Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 881 - Panik (4)

Chapter 881 - Panik (4)

Pada peringkat awal perlawanan menentukan kedudukan sepuluh terbaik, empat orang peserta lain secara spontan terus menyerah kalah. Bukan kerana mereka pengecut tetapi jurang kuasa pihak lawan terlalu besar. Kalau mereka naik ke atas pentas sekali pun, mereka akan kelihatan begitu lemah berbanding enam raksasa dari Akademi Zephyr itu. Daripada memalukan diri, mereka memilih untuk menerima sahaja kedudukan yang lebih rendah dan berundur lebih awal.

Pertempuran menentukan kedudukan sepuluh teratas itu sepatutnya menjadi perlawanan yang paling menarik perhatian. Namun di bawah persembahan solo Akademi Zephyr, pertempuran tersebut bertukar menjadi membosankan dan tidak mengujakan. Selepas empat orang peserta lain menyerah kalah, hanya para peserta dari Akademi Zephyr sahaja yang tinggal. Jun Wu Xie dan yang lain tak berlawan pun. Mereka cuma menunjukkan muka di atas pentas lalu mengangkat tangan untuk menarik diri. Tindakan ini menolak Fan Zhuo naik sehingga mencapai tempat pertama di dalam Kejohanan Pertempuran Roh.

Bagi Fan Zhuo…

Dia langsung tidak merasakan kemegahan setelah dinaikkan ke kedudukan yang tinggi dengan cara ini!

Namun di dalam hatinya, dia tahu yang Jun Wu Xie serta rakan-rakannya yang lain melakukannya atas satu sebab sahaja. Nama keluarganya, Fan!

Dengan adanya ahli Keluarga Fan mendapat kedudukan tertinggi di dalam Kejohanan Pertempuran Roh, keyakinan orang ramai terhadap Fan Jin dan Akademi Zephyr akan semakin meningkat.

Selepas berakhirnya Kejohanan Pertempuran Roh itu, Fan Jin minum sehingga mabuk di siang hari. Dia tersengih dungu sewaktu dibawa oleh Fan Zhuo untuk kembali berehat di biliknya.

Menurut jadual tahunan Kejohanan Pertempuran Roh, selepas pertempuran sepuluh kedudukan teratas itu selesai, Maharaja Negara Yan akan menjemput sepuluh peserta terbaik untuk menyertainya dalam satu jamuan negara. Acara yang sama turut berlangsung pada tahun ini.

Pada hari kedua selepas berakhirnya Kejohanan Pertempuran Roh, Jun Wu Xie dan yang lain menerima Titah-Perintah Diraja yang menjemput mereka ke Istana Diraja untuk menyertai jamuan negara. Lei Chen turut menghantar hadiah sebagai ucapan tahniah. Dia juga memberitahu bahawa dia akan menyertai mereka untuk bersuka ria di jamuan itu malam nanti.

"Saya berani jamin Titah-Perintah Diraja ini ditulis sewaktu Maharaja sedang muntah darah," kata Qiao Chu. Berkali-kali dia membelek skrol itu dan menelitinya sambil ketawa terbahak-bahak tanpa henti.

Ye Sha telah mengumpulkan maklumat dari dalam Istana. Maharaja sememangnya berniat untuk mencetuskan satu lagi kekacauan semasa pertempuran sepuluh tempat teratas. Siapa sangka Jun Wu Xie dan yang lain hanya menggunakan masa kurang daripada separuh hari untuk menamatkan pertandingan yang sepatutnya begitu menarik dan mengujakan. Orang-orang suruhan Maharaja baru sahaja menggosok-gosok tangan dengan gembira dan memulakan rancangan mereka. Kemudian mereka mendapat tahu yang pertandingan itu sudah pun tamat.

Ini membuatkan Maharaja tidak dapat meluahkan kemarahan yang terbuku di dalam hati baginda dan menyebabkan baginda meradang.

"Kesiannya dia. Tentulah dia tak mahu jumpa kita pun tapi terpaksa juga hantar jemputan pada kita," kata Fei Yan sambil tersenyum. Rancangan jahat Maharaja telah gagal sebelum dapat dilaksanankan. Baginda tak dapat membuat kacau sewaktu pertandingan akhir kedudukan sepuluh teratas. Sekumpulan anak muda ini memang sudah diketahui amat rapat dengan Lei Chen. Menurut peraturan, mereka akan pulang ke akademi setelah berakhirnya Kejohanan Pertempuran Roh. Selepas itu, Maharaja tidak akan dapat peluang lagi untuk cuba merampas mereka. Baginda akan dipaksa melihat tanpa berdaya ketika hubungan sekutu di antara mereka dan Lei Chen bertambah erat. Pasti baginda rasa amat kecewa.

"Malam ini, saya cadangkan kita buat beberapa ucap selamat untuk Lei Chen di depan mata Maharaja!" kata Qiao Chu dengan sinaran jahat di matanya.

"Tentulah kita perlu buat ucap selamat! Lagi bagus kalau buat ucap selamat berpasangan sambil bersilang tangan! Saya rasa kamu calon yang paling sesuai untuk lakukannya," kata Fei Yan kepada Qiao Chu. Dia memandang Qiao Chu sambil terkebil-kebil dengan tidak bersalah.

Qiao Chu menyumpah seranah sambil ketawa. Dia mencapai sebuah pasu di satu sisi dan mencampakkanya. Fei Yan dengan tangkas dapat menangkap pasu itu dengan mudah.

"Saya tak peduli apa perasaan Maharaja tu. Saya cuma nak tahu lebih lanjut apa yang Adik Xie nak buat selepas ini. Tak akan ada banyak peluang untuk masuk ke Istana Diraja. Kalau kita tak dapat bertindak malam ni, kita perlu cari alasan untuk terus berada di bandar ini. Kita juga perlu gunakan Lei Chen untuk masuk ke Istana dan mencari peta tu," kata Fan Zhuo sambil menongkat dagu dan memandang Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie membalas, "Malam ini kita akan cuba."