"Ada kesimpulan atau tak, budak muda macam kamu ni tak sepatutnya menyoal kami," kata Tabib Diraja Li. Suaranya berbaur kebencian. Dia tidak memandang Jun Wu Xie, sebaliknya bercakap pada Lei Chen. "Tuanku, kecederaan Cik Qu ni bukan main-main. Patik dan tabib-tabib lain sudah penat memerah otak dan mencurahkan segala pengetahuan kami. Patik mohon Tuanku janganlah menambah pada keadaan huru-hara yang kami hadapi."
Lei Chen mengetap giginya tetapi dia tidak boleh membiarkan dirinya mengamuk.
Namun Jun Wu Xie tetap meneruskan, "Kalau kamu semua tabib terhormat ni rasa umur saya yang muda ni membuatkan saya tak boleh dipercayai, mungkin kamu boleh berkongsi kesimpulan kamu. Dapatlah orang muda ini belajar sedikit sebanyak." Matanya bersinar sekilas dan dagunya diangkat sedikit. "Ataupun hakikatnya ialah setelah mengkaji dan berbincang sepanjang malam pun kamu tak dapat capai kesimpulan?"
"Apa saja yang budak muda yang jahil macam kamu ni tahu? Kamu fikir kamu layak bercakap di sini?" balas Tabib Diraja Li dengan biadab.
"Oh? Memandangkan kamu semua tak nak bercakap, apa kata saya saja yang buat begitu? Kalau apa yang saya katakan ni ada salahnya, saya mohon tunjuk ajar daripada kamu semua," kata Jun Wu Xie sambil berdiri perlahan-lahan. Renungan dinginnya memerhatikan semua orang di bilik itu.
"Cik Qu mengalami kecederaan di titik meridian jantungnya. Berdasarkan simptomnya, titik meridian jantungnya telah dihancurkan oleh seseorang dengan menggunakan kuasa rohani. Ini menyebabkan kekacauan pada aliran darah dan tenaga Qi di dalam tubuhnya lalu mengakibatkan degupan jantung yang tidak sekata. Terdapat juga kerosakan pelbagai peringkat di titik meridian utama yang lain memandangkan aliran tenaga rohani di dalamnya kini tidak terbatas dan di luar kawalan. Tenaga rohani yang berselerakan ini tak henti-henti menyerang organ-organ penting serta ususnya. Ini membuatkan kecederaannya semakin lama semakin parah," kata Jun Wu Xie dengan perlahan-lahan. Kata-katanya membuatkan para tabib yang sebelum ini memandangnya dengan penuh benci, tiba-tiba kelihatan terkejut. Jun Wu Xie menyambung lagi.
"Berdasarkan keadaan terkini Cik Qu, kamu telah menggunakan Eliksir Asalan Jantung untuk melindungi titik meridian jantungnya. Kemudian kamu tambahkan ginseng, cendawan susu harimau, akar manis yang dibakar dan bunga daisi sebagai ubat tambahan. Ditambah pula dengan pokok anjalika, pokok digitalis, bunga peony putih dan daun saderi laut untuk menambahkan darah. Kesan herba-herba ini lembut dan sederhana, sesuai untuk menstabilkan kecederaan Cik Qu serta tidak akan membebankan lagi tubuhnya yang sudah lemah. Setakat ni, betul tak apa yang budak muda ni katakan?" tanya Jun Wu Xie sambil mengangkat kepala. Matanya merenung tepat pada Tabib Diraja Li.
Selepas Jun Wu Xie menamatkan diagosisnya, bilik itu dipenuhi suara berbisik. Mata para tabib itu memandang Jun Wu Xie dengan perasaan terkejut.
[Budak kecil ini baru sahaja masuk ke bilik ini dan dia hanya memeriksa nadi Qu Ling Yue dalam masa yang amat singkat. Tetapi dia telah menyatakan segalanya tentang keadaan Qu Ling Yue dengan tepat. Dia juga dapat menyenaraikan eliksir dan herba yang mereka gunakan satu per satu, tanpa ada sebarang kesilapan!]
[Ini terlalu sukar dipercayai!]
Wajah Tabib Diraja Li berubah. Dia langsung tidak menyangka budak muda di hadapannya ini mampu membuat diagnosis yang tepat dalam masa yang begitu singkat! Malah orang sepertinya yang merupakan Tabib Diraja tahap tinggi yang begitu berkemahiran dalam ilmu perubatan pun tak akan dapat mengumpulkan begitu banyak petunjuk untuk membuat diagnosis yang berdasarkan fakta. Mengenal pasti kecederaan Qu Ling Yue tidaklah begitu sukar. Apa yang mengejutkan dia ialah Jun Wu Xie dapat mengenal pasti eliksir dan jenis herba yang telah diberikan pada Qu Ling Yue hanya melalui pemeriksaan nadi! Kebolehan ini terlalu luar biasa.
"Macam mana kamu tahu? Atau Tuanku yang beritahu kamu?" wajah Tabib Diraja Li kelihatan pucat. Kalau dipukul sehingga mati pun dia tidak akan percaya kebolehan Jun Wu Xie itu melangkaui jangkaan mereka semua.
Jun Wu Xie memandang tepat pada Tabib Diraja Li dan membalas, "Macam mana pula Tuanku boleh tahu tentang semua ni? Maksud kamu, ada antara kamu ni yang beritahu pada Tuanku?"
Satu pernyataan Jun Wu Xie itu terus membuatkan mereka semua terdiam.
Mereka telah menerima Titah Diraja untuk datang ke situ dan menyelamatkan nyawa Qu Ling Yue. Sebaik menjejakkan kaki ke sini, mereka langsung tidak keluar. Bila masa pula mereka ada peluang untuk berhubung dengan Putera Mahkota Lei Chen dan memberitahu dia tentang semua ini?