Chapter 110 - Bab 110

Yan Xun tertawa sinis, "Susah nak mencari Cik kamu itu. Kalau Ah Chu dah nekad untuk bersembunyi, tak mungkin si bodoh-si bodoh dari Empayar Xia dapat jumpa dia. Saya akan berasa lebih tenang kalau kamu dapat bantu saya cari dia di luar. Apapun, saya tetap risau tentang dia yang seorang diri di luar sana itu."

"Baiklah."

"Dan lagi satu." Yan Xun berasa teragak-agak seketika sebelum bertanya, "Macam mana awak kendalikan hal yang saya minta dalam surat bulan lepas?"

Raut wajah Feng Mian berubah lebih serius. Sebelum membalas, dia berjalan ke arah meja dan mengambil timbunan kertas, "Semua data yang dikumpul ada di sini."

Yan Xun menerima kertas-kertas tadi dan menelitinya sebelum tersenyum sinis. "Seperti yang dijangkakan, mereka dah tak boleh bersabar lagi."

"Tuan Putera, Kesatuan Da Tong ialah sekutu kita yang dah sokong Yan Bei selama ini. Kalau kita buat begitu, bukan ke orang ramai akan sebar khabar angin tentang kita?"

Yan Xun yang tersenyum sinis sambil mengusik-usik timbunan kertas di tangannya itu. Dengan tenang dia berkata, "Feng Mian, awak betul-betul fikir yang Kesatuan Da Tong itu masih sama selepas beratus-ratus tahun berlalu? Mungkin ahli terhormat seperti Encik Wu masih mempunyai pemikiran seperti itu tetapi Da Tong dah lama mereput. Takkan kamu tak faham lagi setelah sekian lama kamu berada di Xian Yang?"

Feng Mian teragak-agak seketika untuk membetulkan pandangannya itu sebelum bersetuju, "Betullah cakap Tuan Putera itu. Hamba ini berasa seperti ada suatu masalah struktur yang serius saja dalam Kesatuan Da Tong itu. Walaupun ada beberapa kumpulan yang masih berpegang pada jalan yang benar terutama sekali mereka yang dipimpin oleh Cik Puan Yu dan Encik Wu, tetapi kebanyakan ahli kehormat dah tunduk kepada maksiat. Hal ini memang diketahui ramai ahli kesatuan pun. Saya yang pernah berkhidmat dalam sarang-sarang perjudian, warung tavern dan tempat pelacuran, memang dah masak dengan tindakan tak jujur dalam Kesatuan Da Tong itu."

Yan Xun menepuk bahu Feng Mian sambil ketawa terbahak-bahak. "Apalah kamu ini. Takkan kamu masih tak boleh terima yang perkara ini dah menjadi kebiasaan walaupun dah bertahun-tahun kamu menetap di Bandar Xian Yang ini? Mungkinlah ratusan tahun dulu Kesatuan Da Tong ini memang bertujuan untuk membantu kehidupan orang lain tapi sekarang ini kesatuan itu dah jadi tempat untuk kuasa politik berhimpun. Ahli-ahli kehormat dalam Da Tong itu dah mengumpulkan keuntungan yang banyak dan mereka hanya tiada wakil politik yang sesuai untuk menjadi boneka kepada kesatuan berkuasa ini saja. Kalau mereka mampu mendapatkan orang itu, banyaklah lagi manfaat yang mereka akan dapat." Apabila dia meneruskan monolognya, pandangan Yan Xun menjadi dingin. "Keadilan untuk semua. Hmph. Menarik betul slogan itu. Tapi sayang, di mana ada manusia, di situlah ada persaingan dan kalau ada keuntungan, di situlah juga peperangan akan tercetus. Keadilan untuk semua? Mungkin si pengecut dan si dungu saja yang mempercayainya, tapi saya mengaku yang slogan ini menarik terutama sekali dalam zaman yang kucar-kacir seperti ini. Rakyat ramai yang berharap pada Kesatuan Da Tong. Jika sekarang kita bekerjasama dengan mereka, kita akan dapat berikan bantuan ketenteraan kepada mereka dan mereka pula boleh bekalkan sumber dan kewangan kepada kita. Kita boleh penuhi keperluan masing-masing. Kerjasama ini sememangnya telah ditakdirkan."

Feng Mian mula berasa keliru. "Kalau begitu, kenapa Tuanku perlu menyuruh hamba ini untuk mencari maklumat itu?"

"Tak kira apa jenis persatuan pun pastinya akan ada seorang pemimpin." Yan Xun berpaling sambil memerhatikan dahan pokok willow yang bergoyang-goyang dan jari-jemarinya secara tidak sengaja menari-nari di atas meja apabila dia bercakap, "Kesatuan Da Tong dah menggali dengan terlalu dalam. Ketua Kesatuan malah berani menyeludup orang kepercayaannya ke Yan Bei untuk memegang pelantikan utama. Sekarang ini tak kira ketenteraan atau pentadbiran, kebanyakan orang dalam Yan Bei mempunyai hubungan rapat dengan Da Tong. Kalau dibiarkan, kedudukan saya di Yan Bei pun pasti akan terjejas."

Yan Xun meneruskan monolognya, "Sekarang ini, Yan Bei masih tidak begitu stabil jadi saya tak boleh mempertaruhkannya dengan menukar ramai pegawai, tapi saya boleh ambil peluang ini untuk memperingati Ketua Kesatuan. Saya yakin yang Ketua Kesatuan Da Tong itu seorang yang cerdik jadi pasti dia akan memahami amaran secara tak langsung ini. Lagipun, ahli-ahli kehormat lain yang degil itu pasti dah banyak bagi masalah kepada Ketua Kesatuan."

Setelah mendengar hal itu, Feng Mian menjadi teruja. Tuan Feng yang selalunya kelihatan tenang dan anggun itu tiba-tiba ketawa terbahak-bahak. "Betullah itu. Saya dah lama geram dengan perangai mereka. Kalau saya tak fikirkan tentang kedudukan Tuanku, dah lama saya ajar mereka itu!"

Yan Xu berdiri sambil tertawa kecil, "Jom bersiap-sedia. Lepas mandi dan rehat nanti, saya nak awak ikut saya jumpa Ahli-ahli Kehormat Kesatuan Da Tong."

Feng Mian berdiri sambil tersenyum. Sebelum dia keluar dari bilik itu, dia menoleh dan bertanya kepada Yan Xun. "Oh ya, Tuanku, malam ini Tuanku pakai baju apa? Baju biasa atau uniform Kesatuan Da Tong?"

Yan Xun berfikir sebentar sebelum menjawab, "Pakai baju uniform sajalah."

"Tapi uniform itu pun ada pelbagai pangkat. Walaupun golongan muda menganggap Tuanku sebagai ketua mereka tetapi Tuanku masih lagi dianggap sebagai ahli kesatuan yang berpangkat rendah. Saya risau mereka akan buli Tuanku."

"Buli saya?" Yan Xun mengangkat keningnya terhibur sebelum bibirnya melakarkan sebuah senyuman. "Kamu ingat saya takut ke kalau orang buli saya?"

Apabila malam menjelang, Bandar Xian Yang mula riuh-rendah dengan aktiviti malam. Sungai Chi Shui yang mengalir dengan membawa haruman bersamanya di sekitar bandar yang bersuasana riuh-rendah disebabkan perniagaan di pinggir sungai itu yang menonjolkan lagi kegemilangan Bandar Yang Xian, terutama sekali rumah pelacuran yang sesak dengan pelanggan setiap hari.

Yan Xun berada di hadapan sebuah warung tavern gergasi yang membuatkan pemuda itu mengecilkan matanya lantas memerhatikan dua buah tanglung besar di hadapan pintu utama tersebut. Walaupun pintu itu tidak dihiasi dengan corak yang menarik, namun terdapat sebuah aura kemuliaan yang terpancar daripadanya, langsung tidak dipengaruhi dengan suasana riuh-rendah orang ramai pada waktu malam. Di atas pintu utama tersebut tergantungnya selapis papan kayu besar yang tertulis "Zhao Xi" dengan tulisan kaligrafi yang cantik.

Bangunan ini hanyalah sebuah tempat pelacuran namun nama yang diberikan sungguh indah. Setelah melihat Yan Xun kelihatan sedikit terperanjat, Feng Mian menghampirinya dan berbisik, "Tuan Putera, ini rumah pelacuran saya tetapi nama itu telah dinamakan oleh seseorang wanita sewaktu saya mula-mula bekerja dulu!"

Yan Xun mengangguk. Walaupun Feng Mian seorang yang berkaliber tetapi sewaktu dia mula-mula tiba di Xian Yang, dia masih lagi seorang perantis dalam bidang perniagaan, jadi semua rancangan dan pengetahuannya telah diajar oleh Chu Qiao. Rumah pelacuran ini dibina mungkin atas usaha keras Chu Qiao juga dan sebaik sahaja pemuda itu memikirkan tentang Chu Qiao, Yan Xun tidak boleh menahan dirinya dari berkerut, lantas dia pun berjalan masuk ke dalam kedai.

Pengurus rumah pelacuran itu kemudian perasan akan kehadiran Feng Mian dari jauh dan dia sudah menunggu di sebelah pintu utama bersama sekumpulan wanita cantik.

Seorang wanita yang sangat menawan dan mungkin berusia dalam lingkungan 30-an namun wajahnya tidak kelihatan tua itu menghampiri mereka. Dengan susuk tubuh yang menawan, dia mengerdipkan matanya menggoda apabila menyapa Feng Mian, "Tuan Feng, terima kasih sebab melawat kami pada malam ini. Saya sangat gembira sehingga tak tahu ingin menggunakan kaki yang mana untuk menyambut awak!" 

Feng Mian mula berasa sedikit gelisah apabila Yan Xun berada di sebelahnya lalu dengan sepantas kilat dia berkata, "Yu Niang, di mana Ahli Kehormat Liu dan kumpulannya? Cepat bawa kami ke sana."

Yu Niang yang amat berpengalaman dalam melayani orang ramai itu segera dapat mengesan kedua-dua pemuda ini ke sini adalah di atas urusan yang serius lalu wanita itu segera menunjukkan jalan. Setelah melihat Feng Mian mengikuti di belakang Yan Xun dengan rasa hormat, wanita itu pun berasa agak terperanjat namun dia yang sudah terbiasa dengan situasi sosial ini hanya berdiam diri dan memendam perasaan ingin tahunya yang membuak-buak itu.

Setelah sekian lama, kumpulan itu melewati sebuah koridor panjang, lantas memasuki sebuah halaman yang telah dibina dengan halus dan rumit. Dewan utama yang riuh-rendah itu lama-kelamaan menjadi sunyi. Dalam halaman itu, terdapat pelbagai jenis bunga dan pokok bonsai. Apabila angin bayu malam bertiup, mereka dapat menghidu haruman bunga yang ditiup bersama angin.

Yu Niang yang berjalan di menara kecil yang terpisah tertawa kecil, "Mereka dah sampai. Saya hanya hantar sampai sini jadi Tuan Feng boleh teruskan saja." Setelah itu, wanita yang sungguh menawan ini menoleh sambil meletakkan tangannya yang lembut pada lengan Yan Xun, dan lantas dia berbisik dengan penuh berahi, "Ini pertemuan pertama kita tetapi saya boleh tahu yang awak bukan seperti rakyat biasa. Kalau awak ada masa, datanglah ke sini lagi untuk melihat perniagaan Tuan Feng."

Feng Mian yang terkaku dengan ucapan itu belum sempat menerangkannya, namun Yan Xun sudah terlebih dahulu menepis tangan wanita tersebut ke tepi sambil tersenyum kecil dan membalas, "Tentu saja."

Yu Niang kemudiannya berjalan dengan lenggang sewaktu beredar.

Feng Mian yang berada dalam kegelisahan pun segera menerangkannya, "Tuanku…"

"Feng Mian, kamu tak perlu gementar sangat, dan jangan panggil saya Tuanku lagi. Jom." Yan Xun menyapu lengan bajunya itu apabila dia berjalan masuk, "Jom kita masuk dan lihat."

Dewan yang luas itu telah diterangi bersama meja bulat yang terletak di tengah-tengah sajian makanan yang banyak tidak terhingga. Yan Xun melihat sekeliling dan mendapati lebih kurang lapan hingga sembilan orang lelaki sudah duduk bersama pengawal yang berdiri di samping mereka dan setelah melihat kedua-dua pemuda ini memasuki dewan, suara mereka yang riuh-rendah itu terus terdiam sambil melemparkan jelingan maut pada Yan Xun dan Feng Mian.

Feng Mian dan Yan Xun menanggalkan kot mereka lalu menyerahkannya kepada Ah Jing sebelum menyapa ahli-ahli kehormat yang berada di situ.

Sebelum sempat Yan Xun dan Feng Mian melabuhkan punggung mereka, seorang lelaki berusia 60 tahun menyindirnya, "Tuan Feng dah berpengaruh besar sekarang ini! Dahlah datang lambat, bawa dua orang pengawal bersama lagi. Nampaknya Geng Cao dah ada perniagaan baru sampai dia tak perlu peduli tentang orang tua macam kita ini!" Perbalahan sengit ini begitu terus terang dan tiada langsung unsur salah tafsir yang tersemat di dalamnya.

Renungan Feng Mian mula berubah dingin namun sebelum sempat dia membalas, Yan Xun sudah mencelah, "Awak Ahli Kehormat Yu, kan? Orang yang menguruskan bekalan garam di bahagian Tenggara."

Ahli Kehormat Yu hanya memandang Yan Xun dengan ekor matanya sahaja sambil mendengus namun tidak menguturkan sepatah kata pun.

Namun Yan Xun langsung tidak berasa patah semangat, lalu dia menepuk kedua belah tangannya bersama untuk memperkenalkan diri, "Saya ialah…"

"Tiada siapa yang berminat dengan kedudukan kamulah!" Dengus Ahli Kehormat Yu sambil memandang Yan Xun yang memakai pakaian berpangkat rendah itu, kemudiannya menyindir lagi, "Kamu patut sedar diri sikit. Kamu tak layak nak bercakap di sini. Oleh sebab kau datang dengan Tuan Feng, lebih baik kamu diam dan dengar sahaja!"

Feng Mian berkerut lalu berdiri dengan perasaan malu yang amat mendalam. Namun, Yan Xun hanya menahannya sambil memandang ke arah Ahli Kehormat Yu. Dia kemudiannya membalas, "Ahli Kehormat Yu, saya rasa awak perlu tahu nama saya. Mungkin awak pernah dengar nama saya dan mulai dari saat ini awak pasti akan berasa kagum dengan saya."

Selepas itu, Yan Xun mengetuk meja tersebut dengan tangannya lantas dalam sekelip mata sahaja Ah Jing muncul di belakang Yan Xun, dan lantas satu tumbukan pady dan tepat terus menghinggap ke wajah Ahli Kehormat Yu! Pada masa yang sama, bunyi retakan dapat didengari dari hidung Ahli Kehormat itu sebelum orang itu mendecit dan terpelanting ke belakang, namun Ah Jing mara ke hadapan dengan sepantas kilat lalu menyentak kolar baju Ahli Kehormat Yu dan terus membelasah wajah orang tua itu.

Pengawal di belakang Ahli Kehormat Yu segera meluru ke hadapan setelah teragak-agak sejenak lantas menghunuskan pedangnya dan Feng Mian pun turut menerpa ke hadapan tanpa mengelaknya lalu menyentak pergelangan tangan pengawal itu dengan pantas sehingga terdengar satu bunyi retakan yang kuat dan membuatkan pengawal itu meronta-ronta kesakitan di saat pedangnya dirampas oleh Feng Mian. Walaupun Tuan Feng hidup bersenang-lenang selama beberapa tahun ini, namun dia masih mampu melibas pedang itu dengan handal dan tangkas. Lantas, dia memotong tangan lelaki itu dengan sepantas kilat!

Orang ramai yang menyaksikan babak itu semuanya terpana. Walaupun Feng Mian masih muda, dia selalu bertindak matang dan melayani kerenah Ahli-Ahli Kehormat Da Tong dengan penuh rasa hormat. Mengapa dia tiba-tiba bertindak melulu seperti ini? Adakah disebabkan tuan lamanya telah memperoleh autoriti dalam Yan Bei sehingga dia tidak mempedulikan Kesatuan Da Tong lagi? Lagipun, siapa pula pemuda yang datang bersama Feng Mian pada malam ini?

Mereka hanya mampu melihat dengan rasa takut dan keliru sahaja.

Yan Xun perlahan-lahan bangun dan baju uniform berwarna putih dan berpangkat rendah itu kini nampak menakutkan apabila dia berjalan menghampiri Ahli Kehormat Yu. Pemuda itu kemudiannya berkata, "Tahu tak menyampuk ketika orang lain sedang bercakap itu suatu perkara yang biadab?"

Setelah itu, Yan Xun mengangkat kakinya lalu memijak wajah Ahli Kehormat Yu di hadapan mata-mata Ahli-Ahli Kehormat lain yang sedang memandang pemuda itu dengan perasaan takut itu! Maka dengan itu bunyi percikan darah pun mula kedengaran!

Ahli Kehormat Yu pun pengsan tanpa sebarang bunyi jadi mereka tidak tahu sama ada dia masih hidup atau tidak.

"Bawa dia keluar." Arah Yan Xun dengan tenang seperti tiada apa-apa yang berlaku. Pemuda itu telah memijak wajah ahli Da Tong seolah-olah dia memijak semut sahaja. Beberapa tompokan darah telah melekat pada tangannya jadi sewaktu dia kembali ke tempat duduknya, lalu pemuda itu mengeluarkan sapu tangan yang berada di dalam kocek lantas menyapu darah tersebut dengan begitu santai.