Chu Qiao boleh dikatakan buta buat seketika apabila dia memakai selendang itu di atas kepala, lantas gadis itu pun merungut, "Apa yang awak buat ini? Selendang ini bukan ke digunakan di padang pasir untuk halang pasir daripada masuk mata. Saya mana boleh nampak jalan kalau saya pakai ini."
Zhuge Yue langsung tidak mempedulikan rungutan gadis itu dan berkeras, "Kalau awak tak boleh nampak, awak ikut saja saya. Saya akan tunjukkan jalan."
Chu Qiao yang langsung tidak mempercayai kata pemuda itu berfikir sendirian, 'Lebih baik tak perlu pakai alat solek tadi kalau aku tahu kena pakai selendang tebal ini."
Gadis itu melangkah berhati-hati, hampir terlanggar sebuah meja.
"Bodoh!" Zhuge Yue melangkah ke hadapan dengan pantas dan menarik lengannya. Pemuda itu mengamuk, "Ikut saya!"
Chu Qiao mula untuk bergelut, "Lepaskan sayalah!"
Zhuge Yue serta-merta berpusing ke belakang dan menggenggam dagu gadis itu yang sedang beranggapan pemuda itu bakal menyerangnya. Dalam sekelip mata sahaja gadis itu sudah mengeluarkan pisau belati yang tersembunyi di dalam lengan bajunya dan membenam ke kulit leher Zhuge Yue, namun pemuda itu langsung tidak menghairankannya, lantas merenung gadis itu dengan tajam dan mengancamnya, "Kalau awak terus merungut, saya tak kisah kalau kita mati bersama." Dia pun berpaling ke arah pintu dan mula melangkah sambil menarik lengan Chu Qiao.
"Kawal pintu ini! Jangan bagi sesiapa masuk!"
"Baik, Tuan!"
"Jomlah! Apa yang awak sedang fikirkan itu?" Zhuge Yue melenting apabila menarik lengan Chu Qiao keluar dari pintu.
Sekumpulan pengawal peribadi yang diketuai oleh Yue Qi mengekori kedua-dua remaja ini, hanya meninggalkan beberapa orang pengawal sahaja untuk menjaga pintu. Salah seorang pengawal yang berada di hadapan pintu bilik Zhuge Yue itu menggumam setelah tuan muda itu beredar, "Nampaknya tuan betul-betul sukakan perempuan itu. Dia bawa perempuan itu ke mana saja dia pergi."
"Ada kemungkinan yang bila kita balik dari Empayar Tang ini, kita akan saksikan sebuah perkahwinan tuan muda kita itu. Walaupun perempuan itu tak jadi isteri dia, mungkin tuan muda akan ambil dia jadi gundik. Tuan itu memang patut berkahwin pun sekarang ini."
Angin malam yang menghembus terasa sejuk dan selesa dengan suasana yang sunyi sepi, kadangkala boleh terdengar bunyi desiran daun-daun kering. Ramai rakyat jelata yang memeriahkan suasana di dalam bandar, bergerak dari satu gerai ke satu gerai yang lain, jelas mempamerkan kemakmuran Empayar Tang.
Bandar Xian Yang. Lagi.
Setelah mengembara selama beberapa hari, lebih daripada dua puluh askar berkuda yang sedang mengiringi gerabak kuda berwarna biru kehijauan akhirnya memasuki pintu gerbang Bandar Xian Yang yang kelihatan gah, dengan beberapa orang tentera yang sedang membayar bayaran masuk ke dalam bandar itu.
Walaupun Bandar Xian Yang ini terletak di pinggir empayar dan jauh dari ibu negara, namun ia masih megah dan meriah dengan kemakmuran ekonominya, dan ia jelas kelihatan daripada bangunan-bangunan yang indah tersergam di dalam bandar ini.
Bandar itu juga telah terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian dalaman bandar dan juga bahagian dalaman. Bahagian dalaman bandar merupakan kawasan di mana terletaknya Istana Meng Ren dan juga Istana Luo Li yang berada di sebelah Selatan dan juga Timur Sungai Chi Sui. Kedua-dua istana tersebut terbentang luas di atas anak-anak sungai yang disambungkan dengan jambatan batu sepanjang lebih dari 400 meter yang mampu memuatkan lebih dari dua puluh gerabak kuda disebabkan oleh kelebaran dan ketebalannya. Walaupun Istana Meng Ren dan Istana Luo Lei itu dipanggil istana, namun ia sebenarnya kelihatan lebih seperti barisan rumah-rumah agam yang tersergam mewah.
Memang ia diketahui ramai kemakmuran Bandar Xian Yang ini setanding dengan bandar-bandar pelabuhan besar dari Empayar Song. Ini adalah kerana bandar yang hanyalah sebesar satu perlima Bandar Zhen Huang ini terletak di tengah-tengah laluan perdagangan di antara Empayar Xia, Tang dan juga Song dan dalam masa tiga dekad sahaja, Bandar Xian Yang telah dinamakan sebagai bandar yang termewah di seluruh benua Meng Barat, dengan cukai tahunan mereka yang diberikan kepada empayar itu mampu untuk menaung sepertiga dari kesuluruhan pasukan tentera maharaja buat tahun itu. Ada juga ura-ura yang mengatakan bandar kecil ini telah menjadi tempat himpunan orang-orang terkaya di Benua Meng Barat, dengan ramai nama-nama berpengaruh benua yang telah membeli tanah lalu membina rumah-rumah agam yang mewah di dalam bandar tersebut yang secara langsungnya membuatkan bandar gah itu kelihatan lebih indah dan mewah.
Bahagian luaran bandar yang lima kali ganda lebih luas dari bandar dalaman itu menjadi tempat buat rakyat jelata untuk melakukan tugasan harian mereka dengan banyak kedai-kedai maju yang dibuka bersama beberapa buah industri juga dan infrastruktur-infrasturktur yang dibina rumit, sesiapa sahaja boleh menjumpai kehendak hati mereka dari bar, para pemiutang, kedai cagaran, penjaga kuda, rumah penginapan, sehinggalah ke warung tavern. Di sebelah Sungai Chi Shui, sebuah bangunan berwarna merah jambu terang dan hijau jed dapat kelihatan dari jauh. Walaupun hari masih cerah, namun bunyi suara gadis yang sedang ketawa terdengar kuat dari dalam istana itu dan ia akhirnya terbentang luas di hadapan mata seiringan kumpulan manusia ini lalu menonjolkan lagi keindahan dan kemewahannya. Lagipun, kawasan ini merupakan tempat himpunan orang-orang ternama dan terkaya, jadi iringan bersama 20 orang pengawal ini tidaklah dikira sebegitu hebat.
Kumpulan ini telah berkunjung dari Yan Bei, dengan pemuda yang berada di atas gerabak kuda itu tidak lain dan tidak bukan pemuda yang telah memerdekakan Yan Bei, Yan Xun. Pemuda itu pucat namun matanya masih memancarkan sinaran kesungguhan yang mendalam, dengan keningnya yang ketat dikerutkan, seolah-olah pemuda itu sedang berfikir tentang sesuatu yang amat mustahak.
"Tuan, kita dah sampai."
Yan Xun yang hanya memakai sehelai blouse hijau yang kelihatan ringkas itu mendarat ke atas tanah dengan tenang sebelum berjalan ke arah rumah agam yang megah itu.
Rumah agam yang terletak di dalam Istana Luo Li ini mengandungi 18 rumah-rumah berlainan dan walaupun kawasan ini tidak boleh menandingi sesetengah rumah-rumah agam menakjubkan yang berada di Bandar Zhen Huang, namun ia jelas ditonjolkan rumah agam ini adalah milik seseorang yang berpengaruh tinggi di Bandar Xian Yang ini.
Yan Xun langsung tidak ternampak kelibat sesiapa semasa dia berjalan memasuki rumah agam itu bersama Ah Jing dan para pengawal lain yang berselerak di sekeliling tuan muda mereka dan juga di sekeliling rumah agam. Yan Xun yang sedang diiringi oleh beberapa orang pengawal itu akhirnya memasuki kawasan perkarangan dan lantas terlihat seorang lelaki berjubah jed yang sedang melutut bersama-sama ratusan orang di belakangnya. Pemuda itu berkata tanpa sekali pun meraih pandangannya, "Kami orang gaji menjemput kehadiran Tuan Putera. Hidup Tuanku!"
Yan Xun melepaskan ketawa yang jarang-jarang didengari sebelum ini dan terus melangkah ke hadapan dan menepuk-nepuk bahu pemuda di hadapannya itu dengan lembut, lalu bergurau, "Tak guna, bangun sajalah!"
Pemuda itu hanyalah berusia dalam lingkungan 20 tahun dan ciri-ciri wajahnya tajam dengan kulit yang cerah. Keningnya yang nipis itu menampakkan dirinya kelihatan agak feminin, dengan lirikan mata yang mempamerkan perwatakan pemuda itu yang sering berhati-hati dan suka menilai sesuatu keadaan terlebih dahulu.
"Haha." Pemuda itu tergelak, "Tuan Putera, tuan mesti penat setelah mengembara jauh ke sini. Saya dah sediakan makanan yang enak-enak dan juga wain yang mahal. Duduklah dulu, boleh rehat sekejap."
Yan Xun meneruskan langkahnya sambil mengangguk-angguk, lalu menarik kain baju pemuda di sebelahnya itu sambil bergurau sekali lagi, "Kain sutera Zhijin? Tak guna, nampaknya bagus betul kehidupan kamu sekarang ini!"
"Tuanku," Pemuda itu tersenyum kelat sebelum mencebikkan bibirnya dan berkata, "Ini sebenarnya set pakaian saya yang paling ringkas. Saya risau yang tuanku akan cakap saya hidup mewah sangat sebab itulah saya korek pakaian ini dalam almari sampai jumpa. Sekarang ini badan saya gatal-gatal sebab pakai baju ini."
"Haha!" Yan Xun melepaskan ketawa yang besar sebelum menoleh ke arah Ah Jing, "Kamu tengok ini? Orang-orang macam dia ini akan ejek kamu tanpa henti kalau mereka diberi peluang!"
Tersenyum riang, Ah Jing pun menumbuk lembut pemuda itu dan berkata, "Sombong betul. Jaga-jaga, Tuanku boleh ambil alih kediaman kamu ini!"
Sekumpulan itu terus bergurau semasa memasuki dewan utama yang luas terhidang lauk-pauk yang menyelerakan dan kumpulan itu terus menjamah makanan sambil bersembang kosong seperti apa yang telah mereka saksikan semasa pengembaraan mereka. Yan Xun kelihatan seperti dia sedang berada dalam angin yang baik pada hari ini walaupun Ah Jing telah membuat satu gurauan tentang bagaimana putera muda ini telah menyelamatkan salah seorang anak perempuan keluarga Helian.
Setelah menjamu selera, Ah Jing meminta diri untuk beredar apabila Yan Xun dan pemuda di sisinya itu memasuki bilik bacaan dan setelah pintu ditutup, kedua-dua remaja itu langsung tidak memaparkan wajah kemesraan mereka yang dilayarkan sebentar tadi, kini hanya terdapat wajah yang serius dan penuh dengan kesungguhan. Pemuda itu melutut di atas lantai sambil menyapu-nyapu bajunya dan berkata dengan penuh kesepian yang bersalut dalam suaranya, "Tuanku, akhirnya tuan datang."
Yan Xun pun bercangkuk di atas tanah untuk menolong pemuda itu. Kini raut wajah Yan Xun kelihatan mesra dan lembut apabila dia berkata tenang, "Feng Mian, berapa lama dah kita tak berjumpa?"
Seperti yang disangka, pemuda ini merupakan budak kundang yang telah dijadikan sebagai pengutus buat Yan Xun dan Chu Qiao tidak lama dahulu. Pada hari yang bersejarah itu, hampir kesemua orang-orang gaji Yan Xun telah dibunuh di Bandar Zhen Huang, namun Feng Mian merupakan salah seorang yang berjaya melarikan diri walaupun telah mengalami banyak kecederaan parah. Peristiwa itu diikuti dengan pembunuhan semua keluarga yang berasal dari Yan Bei dan dengan Yan Xun yang kehilangan pengaruhnya di dalam empayar itu, Feng Mian terpaksa mengharungi dua tahun yang menyiksakan dan hanyalah pada tahun ketiga, Yan Xun telah memberi rasuah kepada pengawal-pengawal penjara untuk membenarkan Feng Mian melarikan diri daripada kegelapan yang langsung tidak berpenghujung yang dipanggil penjara itu.
Pemuda ini telah mengembara berseorangan untuk menuju ke selatan setelah dirinya dibuang ibu negara dan akhirnya dia berjaya untuk menempah nama sebagai salah seorang ketua mafia terbesar di Bandar Xian Yang dalam masa enam tahun sahaja dengan pertolongan Kesatuan Da Tong dan juga pengaruh Yan Bei. Pengaruh Feng Mian kini telah membesar dan meluas, memiliki lebih dari 80 pelbagai jenis kedai, juga menguasai lebih dari 20 gudang pembinaan kapal dan tidak lupa pemuda ini ialah ketua Geng Cao yang menguasai kawasan perairan di daerah itu. Kini nama Feng Mian, ataupun lebih dikenali sebagai Tuan Feng, amat dikenali oleh setiap rakyat di daerah tenggara ini.
"Tuanku, dah enam tahun berlalu, dan akhirnya hamba ini dapat bertemu dengan tuanku lagi." Dengan mata yang kemerahan, air mata Feng Mian berlinangan semasa dia memegang erat tangan Yan Xun.
"Betul itu, kamu membesar dalam sekelip mata saja." Yan Xun membalas dengan ceria. "Kamu ini kan Tuan Feng sekarang, jadi tak eloklah kalau kamu panggil diri kamu itu sebagai hamba. Saya dengar yang Tuan Jing yang tua itu dengan Ling King pun dah menjalinkan bisnes dengan kamu sekarang. Tahun lepas semasa anak lelaki Ling King, Zhao Zhongyen itu pinjam duit kamu, kamu berani betul membakar armada dia. Ling King kehilangan beribu-ribu gulung kain sutera tahu, dan hampir pinjam duit yang banyak untuk bayar kerugian dia."
Feng Mian yang tersenyum malu itu langsung tidak memiliki aura seorang ketua mafia, malah kini lebih berkelakuan seperti seorang gadis pemalu. Pemuda itu pun lantas membalas dengan malu, "Tuan apa, Tuanku? Mereka itu panggil saya Tuan Feng sesuka hati mereka saja, bukannya kerana saya yang dapat gelaran itu. Zhao Zhongyen gunakan nama dia sebagai keturunan Keluarga Zhao untuk buli saya, jadi saya memang tak boleh nak lepaskan dia. Lagipun di ibu negara kita selalu disabotaj oleh Ling King, hamba Tuanku ini memang dah lama menyampah dengan perangai mereka. Tambahan pula…" Anak mata Feng Mian bersinar penuh dengan keterujaan apabila dia menyambung, "Feng Mian akan sentiasa jadi orang gaji Tuanku. Tanpa Tuanku, memang saya takkan berjaya. Nyawa saya pun milik Tuanku. Kalau saya menyombong dengan Tuanku, saya memang tak layak nak dipanggil manusia."
"Baiklah, sudah, sudah." Yan Xun ketawa sebelum menyambung, "Saya hanya bergurau dengan kamu saja, kenapa kamu serius sangat ini?" Dengan itu, Yan Xun pun menarik lengan Feng Mian yang masih melutut itu ke atas. Kedua-dua remaja ini duduk bertentangan meja semasa Feng Mian dengan tekun menyediakan air teh buat tuan puteranya ini dan tidak lama kemudian, bau aroma teh terus menyelubungi ruang udara.
"Tuanku," Feng Mian tersenyum dengan mata yang bersinar sebelum bertanya, "Mana Cik? Cik tak ada dengan Tuanku ke? Saya terdengar mengenai pembunuhan di Zhen Huang, bersama cerita tentang bagaimana Cik kita itu dah mengetuai pasukan tentera dan buat kacau bilau walaupun selepas malam pemberontakan itu. Hamba Tuanku ini memang teruja sangat apabila saya mendengar sampai saya terasa nak kumpulkan orang-orang saya untuk balik ke Yan Bei. Kali ini Tuanku pergi ke Empayar Tang, Cik tak ikut Tuanku ke?"
Yan Xun membalas tenang, "Saya terpisah dengan dia. Kamu tak tahu ke yang Zhao Che dah arahkan pencarian di seluruh benua?"
"Apa?" Feng Mian terpana. "Tapi bukan ke Yan Bei dah keluarkan kenyataan yang Cik dah pulang ke sana?"
"Kenyataan itu palsu, saya yang keluarkan kenyataan itu supaya dapat kaburi pemikiran mereka. Harap-haraplah mereka akan kurangkan nombor pembunuh-pembunuh upahan yang tengah kejar Ah Chu bila mereka fikir yang gadis itu dah pulang dengan selamat." Dia menyambung setelah menghirup tehnya, "Walaupun saya dah bagi amaran kepada ketua-ketua keluarga bangsawan dan juga orang-orang berpengaruh supaya tak teruskan pencarian Ah Chu, tapi saya masih kena bermain mainan minda untuk dapatkan keputusan yang terbaik."
Feng Mian mengangguk, namun mukanya dikerutkan. "Ini bermakna Cik masih lagi di luar sana, cuba untuk melarikan diri. Tuanku jangan risau, hamba Tuanku ini akan menghantar orang-orang saya untuk mencari dia. Selagi dia masih di dalam kawasan Empayar Xia, sama ada di laut atau barat, saya ada cara untuk mencari Cik."
Yan Xun menggeleng kepalanya perlahan. "Rasanya dia dah masuk ke dalam Empayar Tang."
"Empayar Tang?"
"Betul itu. Kalau tekaan saya betul, dia akan pergi ke Empayar Tang dan menuju ke sempadan selatan sebelum pulang ke Yan Bei."
"Itu ke sebab Tuanku di Empayar Tang ini?"
Yan Xun mengangguk lantas membalas, "Ya, itu salah satu sebabnya."
"Baiklah, saya akan hantar pesanan ke Geng Cao untuk mencari dia di dalam Empayar Tang. Selagi dia bergerak dengan laluan air, saya pasti akan dapat berita tentang Cik."