Feng Yue Yang membuka ikatan bungkusan herba itu dan menelitinya. Kemudian dia memeriksa eliksir-eliksir tersebut sebelum meletakkannya semula.
"Macam mana? Mereka tersalah beri ubat? Kalau tak, kenapa Cik Muda kita masih tak sedarkan diri?" Xiong Ba bertanya dengan cemas. Selepas melihat Tabib Diraja Li berbual gembira dengan tabib-tabib lain sewaktu dia melangkah masuk tadi, dia tidak lagi percaya pada sekumpulan penipu ini.
Tabib Diraja Li tidak dapat menahan dirinya lalu membantah, "Ketua Dewan Xiong. Walaupun kami ni tak sehandal atau berilmu tinggi seperti Senior Feng, kami masih lagi merupakan pengamal perubatan yang bertanggungjawab. Identiti Cik Qu amat luar biasa. Mana mungkin kami berani ambil risiko dan berikan dia sebarang ubat yang tak sesuai?"
Xiong Ba mendengus tanda mengejek.
Feng Yue Yang menggelengkan kepala dan berkata, "Ketua Dewan Xiong cuma terlalu risau. Tak ada apa yang tak sesuai dengan ubat-ubatan yang tabib-tabib ini dah berikan pada Cik Muda kita. Boleh dilihat daripada kesan ubat-ubatan ini bahawa mereka menjaga Cik Muda dengan baik. Tetapi memandangkan kecederaan Cik Muda terlalu parah dan penyakitnya ini terlalu rumit, memberikan Cik Muda ubat yang mempunyai kesan kuat tanpa berasa yakin dengan hasilnya hanya akan membebankan tubuh Cik Muda."
Kata-kata Feng Yue Yang menyenangkan hati Tabib Diraja Li dan riak wajahnya elok kembali.
Namun kata-kata Feng Yue Yang seterusnya mula bercanggah, "Walaupun ubat dengan kesan sederhana ini tak akan memudaratkan tubuh Cik Muda penggunaan kaedah rawatan yang terlalu berhati-hati ini tak mungkin boleh menyembuhkan keadaannya. Sejujurnya, keadaan Cik Muda benar-benar genting. Malah kalau saya nak sembuhkan dia sepenuhnya pun saya masih perlukan banyak masa untuk buat persediaan. Melihatkan keadaan Cik Muda sekarang ni, mungkin tubuhnya tak dapat bertahan begitu lama," keluh Feng Yue Yang. Suaranya berbaur kebimbangan.
Riak wajah Xiong Ba kelihatan semakin gelisah. Malah anak muda di sebelahnya juga kelihatan amat bimbang,
Tapi pada ketika itulah satu suara yang dingin tiba-tiba kedengaran di dalam bilik itu.
"Luka sekecil ini pun begitu menyusahkan?"
Sebaik suara itu kedengaran, semua orang berpaling ke arah puncanya.
Jun Wu Xie yang selama ini tidak bercakap sepatah pun, tiba-tiba menjadi tumpuan.
"Budak tak guna! Nak buat masalah di sini lagi!? Bukankah kamu kata kalau kamu tak dapat sembuhkan dia, kamu tak akan tunjuk muka di sini lagi!?" Sebaik terdengar kata-kata Jun Wu Xie, Tabib Diraja Li meledak dengan kemarahan. Hatinya membara. Dia bingkas berdiri dan menuding jari pada Jun Wu Xie untuk memarahinya.
Jun Wu Xie mengangkat sebelah kening dan memandang Tabib Diraja Li yang sedang berang itu lalu berkata, "Saya cuma nyatakan fakta. Perlukah marah-marah macam begini?"
"Kamu!"
"Gadis kecil, kamu ni dari mana? Kamu tahu tak apa yang kamu cakapkan ni!?" kata Xiong Ba sambil berkerut memandang Jun Wu Xie. Dia begitu risaukan kecederaan Qu Ling Yue dan tidak begitu perasan dengan orang yang berada di sisi Lei Chen. Kini setelah dia memerhatikan dengan teliti, dia dapat lihat yang gadis ini sangat menawan. Namun gaya percakapannya membuatkan orang tidak dapat menyukainya.
"Fakta," balas Jun Wu Xie. Dia mengangkat dagunya sedikit dan berpeluk tubuh. Jun Wu Xie kelihatan begitu tenang dan tidak terkesan sewaktu dia merenung sekumpulan orang yang sedang menggelabah itu.
Jiang Ying Long terus menyedari ada yang tak kena dengan situasi itu. Dia melangkah ke hadapan dan berkata pada Lei Chen, "Tuanku, Patik percaya Tuanku tak akan lupakan perjanjian kita sebelum ini."
Lei Chen mengangkat keningnya, pura-pura tidak tahu.
Pemuda dari Bandar Seribu Binatang itu menyedari ada sesuatu yang tak kena di sebalik kekecohan itu. Dia tiba-tiba bertanya, "Tolong beritahu saya, perjanjian apa yang ada di antara Guru Jiang dan Tuanku Putera Mahkota?"
Jantung Jiang Ying Long berdegup kencang. Dia tahu dia telah terperangkap.
Kalau orang-orang dari Bandar Seribu Binatang ini tahu dia telah membenarkan seorang gadis kecil merawat Cik Muda mereka, Xiong Ba pasti akan meradang!