Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 866 - Tetamu dari Bandar Binatang (5)

Chapter 866 - Tetamu dari Bandar Binatang (5)

"Kalau dia tu ada roh hijau pun, kenapa? Dia ingat dia tu siapa!? Berani dia cederakan Cik Muda kami. Bandar Seribu Binatang tak akan lepaskan dia dengan begitu mudah!" kata Xiong Ba.

Dalam diam Jiang Ying Long mengeluh lega dan berkata, "Betul tu. Malanglah nasib Jun Xie tu. Tapi apa yang penting sekarang ni ialah merawat kecederaan Qu Ling Yue dulu."

Xiong Ba mengangguk. Pandangan matanya sekali lagi tertumpu pada orang yang seronok berbual-bual dengan tabib-tabib lain tadi, Tabib Diraja Li.

"Tabib Negara Yan tak ada kemahiran dan kami pun tak harapkan mereka. Bandar Seribu Binatang akan gunakan tabib kami sendiri untuk uruskan hal ini." Setelah berkata begitu, Xiong Ba berpaling pada lelaki tua beruban di sebelahnya dan bercakap dengan hormat, "Saya merayu pada Senior Feng untuk menyelamatkan Cik Muda kami."

Lelaki tua itu mengangguk. "Itulah tujuan orang tua yang lemah ini datang ke sini hari ini. Jangan risau Ketua Dewan Xiong. Saya akan lakukan segalanya yang saya mampu."

Tabib Diraja Li merenung lelaki tua itu. Hatinya berasa sangsi. Ketika Xiong Ba menyapa orang tua itu sebagai Senior Feng, kata-kata bantahan yang ada di hujung lidah Tabib Diraja Li terus ditelan ke dalam kerongkongnya.

Di seluruh dunia pada ketika ini, ada beberapa orang pengamal perubatan yang hebat dan terkenal selain Kumpulan Qing Yun yang telah lenyap itu. Mereka hidup sebagai pertapa dan tinggal bertahun-tahun di dalam kawasan pergunungan serta jarang muncul di khalayak ramai. Tetapi kehebatan mereka dalam bidang perubatan tidak pernah dilupakan. Walaupun dari segi penghasilan eliksir mereka tidak setanding dengan Kumpulan Qing Yun, pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang rawatan jauh melangkaui para doktor dan tabib lain.

Dalam kalangan mereka ada tiga orang yang diiktiraf sebagai Tabib Dewa. Salah seorang daripada mereka bernama Feng Yue Yang. Khabarnya dia mula menelaah buku-buku perubatan sejak kecil dan sudah pun mencapai kemasyhuran ketika di usia yang muda. Sewaktu sudah berumur, dia akhirnya berundur ke kawasan pergunungan. Tetapi beberapa tahun dahulu, lelaki yang dianggap sebagai salah seorang daripada Tabib Dewa itu tiba-tiba menyertai Bandar Seribu Binatang dan menjadi tabib mereka.

Tabib Diraja Li sememangnya orang yang angkuh dan meninggi diri. Tetapi ketika berhadapan dengan Feng Yue Yang, dia tidak berani menunjukkan sebarang tanda kebiadaban.

"Saya baru sedar yang Senior Feng terhormat ini berada di hadapan saya. Saya dah lama dengar tentang kemahiran perubatan senior yang hebat. Saya berasa rendah diri kerana bertuah dapat bertemu dengan senior hari ini. Inilah penghormatan paling hebat bagi saya." Tabib Diraja Li tiba-tiba bersikap sopan dan penuh hormat. Dia tunduk sambil menyapa Feng Yue Yang.

Feng Yue Yang menjeling sekilas padanya dan mengangguk sambil berjalan ke sisi katil Qu Ling Yue. Dia memeriksa nadi gadis itu. Tiba-tiba keadaan di bilik itu menjadi sunyi.Tiada siapa berani mengganggu Feng Yue Yang ketika dia sedang melakukan diagnosis. Tabib Diraja Li berasa amat tersentuh. Dalam diam dia melirik pada Jun Wu Xie yang berdiri di belakang Lei Chen. Tabib Diraja Li tersenyum dingin.

Ekspresi di wajahnya itu seolah-olah menyatakan budak tak guna tu tak mungkin dapat dibandingkan dengan Feng Yue Yang, seorang Tabib Dewa.

Selepas seketika, Feng Yue Yang berpaling menghadap semua orang. Wajahnya berkerut. Xiong Ba berasa resah dan cemas. Dia bertanya, "Senior Feng. Di mana kecederaan Cik Muda? Seriuskah kecederaannya? Dapatkah Senior Feng…"

Feng Yue Yang mengangkat tangannya sedikit untuk menghentikan soalan Xiong Ba yang datang bertubi-tubi.

"Ketua Dewan Xiong, jangan terburu-buru. Saya sudah pun mengenal pasti kecederaan Cik Muda kita. Sekarang ni saya perlu bertanya pada tabib-tabib lain tentang keadaannya. Saya harap Ketua Dewan Xiong dapat bertenang."

Xiong Ba tidak mampu berbuat apa-apa selain berundur ke tepi dengan senyap. Matanya masih menunjukkan keresahan dan kegelisahan.

"Dalam tempoh beberapa hari ni, kamu semuakah yang merawat Cik Muda kami?" tanya Feng Yue Yang sambil memandang Tabib Diraja Li dan tabib-tabib lain.

Mereka terus mengangguk. Sejak dulu lagi mereka pernah mendengar nama Feng Yue Yang. Walaupun mereka juga merupakan tabib yang agak terkenal, ketika berhadapan dengan Feng Yue Yang, mereka hanya mampu tunduk patuh padanya.

"Boleh kamu tunjukkan herba-herba dan eliksir yang kamu berikan pada Cik Muda kami dalam tempoh beberapa hari ni? Orang tua yang tak berdaya ni mahu melihatnya," kata Feng Yue Yang dengan lembut.

"Tentu sekali. Saya mohon Senior Feng tunggu sebentar di sini. Kami akan cepat-cepat mengambilnya," Beberapa orang tabib terus berlari keluar. Seketika kemudian, mereka kembali membawa pelbagai jenis eliksir dan herba yang telah mereka berikan pada Qu Ling Yue sejak beberapa hari ini.