Chapter 106 - Bab 106

Zhuge Yue langsung tidak menggunakan daya yang kuat. Apabila dia melihat wanita muda menggoda yang sedang terbaring di atas lantai ini separa berbogel, dia pun terpaku sebelum berkerut ketat, kelihatan seperti sedang sibuk memikirkan sesuatu. Wanita itu seseorang yang mudah terkejut dengan perkara yang terjadi di sekelilingnya jadi dia telah jatuh pengsan tanpa bersebab sebentar tadi dan hanya mendapat tahu dia sedang dikurung di dalam almari baju sebaik sahaja dia tersedar. Selepas beberapa ketika yang lama, wanita muda itu akhirnya dilepaskan namun sebelum dia dapat menjerit untuk meminta pertolongan, dia telah ditendang kuat pada badannya. Dia sedang berdiri berhadapan pemuda yang menakutkan itu, dan lantas matanya berguling ke belakang kepala selepas dia ditendang, jatuh terkulai layu di atas lantai akibat dia telah jatuh pengsan sekali lagi.

"Hei! Jangan apa-apakan dia."

Zhuge Yue berpaling dan terlihat raut wajah ganjil milik Chu Qiao dan barulah pemuda itu tersedar Chu Qiaolah yang sedang berada dalam samaran sebagai seorang hamba, dan wanita muda yang pengsan itu sudah semestinya hamba sebenar yang telah disediakan oleh Tian Chengshou kepadanya. Setelah berfikir lebih lama, Zhuge Yue yang langsung tidak mengendahkan wanita muda di atas lantai itu terus meluru ke arah almari baju dan mengeluarkan sepasang pakaian sebelum bergerak ke sisi Chu Qiao dan melemparkan baju tersebut ke arahnya. Dia berkata bersahaja sambil tersenyum ringan, "Xing'er, awak ini kejam betullah."

"Jangan panggil aku Xing'er!" Chu Qiao membalas dengan penuh dingin. Gadis itu tidak menanggalkan bajunya yang basah lencun itu sebelum meletakkan baju bersih yang baru diberikan itu di sekeliling tubuhnya. Apabila dia menghabiskan ayatnya, dia dapat mendengar sebuah erangan yang penuh berbaur dengan kemarahan yang berbunyi dari sebelahnya, dan lantas Zhuge Yue pun menerkam Chu Qiao bagaikan seekor harimau, memerangkap badan gadis itu di bawah badannya. Pemuda itu juga melilitkan kakinya di sekeliling kaki Chu Qiao, menggunakan sebelah tangan untuk menggenggam dagunya. Dia pun berkata dengan penuh kekejaman dan kebuasan, "Jadi apa yang patut saya panggil awak? Jing Yue Er? Atau apa? Chu Qiao?"

Raut wajah Zhuge Yue kelihatan suram, dengan anak matanya yang memancarkan sebuah onar yang bakal berlaku tidak lama lagi. Kekuatan yang digunakan pemuda ini untuk menggenggam dagu Chu Qiao semakin meningkat, lantas dia menambah dengan suara yang garau, "Jadi? Sekarang awak dah berpihak dengan Yan Xun, awak akan lupakan keturunan awak ke? Tak nak tukar nama keluarga awak ke? Kenapa awak tak tukar saja nama keluarga awak kepada Yan?"

Chu Qiao merenung wajah Zhuge Yue yang amat berhampiran dengan wajahnya itu dengan penuh dingin dan mengarah, "Lepaskan aku!"

"Lepaskan awak?" Ejek Zhuge Yue. "Awak fikir awak nak pergi mana? Awak di sini di Tang sebab nak tengok buah hati lama awak yang dah nak berkahwin, ataupun sebab nak buat satu lencongan untuk kembali ke Yan Bei? Kenapalah saya tak perasan lama dulu yang Xing'er kecil kita ini sebenarnya resipi untuk sebuah malapetaka?"

"Zhuge Yue, aku beri amaran ini, lepaskan aku!"

"Amaran?" Zhuge Yue lantas memberikan sebuah senyuman yang mengerikan sebelum mengecilkan matanya dengan dingin. "Xing'er, ini kali pertama awak berkenalan dengan saya ke? Bila saja saya, Zhuge Yue, takut dengan amaran orang lain?"

Chu Qiao yang sudah malas untuk berfikir panjang itu terus menggunakan jari-jemari runcingnya untuk mencakar-cakar leher pemuda itu!

Zhuge Yue pantas dalam gerakan balasnya dan pemuda itu terus melengkungkan badannya ke belakang namun tangan Chu Qiao berjaya merentap kolar jubah pemuda itu pula, sekaligus mengoyakkan pakaiannya itu. Zhuge Yue mengendurkan genggamannya pada dagu Chu Qiao lantas jari jemari pemuda ini melirik pada seluruh wajah gadis itu yang mulus dan juga tulang selangka gadis ini. Zhuge Yue berkata dengan ketawa mengejek itu lagi, "Jadi? Awak memang dah tak sabar ke?"

Riak wajah Chu Qiao tetap membatu, gadis itu mengecilkan matanya dek perasaan marah dan lantas menendang Zhuge Yue pada ketiaknya!

Namun Zhuge Yue bukanlah calang-calang orangnya. Pemuda itu menggunakan kedua belah tangan untuk menampung diri apabila membuat balik kuang di udara dan terus mendarat di atas katil, menggunakan tangannya sekali lagi untuk mengimbangi diri sebelum bergerak ke sisi Chu Qiao untuk memerangkap gadis itu kembali. Muka mereka berhadapan sesama sendiri sambil tercungap-cungap.

"Hm!" Dengus Chu Qiao dalam kemarahan, lalu dia pun memberikan satu tumbukan padu ke bahu Zhuge Yue, namun pemuda itu telah merendahkan bahunya dengan badannya yang melengkung ke belakang. Badan Chu Qiao juga terikut sekali bersama pemuda itu apabila Zhuge Yue menggenggam pinggang gadis tersebut dan lantas pasangan itu berguling ke belakang, menyebabkan selimut yang berada di atas katil itu untuk melilit di sekeliling badan mereka bagaikan sebuah ladu gergasi. Zhuge Yue tanpa menunggu lagi terus memerangkap tangan dan juga kaki Chu Qiao.

Chu Qiao cuba untuk bergelut dengan pemuda itu sedaya upayanya, namun usaha gadis itu sia-sia oleh kerana kedua-dua remaja ini yang telah dibalut kemas oleh selimut empuk itu. Bersama-sama Zhuge Yue yang ternyata lebih kuat daripadanya, memang Chu Qiao tidak mempunyai sebarang cara lain untuk melepaskan diri, dan lantas gadis itu merebah ke atas katil sambil termengah-mengah cuba untuk bernafas. Oleh kerana gadis ini yang tidak mampu berlawan dengannya, Chu Qiao pun meraih kepalanya untuk menggigit pemuda itu.

Sebahagian besar pakaian Chu Qiao telah terkoyak semasa perbalahan ini, lantas mendedahkan kulitnya yang cerah itu. Hal ini telah menyebabkan wajah Chu Qiao bertukar kemerahan dek malu, namun gadis itu masih merenung tajam ke arah Zhuge Yue dengan dada yang beralun ke atas dan ke bawah disebabkan kebencian yang menyelubungi dirinya.

"Tak nak mengaku kalah ke?"

Chu Qiao membalas dengan dingin, "Bangsat!"

Zhuge Yue yang masih tergelimpang di atas Chu Qiao itu tiba-tiba mempunyai raut wajah yang hangat apabila mendengar bunyi pernafasan gadis ini yang kuat, jantung Chu Qiao yang berdegup kencang dan bau wangian badannya yang semula jadi itu. Pemuda itu tergelak dengan penuh bangga sebelum berkata perlahan, "Awak masih nak berlawan ke?"

Chu Qiao mengetap bibirnya. Jarang benar gadis ini kalah dalam sesuatu pertempuran dan sebuah perasaan cemas tiba-tiba menyelubungi dirinya. Tanpa mengetahui sebabnya, gadis ini hanya mahu beredar dari bilik itu tanpa sekalipun bertemu dengan pemuda di hadapannya ini lagi.

"Lepaskan aku!"

"Xing'er, awak selalu cakap benda itu. Tak penat ke?"

Pakaian Chu Qiao yang koyak rabak itu mendedahkan kedua-dua belah kaki putih mulus miliknya yang dibaluti sempurna dengan kaki Zhuge Yue. Dengan kedua-dua kulit remaja ini yang bersentuhan, suasana di dalam bilik itu serta-merta menjadi lebih hangat dan mesra.

Chu Qiao merenung pemuda ini dengan penuh kebencian sambil mengetap giginya dan berkata, "Aku nak bunuh kau!"

Zhuge Yue melepaskan ketawa terbahak-bahak, wajahnya kelihatan kacak dengan bibir merahnya itu. Pemuda itu membalas tanpa sebarang batasan di antara mereka, "Semasa awak bunuh saya, jangan lupa untuk tumbuk-tumbuk saya juga ya?"

"Hm!" Chu Qiao menoleh ke tepi dengan penuh kemarahan, enggan untuk merenung pemuda ini ke dalam matanya. Gadis ini sedar tiada cara baginya untuk menewaskan pemuda ini mahupun melarikan diri. Kedua-dua remaja ini setanding hebatnya dalam seni mempertahankan diri, namun kekuatan pemuda itu ternyata lebih kuat daripadanya, tambahan pula dengan sekerumunan pengawal yang berada di luar pintu. Mata Chu Qiao berlinangan setelah memikirkan perkara ini, dan lantas dia mencemuh penuh kebencian, "Bunuh saja aku sekarang!"

Zhuge Yue yang sedang merenung wajah gadis ini hanya tergelak, "Xing'er, jangan cakap yang awak menangis semata-mata sebab awak tak dapat kalahkan saya? Ini langsung tak macam awak."

Setelah tersedar mereka sedang berada di dalam sebuah posisi yang intim, suasana tegang di dalam bilik itu mula mengendur dan pada masa yang sama, wanita muda yang pengsan sebentar tadi tiba-tiba membuat sebuah bunyi bagaikan dia bakal bangun tidak lama lagi.

Chu Qiao membatu manakala riak wajah Zhuge Yue bertukar, lantas pemuda itu melepaskan kedua belah tangan Chu Qiao untuk melemparkan sehelai selimut ke atas muka wanita muda yang berada di atas lantai itu!

Apabila Zhuge Yue melonggarkan genggaman tangannya pada pergelangan tangan Chu Qiao, gadis itu serta-merta melepaskan laungan perjuangannya dan mengesot keluar dari selimut sebelum memposisikan dirinya ke separa melutut untuk merangkak keluar dari katil itu. Pergerakan itu mendapat ketawa dingin oleh Zhuge Yue yang terus meraih sehelai lagi selimut untuk dibalutkan pada kedua-dua pergelangan kaki Chu Qiao dan gadis itu melepaskan carutan perlahan. Zhuge Yue pun menarik selimut itu dengan kuat lantas menyebabkan Chu Qiao untuk terjatuh di atas tanah dan terbelit dengan pemuda itu sekali lagi.

Dalam sekelip mata sahaja katil itu rebah dengan dentuman yang sangat kuat. Langsir sutera ditatahkan dengan butir mutiara, kain-kain merah, dan butir-butir mutiara berselerak di sekeliling lantai, membenamkan kedua-dua remaja ini di bawah segala selerakan itu!

Pengawal-pengawal di luar bilik terdengar bunyi runtuhan katil itu dengan kuat dan jelas, namun hanya separuh kumpulan sahaja yang berada di hadapan pintu itu apabila separuh kumpulan lagi sedang giat mencari loket jed yang tertenggelam di dasar tasik.

Seorang pengawal muda bertanya seorang pengawal yang bernama keluarga Zhang itu dengan penuh cermat, "Abang Zhang, apa bunyi itu?"

Pengawal dengan keluarga yang bernama Zhang itu sedang melebarkan telinganya untuk mendengar dengan lebih teliti, dan lantas mengangguk sambil membalas dengan penuh misteri, "Aku rasa katil itu pasti dah runtuh."

"Katil runtuh?" Gumam pengawal muda itu. "Wah, dahsyatnya!"

Zhuge Yue yang terperangkap di bawah sehelai kain sutera itu mencuba sedaya upaya untuk mencari jalan keluar daripada selerakan tersebut, namun apabila kepalanya akhirnya berjaya dikeluarkan, riak wajah pemuda itu terus bertukar.

Chu Qiao sudah pun berada dalam posisi separa melutut di hadapan pemuda itu. Raut wajah gadis ini bengis, dengan tangannya yang sedang menggenggam sebatang serpihan kayu yang patah daripada rangka katil. Hujung serpihan kayu yang tajam itu ditujukan ke leher Zhuge Yue.

"Jangan gerak!" Tempik Chu Qiao.

Zhuge Yue melepaskan ketawa bersahaja sambil merenung dada Chu Qiao. "Pakailah baju dulu sebelum nak ugut saya. Kalau tak, saya tak takut langsung."

"Sudahlah! Lepaskan aku sekarang juga!"

Zhuge Yue tergelak, "Xing'er, awak mesti dah salah faham ini. Saya yang tengah jadi tebusan awak, kenapa awak yang minta saya lepaskan awak?"

"Zhuge Yue, aku ada banyak cara lain selain dari merayu kepada kaulah. Kalau aku bunuh kau sekarang ini pun, aku masih boleh lepaskan diri dari sini. Aku cuma tak nak perkara itu terjadi saja. Walaupun kita bermusuh, tapi aku tak nak bunuh kau macam ini."

"Sayang betul." Zhuge Yue mengangkat bahunya. "Selagi saya masih hidup, saya takkan biarkan awak pergi."

Chu Qiao mengecilkan matanya. "Jangan paksa aku!"

"Saya nak paksa awak."

Pada masa ini, bunyi tapak kaki tiba-tiba datang dari luar bilik, dan lantas kedua-dua remaja ini terpaku setelah tersedar tapak kaki itu bukannya datang dari pengawal-pengawal Zhuge Yue.

Sementara Chu Qiao masih lagi kebingungan, Zhuge Yue tiba-tiba memusingkan badannya untuk mengelak dari senjata milik Chu Qiao namun pada masa yang sama gadis itu tersedar akan tindakan pemuda itu dan gadis itu serta-merta menghunuskan serpihan kayu itu ke hadapan dan lantas mencederakan Zhuge Yue dengan bunyi tikaman yang kuat. Darah mula mengalir keluar dari lukanya itu. Chu Qiao terkejut lalu membuntangkan mata, dan tiba-tiba suara Tian Chengshou kedengaran datang dari luar bilik. "Tuan, tuan masih terjaga ke?"

Zhuge Yue dan Chu Qiao terduduk sebelah yang bertentangan di atas katil. Serpihan kayu yang setebal ibu jari itu telah ditikam sepenuhnya ke dalam bahu Zhuge Yue yang lantas menyebabkan darah untuk memercik ke hampir separuh katil.

Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Apabila Zhuge Yue ditikam serpihan kayu itu, Chu Qiao ternampak akan wajah pemuda itu yang sedang membuka mulutnya, hampir berteriak dalam keperitan yang amat dan Tian Chengshou sedang berada di luar pintu sahaja!

Tian Rucheng telah dilahirkan ke dalam keluarga bangsawan. Dia telah menyertai pasukan tentera Tian di samping bapanya sejak pemuda itu masih kecil lagi, membunuh sesiapa saja di dalam kawasan Xia dan jika bukan kerana Singa Yan Bei, Yan Shicheng, Empayar Xia pasti sudah jatuh ke dalam tangan Empayar Tang, dengan Tian Rucheng yang menjadi pemerintah kawasan Hongchuan. Namun, bapa Tian Rucheng telah gugur dalam peperangan jadi kebencian Tian Chengshou kepada Yan Bei itu memang sudah diketahui ramai.

Pada masa ini, Tian Chengshou sudah bernekad untuk memecahkan pintu bilik tersebut jika dia terdengar apa-apa bunyi yang kedengaran ganjil daripada dalam bilik. Jika Chu Qiao meletakkan satu jari pun ke atas Zhuge Yue, nahaslah dia!

Perkara pertama yang terlintas di minda Chu Qiao adalah untuk mendapatkan pisau belati yang tersembunyi di belakang betisnya, berfikir ia amat muda baginya untuk membunuh seseorang dalam jarak yang sedekat itu. Namun, gadis itu terlupa dia telah kehilangan pisau belatinya semasa bertempur di atas serambi biara itu sebentar tadi.

Pada saat genting ini, suara Zhuge Yue tiba-tiba bergema, kedengaran tenang, "Tuan Tian ke itu? Dah lewat ini, kenapa ya?"

Chu Qiao yang terpana itu meraih wajahnya.

"Macam ini, Tuan. Saya terdengar yang ada barang Tuan dah terjatuh ke dalam tasik itu. Para pengawal masih tak dapat jumpa barang itu walaupun dah puas mencari semalaman. Saya datang ini sebab nak bertanya sama ada Tuan nak kami gali parit supaya dapat kosongkan tasik itu, supaya senang sikit nak mencari barang Tuan itu."

Zhuge Yue mengambil nafas yang dalam dan menggenggam bahunya yang teruk berdarah itu dengan lebih ketat, lantas berkata dengan suara rendah, "Kalau macam itu, terima kasih sebab Tuan Tian sanggup berbuat sebegitu."

Tian Chengshou tergelak dan membalas, "Itu satu penghormatan buat saya sebab dapat tolong Tuan."

"Kalau macam tu, Tuan Tian boleh balik dulu untuk berehat."

"Saya ambil diri dulu ya, Tuan. Rehat secukupnya."

Ketenangan kembali menghuni setiap ruang bilik apabila bunyi tapak kaki Tian Chengshou semakin menghilang.