Majlis perasmian
Pelakon-pelakon dan semua krew sudah hadir. Lampu kamera menyala tanpa henti, dan wartawan berkumpul seperti awan. Sekumpulan besar peminat juga berkumpul di pinggir.
Majoriti peminat berkumpul mengelilingi pelakon utama perempuan, Ning Xueluo, dan pelakon utama lelaki, Zhao Sizhou.
Seorang merupakan pelakon wanita terkemuka dari Syarikat Hiburan Cahaya Bintang, seorang pula pemenang Anugerah Akademi. Pasangan cantik, tampan dan menonjol itu memang menarik banyak perhatian.
"Xueluo, kami semua tahu ini kali kedua kamu dan Sizhou akan berlakon sebagai pasangan dalam skrin. Adakah kamu fikir kamu boleh jatuh cinta dengan dia dalam kehidupan sebenar?"
"Haha, Sizhou sangat menarik. Namun, ia tidak mungkin, kerana saya tidak mempunyai ruang di hati untuk dia!"
Semua pemberita menjadi gila mendengar jawapan Ning Xueluo..
Setahun yang lalu, Ning Xueluo telah mengumumkan secara terbuka bahawa dia mempunyai teman lelaki, dan semua orang berusaha keras mencari maklumat mengenai berita tersebut. Akhirnya, mereka dapat tahu orang itu adalah anak kepada Su Hongguang, CEO Korporasi Yifeng. Dia mempunyai status, wang, dan penampilan. Dia memang sempurna, dan semua orang iri hati terhadapnya.
Para peminat Ning Xueluo berasa sedih. Namun, peminat hari ini bukan lagi seperti peminat dari masa dulu yang akan kecewa sekiranya idola mereka mula berpancaran dan berkahwin. Kebanyakan peminat pada masa kini berharap idola mereka dapat mencari pasangan yang baik.
Populariti Ning Xueluo tidak terjejas walaupun selepas dia mendedahkan status hubungannya. Sebaliknya, dia mengekalkan populariti melalui topik seperti "Teman Lelaki Tampan dan Kaya" dan "Juara dalam Kehidupan".
Di sisinya, Zhao Sizhou juga pandai bertindak balas. Dia mencengkam dadanya dengan cepat seperti hatinya sedang sakit. "Cik Shangguang, kamu kejam. Putera ini sudah berikan hatinya kepada kamu seorang!"
Untuk filem ini, Ning Xueluo akan melakonkan watak utama perempuan Shangguang Yingrong, manakala Zhao Sizhou diberikan watak putera.
Para wartawan ketawa terbahak-bahak sambil mengusik Zhao Sizhou. Suasana sungguh meriah sekali.
Selain pelakon hero dan heroin, semua orang turut ternanti-nanti ketibaan pelakon heroin kedua. Sekumpulan orang mengelilingi Guo Qisheng.
"Pengarah Guo, kenapa kami belum melihat pelakon yang bakal melakonkan watak Meng Changge? Adakah dia akan hadir hari ini?"
"Sudah tentu."
"Menurut khabar angin, uji bakat Jia Qingqing tidak berjaya kerana kamu merasakan dia tidak cukup cantik. Adakah itu benar?"
Dengan jelas, mereka cuba mencipta masalah dengan soalan tersebut.
Namun, Pengarah Guo sudah biasa dengan permainan seperti ini dan jawapannya memang sempurna. "Memang benar, keindahan fizikal merupakan ciri yang amat penting untuk mendapat watak Meng Changge. Namun, ia bukan satu-satunya ciri yang dinilai. Penampilan Jia Qingqing bukan masalahnya. Cuma malangnya dia tidak mempunyai aura yang kita cari."
"Saya dengar pelakon yang akan memainkan watak Meng Changge merupakan orang baru. Adakah benar? Piawaian kamu untuk watak Meng Changge begitu tinggi. Adakah orang baru ini mampu memenuhi semua jangkaan?"
Apa yang terjadi hari ini? Adakah paket merah yang diberi tak mencukupi? Soalan yang ditanya oleh wartawan semakin menjurus, dan semuanya disasarkan kepada pelakon watak heroin kedua.
"Persoalan ini boleh ditunggu sehingga filem ini disiarkan. Harap semua orang menyokongnya!
Namun, para wartawan masih tidak melepaskan isu ini, dan bertanya dengan lebih agresif, "Pengarah Guo, adakah pelakon bagi watak Meng Changge lebih cantik deripada Jia Qingqing?"
Bilakah ia akan berakhir?
Ya! Dia jauh lebih cantik daripada Jia Qingqing!
Sekiranya kamu menganggap bahawa Jia Qingqing mempunyai kecantikan yang datang sekali setiap seratus tahun, tunggulah apabila kamu melihat Ning Xi nanti. Tengoklah kalau kamu masih berani bercakap pasal Jia Qingqing!
"Setiap orang unik, unik dengan cara tersendiri…tunggulah sehingga dia hadir, maka kamu akan tahu…"
Pengarah Guo semakin hilang sabar dengan soalan yang ditanyakan. Ketika itu, seseorang telah muncul di hujung permaidani merah. Dia tergamam selama tiga saat sebelum dia kembali ke realiti, lalu ketawa. "Itulah dia!"