"Mmm." Jun Wu Xie mengangguk setuju.
Wajah Lei Chen menjadi sugul.
Qiao Chu yang sedang memerhatikan mereka hampir tergelak besar. Gadis itu terlalu berterus-terang sehinggakan orang lain berasa jengkel sehingga mereka boleh memuntahkan darah. Dia terlihat wajah Putera Mahkota itu bertukar pucat.
"Tapi kini Lei Fan sudah muncul di hadapan kamu. Maksudnya, Ayahanda akan terus bertindak. Kamu perlu saya buat apa-apa tak sekarang ni?" tanya Lei Chen sambil memandang Jun Wu Xie.
"Tak perlu." Jun Wu Xie menggelengkan kepala.
Lei Chen tidak bertanya apa-apa lagi. Dia hanya berbual-bual seketika dengan Qiao Chu dan yang lain sebelum beredar.
Selepas Lei Chen berlalu pergi, Jun Wu Xie dan yang lain meneruskan makan seolah-olah tiada apa yang berlaku. Ketika orang-orang di Lof Dewa berada dalam keadaan tenang, seseorang di Istana Diraja pula tidak begitu.
"Ayahanda! Jun Xie tu fikir dia siapa? Anakanda ni dengan sopannya dah mempelawa dia menjadi rakan belajar. Tapi dia bukan saja menolak, malah langsung tidak mempedulikan Anakanda! Mungkinkah dia ada terdengar khabar angin yang tak benar jadi tak sukakan Anakanda?" Lei Fan berdiri di dalam Bilik Bacaan Diraja itu dengan sedih. Wajahnya menunjukkan seorang budak muda yang dalam keadaan hampir menangis.
Ketika Maharaja melihat Putera kecil itu begitu sedih, hati baginda menjadi pedih. Melihatkan wajah yang begitu mirip dengan wanita kesayangan baginda, Maharaja tergesa-gesa cuba memujuk Lei Fan dengan berkata, "Budak tu memang tak layak untuk Anakanda. Malah ketika Anakanda dah merendahkan diri pun budak tu tak tahu bersyukur. Jangan bersedih lagi. Dia yang terlepas peluang baik. Ayahanda akan carikan rakan belajar paling hebat untuk Anakanda nanti."
Satu perubahan kecil terlintas di mata Lei Fan. Walaupun dia begitu berang dengan sikap biadab JunXie, kuasa budak itu yang begitu mengagumkan masih menarik perhatiannya. Dia telah mengarahkan orang-orangnya menyiasat tentang Akademi Zephyr dan mendapat tahu hanya enam orang pelajar daripada akademi itu yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini. Setiap seorang daripada mereka merupakan genius yang jarang ditemui serta amat luar biasa!
Dalam kalangan mereka, Jun Xie mempunyai potensi paling tinggi. Selain tahap kuasa rohaninya kini sudah mencapai tahap hijau yang mengagumkan, Lei Fan mendapat tahu yang Jun Xie juga merupakan pelajar Akademi Pemulih Roh. Hakikat Jun Xie tahu tentang Teknik Pemulihan Roh telah membuatkan Lei Fan enggan cepat berputus asa dalam menarik Jun Xie ke sisinya.
"Ayahanda, pasti dia ada mendengar pembohongan dan fitnah jadi dia telah tersalah faham dengan Anakanda. Walaupun Anakanda sedih dan terluka, Anakanda tahu yang dia masih lagi satu bakat yang jarang ditemui. Genius seperti ini mesti terus kekal di Negara Yan. Kita harus berusaha demi kebaikan Negara Yan. Orang yang berbakat tinggi tentulah ada sikap sombongnya. Anakanda masih mampu menanggung beban ini. Anakanda cuma tak tahu nak buat apa lagi untuk yakinkan dia yang Anakanda memang ikhlas," kata Lei Fan. Dia memandang Maharaja dengan wajah yang sedih dan bingung. Lei Fan tak mahu orang-orang Akademi Zephyr itu jatuh ke tangan Lei Chen.
"Anakanda Lei Fan memang bijak dan berpandangan jauh," kata Maharaja. Baginda berasa tersentuh sewaktu memandang Lei Fan. "Jangan risau, Anakanda. Memandangkan Anakanda mahukan Jun Xie, Ayahanda akan pastikan keinginan Anakanda itu tertunai."
Maharaja sendiri pun sudah memutuskan baginda tak akan melepaskan para pelajar Akademi Zephyr itu dengan mudah. Bakat sebegitu jarang ditemui. Pasti berguna kalau mereka terus berada di Negara Yan.
Di dalam hatinya, Lei Fan tersenyum sinis kegembiraan. Sebaliknya pada luaran, dia mengangguk dengan patuh.
Selepas satu lagi pusingan pujukan lembut di mana Lei Fan dikurniakan pelbagai barangan berharga, Maharaja akhirnya mengaturkan supaya Lei Fan dapat beredar. Sebaik Lei Fan berlalu pergi, senyuman Maharaja terus lenyap dan dia memanggil seseorang. Seorang lelaki berjubah hitam tiba-tiba muncul di dalam Bilik Bacaan Diraja.
"Apa titah Tuanku untuk Patik?" tanya lelaki berjubah hitam itu sambil melutut di atas lantai.
"Disebabkan kamu gagal menguruskan hal berkaitan Putera Mahkota, sekarang Beta akan beri kamu peluang untuk menebusnya," kata Maharaja.
"Patik menanti arahan Tuanku!"
"Lei Fan mahukan Jun Xie dari Akademi Zephyr. Tapi budak biadab itu tak tahu diuntung. Budak muda yang sombong dan angkuh itu perlu diajar sikit," kata Maharaja. Matanya mengecil dan tiba-tiba kelihatan ganas.