akan mempercayainya. Namun sekarang, apabila dia memandang lelaki yang menyandar pada sisinya sambil membaca buku itu, dia langsung tidak merasakan aura membunuh yang keluar daripada lelaki ini.

Sewaktu jamuan di Bandar Wupeng itu, Chu Qiao telah bertemu dengan ramai kenalan seperti Putera Keempat Belas Zhao Yang, Mu Yun dari Ling Nan, Wei Qingchi dari keluarga Wei dan Zhao Zhongyen iaitu anak kepada Ling King. Itu merupakan satu pengalaman yang sangat dahsyat baginya kerana dia dengan santainya dapat berada sebumbung dengan golongan-golongan bangsawan itu walaupun dia merupakan seorang penjenayah yang dikehendaki oleh Empayar buat masa ini. Bukan sahaja dia terpaksa bersua muka dengan mereka, malah dia terpaksa menuangkan minuman dan menghiburkan hati mereka dan itu merupakan satu pengalaman yang sangat tidak menggembirakan baginya.

Kini, gerabak kuda golongan-golongan bangsawan ini telah berada di sekelilingnya dalam rombongan yang sama untuk menuju ke Tang Jing bagi meraikan perkahwinan Putera Tang. Peluangnya untuk melarikan diri boleh dikatakan sifar disebabkan dirinya yang berada di bawah penyeliaan yang ketat itu dan hanya mampu mengikuti Zhuge Yue ke mana sahaja pemuda itu pergi, masih menganggap pemuda itu sebagai "tebusan" gadis itu sewaktu mereka memulakan pengembaraan aneh mereka ini. Namun, "tebusan" ini tidak peka langsung dia telah dijadikan tebusan.

"Air," Ujar Zhuge Yue tanpa mengalihkan pandangannya dari buku itu.

Chu Qiao merenung pemuda itu dengan perasaan marah, jadi sebagai bantahan, gadis itu langsung tidak berganjak dan terus kekal di situ.

Seketika itu, tuan keempat Keluarga Zhuge akhirnya tersedar akan sesuatu, kemudiannya mendongak lalu memandang gadis itu dengan raut wajah yang terkejut. Jika mata pemuda ini boleh berbicara, pasti ayat yang akan keluar berbunyi seperti ini, "Awak tak dengar ke apa saya cakap tadi?"

Chu Qiao yang sudah tidak mampu bersabar lagi itu akhirnya meletus, "Saya bukan orang gaji awaklah."

Zhuge Yue kemudian mengangguk seperti dia benar-benar memahaminya. Chu Qiao yang agak terkesima dengan perangai pemuda itu yang menurut sahaja kata-katanya tetapi tiba-tiba menjerit, "Yue Qi!" Dengan sepantas kilat, pintu gerabak itu dibuka dan Chu Qiao dengan segera mencapai penutup kepalanya yang tebal itu untuk menutup wajahnya lalu gadis itu melabuhkan punggungnya di sebelah Zhuge Yue sambil mengacukan pisau di belakang lelaki itu. Jika Zhuge Yue bertindak melulu, habislah dia.

"Tolong tuangkan teh untuk saya." Yue Qi pun terperanjat lalu dia memandang Chu Qiao dengan penuh kekeliruan. Zhuge Yue kemudian dengan selambanya berkata, "Dia bukan orang gaji sayalah."

Pengawalnya ini yang beranggapan Zhuge Yue benar-benar menyukai gadis ini terus mencadangkan, "Kalau begitu, perlu ke saya cari orang gaji untuk layan tuan dan cik ini?"

Zhuge Yue mengangguk seperti setuju, kemudian dia menoleh dan bertanya kepada Chu Qiao. "Awak ada masalah ke dengan itu?"

Mestilah! Mata Chu Qiao mula berpinar-pinar kemarahan dan pisaunya kini lebih merapati belakang lelaki itu. 'Apa yang lelaki ini fikirkan? Dia nak mati agaknya.'

"Nampaknya dia tak nak," Balas Zhuge Yue kepada Yue Qi. "Tolong tuangkan secawan teh dulu kalau apa pun. Kalau ada masalah, saya akan panggil kamu."

Yue Qi mengangguk. Namun, sebelum sempat dia memasuki gerabak itu, Chu Qiao tiada pilihan lain melainkan menyampuk dengan nada yang rendah. "Biar saya yang buat." Yue Qi tersenyum lalu dia pun berpaling dan meninggalkan pedati itu selepas menutup pintunya.

"Apa yang awak sedang cuba lakukan?" Setelah Yue Qi beredar, Chu Qiao segera melemparkan soalan kepada Zhuge Yue dengan geramnya.

Zhuge Yue yang kelihatan sangat tenang itu memerhatikan teh hangat yang disimpan di dalam alat pemanas. Kemudian dia membalas, "Saya hauslah."

"Awak tak ada air ke? Tak reti nak tuang sendiri?"

Tanpa membuang masa lagi, Zhuge Yue membuka mulutnya untuk memanggil Yue Qi kembali dan Chu Qiao yang terus berasa gelabah segera menekup mulutnya.

'Yalah!' Chu Qiao terpaksa mengaku kalah di dalam hati, dan gadis itu pun mengangkat teko air yang panas itu lalu menuangkannya ke dalam cawan tanpa mempedulikan suhunya. Setelah itu dia menghempaskan cawan tersebut ke meja kecil di samping Zhuge Yue sambil mendengus, "Minumlah! Biar terbakar lidah awak!"

Tanpa membuang masa, Zhuge Yue mengeluarkan sehelai sapu tangan kapas miliknya dengan selamba lalu memegang cawan itu menggunakan sapu tangan tersebut sebagai penebat haba, lantas pemuda itu meniup teh itu beberapa kali untuk menyejukkannya sebelum perlahan-lahan menghirupnya.

Setelah melihat pemuda itu yang begitu bersahaja, Chu Qiao mula bertambah pening. 'Apa-apa sajalah. Tak kira apapun berlaku, aku harus larikan diri malam ini walaupun aku terpaksa dedahkan jejak aku. Aku tak boleh berterusan di sini.'

Daerah An Bai merupakan sebuah pusat perindustrian utama bagi wilayah timur Empayar Tang yang terletak di antara Tanah Tinggi Pinggui dan banjaran Gunung Cui Wei. Di kaki Gunung Cui Wei pula terdapat sealiran Sungai Nanyue yang juga dikenali sebagai Jalan Air Sempadan Selatan. Ini merupakan jalan air buatan manusia yang dibina oleh Empayar Tang yang menghubungkannya dengan Yan Bei dari Cheng Zhou, dan ia sangat berguna bagi urusan perdagangan terutama sekali urusan pertukaran haiwan domestik seperti lembu dan biri-biri. Jalan air ini sahaja menyumbangkan hampir separuh dari perdagangan di Empayar Tang. Di sebalik Pergunungan Cui Wei pula terdapat tanah tandus Qinghai, walaupun populasi di kawasan itu sedikit namun terdapat banyak utusan pedagang berkuasa yang kerap mendagangkan kulit dan juga herba penting bersama Empayar Tang dan disebabkan oleh struktur geografi Daerah An Bai yang merupakan sebuah bandar kecil, jadi ia boleh dikatakan makmur dan juga maju.

Lawatan daripada kumpulan pembesar Empayar Xia serta-merta telah mencetuskan pergolakan dalam bandar kecil ini. Sebelum sempat mereka memasuki bandar ini, pengawal-pengawal yang datang untuk menyambut ketibaan mereka sudah pun membentuk formasi mereka sejauh setengah batu dari bandar. Topi pegawai mereka yang berwarna-warni sudah kelihatan dari jauh seperti banyak aktiviti yang akan berlangsung. Chu Qiao kemudiannya bertanya, "Sejak bila awak dan Empayar Tang berdamai pula? Bukan ke awak berperang dengan mereka sehingga tahun lepas?"

Zhuge Yue mengecilkan matanya memandang Chu Qiao. "Dalam dunia politik ini, tiada istilah musuh abadi jika kita berdua boleh mendapat manfaat bersama."

Chu Qiao menoleh untuk memandangnya lantas gadis itu mendengus, "Yalah itu. Perhimpunan musang-musang licik."

"Siapa yang lebih berhak dapatlah bantuan yang lebih." Zhuge Yue mengangkat cawan air itu lalu menghirupnya sebelum menambah lagi, "Lagipun, mereka yang merancang rancangan jahat dan memberontak hanya akan menempah maut saja."

Perasaan amarah mula membuak-buak dalam diri Chu Qiao namun sebelum sempat dia membidas kata-kata pemuda tersebut, bunyi tapak kaki di sebalik pintu gerabak kedengaran dan segera Chu Qiao memakai penutup kepalanya yang tebal itu dan duduk di samping Zhuge Yue sambil menghunuskan pisau belatinya dan menjadikannya sebagai tebusan.

Dengan sepantas kilat, pintu gerabak itu dibuka dan Mu Yun muncul dari pintu gerabak, dan Chu Qiao yang sudah lama tidak bertemu dengannya setelah sekian lama itu akhirnya bertemunya kembali, dan gadis itu perasan dia sudah tidak kelihatan seperti seorang lelaki lagi dengan jubah biru lembut, sepasang but putih dan solekan asasnya itu. Dia kemudiannya tersenyum ke arah Zhuge Yue sambil berkata, "Pegawai-pegawai atasan Daerah An Bai dah tiba. Setelah berbincang, kami rasa jika kita tak menyapa dan hiburkan mereka, biadab pula namanya. Apa pendapat tuan keempat?"

Zhuge Yue tersenyum sinis lalu membalas, "Apa-apa pun boleh. Setelah awak putuskannya, beritahu saja saya."

Mu Yun mengangguk lalu berkata, "Kalau begitu, saya tak patut ganggu rehat awak lagi. Kita dah nak masuk ke bandar jadi harap awak boleh mengajukan minum ucap selamat sewaktu jamuan makan malam nanti!"

Selepas pintu ditutup, Chu Qiao naik berang, "Zhuge Yue, awak jangan buat hal!"

Zhuge Yue mendengus dan mengabaikan pisau yang telah diajukan di belakang badannya itu. Lantas dia pun membalas, "Itu ayat sayalah."

"Awak ingat saya bodoh ke?" Chu Qiao menjeling pemuda itu tajam, "Berdasarkan sifat awak itu, boleh ke awak nak jelajah dengan mereka ini? Sekarang ini awak nak bercampur dengan pegawai-pegawai itu pula? Apa rancangan awak ini sebenarnya? Jangan mimpilah yang saya nak benarkan awak buat semua itu!"

Zhuge Yue mengangkat kepalanya dan memandang Chu Qiao dengan santai sambil menuding jari ke dadanya. "Kalau awak takut, tikam saja saya. Kalau awak tak mahu, jangan buat banyak bunyi."

Chu Qiao mengerut keningnya lalu berkata, "Awak ingat saya tak berani buat ke?"

Zhuge Yue terhibur sambil memandangnya dengan penuh teruja sebelum mendengus, "Oh, yakah?"

Tiba-tiba, bunyi hiruk-pikuk nafiri dapat didengari dari luar dan diikuti dengan bunyi tembakan bunga api. Walaupun banyak alat muzik yang dimainkan pada masa yang sama tetapi semuanya kedengaran tersusun sahaja bamun begitu ia agak pelik juga mendengar bunyi nafiri di tempat terbuka seperti ini.

Chu Qiao dan Zhuge Yue berasa terperanjat apabila terdengar suara Yue Qi di sebalik geravak, "Tuan, saya dengar seketika tadi yang Putera Tang dah melalui kawasan ini."

Walaupun terpisah dengan sebuah jendela, namun mereka boleh membayangkan raut wajah Yue Qi ketika dia mengujarnya. Walaupun janggal, Chu Qiao dan Zhuge Yue bertukar pandangan sambil memikirkan tentang kebiasaan Putera Tang yang bukan seperti perangai kebanyakan orang itu.

"Membazir sumber dan tenaga saja!" Ujar Chu Qiao. Zhuge Yue hanya berdiam diri tidak membalas kata-kata gadis itu sambil bersandar pada kusyen lembut dengan matanya yang terpejam tanpa menghiraukan keadaan riuh-rendah di luar. Rombongan mereka ke bandar diteruskan juga secara perlahan-lahan bersama bunyi nafiri yang membingitkan itu. 

Pada waktu siang bersama bunyi nafiri yang kuat, Chu Qiao si pengganas yang dikehendaki oleh empayar dengan beraninya melalui pintu Daerah An Bai.

Setelah memastikan kereta kuda disusun dengan terurus, pegawai-pegawai menyambut mereka sekali lagi. Chu Qiao tidak meninggalkan sisi Zhuge Yue sewaktu menyapa pegawai-pegawai yang datang menyambut mereka.

Apabila malam menjelang, kerlipan cahaya menerangi kerumunan orang yang riuh-rendah itu. Banyak kereta kuda yang gah berhimpun di hadapan kediaman Datuk Bandar An Bai sewaktu pengawal-pengawal melaungkan kata alu-aluan untuk menyambut tetamu yang tiba. Dalam dewan tersebut, cahaya yang terang menerangi seluruh bahagian bersama penari-penari yang sudah mengambil tempat di atas pentas. Bau harum minuman keras juga merebak di seluruh dewan itu.

Chu Qiao yang mengikuti Zhuge Yue dari belakang mengenakan busana Cina yang bercorak daun hijau. Dia masih lagi memakai penutup kepala yang tebal dan hiasan di kepalanya kini lebih berlebihan dari yang sebelumnya. Sekilas pandang, dia kelihtan sangat jelita.

Apabila bunyi nafiri dilaungkan, Zhuge Yue perasan akan kehadiran Mu Yun dan Zhao Yang yang juga berada di situ dan setelah bertegur sapa sesama sendiri, mereka pun kemudiannya mengambil tempat masing-masing.

Datuk Bandar Daerah An Bai merupakan seorang cendekiawan yang berusia dalam lingkungan 30-an. Walaupun dia nampak naïf seperti tidak tahu apa-apa, namun kemahiran berpidatonya sangat hebat. Setelah mengajukan minum ucap selamat, Chu Qiao pun berasa kagum dengan kebolehannya untuk bergaul mesra. Setelah dia mengakhiri ucapan pembukaannya itu, keterujaan mereka yang berada di dalam dewan mula meluap-luap apabila mereka mula bergaul mesra.

Zhao Yang yang terduduk di hadapan Zhuge Yue dan Chu Qiao itu sedang memakai jubah berwarna emas lembut sambil meneguk minuman keras tanpa henti. Chu Qiao tidak begitu mengenali pemuda ini dan walaupun mereka jarang bertemu di Bandar Zhen Huang, namun gadis itu sering bertempur dengan tenteranya dua bulan lepas. Tambahan pula seluruh wilayah barat daya di bawah bidang kuasanya. Walaupun arahan untuk menangkap Chu Qiao telah dikeluarkan oleh Zhao Che tetapi yang menjalankan perintah tersebut kebanyakannya adalah Putera Keempat Belas ini.

"Tuan Putera Keempat Belas sememangnya seorang wira. Gadis ini menzahirkan rasa hormat kerana dapat bertemu Tuan Putera hari ini."

Adik perempuan Datuk Bandar menuju ke arah Zhao Yang dengan lemah lembut sambil mengajukan minum ucap selamat kepadanya. Zhao Yang tersenyum lalu berdiri sebelum membalas ucapan selamat itu. Gadis itu yang terperanjat dengan tindakan Zhao Yang lantas menundukkan wajahnya ke bawah lagi dan dari sudut pandangan Chu Qiao, dia malah boleh nampak pakaian dalam wanita itu.

Di sisi lain, seseorang mengujar, "Pertempuran Huai Yang sangat menakjubkan. Dengan bakat dan pencapaian pada usia yang muda, Tuanku pasti mempunyai masa depan yang cerah!"

Zhao Yang tersenyum. "Tak kira sehebat mana pun saya, saya masih belum mampu menangkap Chu Qiao jadi saya tak layak terima pujian yang melambung seperti itu." Mereka mula berasa terperanjat dengan jawapan balasnya yang merendah diri itu. Sebelum situasi bertambah janggal, Datuk Bandar cepat-cepat mencelah, "Manusia tak pernah lari dari buat kesilapan. Saya yakin gadis itu takkan bernasib baik lagi kalau bertembung dengan Tuanku selepas ini."

Setelah mendengar kata-kata itu, Zhao Yang hanya berdiam dan memandang ke arah mereka semua sekilas sebelum melabuhkan punggungnya kembali. Setelah menghapuskan situasi tegang itu, Datuk Bandar menjemput adik perempuannya untuk membuat sebuah persembahan dan lantas gadis itu menanggalkan kot luarnya, menampakkan busana merahnya yang gebu sebelum mulakan tariannya. Setelah selesai menari, dia mengambil tempat di sebelah Zhao Yang dan mula melayan lelaki itu sepenuh hati.