Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 882 - Jamuan di Istana (1)

Chapter 882 - Jamuan di Istana (1)

Malam pun berlabuh. Ibu Negeri Diraja Negara Yan diterangi tanglung yang tidak terkira jumlahnya. Kilauan api lilin menyinarkan cahaya, menolak kegelapan yang menyelubungi bandar yang serba makmur ini.

Dua buah kereta kuda milik Akademi Zephyr perlahan-lahan bergerak dari Lof Dewa, menuju ke pintu gerbang Istana Diraja.

Sepanjang jalan ke sana, terdapat ramai anak-anak muda dari pelbagai akademi lain yang belum meninggalkan bandar itu. Anak-anak muda ini berhenti berjalan untuk merenung mereka. Sebelum bermulanya Kejohanan Pertempuran Roh, tiada siapa dalam kalangan anak-anak muda ini yang menjangkakan Akademi Zephyr yang sudah jatuh itu akan menunjukkan kekuasaan di kejohanan tahun ini. Kemasyhuran Akademi Zephyr tidak merudum, malah semakin meningkat. Ini membuatkan semua orang merasakan yang akademi ini mungkin telah emalngkaui Akademi Panji Perang dan Akademi Pembunuh Naga. Akademi Zephyr kini sudah bersedia untuk mengambil tempat teratas sebagai akademi paling elit.

Istana Diraja dipenuhi tanglung-tanglung dan panji-panji berwarna-warni bagi mengalu-alukan sepuluh individual paling berbakat yang menonjol di dalam Kejohanan Pertempuran Roh tahun ini. Setiap kawasan istana itu dipenuhi perhiasan tanda penghargaan.

Kereta kuda dari akademi-akademi lain berhenti di pintu gerbang istana. Dari sepuluh kedudukan terbaik, Akademi Zephyr mengambil enam tempat manakala Akademi Panji Perang dan Akademi Pembunuh Naga masing-masing mendapat dua tempat. Sepuluh orang anak muda itu hampir serentak tiba di pintu gerbang istana. Empat orang pelajar dari Akademi Panji Perang dan Pembunuh Naga berpakaian mewah. Jelas sekali mereka telah memilih pakaian dengan berhati-hati. Semuanya berdiri di bawah langit malam. Mereka mendongak, hampir terlopong melihatkan pintu gerbang yang megah. Mata mereka memancarkan perasaan kagum.

Jun Wu Xie dan rakan-rakannya masih memakai pakaian seragam Akademi Zephyr. Mereka seolah-olah tidak mempunyai pakaian lain.

Tetapi sebaik kumpulan berenam ini muncul, pelajar-pelajar Akademi Panji Perang dan Pembunuh Naga itu terus kelihatan lemah. Keangkuhan mereka terus lenyap.

Kekuatan yang dimiliki oleh enam orang ini adalah "pakaian" terbaik yang mereka boleh tampilkan. Tanpa memerlukan apa-apa perhiasan pun, kumpulan berenam ini sudah pun dianggap sebagai raksasa menakutkan yang mampu menenggelami orang lain!

Sida-sida muda di Istana Diraja mengetuai mereka untuk masuk ke dalam. Negara Yan sememangnya layak digelar negara paling makmur. Setiap hiasan dalaman istana itu menunjukkan kemegahan dan kemewahan. Walaupun empat orang pelajar dari Akademi Pembunuh Naga dan Panji Perang itu cuba menyembunyikan perasaan teruja, mata mereka yang membara itu langsung tidak reda.

Sebaliknya, Jun Wu Xie dan rakan-rakannya kelihatan tenang. Jun Wu Xie adalah Cik Muda Istana Lin. Istana sebegini bukan asing baginya. Istana Diraja Kerajaan Qi ibarat taman di belakang rumahnya. Dia boleh keluar masuk sesuka hati.

Walaupun Qiao Chu dan yang lain sudah lama hidup dalam kedaifan, ketika kecil mereka telah membesar di dalam Dua Belas Istana. Alam Bawahan sukar mencapai tahap kemewahan yang ada di Alam Pertengahan.

Selepas berjalan melalui hampir separuh kawasan Istana Diraja, mereka akhirnya tiba di tempat jamuan. Tempat duduk mereka di dalam dewan jamuan itu sudah pun disusun dan diaturkan. Nampaknya mereka tidak tiba terlalu awal kerana ada beberapa orang yang telah duduk menanti.

Keempat-empat orang putera raja Negara Yan telah hadir. Selain mereka, ada juga orang-orang dari Bandar Seribu Binatang termasuklah Xiong Ba, Feng Yue Yang, Qing Yu dan Qu Ling Yue. Mereka kelihatan formal, duduk tegak di kerusi masing-masing. Xiong Ba telah bertemu Jun Xie sewaktu mereka pergi mengeluarkan anak muda itu dari penjara. Dia kini menganggap Jun Xie sebagai budak yang lemah dan telah terseksa secara tidak adil. Xiong Ba nampak Jun Xie berjalan masuk lalu dia mengangguk dan tersenyum.

Namun Qu Ling Yue memandang Jun Xie dengan perasaan malu. Dia hanya mampu tersenyum menggelabah sekilas sebelum terus tunduk. Dia tidak berani lagi memandang Jun Xie selepas itu.

Jun Wu Xie dan yang lain mengambil tempat masing-masing. Alunan muzik yang merdu memenuhi seluruh Istana Diraja. Dayang-dayang istana menghidangkan wain dan buah-buahan segar. Semua orang menikmati suasana sambil menanti jamuan itu bermula.

Lei Chen memandang Jun Xie. Senyuman lebarnya menggambarkan kegembiraan yang dirasainya ketika itu. Lei Chen tahu bahawa Lei Fan yang duduk di sebelahnya sedang dimamah perasaan iri hati dan marah dengan senyuman lebar Lei Chen. Tangan Lei Fan yang tersembunyi di bawah meja itu pasti akan meninggalkan banyak kesan cakaran.