Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 874 - Tamparan Kesembilan (4)

Chapter 874 - Tamparan Kesembilan (4)

Tiada siapa akan mencurigai kata-kata Feng Yue Yang. Kalau dia membuat kesimpulan yang Qu Ling Yue sudah pulih sepenuhnya, pasti hal itu benar!

Tapi semua tabib di situ adalah mereka yang telah memberikan rawatan pada Qu Ling Yue selama ini. Tentulah mereka begitu arif dengan tahap kecederaannya. Mereka sukar percaya yang Qu Ling Yue boleh sembuh dalam masa yang begitu singkat… Hanya dalam sekelip mata. Mana mungkin ini boleh berlaku?

Wajah Xiong Ba kelihatan amat terkejut. Dia memandang Feng Yue Yang sebelum berpaling memandang Jun Wu Xie yang berdiri dengan tenang di satu sisi.

"Be… betulkah?" Xiong Ba tergagap-gagap.

"Kamu fikir saya akan tipu kamu?" kata Feng Yue Yang dengan cemuhan.

Susuk tubuh Xiong Ba yang tinggi lampai itu menggigil sedikit.

Dia cepat-cepat berpaling menghadap Jun Wu Xie kemudian melutut sebelah kaki dan berkata dengan serius, "Saya bersikap biadab dan menyinggung Cik Jun tadi. Saya mohon kemaafan daripada Cik Jun!"

Ketua Dewan Api Marak yang garang dan ganas itu telah melutut sebelah kaki untuk memohon maaf daripada Jun Wu Xie. Perubahan situasi ini membuatkan semua orang di situ terdiam.

Mana mungkin Jun Wu Xie itu dapat menyembuhkan kecederaan Qu Ling Yue? Pasti ini hanya lawak jenaka!

Semua tabib di dalam bilik itu begitu terkejut melihat apa yang berlaku di depan mata mereka ini sehingga tidak mampu berkata apa-apa. Mereka tak tahu jika semua ini adalah mimpi atau realiti.

"Bangun sajalah," kata Jun Wu Xie.

Xiong Ba berdiri selepas itu. Wajahnya masih kelihatan kekok, seolah-olah masih mahu meminta maaf. Perwatakan ganas dan agresif tadi terus lenyap. Sebaliknya mata yang memandang Jun Wu Xie itu kelihatan bersalah dan penuh sesalan.

"Cik Jun, apa yang berlaku pada Cik Muda kami? Macam mana dengan kecederaannya? Apa yang kamu buat tadi? Macam mana dia boleh tiba-tiba sembuh?" Kali ini nada suara Xiong Ba penuh hormat ketika dia bercakap dengan Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie menjawab, "Dia tak cedera pun. Jadi tak perlulah nak kecoh-kecoh macam ni."

"Tak cedera?" Xiong Ba memandang Jun Wu Xie dengan bingung.

Jun Wu Xie terus berjalan ke sisi katil Qu Ling Yue. Dia mengangkat rambut Qu Ling Yue yang lembut dan mendedahkan leher gadis itu. Di bahagian lehernya tersusuk tiga bilah jarum perak. Di bawah kulitnya terlihat satu kesan lebam yang tidak begitu ketara, dikelilingi oleh tiga bilah jarum tadi.

"Apa ni?" Mata Feng Yue Yang terus bersinar penuh tanda tanya selepas terlihat kesan lebam itu. Kawasan lebam itu amat tersorok, di bahagian belakang leher Qu Ling Yue serta tersembunyi di bawah rambutnya yang panjang dan lebat. Feng Yue Yang sendiri pun tidak menyedarinya tadi.

"Kadangkala, nak buat seseorang tu nampak macam dah cedera parah, tak perlu pun lakukan secara fizikal. Tutup saja titik meridiannya untuk buatkan nadinya kacau-bilau. Kesannya nanti akan dapat dilihat," jelas Jun Wu Xie.

Akhirnya Feng Yue Yang faham. "Maksud Cik Jun, Cik Muda kami ni tak cedera? Nadinya hanya menunjukkan kesan sebegitu sebab ada orang sengaja memanipulasinya?"

Jun Wu Xie mengangguk.

Tabib Diraja Li memerhatikan Jun Wu Xie menjelaskan situasi itu dan wajahnya terus menjadi pucat. Dia cuba sedaya-upaya untuk menyembunyikan perasaan cemas di dalam hatinya dan perlahan-lahan bergerak ke bahagain belakang kerumunan tabib di dalam bilik itu. Dia mahu menyelinap keluar tanpa disedari.

"Tabib Diraja Li tak mahu jelaskan pada semua orang di sini?" Tanpa berpaling, Jun Wu Xie berkata dengan kuat!

Sebaik terdengar suara tersebut, semua mata tertumpu pada Tabib Diraja yang sedang bersiap untuk melarikan diri.

Wajah Tabib Diraja Li menjadi pucat. Dia memandang Jun Wu Xie dan cepat-ceapt berpura-pura berani dan berkata, "Kenapa pula saya nak jelaskan apa-apa!?"

"Oh?" Jun Wu Xie mengangkat kening. Bibirnya menguntum senyuman menggerunkan. "Sebelum ini sewaktu saya lepaskan meridian Qu Ling Yue yang ditutup, simptom penyakitnya juga terus lenyap sepenuhnya."