Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 865 - Tetamu dari Bandar Binatang (4)

Chapter 865 - Tetamu dari Bandar Binatang (4)

Xiong Ba tidak ada hati untuk memarahi Tabib Diraja Li. Dia bergegas ke sisi katil Qu Ling Yue. Melihatkan wajah kecil yang amat dikenalinya itu kelihatan begitu lemah, hatinya berasa perit.

Semua Ketua Dewan telah melihat Qu Ling Yue membesar menjadi gadis yang mereka amat sayangi. Sewaktu Ketua Besar sibuk menguruskan hal-hal bandar itu, Qu Ling Yue yang masih kecil sering diletakkan di bawah jagaan Ketua-ketua Dewan. Walaupun kedudukannya sebagai Ketua Muda jauh lebih tinggi daripada pangkat mereka, jurang ini dirapatkan sejak mula lagi kerana mereka semua melayan Qu Ling Yue seperti ahli keluarga sendiri. Melihatkan Qu Ling Yue dalam keadaan begini, terbaring kaku di atas katil, hati Xiong Ba berasa terluka. Perasaan tidak puas hatinya terhadap orang-orang di Akademi Panji Perang dan Negara Yan sudah pun mencapai kemuncaknya.

"Jiang Ying Long! Kami serahkan Cik Muda kami pada Akademi Panji Perang dan ini yang kamu lakukan padanya!? Cik Muda kami belum pernah lagi cedera parah seperti ini dan dia dah beberapa hari tak sedarkan diri! Dalam hal ini, saya harap Akademi Panji Perang boleh beri penjelasan sewajarnya," kata Xiong Ba dengan marah.

Wajah Jiang Ying Long kelihatan kelat ketika dia menjelaskan dengan tergesa-gesa, "Saya harap Ketua Dewan Xiong dapat kekal tenang. Insiden ini tak disengajakan dan bukannya sesuatu yang kami mampu elakkan. Peraturan Kejohanan Pertempuran Roh hanya memerlukan peserta menundukkan pihak lawan. Siapa sangka pelajar dari Akademi Zephyr akan menyerang dengan ganas dalam kejohanan ini! Hati kami juga pedih melihatkan keadaannya."

Disebabkan terlalu gerun memikirkan kemarahan Bandar Seribu Binatang akan dihalakan pada Akademi Panji Perang, Jiang Ying Long terus mengalihkan beban kesalahan itu kepada Jun Xie bagi mengelakkan sebarang bencana.

"Siapa yang cederakan Cik Muda kami!?" tanya Xiong Ba sambil menjerit.

Jiang Ying Long cepat-cepat menjawab, "Pelajar dari Akademi Zephyr. Namanya Jun Xie."

"Akademi Zephyr?" Pemuda dari Bandar Seribu Binatang itu mengangkat kening. "Bukankah keadaan di Akademi Zephyr tu sangat berbeza tahun ni? Mereka dapat cari seseorang dalam akademi tu yang mampu kalahkan Cik Muda kami?"

Walaupun Qu Ling Yue masih muda, dia telah dapat mencapai kedudukan paling tinggi dalam Kejohanan Pertempuran Roh di akademinya. Tidak ramai orang di tiga akademi elit tertinggi itu yang mampu setanding dengan Qu Ling Yue. Mencari orang yang mampu mengalahkannya adalah jauh lebih sukar.

Berita tentang kejatuhan Akademi Zephyr sudah pun tersebar luas. Mereka sukar mempercayai bahawa Akademi Zephyr yang berada dalam keadaan itu masih mampu menghantar seseorang yang dapat mengalahkan Qu Ling Yue.

"Apa yang saya katakan ni mungkin sukar dipercayai, tapi kalau tuan-tuan sekalian bertanya di sekitar Ibu Negara Diraja Negara Yan ini, kamu akan tahu yang saya bercakap benar! Akademi Zephyr hanya menghantar enam orang peserta ke kejohanan tahun ini. Keenam-enam orang itu sudah mencapai kuasa di tahap menakjubkan! Lima orang daripada mereka sudah mencapai roh tahap biru dan mereka itu baru berusia dalam lingkungan enam belas dan tujuh belas tahun! Pelajar yang mencederakan Qu Ling Yue ialah Jun Xie, pelajar paling muda dalam kalangan mereka. Walaupun dia baru berusia lima belas tahun, kuasa rohaninya sudah pun mencapai tahap hijau!"

Sebaik kata-kata Jiang Ying Long sampai ke telinga mereka, wajah pemuda itu serta Xiong Ba menunjukkan ekspresi tidak percaya. Mereka sudah menghabiskan masa bertahun-tahun dalam usaha untuk mertapa dan mereka tahu betapa sukarnya untuk mencapai kemahuan dalam perkembangan kuasa rohani. Kalau usia anak-anak muda dari Akademi Zephyr itu digandakan berkali-kali pun masih sukar untuk mencapai hasil sebegitu.

"Betulkah cakap kamu ni?" tanya pemuda itu dengan perasaan terkejut.

Jiang Yong Long mengangguk. "Tentulah betul. Saya tak berani nak menipu kamu semua. Kalau Ketua Dewan Xiong tak percaya, pergilah ke mana-mana tempat pun di Ibu Negara Diraja ni dan tanyalah sesiapa pun. Tahulah kamu nanti yang saya bercakap benar."

Xiong Ba dan pemuda itu saling berpandangan. Mata mereka menunjukkan kehairanan.

Di usia sebegitu muda, memiliki kuasa rohani sebegitu tinggi. Hakikat tersebut jauh melangkaui apa yang mereka tahu tentang pemupukan kuasa rohani seumur hidup mereka. Di seluruh dunia ini, sejak zaman dulu lagi, berapa ramai yang mampu mencapai tahap yang begitu mengagumkan pada usia yang amat muda?