Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 880 - Panik (3)

Chapter 880 - Panik (3)

"Selamatkan dia? Kenapa?" tanya Jun Wu Xie sambil mengangkat kening.

"Orang-orang dari Bandar Seribu Binatang kan nak soal siasat tabib-tabib tu dan dapatkan maklumat?" tanya Ye Sha dengan sedikit bingung.

Sebaliknya Jun Wu Xie melambaikan tangan dengan bersahaja dan berkata, "Kalau Maharaja tu nak menempah maut, kenapa pula saya perlu halang. Biarkan sajalah."

Ye Sha semakin keliru.

Jun Wu Xie berkata dengan sabar, "Kalau orang-orang dari Bandar Seribu Binatang tu dapat tahu hal sebenar, mereka hanya akan menyimpan saja kebencian mereka. Ketua Besar mereka tu cukup bijak untuk mengelakkan persengketaan dengan negara paling besar dan kuat. Lagipun Qu Ling Yue tidaklah diapa-apakan dalam kejadian ini dan mereka pun tak akan bertindak melampau. Tak ada bezanya kalau Tabib Diraja Li itu mati atau tak. Maharaja nak buat tak peduli saja dengan hal ni. Kalau mereka bunuh Tabib Diraja Li, sama saja kesannya dengan membiarkan tabib itu beritahu hal sebenar. Kalau Xiong Ba tak faham pun, bila dia balik dan laporkan pada Ketua Besar mereka nanti, Ketua Besar mereka itu akan sedar siapa dalang di sebalik semua ini."

Setelah Jun Wu Xie menjelaskan padanya, Ye Sha terus memahami niat di sebalik tindakannya.

"Maharaja Negara Yan ni nak dapatkan sokongan Bandar Seribu Binatang. Tentulah saya akan gagalkan impiannya. Memandangkan dia tak sukakan Lei Chen, saya akan buat Bandar Seribu Binatang terhutang budi dangen Lei Chen." Bibir Jun Wu Xie menguntum senyuman menggerunkan. Sesiapa sahaja yang membuat rancangan jahat ke atasnya perlu sentiasa mempertimbangkan sama ada mereka mampu melakukannya.

"Rancangan Cik Muda memang sempurna!" Sekali lagi Ye Sha kagum dengan ketajaman akal Jun Wu Xie. Di negara asing seperti ini pun Jun Wu Xie masih mampu menggunakan segala yang dia ada untuk mengubah keadaan!

"Kamu boleh pergi." Jun Wu Xie berasa agak letih dan dia perlu berehat.

Ye Sha terus keluar dari bilik.

Awal pagi keesokan harinya, satu pembunuhan didapati telah berlaku di rumah tumpangan yang menempatkan Akademi Panji Perang. Mangsanya ialah Tabib Diraja Li yang berkhidmat di bawah Maharaja. Majistret Ibu Negeri Diraja Negara Yan telah menghantar pihak polis untuk menyiasat kejadian itu. Khabarnya Tabib Diraja Li dibunuh dengan kejam. Seluruh kawasan pembunuhan itu penuh dengan percikan darah.

Xiong Ba tidak begitu gembira dengan kematian Tabib Diraja Li tetapi dia tidak berdaya untuk berbuat apa-apa. Selepas kejadian itu, Xiong Ba hanya bertanya soalan ringkas pada tabib-tabib lain. Dia terus membebaskan mereka walaupun tidak dapat mencapai kesimpulan daripada semua keterangan mereka.

Ketika itu, hanya tinggal satu hari lagi untuk berlangsungnya perlawanan menentukan kedudukan sepuluh terbaik di Kejohanan Pertempuran Roh. Disebabkan kejadian yang berlaku di antara Jun Xie dan Qu Ling Yue di daerah pertempuran mereka, kedua-duanya tidak dapat maju ke kedudukan sepuluh teratas. Namun selepas Qu Ling Yue sedar semula, Jun Xie telah dibebaskan daripada tuduhan jenayah itu. Mereka berdua sepatutnya bertempur sekali lagi tetapi Qu Ling Yue terus mengumumkan untuk menarik diri.

Orang ramai tidak berkata apa-apa tentang penarikan diri Qu Ling Yue. Mereka yang menyaksikan sendiri situasi di hari ketika Jun Xie dan Qu Ling Yue berhadapan dengan satu sama lain sudah pun tahu hakikatnya. Kalau pertempuran itu diadakan semula pun, tidak syak lagi pemenangnya adalah Jun Xie.

Setelah tidak lagi dilabelkan sebagai orang yang mencederakan lawan sendiri, reputasi Jun Xie bertambah baik. Mereka yang membencinya kerana menyerang Qu Ling Yue dengan begitu ganas telah bersimpati pula pada Jun Xie setelah mereka mengetahui hal sebenar. Mereka kesal kerana Jun Xie dipenjarakan selama beberapa hari tanpa sebab dan hampir terlepas bertarung mendapatkan kedudukan dalam pertempuran sepuluh teratas di Kejohanan Pertempuran Roh!

Bahagian Kejohanan Pertempuran Roh yang menarik paling banyak perhatian sudah pun bermula. Tahun ini, pertempuran sepuluh tempat teratas bukan lagi merupakan saingan di antara pelbagai akademi seperti biasa. Sebaliknya, pertempuran ini merupakan persembahan solo Akademi Zephyr.

Ada seramai enam orang peserta dari Akademi Zephyr dalam kejohanan tahun ini. Dalam kalangan sepuluh peserta terbaik itu, enam daripadanya datang dari Akademi Zephyr. Boleh dikatakan bahawa kejohanan kali ini memang milik Akademi Zephyr! Perhatian orang ramai hanya tertumpu pada mereka dan menenggelamkan Akademi Panji Perang dan Akademi Pembunuh Naga yang sebelum ini juga sama terkenal.

Akademi Zephyr kini ialah kuda hitam yang menjadi bualan ramai.