"Humph! Mangkuk berisi ubat herba yang kami berikan pada Cik Qu tadi ada di situ. Siapa-siapa yang ada ilmu perubatan sikit dan biasa dengan bau herba pun boleh tahu apa yang kami berikan padanya. Tak susah mana pun. Lagipun, ada ramai orang di sini. Mestilah ada maklumat yang terbocor. Kecederaan Cik Qu dan ubat yang diberikan padanya bukannya rahsia. Siapa-siapa yang mahu tahu boleh bertanya pada pelayan dan orang suruhan di rumah tumpangan ini," kata Tabib Diraja Li dengan ketawa mengejek. Tak kira macam mana sekali pun dia memikirkan hal ini, dia tidak rasa ada orang dalam dunia ini yang boleh menentukan kecederaan seseorang dengan tepat serta mendapat tahu jenis ubat dan herba yang diberikan pada seseorang pesakit itu dalam masa yang singkat.
Jun Wu Xie langsung tidak berasa jengkel dengan semua ini. Ketika berdepan dengan keraguan Tabib Diraja Li, Jun Wu Xie hanya berpaling dengan acuh tak acuh dan memandang Qu Ling Yue yang terlantar di katil.
Tiba-tiba dia membongkokkan badan dan tangannya dihulurkan ke leher Qu Ling Yue.
Jiang Ying Long yang berdiri di sisi berteriak terkejut. Dia menjerit dengan kuat, "Kamu buat apa pada Qu Ling Yue?"
Namun Jun Wu XIe buat tidak dengar sahaja pada jeritan itu. Tangannya dilayangkan pada leher Qu Ling Yue dengan kepantasan yang tinggi. Satu kilauan malap terpancar di sebalik hujung jarinya dan sebatang jarum perak mencucuk telinga Qu Ling Yue. Sebaik ditusuk sehingga ke isi, jarum itu ditarik keluar semula dengan sepantas kilat.
Dia telah menggunakan jarumnya dengan kelajuan yang tinggi. Tidak ada siapa di dalam bilik itu yang menyedari tindakannya.
Jiang Ying Long sudah pun meluru ke arah Jun Wu Xie dan menarik tangannya.
"Walaupun kamu ni orang yang Tuanku Putera Mahkota bawa masuk, kamu tak sepatutnya sentuh Qu Ling Yue dalam keadaannya sekarang. Kalau apa-apa berlaku padanya, mampukah kamu bertanggungjawab?" kata Jiang Ying Long. Matanya mengecil dan penuh dengan kemarahan yang membara.
Jun Wu Xie mendongak sedikit dan matanya yang dingin itu bertembung dengan mata Jiang Ying Long yang sedang meradang.
Di dalam hatinya, Lei Chen risaukan Jun Wu Xie. Berdasarkan nada agresif Tabib Diraja Li yang mencabarnya, Lei Chen tahu lelaki yang memerintah di Istana Diraja pasti telah mengeluarkan titah supaya Lei Chen tidak dibenarkan masuk campur dalam hal ini. Sebab itulah Tabib Diraja Li berani bertindak dengan biadab.
"Oh? Jadi saya nak tanya pada guru Akademi Panji Perang ni. Kamu benar-benar menentang saya daripada merawat Cik Qu, malah tak sanggup membiarkan saya memeriksa keadaannya dengan lebih lanjut. Kamu tak takutkah kehilangan satu peluang untuk menyelamatkannya? Kalau ada sesuatu benar-benar berlaku pada Cik Qu, saya tak rasa orang-orang dari Bandar Seribu Binatang itu akan melepaskan kamu dengan mudah," kata Jun Wu Xie dengan tidak berperasaan. Wajahnya tenang seperti air laut tetapi renungan matanya pada Jiang Ying Long amat dingin.
Wajah Jiang Ying Long menjadi kaku.
Pada ketika itu, Tabib Diraja Li membuka mulutnya lalu bersuara, "Apa kesalahan Guru Jiang yang cuma risaukan kebajikan pelajar akademinya? Bukankah budak muda macam kamu ni berlebihan membesar-besarkan hal ini untuk buatkan kami percaya pada cerita kamu? Kalau kamu benar-benar ada kemahiran untuk merawat kecederaan Cik Qu, bukankah itu akan membuatkan kami, doktor dan Tabib-tabib Diraja yang terhormat, menjadi bahan jenaka? Pengalaman seumur hidup kami dalam bidang perubatan tak setanding dengan budak muda macam kamu?"
Jun Wu Xie membalas tanpa teragak-agak, "Memandangkan kamu semua ni lelaki budiman dengan kemahiran dan pengetahuan perubatan yang layak dijadikan contoh, tidakkah kamu dapat mengesan kalau budak muda macam saya ni melakukan tindakan yang tidak patut? Kebetulan saya ada satu eliksir ni yang saya rasakan sesuai dengan keadaan Cik Qu sekarang. Kalau tuan-tuan ada jumpa apa-apa yang tak sepatutnya dalam eliksir ini, saya sanggup menerima sebarang hukuman yang tuan-tuan budiman rasa perlu." Jun Wu Xie dengan selambanya mengeluarkan satu botol porselin putih dari dalam bajunya dan melemparkan botol tersebut ke tangan Jiang Ying Long.
Jiang Ying Long menangkap botol itu dan kelihatan amat menggelabah. Pandangan matanya nampak serba-salah sewaktu dia memandang Jun Wu Xie. Dia tidak percaya Jun Wu Xie, dengan usianya yang begitu muda itu, memiliki kemahiran luar biasa dalam bidang perubatan. Namun apa yang gadis itu berikan sememangnya adalah sejenis eliksir.
"Guru Jiang tak sanggup cuba?" kata Jun Wu Xie kepada Jiang Ying Long yang kelihatan teragak-agak.