Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 871 - Tamparan Kesembilan (1)

Chapter 871 - Tamparan Kesembilan (1)

Kata-kata Jun Wu Xie membuatkan semua orang di dalam bilik itu kaku kerana terkejut.

Sekilas keresahan muncul di wajah Tabib Diraja Li tetapi dia cepat-cepat melenyapkannya.

"Cik Jun. Apa maksud kamu? Begitu ramai tabib dah memeriksa kecederaan Qu Ling Yue. Malah diagnosis Senior Feng juga mengesahkannya. Bukankah pelik kamu bertanyakan soalan itu?" Pemuda dari Bandar Seribu Binatang itu mengangkat kening dan memandang Jun Wu Xie. Hakikat bahawa Qu Ling Yue telah tercedera tidak dapat disangkal lagi. Walaupun mereka tidak percaya dengan tabib-tabib dari Negara Yan, hakikat ini juga disahkan oleh Feng Yue Yang. Tidak mungkin dia tersilap.

"Pelik?" tanya Jun Wu Xie. Keningnya terangkat tinggi.

"Macam mana budak tak guna macam kamu ni boleh dibenarkan terus merepek? Berapa umur kamu? Apa yang kamu tahu? Kalau tak percaya dengan kemahiran perubatan kamu pun, Senior Feng ni salah seorang daripada tiga Tabib Dewa yang dihormati. Dia mampu buat diagnosis sebarang penyakit dengan tepat. Kamu tak layak datang ke sini dan berikan pendapat jahil kamu tu!" bantah Tabib Diraja Li.

"Senior Feng, pendapat kamu pun sama?" Jun Wu Xie berpaling untuk bertanya pada Feng Yue Yang.

Feng Yue Yang berfikir sejenak kemudian berkata, "Mereka ni membesar-besarkan cerita. Walaupun saya ni dah diberi pangkat sebegitu oleh orang ramai, saya tak berani dakwa yang saya mampu membuat diagnosis untuk setiap penyakit. Tapi berkenaan keadaan Cik Muda kami sekarang ni, sekurang-kurangnya saya mampu tentukan sebabnya. Saya tak tahu kenapa Cik Muda Jun masih nak tanya lagi."

Jun Wu Xie membalas, "Kalau begitu, biar kebenaran saja yang bersuara." Selepas berkata begitu, dia tiba-tiba berjalan ke sisi katil Qu Ling Yue.

Ketika Tabib Diraja Li terlihat tindakan Jun Wu Xie, dia terus menjerit, "Budak tak guna tu nak buat apa!?"

Jun Wu Xie berpaling untuk merenungnya, "Saya tak kisah nak ajar satu dua ilmu pada orang-orang tak guna macam kamu ni."

Mata Tabib Diraja Li bersinar dengan panik. Dia memandang Jun Wu Xie, kemudian berpaling menghadap Xiong Ba.

"Ketua Dewan Xiong, kamu nak benarkan budak tak guna tu terus bersandiwara?"

Wajah Xiong Ban mula berkerut. Walaupun dia tidak percaya Jun Wu Xie yang masih muda itu benar-benar memiliki ilmu perubatan yang melangkaui ilmu Feng Yue Yang, hakikatnya penyembuhan Qu Ling Yue ada kaitan dengan gadis itu. Dia tidak dapat menahan diri daripada teragak-agak dan berasa serba salah. Dia berpaling pada Feng Yue Yang dan berkata dengan berhati-hati, "Diri saya yang jahil ni tak tahu apa-apa tentang ilmu perubatan. Senior Feng rasa apa yang menyebabkan keadaan Cik Muda sebelum ini tiba-tiba bertambah baik?"

Feng Yue Yang menggelengkan kepala. Menurut diagnosisnya, walaupun dia sendiri yang merawat Qu Ling Yue sejak mula, dia memerlukan masa setahun untuk menyembuhkan gadis itu sepenuhnya. Apa yang mereka katakan tadi berlaku dalam masa hanya satu hari. Dalam masa sesingkat itu, tak mungkin Qu Ling Yue boleh sembuh sepenuhnya. Kalau Feng Yue Yang dapat menstabilkan kecederaannya pun, tanda-tanda perkembangannya sukar dilihat dengan jelas. 

Setelah mendapatkan jawapan Feng Yue Yang, Xiong Ba terus berdiri di hadapan Jun Wu Xie untuk menghalang laluannya.

"Saya tak tahu dari mana kamu datang, tapi Cik Muda Bandar Seribu Binatang tak boleh dirawat dengan cuai oleh entah siapa-siapa. Saya mohon Cik Muda tak buat kecoh di sini atau saya terpaksa gunakan kekerasan." Walaupun hati Xiong Ba berasa ragu-ragu, dia tidak boleh membiarkan orang sembarangan merawat Qu Ling Yue, apatah lagi jika orang itu hanya seorang gadis muda.

Jun Wu Xie memandang Xiong Ba sambil mengangkat keningnya. Bibirnya menguntum senyuman dingin. Matanya berkilauan dan dia berkata dengan suara yang perlahan, "Kamu fikir dengan berdiri menghalang laluan saya ni, kamu mampu menghentikan saya?"

Xiong Ba terkejut dengan jawapannya. Sebelum dia sempat bertindak, Jun Wu Xie sudah mengangkat tangan kanannya. Beberapa kilas cahaya dingin terpancar dari tangannya. Dalam sekelip mata kilauan cahaya itu meluru ke arah Qu Ling Yue yang sedang terbaring di atas katil!

"Apa yang kamu dah buat!?" Xiong Ba menjerit dengan terkejut dan marah. Dia menggenggam kolar baju Jun Wu Xie dan mengangkat tubuh gadis itu.