Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 870 - Tabib Penipu (3)

Chapter 870 - Tabib Penipu (3)

Tabib Diraja Li terus berkata sambil tersenyum, "Senior Feng pun mengatakan hal yang sama. Apa lagi yang perlu disangsikan? Kalau tak kerana kami semua berusaha keras untuk memberikan rawatan, sebiji Eliksir Penggumpal Jantung Cik Jun tu mampukah nak sembuhkan kecederaan parah Cik Qu? Bukankah ini lawak jenaka namanya?"

Kening Xiong Ba berkerut ketat. Dia merenung Jun Wu Xie, seolah-olah sedang mempertimbangkan kata-kata Tabib Diraja Li.

Kemudian Jun Wu Xie berkata dalam nada yang tenang, "Memandangkan Tabib Diraja Li kata ini semua disebabkan oleh usaha kamu dan kumpulan kamu, saya nak tanyalah. Sejak hari itu, Qu Ling Yue berada sepenuhnya di bawah jagaan kamu. Ada kamu dapat capai apa-apa perkembangan baik selepas tu?"

Suara yang dingin itu ibarat tasik berais yang mengalir ke hati mereka. Kedinginan yang mencengkam itu memaksa tiga orang lelaki dari Bandar Seribu Binatang itu tersedar tentang hal kebenaran yang dinyatakan di sebalik kata-kata Jun Wu Xie.

Kalau tempoh separuh hari di mana keadaan Qu Ling Yue bertambah baik itu hanya kerana Jun Wu Xie kebetulan mencuri penghargaan yang sepatutnya diberikan pada Tabib Diraja Li dan kumpulannya, jadi secara logiknya usaha itu adalah milik mereka. Tapi sejak hari itu, Qu Ling Yue berada di bawah jagaan mereka. Keadaannya tidak menunjukkan sebarang perubahan. Dia tetap tidak sedarkan diri dan berada dalam koma. Situasi ini agak tidak munasabah.

Tabib Diraja Li terdiam mendengarkan kata-kata Jun Wu Xie. Dia hanya mampu berdiri dengan wajah yang pucat dan merenung marah pada gadis itu.

Jun Wu Xie tidak mahu terus membazirkan masa dengan orang-orang yang dungu ini. Dia terus berpaling memandang Feng Yue Yang.

"Senior Feng dah periksa nadi Qu Ling Yue serta dah lihat ubat dan herba yang Tabib Diraja Li berikan padanya. Saya percaya dengan kemahiran dan ilmu perubatan yang ada, Senior Feng sedar sejauh mana keberkesanan ubat-ubatan itu."

Feng Yue Yang mengangguk, "Ubat-ubat itu hanya boleh menstabilkan keadaannya, tapi tak akan sembuhkan kecederaan Cik Muda kami."

Jun Wu Xie mengangguk puas hati dan berpaling memandang Tabib Diraja Li lalu berkata, "Tabib penipu."

Mata Tabib Diraja Li terbeliak. Dia tiba-tiba begitu ingin meluru dan mencarik-carik budak kecil bermulut lancang ini.

"Apa kamu nak cakap ni? Budak tak guna! Kalau perubahan keadaan Cik Qu tu bukan disebabkan penjagaan rapi kami, jangan nak kata semuanya disebabkan Eliksir Penggumpal Jantung kamu tu!"

Feng Yue Yang berasa agak keliru. Dalam keadaan Qu Ling Yue, tak kiralah sama ada kaedah rawatan Tabib Diraja Li yang bersifat sederhana dan lembut, mahupun Eliksir Penggumpal Jantung milik Jun Wu Xie, kedua-duanya tidak akan mampu menyembuhkan Qu Ling Yue. Walaupun kedua-dua pihak ini tak henti-henti berdebat tentangnya, ada satu perkara yang jelas.

Sepanjang tempoh setengah hari, kecederaan Qu Ling Yue telah sembuh sepenuhnya.

Situasi ini benar-benar membingungkan Feng Yue Yang yang dihormati kerana kemahiran perubatannya yang mengagumkan. 

Jun Wu Xie merenung dingin pada Tabib Diraja Li yang sedang membentak marah itu lalu berkata, "Siapa kata saya cuma gunakan Eliksir Penggumpal Jantung?"

Tabib Diraja Li begitu terkejut sehingga menjadi kaku. Matanya membara kemarahan sambil merenung Jun Wu Xie.

"Bukankah memang begitu? Saya nampak dengan mata saya sendiri tempoh hari. Kamu cuma beri Cik Qu makan sebiji Eliksir Penggumpal Jantung. Itu saja! Jangan nak merepeklah!"

Mata Jun Wu Xie tetap merenung Tabib Diraja Li yang semakin tertekan. Dia menggelengkan kepala. Matanya yang merenung Tabib Diraja Li itu penuh dengan cemuhan.

"Sebagai pengamal perubatan, kamu memang layak digelar tabib penipu."

Wajah Tabib Diraja Li semakin marah.

Sewaktu mendengarkan kata-kata mereka berdua, Xiong Ba menjadi semakin keliru, "Saya ni cuma orang yang dungu dan tak faham dengan putar belit kata-kata kamu ni. Saya cuma nak tanya satu soalan. Jiang Ying Long, kamu beritahu saya hal yang sebenar. Betulkah keadaan Cik Muda kami ada menunjukkan perkembangan baik sebelum ni?"

Jiang Ying Long mengangguk tanpa berani menyembunyikan apa-apa.

Xiong Ba kemudian berpaling memandang Jun Wu Xie. "Cik Jun, kamu kata perubahan keadaan Cik Muda tu disebabkan oleh tindakan kamu. Jadi beritahu saya. Selain Eliksir Penggumpal Jantung tu, apa lagi yang kamu buat? Tolong berterus-terang."

Jun Wu Xie mengangkat kening dan bertanya, "Kamu semua fikir yang Qu Ling Yue tu benar-benar dah cedera parah?"