Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 875 - Tamparan Kesembilan (5)

Chapter 875 - Tamparan Kesembilan (5)

"Oh?" Jun Wu Xie mengangkat kening. Bibirnya menguntum senyuman menggerunkan. "Sebelum ini sewaktu saya lepaskan meridian Qu Ling Yue yang ditutup, simptom penyakitnya juga terus lenyap sepenuhnya. Tapi yang menariknya, selepas satu malam saja dia kembali sakit. Situasi ini tak mungkin berlaku melainkan ada orang yang menutup titik meridiannya lagi pada malam itu."

"Saya cuma tertanya-tanya tentang satu perkara. Semua tabib di sini bertanggungjawab merawat Qu Ling Yue sejak beberapa hari ni. Waktu malam pun kamu aturkan giliran untuk menjaganya. Jadi siapa senyap-senyap buat begitu padanya? Tabib Diraja Li tak ada nak cakap apa-apa tentang hal ini?" tanya Jun Wu Xie sambil tersenyum. Matanya bersinar-sinar.

Dia tidak terfikir akan dapat menyembuhkan Qu Ling Yue sepenuhnya sewaktu pertama kali dia ke situ. Dia cuma datang dengan niat mahu mencari pesalahnya. Tapi kini setelah mengetahui dengan jelas tentang apa yang berlaku, dia mahu pesalah itu merasakan sendiri akibatnya!

"Macam… macam mana pula saya nak tahu siapa yang buat? Ada lebih daripada sepuluh orang yang bergilir-gilir setiap malam. Orang itu pun akan menjaga Cik Qu sendirian. Tak mungkin kita akan tahu siapa pesalahnya," kata Tabib Diraja Li. Dia cuba berbohong untuk melepaskan diri.

"Oh, begitu? Jadi kita perlu minta Ketua Dewan Xiong untuk siasat hal ini betul-betul dan cari siapa pesalahnya. Siapa yang begitu berani mempergunakan Qu Ling Yue untuk buat tuduhan palsu pada orang lain. Qu Ling Yue ini ialah Cik Muda Bandar Seribu Binatang yang terhormat. Identitinya unik dan jauh berbeza dengan orang biasa. Siapa ya yang nak gunakan kecederaan Qu Ling Yue ni untuk menimbulkan kemarahan Bandar Seribu Binatang?"

Jun Wu Xie tidak meluahkan segala yang dia fikirkan. Dia tahu apa yang dikatakannya itu sudah cukup.

Seperti yang dijangka, kening Xiong Ba terus berkerut. Dia berkata, "Saya berterima kasih di atas peringatan Cik Jun. Saya sendiri akan siasat hal ini lebih lanjut dan tak akan biarkan orang yang sengaja mengapa-apakan Cik Muda kami tu terlepas begitu saja."

Jun Wu Xie mengangguk.

Maharaja dan Putera Keempat mahu menggunakan kecederaan Qu Ling Yue untuk menimbulkan kemarahan Bandar Seribu Binatang. Mereka mahu memerangkap Jun Wu Xie dan pada masa yang sama, menjatuhkan nama Putera Mahkota. Jadi dia cuma mengubah sedikit insiden tersebut supaya apabila kebenaran di sebalik kecederaan Qu Ling Yue itu terdedah, orang yang akan disoal oleh Bandar Seribu Binatang bukan lagi Putera Mahkota Lei Chen tetapi… Maharaja Negara Yan!

Buah yang pahit ini dia berikan sebagai hadiah untuk ditelan oleh Maharaja dan Putera Keempat.

"Tabib Diraja Li. Hal ini memerlukan siasatan rapi. Saya terpaksa menyusahkan semua tabib yang terlibat dalam merawat Cik Muda kami untuk memberi kerjasama dengan Bandar Seribu Binatang. Sebelum insiden ini dapat dijelaskan, saya mohon kamu semua tak meninggalkan tempat ini." Wajah Xiong Ba penuh ancaman. Dia secara paksa telah menahan semua tabib di situ.

Tabib Diraja Li tiba-tiba menjadi panik. Dengan menggelabah dia berkata pada Xiong Ba, "Apa maksud semua ni, Ketua Dewan Xiong? Kalau pun perlu ada siasatan, hal ini berlaku di Ibu Negara Diraja Negara Yan. Tentulah Negara Yan akan menyiasatnya. Ketua Dewan Xiong adalah tetamu kehormat kami yang datang dari jauh. Kamu patut biarkan pasukan polis di Ibu Negara Diraja ni saja yang uruskan."

Xiong Ba mendengus penuh cemuhan lalu berkata, "Biar Negara Yan uruskan? Insiden ke atas Cik Muda kami ni berlaku di Ibu Negara Diraja Negara Yan. Pesalah yang merancang semua ini dan mencederakan Cik Muda juga mungkin orang dari Negara Yan. Kenapa pula saya nak biarkan Negara Yan uruskan hal siasatan ni!?"

Kata-kata Xiong Ba yang berterus-terang dan tidak berselindung itu hampir membuatkan Tabib Diraja Li memuntahkan darah. Dia tidak mampu berkata apa-apa untuk membantah. Matanya yang panik itu terus tertumpu pada Lei Chen yang sedang berdiri di tepi. Dia tiba-tiba terfikir. Pada ketika itu satu-satunya orang yang mampu menghentikan Xiong Ba daripada menahan mereka semua untuk disoal-siasat adalah Putera Mahkota Negara Yan!

"Tuanku Putera Mahkota! Tuanku adalah waris takhta Negara Yan. Patik mohon Tuanku bercakap bagi pihak kami berkenaan insiden ini. Kalau hal Negara Yan diserahkan pada Bandar Seribu Binatang untuk diuruskan dan berita ini tersebar, Negara Yan akan mendapat malu." Suara Tabib Diraja Li itu kedengaran panik. Sikapnya terhadap Lei Chen terus berubah. Langsung tidak ada kesombongan dan kebiadaban seperti sebelum ini.