Chapter 107 - Bab 107

Zhuge Yue menghela nafas yang dalam apabila dia bersandar pada katil sebelum mengetap giginya kuat dan merentap keluar serpihan kayu yang tersemat kemas pada bahunya itu! Lantas raut wajah pemuda itu dikerutkan akibat kesakitan yang amat, pemuda itu masih cuba untuk menahan teriakan daripada terkeluar dari mulutnya dan akhirnya darah terpancut keluar tanpa henti setelah objek asing itu telah dikeluarkan dari bahunya!

Chu Qiao terpana dan terus meluru ke sisi Zhuge Yue untuk meletakkan tekanan pada luka itu supaya pemuda itu tidak kehilangan terlalu banyak darah! Keperitan yang dialami Zhuge Yue itu hampir membuatkan dia pengsan, dan Chu Qiao pun bertanya sambil memegang bahunya cermat, "Awak okey ke?"

Zhuge Yue yang masih mengetap giginya dengan wajahnya yang memucat itu membalas, "Saya okey."

"Jangan gerak, saya akan rawat luka awak." Chu Qiao berdiri dan terus meluru ke arah bilik mandi sebelum kembali dengan baldi kayu di tangan. Gadis itu bergerak ke atas katil dan membersihkan luka tersebut dengan cekap.

"Masih ada banyak serpihan kayu kecil di dalam bahu saya. Saya kena tarik keluar."

Chu Qiao yang terpana apabila mendengarnya terus meraih kepalanya untuk merenung wajah Zhuge Yue, dan bertanya suram, "Awak boleh tahan sakit itu?"

Zhuge Yue pun mendesis, "Jangan buang masa!"

Chu Qiao terjumpa sebilah pisau belati dan lantas memanaskan pisau tersebut untuk membasmi segala kuman di atasnya dengan menggunakan api yang telah dinyalakan dengan alkohol. Gadis itu pun menghulurkan sehelai kain kepada Zhuge Yue sambil menasihati, "Gigit ini kalau awak rasa sakit." Zhuge Yue pun mencapai kain tersebut, namun tidak meletakkannya ke dalam mulut malah menggenggamnya menggunakan tangannya yang tidak tercedera itu.

Tanpa berlengah lagi, Chu Qiao menoleh untuk menumpukan segala perhatiannya kepada luka Zhuge Yue itu, batang kayu itu telah mencederakan pemuda itu dengan lebih dahsyat berbanding sebilah pisau belati biasa, bukan sahaja kerana saiz kecederaannya, malah serpihan-sepihan kayu kecil kini telah melekat pada dagingnya. Jika ia tidak dikeluarkan dengan sempurna, bahunya bakal mendapat inflamasi dan juga sepsis. Tangan Chu Qiao pun mula menggeletar apabila dia perlu merawati luka yang seteruk ini.

"Nak panggil doktor ke?" Chu Qiao menggigit bibir bawahnya, menyedari setibanya doktor ke bilik itu, identiti gadis ini bakal terbongkar, dan ia akan menjadi suatu keajaiban jika dia dapat terlepas dari panggilan maut. Satu-satunya cara bagi Chu Qiao untuk terlepas dari ajalnya adalah untuk melarikan diri sebaik sahaja doktor itu tiba.

Zhuge Yue merampas pisau belati itu dan berkata dengan bersungguh-sungguh, "Kalau awak tak boleh nak buat, biar saya saja yang buatlah." Dia sudah pun mula mengorek-ngorek dagingnya sebelum pemuda itu habis menguturkan ayatnya.

"Biar saya yang buat! Saya nak buat!" Chu Qiao kembali merampas pisau belati itu dan terus merenung pemuda itu yang sedang membuka separuh matanya sahaja, kelihatan seperti dia langsung tidak berasa sakit. Jika bukan kerana kulit pucatnya itu yang mempamerkan tahap keparahan luka Zhuge Yue, ia bagaikan bukan dia sahaja yang tercedera. Chu Qiao mengambil nafas yang dalam untuk menenangkan dirinya sebelum menyambung rawatan luka Zhuge Yue.

Matahari sudah pun terbit setelah enam jam berlalu. Chu Qiao yang bermandi peluh itu meraba-raba ubat sembuhan di dalam kocek pakaian yang dipakainya semasa dia tiba tadi dan lantas menyapu ubat tersebut ke atas luka Zhuge Yue, menggunakan sapu tangan bersih untuk membaluti luka itu. Akhirnya proses rawatan itu tamat.

Zhuge Yue langsung tidak berbuat sebarang bunyi apabila Chu Qiao merawatinya dan gadis itu pun tidak mengendahkan pemuda itu. Kini apabila Chu Qiao sudah selesai merawati pemuda itu, barulah gadis itu tersedar Zhuge Yue telah pun pengsan, dan dahinya dilumuri dengan titisan peluh, namun keningnya masih lagi berbentuk "V". Sehelai kain yang berada di dalam genggaman Zhuge Yue itu pun sudah lencun dek peluh pemuda itu dengan rambutnya basah bagaikan telah dibenam ke dalam air.

Chu Qiao mengalihkan pemuda itu ke posisi tidurnya sebelum menggunakan sehelai tuala bersih yang lembap untuk mencuci kesan darah dan juga peluh yang melekat pada badan pemuda itu. Setelah selesai, gadis itu telah menjumpai sehelai kain kapas yang digunakannya untuk mengeringkan rambut Zhuge Yue.

Bunyi ayam jantan berkokok kedengaran dari jauh. Para orang gaji yang datang untuk mengucapkan selamat pagi kepada Zhuge Yue telah tiba di luar pintu, dan mereka terkekeh apabila beredar setelah mendengar suara cemas Chu Qiao yang telah memberitahu mereka Zhuge Yue masih lagi sedang nyenyak tidur. Selepas malam yang tegang itu, pemuda itu memang memerlukan seharian untuk pulih kembali. Lagipun, semenjak mereka hanya akan meneruskan perjalanan mereka ke Bandar Wupeng dalam masa beberapa hari lagi, pengawal-pengawal yang bertugas telah memperingati para orang gaji supaya tidak mengganggu tuan mereka itu.

Chu Qiao yang telah kembali ke sisi katil menyedari Zhuge Yue masih lagi sedang nyenyak tidur. Wajah gadis itu jelas mempamerkan kepenatannya setelah mengharungi malam yang amat tegang apabila dia merenung wajah pemuda yang sedang lena sebelum matanya meneroka kening pemuda itu yang terletak kemas, matanya yang ganas, bibirnya yang merah dan juga bibir yang hanya mengujarkan kata-kata kejian kepada Chu Qiao itu.

"Kita ini musuh," Gumam Chu Qiao, tidak mengetahui kata-kata ini ditujukan buat Zhuge Yue ataupun dirinya sendiri, dan lantas gadis itu menyambung, "Secara rasminya, saya ini seorang hamba yang dah membelot empayar, dan awak pula seorang bangsawan di dalam empayar itu. Secara peribadinya, awak dah bunuh Linxi, Zhixiang, Xiaoqi, Xiaoba dan semua ahli keluarga saya. Awak juga dah sebabkan saya dan Yan Xun untuk hidup terseksa di ibu negara itu selama lapan tahun. Saya dah bunuh atuk awak, orang-orang gaji awak, dan dah mengkhianati Keluarga Zhuge. Konflik kita ini pasti takkan boleh selesai selagi salah seorang daripada kita tak mati. Kita patut bunuh membunuh sesama sendiri, dan bukannya ada perasaan simpati..."

Seperti yang diujarkan gadis itu, bunuh membunuh itu suatu perkara yang logik untuk dilakukan kedua remaja ini dan sebelum ini Chu Qiao tidak pernah berasa sangsi walau sekali pun terhadap rancangannya ini namun kini, suara akal logiknya kedengaran semakin samar dan semakin samar, sehingga gadis itu sendiri tidak dapat mendengarnya lagi. Chu Qiao merenung pemuda ini yang masih berkerut di dalam tidurnya sambil mengusap-usap lembut lukanya itu.

"Tak kira walau apa pun yang terjadi pada masa lalu, saya masih terhutang nyawa saya pada awak." Chu Qiao berbisik perlahan, "Zhuge Yue, maafkan saya."

Bilik itu sunyi sepi apabila matahari semakin meninggi dan lantas membentuk bayang tingkap di atas lantai. Chu Qiao terduduk di atas katil dan bersandar di sebelah Zhuge Yue, dan tiba-tiba sebuah perasaan penat yang tidak terhingga tiba-tiba menjemputnya dan lantas gadis itu dibuai mimpi dalam sekelip mata.

Malam sudah pun bertandang apabila Zhuge Yue membuka matanya malas, dan Chu Qiao sudah pun menolong menukar pakaian pemuda itu kepada sehelai jubah sutera panjang berwarna hitam untuk dipakai di dalam kediaman, dengan bunga orkid berwarna keemasan yang disulamkan bersama, jubah sutera itu amat lembut untuk dipegang. Zhuge Yue yang berasa lapar dan sakit di seluruh badannya itu berkerut dan menggumam marah, "Teh!"

Chu Qiao lantas menuangkan secawan teh dan menghulurkannya kepada pemuda itu.

Zhuge Yue terus menelan secawan teh itu tanpa sekalipun memandangnya, dan lantas pemuda itu menjilat bibirnya sebelum melemparkan cawan teh itu lalu menjerit, "Saya nak teh!" Setelah menghabiskan arahannya itu, pemuda tersebut terus terpaku apabila baru tersedar Chu Qiaolah yang telah menghulurkan teh itu kepadanya sebentar tadi. Pemuda itu terdiam untuk memikirkan langkah seterusnya.

"Mamai sangat ke?" Tanpa mengendahkan pemuda itu, Chu Qiao berdiri dari katil dan mengutip satu persatu serpihan kaca daripada cawan yang dilemparkan tadi. Lantas gadis itu menuding ke arah dulang makanan yang terletak di atas meja dan berkata, "Ada makanan di situ, makanlah."

Zhuge Yue mengambil nafas yang dalam untuk menenangkan dirinya, namun pemuda itu serta-merta berasa kesakitan yang amat di bahunya, lantas pemuda itu bertanya dengan muka yang berkerut, "Kenapa awak tak larikan diri lagi?"

"Memang saya nak pun," Cebik Chu Qiao apabila dia berpaling. "Tapi orang-orang gaji awak kerumun bilik ini, nak tengok awak sepanjang hari. Macam mana saya nak larikan diri?"

Zhuge Yue pun berkata, "Wah, jujurnya awak."

Chu Qiao mengangkat kedua belah bahunya dan membalas, "Awak nak saya berlapik-lapik ke bila bercakap dengan awak?"

Membersihkan selerak di atas lantai, gadis itu terduduk bersila sambil merenung Zhuge Yue, lantas dia bertanya tenang, "Apa yang awak nak? Cakap saja."

Zhuge Yue merenung gadis ini melalui hujung matanya apabila dia berdiri dari katil dan menuju ke dulang makanan di atas meja tersebut namun kesakitan di bahunya yang dahsyat itu telah membantutkannya apabila dia sukar untuk meraih tangan untuk menyuap diri sendiri. Dengan itu dia pun berpusing dan menoleh ke arah Chu Qiao, lantas mengarah dengan penuh bersahaja, "Mari sini, suap saya."

Chu Qiao berkerut namun mengabaikannya.

Zhuge Yue terduduk di sebelah meja dan berkata, "Saya cepat marah kalau saya lapar, dan tak nak bercakap dengan orang lain jadi apa saja yang awak nak minta daripada saya itu, awak kena tunggu sampai saya kenyang dulu."

Chu Qiao mengangkat semangkuk sup setelah dia melonjak dari katil dan gadis itu tiba-tiba melemparkan mangkuk tersebut ke atas meja dengan bunyi deraian yang kuat. Mangkuk itu pecah, dan lantas sebahagian besar sup itu telah tertumpah pada dada Zhuge Yue yang terus meloncat dengan wajahnya yang terperanjat dan berbaur kemarahan. Pemuda itu merenung sup yang masih suam yang telah melimpah pada bajunya bagaikan suatu perhiasaan yang boleh memualkan.

Wajah Zhuge Yue berubah kelam, matanya kelihatan seolah-olah pemuda itu bakal mengamuk pada bila-bila masa, dan terus pemuda itu bergerak ke bilik mandi sebelum mengarah Chu Qiao dengan suram, "Datang sini! Lap badan saya!"

'Bilik mandi? Sekali lagi?'

Zhuge Yue yang sudah membuka bajunya itu berdiri di tengah-tengah bilik mandi. Apabila dia melihat Chu Qiao yang masih tercegat di pintu itu, dia mendesis, "Kenapa awak tercegat di situ lagi? Mari sini!"

Dada Chu Qiao beralun pantas, dan gadis itu pun mengambil nafas yang dalam sebelum menggenggam penumbuknya dan meleraikannya untuk beberapa kali supaya dia dapat bertenang dan tidak menerkam pemuda itu pada saat itu juga. Akhirnya dia melangkah ke arah Zhuge Yue sambil mengangkat sebaldi kayu besar dengan bersahaja, dan lantas mengisinya dengan air panas. Mata Chu Qiao bersemarak dengan perasaan marah, dan Zhuge Yue sendiri pun tidak dapat menahan dari berasa seram sejuk di seluruh belakangnya. Lantas pemuda itu mengambil satu langkah ke belakang dan menggayakan sebuah postur pertahanan, bertanya dengan berhati-hati, "Awak nak buat apa ini?"

Meraih baldi itu dengan sebelah tangan dan menampung berat baldi itu dengan sebelah tangan lagi, Chu Qiao pun membalas bersahaja, "Bukan ke awak suruh saya lap badan awak? Kalau saya tak basahkan badan awak, macam mana saya nak lap?"

"Saya tercedera!" Pemuda itu berkerut dan berkeras.

"Ya, saya tahu." Chu Qiao mengangguk jujur. "Awak tercedera itu sebab sayalah!"

"Jadi awak nak letak air saja pada luka ini?"

"Kalau saya tak basahkan, macam mana saya nak lap?"

Perbualan itu sudah pun mula diulangi, "Tapi saya tercedera!"

"Ya, saya tahu. Sayalah penyebabnya."

"Sudah, cukup!" Zhuge Yue berasa geram. "Keluar."

Chu Qiao merenung baldi kayu itu. "Ya ke? Awak tak nak saya lap badan awak lagi?"

Zhuge Yue yang tidak mampu menahan kemarahannya itu terus menempik, "Keluar!"

Chu Qiao pun berpusing dan melenggang keluar dari bilik mandi itu sambil bersiulan.

Badan Zhuge Yue sememangnya kotor dengan kesan darah dan juga peluh, ditambah pula dengan semangkuk sup manis lalu dia pun berdiri di sebelah air yang mengalir deras sambil membuka seluarnya. Dia tidak mempunyai pilihan lain dari memasuki air untuk membasuh dirinya, dan lukanya akan baik-baik saja selagi dia berhati-hati dan tidak membenarkan air untuk terkena lukanya itu. Kalau tidak, lukanya mungkin akan mendapat inflamasi, dan luka yang berinflamasi pasti akan meninggalkan parut yang buruk.

"Oi! Itu baju bersih yang saya baru suruh orang gaji awak ambillah."

Pintu bilik mandi itu telah ditendang terbuka dan Zhuge Yue yang terkejut bergerak mengikut tindak balas semula jadinya itu terus menerjun ke dalam air, lantas melaung dengan geram, "Keluarlah!" Zhuge Yue terlupa yang disebabkan air panas yang berkabus itu, Chu Qiao hanya dapat melihat kelibat pemuda itu yang sedang meloncat ke dalam air itu sahaja.

Setelah menyaksikan aksi pemuda itu, Chu Qiao mengekeh gembira, dan lantas menasihati pemuda itu, "Hati-hati! Jangan sampai tenggelam pula!" Kemudian gadis itu pun beredar.

Air telah pun meresap ke dalam lukanya dan Zhuge Yue yang sedang sakit hati itu terus mengoyakkan balutan lukanya, menumbuk permukaan air dalam kemarahan!